Eh, betul ke Cina Malaysia boleh balik China (dan jadi warganegara)?

(Read the original article in English HERE.)

 

Sebelum PM kita cop istilah 1Malaysia lagi, negara kita dah lama bangga dengan konsep masyarakat majmuk. Tak sah bila selak buku Kajian Tempatan kalau tak jumpa gambar rakyat berbilang kaum ala Cuti-cuti Malaysia.

1Kena ada Melayu, Cina, India, dan dua etnik Sabah & Sarawak yang dipilih secara rawak. Kesian Sabah dan Sarawak.
Kena ada Melayu, Cina, India, dan dua etnik Sabah & Sarawak yang dipilih secara rawak. Kesian Sabah dan Sarawak. Gambar dari myfest2015.com.my.

Tapi betul ke negara kita ni muhibah macam yang diiklankan kat TV? Sekarang ni kalau buka berita dan media sosial, mesti tak lekang daripada komen-komen yang berbau rasis.

Babi dan lembu juga yang kena. Apalah salah mereka.
Apalah salah babi dan lembu, tak pasal-pasal kena.

Nak dijadikan cerita, minggu lepas Jamal Yunos mengatakan yang bisnes di Jalan Petaling dimonopoli oleh orang Cina yang tak mau berkongsi. Jamal mengugut untuk merusuh lagi di Jalan Petaling pada 26 September, namun dia ditahan dan rusuhan dibatalkan. Tapi hal ini belum padam sebab…

Jamal Yunos bagaikan cuba menari poco-poco. Gambar dari The Star.
Jamal Yunos bagaikan cuba menari poco-poco. Gambar dari The Star.

Kali ini, komen Balik Cina datang daripada China sendiri

Huang Huikang di Jalan Petaling. Gambar dari MalaysiaKini
Huang Huikang di Jalan Petaling. Gambar dari MalaysiaKini

Duta dari China, Huang Huikang, singgah di Jalan Petaling pada hari rusuhan dan dituduh cuba campur tangan dalam hal dalaman Malaysia. Meskipun Huang menyatakan yang dia datang hanya untuk meraikan pesta kuih bulan dan membuktikan kawasan tersebut masih selamat dilawati, ucapannya pada penghujung lawatan macam ada mesej lain macam je:

“Pemerintah China sentiasa mengamalkan kehidupan aman dalam hubungan antarabangsa dan prinsip tidak campur tangan hal ehwal dalaman negara lain… Namun gangguan kepentingan China, pelanggaran hak dan perundangan serta perniagaan warga China yang boleh merosakkan hubungan persahabatan China dan negara tuan rumah, kami tidak akan berdiam diri.” – Huang Huikang, seperti yang dipetik oleh MalaysiaKini.

Opkos Jamal Yunos yang baru keluar lokap tak menyempat untuk mengatakan yang ini adalah bukti bahawa orang Cina bila-bila je boleh balik China:

Ini adalah satu mesej yang jelas bahawa, bangsa Cina ini mempunyai tempat untuk mengadu dan membela nasib mereka selain daripada Malaysia. Mereka mempunyai tanah atau negara asal mereka di Tanah Besar China, dan jika sekiranya apa-apa berlaku ke atas mereka, mereka masih lagi ada tempat untuk bergantung harap.” – petikan blog Jamal Yunos.

Jadi ada yang bertanya (seperti dalam Whatsapp chat di bawah) – Betul ke orang Cina boleh balik China jika mahu, dan adakah mereka akan diterima?

Perbualan sebenar.
Perbualan sebenar.

China memang PERNAH terima orang Cina sebelum ni!

Imej dari Attitude Inc.
Imej dari Attitude Inc.

Sebelum kita perjelaskan sebab-sebab, jom tengok contoh-contoh berikut:

Malaysia:

(Cerita di bawah ini adalah milik penulis asal, UiHua, bukan tukang alih Bahasa ye.)

Waktu kecik dulu saya pergi sekolah naik van, dan sebab rumah saya yang paling dekat dengan drebar, saya selalu dapat duduk kat depan.

Uncle van ada bercerita tentang bagaimana abangnya dihantar ke China sewaktu penjajahan Jepun pada tahun 1941, dan hanya berpeluang bertemu dengannya setelah lebih 40 tahun. Ada juga yang pulang ke China untuk melawan tentera Jepun. Namun abangnya tak boleh balik kerana China melaksanakan pemerintahan komunis setelah perang berakhir.

Vietnam:

Pada tahun 1978, program baru yang diperkenalkan oleh kerajaan Vietnam telah memberi kesan buruk terhadap ramai peniaga Cina kerana ia membenarkan hartanah mereka dirampas dan keluarga mereka dipindahkan secara paksa. Kerajaan China kemudiannya menghantar kapal-kapal untuk menyelamatkan “mangsa-mangsa Cina”. Kapal-kapal tersebut terpaksa menunggu di luar kawasan perairan Vietnam buat beberapa minggu namun akhirnya pulang dengan tangan kosong apabila persetujuan tidak dapat dicapai. Walau bagaimanapun China telah menerima sebanyak 660,000 rakyat Cina Vietnam yang lari melalui cara lain.

Poster propaganda China. Imej dari Hong Kong Coconuts.
Poster propaganda China. Imej dari Hong Kong Coconuts.

Indonesia:

Sejarah masyarakat Cina di Indonesia tersangatlah panjang untuk dihuraikan, cukuplah kami ceritakan yang China sudah dua kali cuba menyelamatkan orang Cina di Indonesia – pertamanya bila Presiden Sukarno melaksanakan polisi ekonomi yang menghalang orang Cina berniaga di kawasan luar bandar pada 1959, keduanya sewaktu Pembantaian Komunis Indonesia pada 1965. Di kedua-dua peristiwa ini, China menghantar kapal-kapal berserta pegawai China yang merayu orang Cina untuk “pulang”.

“Kami tak mahu rakyat yang kami sayang menderita di tempat orang… Kami berharap mereka semua kembali ke pangkuan tanah air.” – Pegawai China yang tidak dikenal pasti, dipetik daripada Los Angeles Times.

Pembunuhan beramai-ramai orang Cina Indonesia telah memutuskan perhubungan diplomatik China dan Indonesia pada tahun 1967 ke 1990.

Tapi… apa yang China beria sangat tentang orang Cina di luar negara China?

One, two, jus!

Imej asal dari Indomaret.
Imej asal dari Indomaret.

Kalau korang tak tidur dalam kelas Sejarah dulu, korang mungkin ingat istilah jus soli.

Jus soli adalah istilah Latin (hak untuk kawasan) yang bermaksud sesiapa yang lahir di sesebuah negara secara automatiknya mendapat hak kewarganegaraan. Ada negara yang meletakkan syarat, contohnya sekurang-kurangnya ibu atau bapa haruslah merupakan seorang warganegara terlebih dahulu.

Tapi China mengamalkan prinsip jus sanguinis, istilah Latin (hak darah) yang bermaksud kewarganegaraan adalah diberi berdasarkan keturunan. Pemerintah Manchu menggunakan prinsip ini untuk mengisytiharkan yang kesemua keturunan Cina akan kembali ke China akhirnya. Ia kemudiannya dimasukkan ke dalam undang-undang kewarganegaraan pertama China pada 1909 yang mendakwa bahawa setiap anak kepada ibu atau bapa Cina adalah warganegara China. Bagi kerajaan China, asalkan mereka ada darah Cina, mereka juga adalah sebahagian Republik Rakyat Cina tak kiralah di mana pun mereka dilahirkan.

Berbalik ke duta dari China tadi… dalam ucapannya, Huang mengingatkan Cina Malaysia yang China masih lagi rumah bagi ibu-bapa mereka – dan menambah bahawa dia rasa perlu menekankan perkara tersebut kepada kesemua orang Cina di negara luar.

“Tidak kiralah sudah berapa generasi kamu duduk di luar, China tetap rumah asal ibu-bapa kamu.” – Hui Huikang, dipertik daripada The Rakyat Post.

Memandangkan yang China telah mempertahankan tindakan Huang, adakah ini bermakna…
sudden-realization

Namun ia telah diberhentikan pada 1980

Imej asal dari Saporedicina.
Imej asal dari Saporedicina.

Beberapa sumber menyatakan yang tindakan China ini bukanlah betul-betul dari hati suci murni. Sebagai sebuah negara komunis, Republik Rakyat Cina tidaklah begitu diterima. Jadi mereka melihat orang Cina di luar negara sebagai: 1) tiket untuk menjalin hubungan diplomatik contohnya perjanjian dwi-kewarganegaraan yang dibuat dengan Indonesia, 2) cara untuk meraih dana dan kemahiran daripada orang Cina yang pulang.

Namun mereka kemudiannya sedar yang idea ni takdelah cerdik mana kerana ia bukan sahaja mengeruhkan lagi hubungan diplomatik (seperti yang berlaku pada Indonesia dan Vietnam) malah menyusahkan orang Cina di seluruh dunia kerana mereka akan sentiasa dipandang sebagai orang luar  yang bila-bila masa je boleh balik China.

Undang-undang kewarganegaraan tersebut disemak kembali pada 1980, yang kini menyatakan bahawa jika ibu bapa seseorang itu telah mendapat kewarganegaraan luar, dia tidak layak lagi untuk menjadi warganegara China. Pulak dah. Undang-undang ini sebenarnya lagi ketat dari negara-negara lain kerana tiada pilihan untuk memilih dwi-kewarganegaraan.

Jadi… kalau masih ada sesiapa yang suruh Cina Malaysia balik China, kena masuk laci ajaib Doraemon dan pergi ke 36 tahun yang lepas.

Kalau diberi pilihan, adakah mereka akan balik China?

Kalau difikirkan, masuk akal juga kalau balik China. Ekonomi China membuak-buak, China dijangka akan menggantikan US sebagai kuasa utama dunia, dan takkan ada Jamal Yunos untuk suruh mereka balik China sebab mereka dah ada di sana!
shots-fired-J

Ada pendapat yang mengatakan orang Cina tidak mungkin akan dapat bersepadu sepenuhnya di negara masing-masing kerana mereka sentiasa mahu pulang ke China. Sebab itulah sekolah Cina didirikan dan diberi penekanan pada budaya dan bahasa asal – terutamanya kepada anak-anak yang lahir di negara baru tersebut.

Tapi itu generasi lama.

Integrasi masyarakat Cina di rantau ini sudah bertambah baik. Di Australia, John So menjadi datuk bandar dari etnik Cina yang pertama bagi Melbourne, dan Penny Wong yang lahir di Sabah pula menjadi ahli kabinet dari etnik Asia yang pertama di Australia.

Di Indonesia pula, pelbagai langkah telah diambil untuk mengelakkan berulangnya rusuhan anti-Cina 1988 dengan memansuhkan halangan-halangan yang dikenakan kerajaan sebelumnya – seperti membenarkan Cina Indonesia menggunakan bahasa Cina, meraikan perayaan, serta menggalakkan pembabitan politik dan sosial. Malah fakta seterusnya lebih gempak…

Datuk bandar Jakarta adalah Basuki Tjahaja Purnama – seorang Cina Kristian

Basuk Tjahaja Purnama
Menurut pembaca kami, Tjahaja disebut sebagai “Cahaya” atau “Yahaha”. Imej dari Bamboo Innovator.

Kat Malaysia pula. Hm… sekurang-kurangnya penulis (asal) artikel ini menganggap Malaysia sebagai rumahnya. Dia dah lah tak berapa pandai cakap bahasa Cina. Sewaktu melancong di China, seminggu dia makan beef noodle sebab itu je yang dia pandai order. Dia tak kenal sorang pun saudara-mara di China, tanya nenek dia yang berumur 92 tahun pun dua kali lima je. Dia cuma memilih China sewaktu main Command & Conquer: Generals (ye la sebab takde pilihan Malaysia, kan).

Dan ingat tak Whatsapp chat yang kena screenshot di permulaan artikel tadi? Ini bahagian yang seterusnya:

Klik untuk saiz penuh.
Klik untuk saiz penuh.

(Terjemahan) “Hari tu aku jumpa tukang urut kaki yang berasal dari China yang cakap kat aku ‘hangpa ni Cina Malaysia kena kerja kuat untuk jadikan Malaysia sebahagian dari China.’

Aku cam pelik tempe dan bagitau dia, “tema kaseh noh, tapi Malaysia adalah sebuah negara merdeka.”

Aku takde pelan B atau C atau D. Aku cuma ada Malaysia. Pernah jugak idea tu menjelma di ruang minda… dan rasanya tak susah pun kalau betul-betul nak buat. Tapi aku memilih untuk tinggal di sini, satu-satunya rumah aku.