- 908Share sekarang!
- Email20
- Facebook888
- Share
Mungkin ada di kalangan kita yang pernah dengar pasal sebuah negara kecil bernama Vatican City (Kota Vatikan), iaitu pusat pentadbiran untuk penganut Kristian Roman Katolik di seluruh dunia. Negara ini dipimpin oleh seorang Paus (Pope). Boleh dikatakan yang Pope ini adalah imam besar untuk penganut Katolik di seluruh dunia.
Pada beberapa hari yang lepas, Menteri Luar, Anifah Aman merasmikan kedutaan Malaysia di negara tersebut. Ini merupakan hasil hubungan diplomatik yang terbina sejak tahun 2011. Sebenarnya, sebelum 2011 kita tak ada sebarang hubungan diplomatik dengan negara ini.
Oleh itu, SOSCILI kali ni akan memberikan sedikit sebanyak maklumat berkenaan dengan Vatican City. Korang juga mungkin akan lebih faham bagaimana ‘negara agama’ ini berfungsi.
Berpisah dengan Itali dan jadi negara paling kecil di dunia
Sebelum tahun 1929, Vatican City adalah merupakan sebahagian dari Itali. Tapi berlaku konflik antara pihak Gereja Roman Katolik dan kerajaan Itali. Oleh itu pada tahun 1929, telah termetrainya Perjanjian Lateran antara kedua-dua pihak, yang menjadikan Vatican City sebagai sebuah negara yang berdaulat.
Vatican City sebenarnya terletak di dalam Kota Rom dan hanya sebesar 44 hektar dengan populasi sebanyak lebih kurang 800 orang. Kerana itu ia menjadikan negara ini sebagai negara paling kecil di dunia. Kalau nak dibanding dengan Malaysia, saiz Vatican City ni lebih kurang sama dengan saiz KL Sentral!
Walaupun begitu, kota ni ada lagu kebangsaan, bendera, pejabat pos, bank, pasukan tentera, landasan helikopter, loji penjanaan elektrik, duit syiling dan setem malah domain Internet (.va) sendiri. Negara ni jugak takde bahasa rasmi, tapi diorang ada radio nasional yang menyiarkan lebih dari 20 bahasa.
Vatican City diperintah secara mutlak oleh Pope. Sebagai pusat Katolik dunia, kota ni jugak diktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO. Takde sebarang aktviti pertanian di negara ini, makanya ekonomi yang dijana adalah hasil dari jualan setem, cenderamata, aktiviti pelancongan, caj masuk muzium dan sumbangan dari penganut Katolik dunia.
Walaupun macam tu, dianggarkan kota ni menerima lebih 5 juta orang pelancong setahun. Dari segi sistem pertahanan pulak, Itali masih lagi bertanggungjawab ke atas keselamatan negara ini. Bagaimanapun, ada Swiss Guards yang ditugaskan untuk menjaga keselamatan Pope.
Dr Mahathir adalah PM Malaysia pertama yang jumpa Pope
Pada tahun 2002, Dr Mahathir dah dijemput oleh Pope John Paul untuk buat lawatan ke Vatican City. Walaupun Dr Mahathir terkenal sebagai seorang yang lantang mengkritik Barat, tapi dia tetap dianggap sebagai seorang pemimpin Islam sederhana. Kerana itulah, pihak Vatican City menjemputnya ke negara mereka.
“Pope memilih Dr. Mahathir untuk mengadakan pertemuan kerana merasakan pemimpin Malaysia itu paling layak untuk mewakili masyarakat Islam antarabangsa.” – Prof. Ali Mazrui, Pengarah Institut Kajian Kebudayaan Sejagat, Universiti Binghamton, AS. Dipetik dari Utusan Malaysia.
Dr. Mahathir bertemu dengan Pope ketika dia membuat lawatan kerja ke Switzerland dan Luxembourg. Selain dari Dr. Mahathir, rombongan bertemu Pope ini jugak disertai oleh golongan agamawan seperti Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr Ismail Ibrahim dan pendakwah, Dr Uthman El-Muhammady. Dua orang menteri kabinet yang jugak penganut Katolik turut sama dalam pertemuan itu.
“Pertemuan esok (Dr. Mahathir & Pope) amat penting kerana ia memperkukuhkan lagi dialog antara agama demi keamanan manusia sejagat…Islam dan penganutnya sudah diiktiraf lama. Apa yang perlu ialah lebih banyak dialog dan perbincangan yang sihat mengenai semua perkara.” – Ciro Benedettini, Jurucakap Pope. Dipetik dari Utusan Malaysia.
Akhirnya pada 7 Jun 2002, Dr Mahathir telah mengadakan lawatan ke Vatican City dan bertemu dengan Pope. Fokus isu yang dibincangkan adalah berkaitan dengan gerakan kesederhanaan dan isu-isu berkaitan Palestin. Menurut Dr Mahathir, Pope banyak bertanya soalan tentang Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
“Kita sudah sampai di sini dan kemukakan pandangan kita termasuk isu Palestin seperti mana yang kita mahu. Pada umumnya, tidak ada perbezaan pendapat antara kedua-dua pihak dan bagi saya ia berhasil.” – Dr Mahathir Mohammad. Dipetik dari Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, Malaysia masih lagi tak adakan sebarang hubungan diplomatik dengan Vatican selepas itu. Hanya pada tahun 2011, Malaysia secara rasminya mengadakan hubungan diplomatik dengan Vatican hasil dari pertemuan PM Najib Razak dan Pope Benedict XVI.
Pada 2016, Malaysia melantik Tan Sri Bernard Dompok menjadi duta pertama Malaysia ke Vatican. Bernard Dompok sebelum ni pernah menjadi Ketua Menteri Sabah dan Menteri Kabinet. Sebenarnya, dia telah memainkan peranan yang besar dalam mengembangkan hubungan Malaysia-Vatican.
Hanya orang terpilih je yang boleh masuk arkib Vatican City
Siapa di antara korang yang pernah baca novel Angels & Demons (karya Dan Brown) atau tonton filemnya, lakonan Tom Hank? Dalam cerita ni, Robert Langdon (watak utama) dah lama mohon untuk masuk ke arkib Vatican. Tapi permohonan dia tu tak pernah diterima, sampailah dia secara tak sengaja berjaya masuk ke arkib Vatican.
Masa kat dalam arkib tu, dia jumpa dokumen-dokumen yang boleh memusnahkan Vatican City. Dipendekkan cerita, apa yang nak disampaikan dalam cerita ni adalah Vatican simpan berjuta-juta dokumen rahsia yang tak didedahkan kepada sesiapa. Cukup untuk nak buat teori konspirasi!
Stress dengan dakwaan dan persepsi ni, pihak Vatican panggil media untuk buat lawatan kat arkib yang dituduh rahsia ni. Apa yang wartawan jumpa nampaknya taklah macam apa yang digambarkan selama ni. Sebab realitinya, arkib ni masih lagi dikawal menggunakan teknologi lama. Tapi ada jugak perkara yang menakjubkan macam…
“…pihak media dibawa melihat arkib dengan rak penyimpanan berjumlah 85 kilometer panjang di ruang bawah tanah, bunker konkrit serta kabinet abad ke-16 yang diukir indah yang dipenuhi dengan surat kiriman pemimpin dari pelbagai peringkat kepada kepimpinan Vatican City ketika itu.
Ia termasuk surat yang ditulis di antara Vatican City dengan figura tersohor sejarah ketika itu seperti Erasmus, Charlemagne, Michelangelo, Ratu Elizabeth I, Mozart, Voltaire dan Adolf Hitler.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.
Untuk maklumat, arkib ni dah diasaskan pada 1612 dan tak pernah dibuka kepada umum sampailah tahun 1881 bila Paus Leo XIII mula benarkan para cendikiawan Katolik buat kajian bersumberkan bahan-bahan kat situ. Walaupun begitu, prosedur untuk masuk ke arkib tu masih lagi ketat.
Hanya orang yang terpilih je yang dapat masuk ke arkib itu. Kalau setakat pelajar atau pengkaji amatur jangan haraplah dapat masuk. Lagi satu, walaupun seseorang tu dibenarkan masuk, diorang masih tak dibenarkan melihat secara penuh. Hanya 3 fail je para pengkaji dibenarkan semak untuk sehari!
Oleh itu, untuk mengatakan yang pihak Vatican masih menyimpan rahsia mungkin tepat jugak. Ye la kan, dengan rak sepanjang 85 km, berapa banyak dokumen yang boleh disimpan. Mungkin boleh mencecah ratusan ribu buah dokumen. Para pengkaji pulak sehingga hari ini hanya dibenarkan semak 3 fail je sehari.
Sejak beribu tahun diasaskan, hanya ada 2 orang Pope je yang pernah letak jawatan
Seperti yang dikatakan tadi, Vatican City diperintah secara mutlak oleh seorang Pope. Jawatan Pope mungkin boleh disamakan sebagai seorang Raja. Selain tu, Pope jugak bertanggungjawab sebagai pemimpin kepada lebih 1 bilion penganut Katolik di seluruh dunia.
Pada asalnya, masa dulu jawatan Pope dipilih oleh sekumpulan paderi di Kota Rom je. Tapi cara tu dah diubah pada 1059 bila Pope masa tu keluarkan arahan yang hanya kardinal (pegawai tinggi gereja Katolik) je yang boleh memilih Pope. Kardinal-kardinal ini akan bersidang dalam tempoh 15 hingga 20 hari lepas seseorang Pope meninggal dunia/letak jawatan. Cara pemilihan Pope ini jugak cukup ketat sebenarnya:
- Pada hari persidangan pertama, kardinal akan mengundi sekali pada sebelah petang.
- Pada hari-hari berikutnya, kardinal akan mengundi sebanyak 2 kali sehari iaitu pada pagi dan petang.
- Bila dah selesai, Kardinal Camerlengo (orang yang menguruskan pentadbiran Vatican) akan kira undi tu dengan 3 orang pembantunya.
Bila Pope yang baru dah dipilih, Pope tu akan pergi ke balkoni St.Peter Basillica dan sampaikan amanat sulungnya. Masa inilah beribu orang akan mendengar amanat tersebut. Ketika inilah Pope akan meneruskan tugas Pope sebelumnya dalam mentadbir negara. Antara tugas-tugas Pope adalah:
- Sebagai pemimpin tertinggi Vatican City dan ketua gereja-gereja Katolik di seluruh dunia.
- Berjumpa dengan pemimpin-pemimpin dunia dan menjaga hubungan diplomatik.
- Memberikan restu kepada pelancong dan jemaah yang datang pada setiap hari Ahad dari tingkap bilik study dia menghadap Dataran Saint Peter.
- Berjumpa dan bermesyuarat dengan ketua paderi-paderi Katolik di seluruh dunia.
Bagaimapun pada 2013, satu berita mengejutkan telah dilaporkan apabila Pope Benedict XVI mengumumkan yang dia akan meletakkan jawatan. Tindakan ni sebenarnya agak pelik bagi luar biasa disebabkan selama ni sangat jarang seorang Pope meletakkan jawatan. Kali terakhir seorang Pope meletak jawatan sebelum Benedict XVI adalah Pope Gregory XII pada 1415!
Tapi Pope Benedict XVI tetap bertegas nak letak jawatan dengan alasan usianya yang semakin meningkat dan keadaan kesihatan. Sekarang dia dah berusia 90 tahun. Jawatannya kemudian diganti oleh Pope Francis yang berasal dari Argentina.
Vatican tak terlepas dari dakwaan kes cabul kanak-kanak
Sebenarnya, dakwaan kes cabul paderi terhadap kanak-kanak dah kedengaran sejak dulu lagi. Pada 1985, seorang paderi Lousinia dah mengaku yang dia mencabul 11 orang budak lelaki. Seterusnya, kes-kes tentang paderi mencabul kanak-kanak terus kedengaran. Seperti pada tahun 2004, dilaporkan 10,677 kes melibatkan 4,392 paderi dicatatkan berlaku dari 1959 sampai 2002 di Amerika Syarikat.
Apa yang menjadi kontroversi adalah, tindakan Pope seperti Pope John Paul II yang beberapa kali menangguhkan pelucutan jawatan seorang paderi yang terlibat dalam kes cabul. Pada tahun 2010, mangsa seorang paderi yang mencabul kanak-kanak bertindak menyaman Pope Benedict XVI dan Vatican.
“Terdapat sejarah panjang disembunyikan Vatican dan pegawai tingginya… disenyapkan dan disembunyikan kebenarannya untuk melindungi diri dan reputasi mereka sendiri, bukan untuk melindungi kanak-kanak. Tuntutan dibuat agar tindakan tegas diambil Vatican untuk memecat mana-mana paderi yang mencabul mana-mana budak serta setiap biskop dan kardinal yang bersubahat.” – Kata peguam mangsa.
Baru-baru ni, Pope Francis sendiri mengaku yang Vatican mempunyai 2,000 kes tertangguh berkaitan kes cabul oleh paderi. Pihak polis Australia juga menyiasat Kardinal George Pell (penasihat kewangan kepada Pope Francis) berkaitan dengan kes cabul. Bagaimanapun, Pope Francis tak mahu komen apa-apa pasal kes ini dan masih menunggu siasatan selesai.
Nampaknya, walaupun Vatican City terkenal sebagai pusat agama untuk penganut Katolik, tetapi ia juga tak terlepas dari pelbagai dakwaan dan tuduhan. Kalau dulu, ada dua je negara yang tak benarkan wanita mengundi iaitu Arab Saudi dan Vatican Ciy. Tapi sekarang, Vatican City jadi satu-satunya negara yang tak mengiktiraf peranan wanita untuk mengundi.
Hubungan Malaysia-Vatican bukti kita amalkan kesederhanaan
Masa Dr Mahathir dapat jemputan Pope dulu, Dr Mahathir bawa jugak para agamawan Islam ke Vatican City. Masa PM Najib Razak pergi jumpa Pope pada 2011, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Abdul Shukor Husin pun turut serta dalam rombongan itu. Hal ini nak menunjukkan yang Malaysia mengamalkan kesederhanaan dalam hubungan beragama.
Bagaimanapun, masih ada beberapa isu yang menjejaskan hubungan Malaysia-Vatican. Ia seperti apabila duta Vatican ke Malaysia, Joseph Marino yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh gereja Katolik di Malaysia. Tindakan duta tu dah menimbulkan kemarahan ramai pihak, khususnya dari NGO-NGO Islam di negara ini. Akhirnya, Joseph Marino memohon maaf kepada rakyat Malaysia tentang isu ini.
Tapi dalam hubungan diplomatik, memang ada pasang surutnya. Cuma setiap pihak perlu tahu undang-undang dan peraturan dalam sesebuah negara. Malaysia sendiri dah tubuhkan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) yang mempromosikan kesederhanaan dalam menghadapi trend Islamophobia. Dengan itu keamanan perlu dikekalkan khususnya dalam hubungan antara masyarakat dan agama.
- 908Share sekarang!
- Email20
- Facebook888
- Share