Sekarang ni kalau buka media sosial, makin ramai yang kongsi pasal simpanan emas. Ada yang tayang jongkong emas comel, ada juga yang bangga tunjuk gelang tangan macam dalam filem Mami Jarum. Nampak macam seronok, dan pada masa yang sama boleh juga simpan aset, kan?

Tapi bila sampai giliran kita sendiri nak mula, macam-macam pula persoalan yang muncul. Kena tunggu ada duit banyak dulu ke? Macam mana kalau bajet kecil? Emas 375 pun boleh buat melabur tak?
Jadi sebelum korang terburu-buru beli emas sebab FOMO, kitorang bersama rakan-rakan dari Pos ArRahnu nak kongsi lima kesilapan asas yang korang kena elakkan bila beli emas buat pertama kali.
1. Tak tahu beza emas 916, 24K, dan sebagainya
Bila langkah masuk kedai emas atau tengok katalog, korang mesti akan nampak nombor-nombor ‘misteri’ terukir kat barang kemas atau resit macam 916, 24K, 375, dan sebagainya. Nombor-nombor ni sebenarnya merujuk kepada tahap ketulenan emas tu.
Tapi ingat, lagi tulen tak semestinya lagi bagus untuk semua situasi. Ada sebab kenapa emas kurang tulen dicipta.

Ni ringkasan untuk korang faham perbezaan, kelebihan, dan kegunaan setiap jenis emas:
- 999 / 24K (99.9% Emas Tulen)
- Kelebihan: Ketulenan paling tinggi, susut nilai (spread) paling rendah, dan nilai jual semula (resell) paling padu mengikut harga pasaran.
- Kelemahan: Emas tulen ni bersifat sangat lembut, mudah bengkok, kemek, atau tercalar.
- Sesuai untuk: Pelaburan & simpanan tulen (jongkong emas, syiling emas, atau emas digital seperti yang ditawarkan oleh Pos ArRahnu). Kurang sesuai untuk perhiasan harian sebab sifatnya yang lembut.
- 916 / 22K (91.6% Emas Tulen)
- Kelebihan: Dicampur dengan sedikit logam lain untuk jadikannya lebih tahan lasak, tapi masih mengekalkan nilai emas yang tinggi.
- Kelemahan: Kena bayar kos upah (craftsmanship), dan mengalami susut nilai lebih tinggi berbanding 999 bila nak jual balik.
- Sesuai untuk: Barang kemas harian seperti rantai atau gelang. Mungkin kurang sesuai untuk cincin kalau korang ni jenis lasak. Ni juga pilihan paling popular kat kedai emas Malaysia.
- 750 / 18K (75.0% Emas Tulen)
- Kelebihan: Sangat kukuh dan keras. Biasa digunakan untuk rekaan emas putih, rose gold, atau barang kemas bertatahkan batu permata supaya tak mudah tanggal.
- Kelemahan: Kandungan emas dah makin sikit, dan susut nilai bila nak jual balik agak tinggi.
- Sesuai untuk: Barang kemas terutamanya cincin.
- 375 / 9K (37.5% Emas Tulen)
- Kelebihan: Harga jauh lebih murah; sangat keras dan tahan lasak.
- Kelemahan: Kandungan emas tak sampai separuh (lagi banyak logam biasa). Boleh pudar/teroksida mengikut masa, dan paling susah nak jual balik (kebanyakan kedai emas atau Ar-Rahnu tak nak ambil).
- Sesuai untuk: Aksesori bajet sahaja. Sangat tidak sesuai untuk melabur!

Sebab tu, sebelum beli apa-apa produk emas, penting untuk faham dulu nombor misteri kat emas tu, dan kegunaan apa yang sesuai dengannya. Kalau beli cincin emas 999, mungkin dia akan bengkok bila korang basuh pinggan. Tapi kalau beli 375 pula, walaupun tahan lasak, tak semestinya korang boleh jual satu hari nanti.
Ini pula bawa kita kepada kesilapan kedua yang korang patut elakkan.
2. Keliru tujuan beli barang kemas VS jongkong emas
Beli emas ni macam beli kereta, lain tujuan, lain modelnya. Ramai pembeli baru ingat janji emas tu berbentuk fizikal, semua sama je untuk melabur. Hakikatnya, barang kemas dan bullion (jongkong emas, syiling, atau emas digital) dicipta untuk dua matlamat yang berbeza sepenuhnya.
Ni trade-off sebenar yang korang kena faham sebelum keluarkan duit:
- Barang Kemas (Emas Perhiasan)
- Cara Harga Dikira: Harga emas + kos upah (caj tambahan untuk reka bentuk). Kos upah ni boleh jadi murah atau mahal ikut kedai dan betapa rumitnya rekaan barang kemas tu.
- Realiti Pelaburan: Bila korang nak jual balik, kedai tak akan kira kos upah tu. Diorang cuma timbang berat emas sahaja. Sebab tu korang kena simpan barang kemas lebih lama sampai harga pasaran emas naik cukup tinggi untuk cover kos upah yang dah dibayar dulu.
- Kelebihan Sebenar: Walaupun makan masa panjang untuk untung ataupun balik modal, korang dapat kepuasan pakai dan tayang kecantikan emas tu bertahun-tahun.

- Bullion (Jongkong, syiling emas atau emas digital)
- Cara Harga Dikira: Harga emas semasa + premium nipis (tiada kos upah yang terlalu mahal).
- Realiti Pelaburan: Harga dia lebih rapat dengan harga pasaran semasa. Sebab kurang atau tiada kos upah, korang boleh capai keuntungan atau balik modal jauh lebih cepat berbanding barang kemas.
- Kelebihan Sebenar: Sesuai untuk kumpul aset & lindung nilai. Sekarang lagi senang sebab ada emas digital macam Pos ArRahnu, di mana korang dapat semua kelebihan jongkong 999 tanpa pening kepala fikir pasal risiko keselamatan atau simpan peti besi kat rumah!
- Kelemahan: Bosan. Korang tak boleh pakai sebagai perhiasan. Ia sekadar duduk diam dalam peti besi atau simpanan digital.

Kesimpulannya: Nak melabur secara maksimum? Pilih bullion atau emas digital. Nak gaya sambil ada simpanan nilai? Pilih barang kemas. Cuma jangan terkejut bila lambat untung kalau korang beli barang kemas dengan niat murni nak melabur.
3. Beli bullion emas yang tak ada sijil pengesahan
Kalau korang nak beli bullion emas seperti gold bar atau syiling emas, pastikan ia datang dengan sijil atau pengesahan ketulenan daripada pengeluar yang diiktiraf.
Sijil ni memudahkan semakan ketulenan dan biasanya bantu mendapatkan harga jualan semula yang lebih baik. Walaupun bullion tanpa sijil masih boleh dijual, sesetengah peniaga mungkin mengenakan susut nilai atau pemotongan harga tertentu.

Tapi untuk barang kemas, kedai memang biasa tak bagi sijil, cuma bagi resit je. Macam mana pun, peniaga profesional biasanya akan menguji ketulenan emas korang, dan tawarkan harga berdasarkan berat dan karat sama ada ada resit atau tidak.
Sebab itu, jika korang membeli bullion sebagai simpanan atau pelaburan, pastikan produk tersebut mempunyai rekod dan pengesahan yang jelas daripada penjual yang dipercayai.
Macam mana pun, ada satu lagi salah faham yang sering membuatkan ramai orang bertangguh untuk mula memiliki emas. Ramai yang ingat…
4. Korang perlu ada banyak duit untuk mula beli emas
Sambil korang tengah kumpul cukup duit untuk beli emas, tiba-tiba harga naik lagi. Akhirnya, emas ni kekal niat di hati je.
Tapi itu dulu. Sekarang ni dengan adanya pelbagai platform digital, pembelian emas dah jadi lebih mudah dan fleksibel. Malah, korang tak perlu lagi tunggu sampai ada simpanan beribu-ribu ringgit sebelum mula memiliki emas.
Sebagai contoh, melalui Pos ArRahnu Gold-i, korang boleh mula memiliki emas digital patuh syariah serendah RM10 sahaja.
Kalau dalam bentuk fizikal, emas RM10 ni mungkin tak nampak pun dengan mata kasar. Tapi bila beli secara digital, korang boleh beli sikit-sikit dulu. Bila dah jadi bukit, boleh la korang tukar ke emas fizikal mahupun tunai!

Pendekatan macam ni bukan saja lebih praktikal, malah turut digunakan oleh ramai penyimpan emas untuk mengurangkan kesan turun naik harga pasaran dari semasa ke semasa.
Bila korang dah berjaya beli emas yang betul pada harga yang cun, jangan terlepas pandang satu lagi faktor penting yang boleh memberi kesan kepada keuntungan bila korang nak jual emas yang disimpan, iaitu…
5. Tak faham spread bila jual semula
Ini perangkap nombor satu pembeli emas kali pertama. Spread atau susut nilai ialah perbezaan antara harga kedai jual kepada korang dengan harga kedai nak beli balik dari korang.
Contohnya, korang beli emas pada harga RM350/gram. Tapi masa nak jual, kedai yang sama cuma nak beli balik pada harga RM310/gram. Beza RM40 tu ialah spread, iaitu perbezaan harga belian dengan harga jual balik. Dalam kes ni, spread tersebut kira-kira 11.4%. Maksudnya, harga emas kena naik melebihi RM350/gram sebelum korang boleh mula tampung kos spread dan baru boleh dapat untung bersih.

Sebab tu, sebelum beli emas, pastikan korang fahami struktur harga yang ditawarkan. Ambil tahu macam mana proses jual balik dibuat dan berapa kadar spread yang dikenakan.
Maklumat ni penting sebab ia bantu korang buat keputusan yang lebih bijak serta elakkan kejutan bila tiba masa untuk mencairkan pegangan emas korang.
Dengan faham pasal spread, korang bukan je menjadi pembeli emas yang lebih berpengetahuan, malah lebih bersedia untuk urus pelaburan atau simpanan emas dengan lebih berkesan. Jadi….
Dah faham asasnya? Sekarang masa untuk mula!

Membeli emas tak semestinya rumit kalau korang dah tahu tujuan asal, faham nombor ketulenan, dan tak ‘buta’ dengan kadar spread.
Kalau korang nak mula kumpul emas tanpa pening kepala kumpul modal beribu ringgit dan fikirkan tempat yang selamat untuk simpan, platform macam Pos ArRahnu Gold-i boleh jadi titik permulaan yang cukup sempurna, sebab korang boleh:
- Mula buat pelaburan serendah RM10 je: Tak perlu tunggu simpanan beribu-ribu. Buat pendaftaran pantas secara online guna eKYC (imbas MyKad), dan korang dah boleh mula kumpul emas sikit-sikit ikut kemampuan bulanan.
- Beli emas 999.9 yang 100% patuh Syariah: Disahkan oleh Penasihat Syariah Salihin, setiap gram digital yang korang pegang disokong oleh emas fizikal 24K tulen yang diiktiraf oleh LBMA, SIRIM (MS1247), dan NMIM.
- Dapat kadar spread paling kompetitif: Nikmati harga pasaran terkini dengan jurang harga beli/jual yang lebih rendah supaya pelaburan korang lebih cepat balik modal atau nampak keuntungan.
- Tebus fizikal atau tunai bila-bila masa: Simpanan digital korang fleksibel. Bila terkumpul seawal 0.5 gram, korang boleh pilih untuk cairkan kepada tunai terus, atau tebus emas fizikal (sehingga 100g serta pilihan 1 Dinar & 5 Dinar). Emas fizikal yang ditebus akan dihantar terus ke alamat korang.

Harga emas tak akan tunggu kita jadi kaya dulu. Jadi, kalau nak mula langkah pertama korang dengan berhemah tapi yakin, singgah je kat portal rasmi Pos ArRahnu Gold-i dan mula kumpul aset korang hari ni!
