- 3.5KShare sekarang!
- Email10
- Facebook3.5K
- Share
Baru-baru ni terdapat kes pasangan yang keluar berjoging mati dipercayai dipanah petir. Kedua-dua mangsa ditemui oleh orang awam pada pukul 6 petang dan kepala salah seorang mangsa berdarah dipercayai sebab terjatuh lepas kena sambar kilat. Sebelum ni pun kita ada dengar berita pasal kematian penjaga gol Melaka United mati disambar kilat.
Kalau diperhati, kerap sangat kejadian macam ni jadi kat Malaysia. Mengikut statistik, Malaysia berada dalam kelompok tiga teratas bagi kekerapan petir berlaku selepas Indonesia dan Columbia. Kenapa macam tu ek?
Sebelum menjawab pertanyaan yang bermain di minda, ketahui dulu maksud istilah yang digunakan. Selalu juga istilah kilat atau petir digunakan bagi menggambarkan mangsa yang terkena serangan ini tapi korang kena tahu bahawa kilat dan petir itu berbeza mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
“Kilat bermaksud cahaya yang memancar di langit dan petir pula bermaksud bunyi guruh yang kuat biasanya disertai sekali dengan kilat.” – dipetik dari DBP
Terlalu banyak cas yang tak seimbang sehingga boleh jadi kilat
Kilat merupakan arus elektrik yang terjadi dari pembentukan awan. Udara panas dari tanah akan naik ke atas dan bertembung dengan wap air yang telah membentuk awan. Kawasan sejuk di langit bertukar jadi kristal ais yang ada cas positif atau negatif. Akibat dari cas-cas yang tak seimbang ni maka terhasillah kilat.
Punca kenapa Malaysia kerap berlaku kilat adalah kerana kawasan di Khatulistiwa ni lebih mudah menghasilkan haba panas berbanding kawasan Kutub yang dilitupi dengan salji. Kelembapan udara di kawasan kutub juga lebih rendah berbanding di kawasan Khatulistiwa.
Kebiasaannya kilat, petir dan guruh datang sekali dengan hujan. Tapi kilat juga boleh terhasil tanpa hujan, ni terjadi dengan titisan hujan tak sempat jatuh ke tanah dah tersejat. Kilat jenis tak ada hujan ni sebenarnya lagi bahaya sebab keadaan tanah yang kering boleh menyebabkan kebakaran.
Kat dalam al-Quran sendiri pun ada bagi penjelasan pasal kilat:
“Tidakkah engkau melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis? Selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya.
Dan Allah pula menurunkan hujan batu dari langit, dari gunung-ganang (awan) yang ada padanya: lalu ia menimpakan hujan batu itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan menjauhkannya dari sesiapa yang dikehendakiNya.
Sinaran kilat yang terpancar dari awan yang demikian keadaannya, hampir-hampir menyambar dan menghilangkan pandangan” – An-Nur :43 (klik di sini untuk video)
Rupa-rupanya ada lima cara kilat menyambar mangsa
Direct strike jarang berlaku tapi paling berbahaya sebab mereka yang terkena boleh mati serta-merta. Benda ni mungkin boleh jadi kat korang masa korang tengah berjalan-jalan di tempat terbuka. Arus elektrik mengalir di permukaan kulit dan terus melalui jantung mangsa dan saraf badan mangsa. Bila ini terjadi, kulit badan melecur dan jantung mangsa mungkin terhenti.
Cara kedua ni selalu jadi dekat Malaysia sebab orang kita bila nak berlindung dari hujan mesti duduk bawah pokok. Side Flash berlaku bila panahan petir yang terkena pada pokok menukar laluan arusnya pada mangsa yang sedang berlindung di bawah pokok tersebut.
Jenis Ground Current pun bahaya juga! Selalunya kita mungkin dah rasa selamat untuk meneruskan perjalanan ke destinasi yang dituju selepas hujan lebat berhenti tapi sebenarnya tak. Arus elektrik dari kilat yang menyambar pokok atau objek tinggi akan masuk ke tanah dan boleh menyerang mana-mana mangsa yang jalan di kawasan tersebut. Bukan manusia je yang boleh terkena ground current ni, haiwan pun selalu terutama sekali macam kes ternakan lembu ni.
Di Malaysia pernah berlaku rumah terbakar sebab litar pintas yang berpunca daripada disambar kilat. Ini juga termasuk dalam lima cara kilat menyambar mangsanya. Kilat yang merupakan arus elektrik boleh mengalir melalui wayar-wayar di dalam rumah. Sebab tu sangat berbahaya untuk guna barang elektrik masa hujan lebat dengan kilat sabung-menyabung dan mangsa boleh terkena renjatan elektrik serta merta sebab arus elektrik yang kuat.
Cara yang terakhir ni agak jarang berlaku di Malaysia iaitu kilat bercabang. Ia jadi apabila kilat bergerak dalam dua arus. Satu kilat pun dah cukup takut, ni pula dua atau lebih. Mangsa boleh terkena sebab tak tahu tempat yang dia lalu tu rupa-rupanya laluan kilat. Contohnya bila mangsa dah nampak kilat di Pokok A lepas tu mangsa pergi berlindung kat Pokok B dan dia terkena juga sebab kilat datang kedua-dua arah.
Tindakan yang boleh dibuat untuk elak daripada disambar kilat
Langkah berjaga-jaga perlu dibuat bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang lagi. Sistem pertahanan petir sudah diwajibkan di negara maju seperti Jerman. Malaysia pula masih lagi dalam proses berkenalan dengan sistem ni.
Fungsi sistem ni terbahagi kepada dua. Ada sistem perlindungan luaran dan dalaman. Sistem luaran akan mengalihkan sambaran kilat ke wayar bumi dengan lebih cepat. Sistem dalaman pula mencegah percikan api dari sambaran kilat dengan teknik dawai pengikat sama upaya dan sediakan elemen pengalir yang baik dalam bangunan.
Macam mana pulak kalau kita berada di luar ketika hujan lebat? Caranya senang. Elakkan duduk bawah pokok sebab risiko nak kena sambar kilat sangat tinggi. Kalau boleh janganlah duduk bawah bangsal, pondok, atau tepi jalan. Medan magnetik tinggi boleh menarik arus elektrik dari kilat.
Carilah bangunan-bangunan besar sebab sistem perdawaiannya lebih selamat. Lari laju-laju bila nampak awan gelap macam dah nak hujan. Ingat, kilat boleh jadi even tak ada hujan! Paling penting sekali, elakkan pegang objek-objek besi (metallic) macam phone dan elakkan berada dekat dengan tiang atau mana-mana objek besi.
Nak buat apa kalau jumpa mangsa disambar kilat?
Rakyat Malaysia rata-ratanya sangat prihatin dengan keadaan sekeliling mereka jadi pastinya ada keinginan nak tolong jika terjumpa dengan mangsa yang disambar kilat. Perkara pertama yang perlu korang buat ialah jangan ambil gambar, call ambulans dulu. Bila dah rasa selamat nak pegang mangsa, baru boleh pindahkan mangsa ke tempat yang terlindung sikit. Bukan apa, takut terjadi panahan petir yang kedua
Kalau pandai buat CPR lagi bagus sebab jantung mangsa yang terkena kilat akan berhenti serta-merta. Itu kalau jumpa seorang je mangsa. Kalau ramai, bantu mangsa yang cedera ringan je sebab tu je yang korang mampu. Mangsa yang cedera parah pula seeloknya jangan buat apa-apa sebab kita bukan doktor.
Bukan kat luar rumah je kena berjaga-jaga. Dalam rumah pun kilat boleh menyambar jadi elakkan guna barang elektrik masa hujan tengah lebat gila. Moga artikel ini dapat mengurangkan insiden disambar petir yang berlaku di Malaysia. Mencegah itu lebih baik dari merawat!
- 3.5KShare sekarang!
- Email10
- Facebook3.5K
- Share