Mokhzani Mahathir terkeluar dari senarai 40 terkaya. Dan fakta-fakta menarik yang korang kena tahu

Cuba kita bayangkan kalau kita ada duit bukan berjuta, tapi berbilion! Tak tahulah apa yang kita akan buat. Walaupun tu semua macam khayalan je, tapi tak mustahil boleh jadi. Sebabnya, baru-baru ni dah pun keluar – senarai 40 orang terkaya kat Malaysia.

The Star melaporkan, kekayaan mereka ni bila digabungkan boleh mencapai RM290.48 bilion. Seperti tahun-tahun sebelumnya, hartawan Robert Kuok masih lagi tak turun takhta sebagai orang Malaysia terkaya – dengan kekayaan bernilai RM49.9 bilion.

Robert Kuok sekarang dah berumur 94 tahun. Imej dari South China Morning Post.

Tapi ada juga beberapa fakta menarik pasal senarai baru ni. Antaranya…

1. Mohkzani Mahathir terkeluar dari senarai 40 terkaya

Pada tahun 2016, anak bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad – Mokhzani Mahathir dah tersenarai sebagai antara 40 orang terkaya di Malaysia. Mokhzani berada di tempat ke-36 dengan kekayaan bernilai RM1.07 bilion. Tapi sebelum tu, pada tahun 2015 Mokhzani berada kat kedudukan 26, maknanya dia dah jatuh 10 anak tangga.

Antara sumbangan kekayaan tu adalah pegangannya dalam Kencana Petroleum Bhd. Pada tahun 2012, Kencana Petroleum dah bergabung dengan Sapuracrest dan terjadilah SapuraKencana Petroleum Bhd (SapKen). Selain tu, Mokhzani juga adalah Pengerusi dan CEO Opcom Holding Bhd (syarikat kabel fiber optik), yang mana 30% kepentingan syarikat itu juga dimiliki oleh adiknya Mukhriz. Tapi tahun ni, Mukhriz ada kata yang dia dah jual sahamnya kat Opcom.

Pada 2016, Mokhzani resign dari jawatan sebagai Pengerusi Litar Sepang. Imej dari Forbes.

Untuk tahun 2017, Mokhzani nampaknya dah terkeluar dari senarai ni. Sebabnya, sebelum ni Mokhzani dah jual hampir 385 juta sahamnya kat Sapura Energy. Dengan itu, Mokhzani bukan lagi pemegang saham utama syarikat itu. Selain Mokhzani, ada lagi beberapa nama yang terkeluar dari senarai, antaranya macam: Tan Sri Shahril Shamsuddin (Sapura Energy Bhd) dan Tan Sri Tiong Hiew King dari Rimbunan Hijau Group.

Tan Sri Shahril Shamsuddin. Imej dari The Sun.

2. Tapi ada juga yang naik anak tangga dan tak kurang juga yang jatuh

Mendaki dengan style! Imej dari Giphy.

Hidup ni biasalah ada yang masa kita kat atas dan ada masa kita kat bawah. Tapi rasanya perumpamaan ni macam tak berapa kena pulak kalau nak dikaitkan dengan orang-orang yang tersenarai sebagai terkaya ni. Walaupun kedudukan diorang ni jatuh, harta diorang tetap berbilion. Antara yang naik ranking adalah…

Tan Sri Lee Shin Cheng (IOI Group) yang naik satu anak tangga dalam top-10

Mungkin kita semua familiar dengan nama IOI ni, terutama sekali pusat beli belah diorang. Tapi korang tahu tak siapa di sebalik syarikat ni? Orang itu adalah Tan Sri Lee Shin Cheng (Pengerusi Eksekutif IOI Group). Walaupun terkenal sebagai sebuah syarikat hartanah, IOI sebenarnya bermula dari sebuah syarikat perladangan kelapa sawit.

Tan Sri Lee Shin Cheng (tengah) dan dua orang anaknya – Yeow Seng (kiri) & Yeow Chor (kanan). Imej dari The Star.

Selaras dengan peredaran masa, IOI dah mengorak langkah dalam bidang hartanah melalui IOI Properties Group Berhad. Kekayaan Lee juga nampaknya bertambah dari RM19 bilion (2016) kepada RM20.6 bilion pada 2017. Sekarang, Lee Shin Cheng menduduki tempat ke-4 dalam senarai (2017) menggantikan taikun telekomunikasi- Tan Sri Ananda Krishnan.

Orang seterusnya yang naik ranking adalah…

Tan Sri Koon Poh Keong dan Koon Poh Ming – Keluarga ni naik 6 anak tangga!

Kalau naik satu anak tangga pun nampak dah hebat, ini kan pulak naik 6 anak tangga. Tapi itulah yang dah dicapai oleh adik beradik ni, apabila naik dari ranking ke-14 (tahun 2016) kepada ke-8 untuk tahun 2017. Apa bisnes diorang ni sebenarnya?

Adik beradik yang berjaya. Dari kiri – Koon Poh Ming & Koon Poh Keong. Imej dari The Star.

Syarikat utama keluarga Koon ni adalah Press Metal Holdings, sebuah syarikat pembekal aluminium. Pada tahun lepas, harga saham Press Metal dah melonjak naik kira-kira 200%, sampai ia dah menaikan kekayaan keluarga Koon daripada RM3.17 bilion pada 2016 kepada RM13.07 bilion pada tahun 2017. Hal ni disumbangkan dengan kenaikan harga aluminium sekitar AS2,200 (RM8,500) se-tan.

Siapa sangka syarikat yang diasaskan pada tahun 1986 dengan hanya 12 orang pekerja ni dulu boleh jadi antara syarikat terbesar aluminium. Selain di Malaysia, syarikat ni juga beroperasi di China.

Antara produk yang Press Metal keluarkan. Imej dari Press Metal.

Tapi tak semuanya naik ranking, sebab ada juga yang jatuh. Macam apa yang jadi kat bos Maxis dan Astro ni.

Ananda Krishnan – Dari kedudukan kedua terkaya, jatuh ke tempat ke-5

Sejak tahun 2004 sampai tahun 2015, Tan Sri T.Ananda Krishnan dah menduduki tempat kedua selepas Robert Kuok sebagai orang terkaya kat Malaysia. Macam mana pun, untuk tahun 2016, kedudukan Ananda dah jatuh ke tempat ke-4. Pada tahun 2017 pula, nampaknya kedudukan Ananda sekali jatuh ke tempat ke-5.

Walaupun jatuh satu anak tangga, tapi kekayan Ananda sebenarnya bertambah dari RM20 bilion pada 2016 kepada RM20.4 bilion untuk tahun lepas. Tapi peningkatan tu masih lagi dianggap kecil kalau nak dibandingkan dengan mana-mana bilionair dalam senarai top-10 (kecil antara diorang je la).

Tan Sri Ananda Krishnan. Imej dari Malay Mail Online.

Bagaimanapun kenaikan harga minyak sedikit sebanyak dah menyumbang dalam menaikkan kekayaan Ananda dalam syarikat minyak dan gasnya – Bumi Armada Bhd. Selain tu, siapa tak kenal dengan dua syarikat ternamanya – Maxis Bhd dan Astro Malaysia Holdings.

“Pada suku ketiga tahun kewangan semasa, Maxis mencatatkan keuntungan bersih RM554 juta daripada RM503 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya. Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungannya adalah sehingga RM1.63 bilion daripada RM1.51bil sebelum ini.” – Dipetik dari The Star.

Ananda Krishnan meluangkan masa bersama anak lelakinya – Ven Ajahn Siripanyo yang juga adalah seorang sami Buddha. Imej dari The Star.

Sebelum ni, Ananda juga ada masalah dengan pihak berkuasa India apabila dia dikaitkan kes rasuah. Bagaimanapun, Ananda tetap kekal dalam senarai top-10 orang terkaya di negara ini.

Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary – Jatuh 4 anak tangga

Nama ni memang tak payah nak diperkenalkan lagi, dialah satu-satunya orang bumiputera yang pernah tersenarai dalam top-10 orang terkaya kat Malaysia. Pada tahun 2016, Syed Mokhtar menduduki tempat ke-10 sebagai orang terkaya di negara ini. Tapi nampaknya untuk tahun 2017, Syed Mokhtar dah terkeluar dari senarai top-10 tu. 

Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary. Imej dari utaranews.com

Syed Mokhtar dah jatuh 4 anak tangga dengan menjadikannya orang ke-14 terkaya di negara ni. Seperti mana Ananda Krishnan, walaupun jatuh kedudukan, tapi kekayaan Syed Mokhtar sebenarnya meningkat dari RM5 bilion (2016) kepada RM5.25 bilion pada tahun 2017. MMC Corp masih lagi menjadi penyumbang utama kekayaan Syed Mokhtar dengan pemilikannya sebanyak 52% dalam syarikat itu.

“Sekarang ini, MMC Corp mengawal kesemua pelabuhan di pantai barat Semenanjung Malaysia, seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Johor, Pelabuhan Pulau Pinang dan NCB Holdings yang mengendalikan Northport di Pelabuhan Klang.” – Dipetik dari The Star.

Syed Mokhtar dan isteri – Puan Sri Sharifah Zarah Albukhary. Imej dari Utusan Malaysia.

Mungkin kejatuhan kedudukan tu disebabkan salah satu syarikatnya – DRB Hicom Bhd (pemilik Proton) yang terpaksa melepaskan sebahagian besar sahamnya kepada Geely Holding Group Co Ltd. Geely sekarang ni ada 49.9% kepentingan dalam Proton. Selebihnya, kekayaannya juga disumbangkan oleh syarikat-syarikat di bawah DRB-Hicom seperti Bank Muamalat dan Pos Malaysia Bhd.

3. Ada juga yang baru masuk dalam senarai

Imej dari Giphy.

Kalau tadi ada terkeluar, naik dan jatuh, sekarang ni kita nak tahu pulak siapa yang baru masuk dalam senarai. Kalau orang lain ada yang terkeluar, maknanya yang masuk ni mesti bukan calang-calang orang sebenarnya. Ok, nama pertama yang masuk dalam senarai adalah…

Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun dari AirAsia Group.

Kalau nak cerita kejayaan dalam bidang perniagaan penerbangan, siapa tak kenal dengan Tony Fernandes dan Kamarudin Meranun. Diorang inilah kunci utama kejayaan Air Asia sehingga dinobatkan sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia.

Sebenarnya, pada tahun-tahun sebelum ni, Tony dan kawan bisnesnya – Kamaruddin dah pun tersenarai dalam top- 40. Tapi tak untuk tahun 2016.

Kita kaya sama-sama! -Tony & Kamarudin. Imej dari Malay Mail Online.

Walaupun macam tu, diorang nampaknya berjaya masuk balik dalam senarai dengan kekayaan sebanyak RM3.95 bilion dalam menduduki tempat ke-17. Antara punca utama kemasukan diorang ni adalah akibat kenaikan harga saham AirAsia.

“AirAsia menjadi tajuk utama baru-baru ini dengan kenaikan saham yang tinggi pada awal tahun ini, memandangkan para pelabur mungkin melihat akan ada dividen khas berikutan dengan perjanjian pertukaran saham di antara unit pengendalian AirAsia dan SATS Ltd.” – Dipetik dari The Star.

Tony kahwin Oktober tahun lepas (isteri dia yang pakai baju warna putih tu). Imej dari Rojak Daily.

Selain mereka berdua ni, ada juga nama baru yang terdiri daripada tiga orang. Mereka adalah…

Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah, Abdul Kadier Sahib dan Datuk Awang Daud Awang Putera

Ketiga-tiga mereka ni baru je masuk senarai top-40. Apa yang pasti mereka ni adalah orang kuat Serba Dinamik Holdings Bhd (syarikat perkhidmatan kejuteraan gas dan minyak). Sebagai tiga orang pemegang saham terbesar, Abdul Karim, Abdul Kadier dan Awang Daud dah ada aset sebanyak RM2.499 bilion. Kekayaan ni dah jadikan mereka sebagai orang ke-23 terkaya di Malaysia.

Dari kiri: Datuk Awang Daud, Datuk Abdul Karim & Abdul Kadier. Imej dari Serba Dinamik.

Abdul Karim yang juga Pengarah Urusan dan CEO Serba Dinamik adalah pengasas syarikat tu pada tahun 1993. Karim sekarang mempunyai 25.3% pegangan dalam syarikat. Kadier (Pegarah Bukan Eksekutif) memegang 20.8%, manakala Awang Daud (Pengarah Eksekutif & Timbalan CEO) memegang 11.7%.

“Serba Dinamik menyediakan perkhidmatan kejuruteraan dalam industri O&G (minyak dan gas) dan industri penjanaan kuasa dengan kemudahan operasi di Malaysia, Indonesia, Emeriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan United Kingdom. Kumpulan ini juga aktif di Afrika.” – Dipetik dari The Star.

Imej dari The Star.

Orang seterusnya yang masuk dalam senarai adalah seorang wanita. Dia adalah…

Datuk Norraesah Mohamad dan Wong Thean Soon – orang ke-19 terkaya di Malaysia.

Untuk tahun 2016, Wong Thean Soon dan Raja Munir Shah Raja Mustapha berada di tempat ke-24 sebagai orang terkaya di Malaysia. Kekayaan mereka tu disumbangkan oleh dua syarikat iaitu My EG Services Bhd dan Excel Force MSC Bhd. Tapi nampaknya untuk tahun 2017, kedudukan Raja Munir dah diganti dengan Norraesah Mohamad.

Dato’ Dr. Norraesah Mohamad. Imej dari Youtube ( The Prospect Group).

Norraesah muncul sebagai pemegang saham utama MyEG, bila Raja Munir menjual sahamnya sebanyak 29.7% kepada Norraesah pada tahun lepas. Kini Norraesah memegang kira-kira 30.41% saham MyEG.

MyEG adalah penyedia perkhidmatan e-Kerajaan, manakala Excel Force pula adalah syarikat pembangunan dan penyelenggaraan perisian komputer untuk industri broker saham. Korang mungkin lebih familiar dengan MyEG, sebab syarikat inilah yang sediakan perkhidmatan macam bayar saman (polis,jpj & etc), zakat, daftar permit pekerja asing dan sebagainya. 

Wong Thean Soon. Imej dari The Malaysian Reserve.

Sekarang, Norraesah memegang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif MyEG, manakala Wong Thean Soon pulak sebagai Pengarah Urusan. Sebelum ni, Norraesah juga pernah jadi senator dan Pengerusi Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (sekarang Bank Rakyat). 

4. Dalam banyak-banyak jenis perniagaan, mana satu yang banyak buat orang jadi bilionair?

Mesti ni jadi antara persoalan yang ada ada dalam pemikiran kita semua. Ye lah, kita semua terfikir nak berniaga tapi kadang-kadang tu tak tahu nak berniaga apa. Jadinya, jom kita cek bidang mana yang paling banyak buat orang jadi bilionair.

Hasilnya, didapati yang bidang hartanah jadi sumber utama kekayaaan mereka ni, diikuti dengan perladangan (sawit) dan industri minyak & gasDari 50 orang terkaya kat Malaysia, 22 dari mereka terlibat dalam bidang hartanah, 7 dalam perladangan kelapa sawit dan 4 dalam perniagaan minyak dan gas.

Macam Tan Sri Lee Shin Cheng – hartanah & minyak sawit dia berniaga. Imej asal dari Palm Oil TV.

Walaupun bidang hartanah masih menjadi antara penyumbang utama, tapi negara kita sebenarnya masih lagi berdepan dengan masalah hartanah-hartanah yang tak terjual. Awal tahun ni, Johari Ghani (Menteri Kewangan II) ada bagi amaran akan berlakunya ‘gelembung hartanah’ kalau isu hartanah tidak terjual masih tak diatasi. Apa tu gelembung hartanah?

“Gelembung hartanah adalah keadaan peningkatan harga hartanah didorong permintaan, spekulasi dan kerancakan industri. Keadaan menjadi semakin rumit apabila spekulator masuk ke pasaran dan memacu permintaan. Gelembung berkenaan boleh ‘pecah’ apabila harga hartanah jauh melebihi harga sebenar aset berkenaan.” – Dipertik dari Astro Awani.

Kena tunggu gaji RM12,000 sebulan. Imej dari rmf7.wordpress

Jadinya, kerajaan nasihatkan para pemaju supaya fikir dulu sebelum mulakan apa-apa projek. Hal ni ditambah lagi dengan kenaikan harga rumah yang semakin tak masuk akal. Kajian juga dapati sebahagian besar rakyat Malaysia percaya harga pasaran hartanah akan naik dalam masa lima tahun akan datang. 

Kita boleh berjaya asal kita tekun berusaha dan sabar diuji masa – Syed Mokhtar

Mungkin kita pernah terdengar cerita macam mana hartawan mendiang Lim Goh Tong yang juga pengasas Genting dulunya berasal dari keluarga yang miskin. Malah, mendiang juga pernah cerita macam mana susahnya dia nak bina Genting Highlands sampai ia bertukar menjadi sebuah tempat peranginan bertaraf dunia sekarang.

Korang boleh baca kisah hidup mendiang dalam buku ni. Imej dari Amazon.

Seorang lagi hartawan terkenal adalah Syed Mokhtar al-Bukhary yang juga sebenarnya bermula dari bawah. Dia juga tak terlepas dari ujian, cabaran dan dugaan. Tapi dengan kesabaran dan usaha itulah yang membuatkannya berjaya.

Semasa mula-mula berniaga dulu saya pun biasa kena tindas, bukan saja dengan bangsa lain tetapi dengan orang Melayu yang dipergunakan. Saya terpaksa bersaing dengan orang Cina yang sudah jauh lebih maju dan boleh juga mendapatkan lesen daripada orang Melayu yang sanggup menggadainya.” – Syed Mokhtar al-Bukhari, katanya kepada Utusan Malaysia.

Syed Mokhtar pun ada buku. Imej dari johanirwan.com

Walau begitu, kesemua dari mereka ini dah membuktikan kejayaan masing-masing dalam bidang perniagaan. Malah mereka juga menggambarkan kepada kita, bahawa dengan usaha semuanya adalah tak mustahil.

“Saya pun suka kepada kemewahan. Saya pun suka pergi tengok dunia, ke Tokyo, New York dan London. Saya pun suka pakai baju elok. Tetapi kita ini hendak mewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana?

Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas, ada masa di bawah. Kita tidak boleh mengagung-agungkan diri kita sangat.” – Syed Mokhtar al-Bukhary, dipetik dari Utusan Malaysia.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.