- 601Share sekarang!
- Email31
- Facebook570
- Share
Sedar tak sedar, rupa-rupanya 9 Februari 2018 yang lepas dah berlangsung acara pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk (Winter Olympic). Jaranglah orang kita nak ambil tahu sebab negara kita takde musim sejuk. Cuma yang jenis acah-acah nak pakai winter coat akan lepaklah kat Cameron Highland yang pernah capai suhu 16 Celsius pada Januari 2017. Tak pun masuk kat Snowalk I City, Shah Alam. Bolehlah baling ais kat mak mertua yang korang geram sangat tu.
Kalau nak tahu, sukan Olimpik Musim Sejuk edisi 2018 diadakan di Pyeong Chang, Korea Selatan dari 9 hingga 25 Februari. Edisi kali ni sangat bermakna buat negara Ecuador, Eritrea, Kosovo, Nigeria, Singapura dan juga negara kita yang pertama kali dalam sejarah ada wakil atlet yang layak bertanding. Bayangkan negara yang takde musim sejuk tapi ada atlet untuk sukan musim sejuk. Mungkin korang tak perasan yang mana atlet sukan musim sejuk negara kita dah tunjukkan kehebatan diorang waktu Sukan SEA baru-baru ni.
Malaysia negara pertama yang perkenalkan sukan musim sejuk dalam sukan SEA
Memang benda biasa dalam sukan SEA, tuan rumah akan bawa masuk sukan tradisional masing-masing sebagai jalan singkat untuk negara diorang dapat banyak emas. Ianya berbeza untuk Malaysia bila jadi tuan rumah baru-baru ni yang hanya fokus untuk bawa masuk sukan yang ada di Olimpik. Tapi, Malaysia tetap buat satu kejutan apabila memperkenalkan sukan musim sejuk macam luncur ais, hoki ais dan figure skating buat pertama kali dalam sejarah sukan SEA.
Macam yang kita tahu, Malaysia dah pun jadi juara keseluruhan sukan SEA dengan kutipan 145 pingat emas. Dalam banyak-banyak tu, lima pingat emas dah disumbangkan dari sukan musim sejuk. Atlet negara kita dah pun tunjukkan taring dalam sukan ni sejak dari hari pertama acara sukan ais berlangsung. Ianya melalui kemenangan Julian Yee dalam kategori figure skating. Acara ni yang mana atlet tu akan buat aksi melompat, berpusing dan lain-lain termasuk tarian ais.
Kehebatan atlet Malaysia diteruskan oleh Anja Chong atau Ratu Luncur Ais Negara yang menang dalam acara luncur ais 500 meter dan 1,000 meter. Luncur ais atau speed skating ni nak mudah faham macam lumba lari dalam pusingan atas ais sambil pakai skate.
Dah nama pun ratu, Anja Chong terus bantu negara apabila bergandingan dengan Ashley Chin, Marissa Ahmad Lokman dan See Wan Ni untuk menang emas kategori luncur ais berganti-ganti 3,000 meter. Kutipan pingat emas menjadi lima dengan kemenangan pasukan luncur ais lelaki dalam kategori yang sama.
Kejayaan menakjubkan Malaysia ni diakui sendiri oleh Anja Chong kerana ramainya orang Malaysia datang bagi sokongan. Sebab dia ingat sukan macam ni takde siapa nak tengok.
“Saya rasa macam tidak percaya sebab pertama kali sukan ini dianjurkan, tetapi ramai yang datang memberikan sokongan sehingga saya memperoleh semangat dalam usaha memenangi ketiga-tiga pingat emas Sukan SEA.”- Anja Chong, petikan dari Utusan.
Ratu Luncur Ais Negara gagal ke Olimpik Musim Sejuk
Kejayaan atlet negara kita dalam sukan musim sejuk dah menyebabkan ada tanda-tanda positif dalam misi untuk layak ke Pyeong Chang walaupun tak mudah. Harapan negara dah diberikan kepada Anja Chong, De-Vin Wong dan Mohamad Ariff Rasydan dalam kategori luncur ais. Manakala Julian Yee harapan bagi kategori figure skating. Misi utama adalah untuk bawa Malaysia ke Olimpik Musim Sejuk buat pertama kali dalam sejarah.
Percubaan atlet negara untuk layak ke Olimpik nampaknya taklah mudah. Anja, De-Vin Wong dan Ariff kena masuk pertandingan berterusan dari Budapest, Shanghai dan Seoul untuk kumpul mata supaya dapat masuk ranking 40 terbaik sebagai syarat untuk layak ke Pyeong Chang.
Akhirnya, keluar laporan yang mana peluang untuk tengok bendera Malaysia berkibar di Olimpik terkubur. Ini terjadi apabila Ratu Luncur Ais Negara, Anja Chong dan Ariff Rasydan gagal dapatkan kedudukan terbaik dalam pusingan akhir kelayakan Piala Dunia ISU di Seoul, Korea.
Tapi, kita lupa ada seorang lagi harapan negara iaitu Julian Yee yang bertanding di Jerman untuk acara figure skating. Adakah dia berjaya?
Julian Yee dalam ranking ke-38 dunia dalam figure skating
Kejohanan Trofi CS Nebelhorn di Jerman adalah peluang untuk Julian mengumpul mata dan merebut tempat untuk layak ke Olimpik. Dalam kejohanan tu, nampaknya dia berjaya dapat tempat keenam dengan 220.67 mata. Kejayaan ni dah menjadikan atlet berumur 20 tahun (waktu tu) ni berada di tangga ke-38 dalam ranking dunia sekaligus melayakkan dia untuk bertanding dalam Olimpik. Maknanya, Malaysia dah ada wakil buat pertama kalinya dalam sejarah Olimpik Musim Sejuk.
Sebelum dia berjaya di sukan SEA dan layak ke Olimpik ni, agaknya macam manalah dia nak berlatihkan? Jadi, kita kena tahu macam mana dia boleh hadapi semua cabaran ni. Dia dilaporkan minat sukan ni sebab ianya indoor dan ada air-cond. Sejak umur 4 tahun dia dah terjebak dengan sukan melibatkan skating. Masa zaman kanak-kanak, dia juga kena terangkan kat kawan-kawan sekelasnya pasal sukan ni sebab ianya sangat jauh dari budaya orang Malaysia.
Macam yang diterangkan sebelum ni di mana figure skating ni memerlukan ruang dan gelanggang ais yang sesuai untuk berlatih dan buat pergerakan. Kalau kat negara yang ada musim sejuk bolehlah berlatih belakang rumahkan kalau dah bosan tengok TV. Kalau kat Malaysia nak cari celah mana?
Jadinya, cabaran paling besar yang dia hadapi adalah apabila di negara kita ni memang kekurangan fasiliti dan terhadnya sokongan rasmi. Fasiliti untuk dia berlatih memerlukan ice rink (gelanggang ais). Tapi, ice rink di Malaysia saiznya kecil dan hanya ada di shopping mall sekitar Kuala Lumpur. Ice rink kalau dah kat shopping mall memang ramai lah orang datang bersuka-ria. Macam mana dia nak berlatih menari?
Dia terpaksa memujuk dan meyakinkan pemilik ice rink supaya buka awal dan dia boleh berlatih waktu tak ramai orang. Dilaporkan dia sebenarnya buat latihan bukan je waktu siang, waktu petang pun turun berlatih. Sehari biasanya dia akan berlatih dua kali untuk enam hari walaupun di ice rink yang kecil. Baginya, berlatih di ice rink yang kecil…
“Seperti cuba mendaratkan A380(kapal terbang terbesar dunia) di atas landasan yang kecil.”- Julian Yee, petikan dari NST.
Cabaran seterusnya pasal tiada sokongan rasmi dari segi dana dan program bagi figure skating. Jadi, ibu bapanya mengeluarkan duit mereka sendiri untuk menampung dana latihan. Waktu cuti sekolah, mereka menghantarnya berlatih di China dan Korea Selatan. Pada tahun 2016, dia sedar yang dia kena ubah cara berlatih sebab nak mula bertanding di peringkat antarabangsa. Dia pun berpindah ke Kanada untuk berlatih bawah jurulatih bertaraf dunia iaitu Michael Hopfes. Latihan di negara seberang memerlukan dana yang menyebabkan dia mula kumpul duit sendiri dengan cara crowdfunding atau minta bantuan orang ramai.
“Latihan di Kanada tak murah. Sasaran kami adalah 30,000 dollar Kanada dan kami dapat 16,000. Ianya sangat membantu.”- Julian Yee, petikan dari NBC.
Segala jerih payah ni berbaloi apabila dia dapat nombor lapan dalam Sukan Asia Musim Sejuk 2017 dan juara Sukan SEA KL 2017. Macam yang kitorang sebut tadi, dia jugak dah layak ke Olimpik yang sebenarnya bukan sekadar layak tapi berpeluang untuk dapat top 20 dalam acara tu nanti. Apa yang mengharukannya lagi apabila dia ditugaskan untuk jadi pembawa bendera negara waktu acara pembukaan dan akan bertanding pada 16 dan 17 Februari.
Menurut website Quartz, Julian adalah orang Malaysia kedua yang layak untuk sertai Olimpik Musim Sejuk. Jadi, siapa orang yang pertama? Bukan yang lain dah tak layak ke tadi? Rupa-rupanya…
Jeffrey Webb atlet berdarah Amerika-Malaysia cemerlang di Sukan Asia Musim Sejuk
Kalau Julian boleh berlatih kat shopping mall, macam mana pulak kalau ada wakil Malaysia yang bertanding acara Alpine Skiing?
Itulah acara yang dah melayakkan Jeffrey Webb ke sukan Olimpik serta menjadi orang Malaysia pertama yang layak. Rupa-rupanya ada juga orang Malaysia yang main sukan macam ni dalam keadaan kita tak tahu ye. Kalau nak diikutkan, Jeffrey ni lahir di Kuala Lumpur tapi mempunyai ibu bapa campur yang mana ibunya orang Malaysia dan bapanya orang Amerika. Pada umur lima tahun dia dah pun berpindah ke Amerika.
Waktu umur lima tahun nilah dia dah berjinak-jinak main ski dengan bapanya yang juga merupakan jurulatih alpine ski. Dia dah jadi sebahagian daripada Pasukan Ski Mission Ridge di Washington. Pada 3 Ogos 2015, Malaysia sudah memberi kebenaran kepadanya untuk mewakili negara sebagai atlet berstatus naturalisasi sebab ayahnya orang Amerika. Dia dan tiga atlet yang lain dah dibentuk untuk menjadi pasukan pertama mewakili Persatuan Ski Malaysia.
Masa Sukan Asia Musim Sejuk 2017 di Jepun, dia dah menunjukkan persembahan yang diberi pujian yang mana dia muncul sebagai atlet ski terbaik bagi kawasan Asia Tenggara. Kecemerlangan dia dalam sukan nilah antara sebab dia layak ke Olimpik.
“Saya bermain ski sejak umur saya lima tahun. Saya tak boleh percaya yang impian waktu kanak-kanak saya untuk mewakili Malaysia di Olimpik sudah menjadi kenyataan”- Jeffrey Webb, petikan dari The Star.
Dia bukan layak satu kategori je, tapi dua iaitu kategori slalom dan giant slalom. Untuk elak pening kepala, kami terangkan beza dua kategori ni.
- Slalom: Peluncur akan berski menuruni bukit dengan kelajuan. Peluncur tu kena luncur dan sentuh setiap gate yang jaraknya sangat dekat antara satu sama lain. Kalau terlepas je salah satu gate boleh disqualified.
- Giant Slalom: Sama macam Slalom, cuma, jarak antara gate lebih jauh sama ada 10 meter atau lebih.
Untuk berlatih dua acara ni, dia berpangkalan di Amerika untuk pastikan yang dia betul-betul bersedia bagi menghadapi cabaran di sukan Olimpik nanti. Menurut ibunya, Jasmin Manap mengatakan usia Jeffrey yang muda (19 tahun sekarang ni) adalah terlalu awal untuk letakkan sasaran pingat memandangkan dia kali pertama layak ke Olimpik.
Sepanjang latihannya, ada saat getir yang hampir memusnahkan impiannya apabila berlaku kecederaan bahagian belakang badannya. Tapi, dia tetap berusaha juga untuk kembali sihat dengan mendapatkan terapi yang berterusan.
“Saya sangat bersemangat dengan sukan ini dan tiada yang menggembirakan saya selain membawa bendera Malaysia terbang tinggi.”- Jeffrey Webb, petikan dari The Star.
Hari ini ianya mungkin mustahil, tapi esok mungkin tidak lagi
Dalam sejarah Olimpik Musim Sejuk, ada satu cerita yang bagi pengajaran kat semua orang melalui filem Eddie The Eagle. Filem ni adalah berdasarkan cerita sebenar tentang pengorbanan Eddie Edward yang menjadi orang British pertama masuk acara ski jumping atau bahasa mudahnya lompat jauh tapi guna ski. Semua orang gelakkan dia dan British sendiri hampir tak bagi peluang kat dia untuk bertanding sebab tak yakin.
Dia tetap membuktikan sesuatu walaupun sekadar di tempat terakhir, tapi, dia gembira siap buat tarian gaya burung helang yang diingati sepanjang kejohanan. Dalam filem tu ada kata-kata dari Baron de Courbin, pengasas Olimpik Moden untuk semua orang mengenai pengorbanan…
“Perkara yang paling penting dalam temasya Olimpik bukanlah untuk menang, tapi untuk mengambil bahagian; perkara yang penting dalam hidup bukanlah kemegahan, tapi pengorbanan.”- Petikan dari The Guardian.
Walaupun dengan kontinjen yang sangat kecil untuk negara, tapi, pengorbanan Julian Yee dan Jeffrey Webb sebelum-sebelum ni lah yang patut bagi semangat untuk kita capai impian yang mungkin pada mulanya mustahil.
- 601Share sekarang!
- Email31
- Facebook570
- Share