CapitaLand Sumbang Barangan Keperluan Bernilai RM200,000 Keluarga Berpendapatan Rendah di Seluruh Malaysia

Kumpulan CapitaLand, melalui cabang tanggungjawab sosial korporatnya, CapitaLand Hope Foundation (CHF), telah menyumbangkan barangan keperluan harian dan kelengkapan pendidikan bernilai RM200,000 kepada kira-kira 2,250 penerima manfaat menerusi inisiatif #GivingBersama 5.0. 

Inisiatif komuniti, yang merupakan sebahagian daripada kempen global tahunan CapitaLand, #GivingAsOne, bertujuan menyokong penerima manfaat daripada rumah anak yatim serta memperkasa keluarga di Pulau Pinang, Lembah Klang, Pahang dan Johor. 

Penerima manfaat memilih hasil sayur-sayuran segar dan biskut di gerai yang disediakan oleh sukarelawan kakitangan CapitaLand di dewan komuniti Desa Rejang, Setapak. 

Bermula pada 16 Oktober hingga 20 November 2025, sukarelawan terdiri daripada kakitangan CapitaLand telah berganding bahu menyokong hampir 680 keluarga berpendapatan rendah serta 220 kanak-kanak daripada golongan kurang berkemampuan menerusi kerjasama Unit Mutiara Food Bank (Pulau Pinang) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia di Kuala Lumpur, Kuantan dan Johor. 

Dengan kempen #GivingBersama yang kini memasuki tahun kelima, CapitaLand bekerjasama dengan penyewa serta rakan niaganya bagi meluaskan impak inisiatif ini. Buat julung kalinya, Big Pharmacy tampil sebagai rakan strategik dengan menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada keluarga B40 bagi meningkatkan kesedaran kesihatan serta akses kepada penjagaan kesihatan asas. 

Bagi menambahkan keceriaan, Little Scoop menghidangkan aiskrim yogurt percuma kepada penerima manfaat di Lembah Klang, manakala NSK Grocer menyumbangkan barangan keperluan harian. Di Pulau Pinang pula, Hospital Adventist turut menyokong inisiatif ini dengan menawarkan saringan kesihatan percuma kepada komuniti setempat.

Para penerima manfaat sekali lagi menikmati pengalaman bazar gaya khas CapitaLand yang diadakan di dewan komuniti sekitar Lembah Klang dan Kuantan, serta di Gurney Plaza, di mana mereka berpeluang memilih sendiri barangan yang diperlukan daripada pelbagai pilihan barangan keperluan asas, hasil segar, snek sihat serta alat tulis. 

Sukarelawan Kakitangan CapitaLand dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kuantan 

Ketua Peruncitan, CapitaLand Investment (Malaysia), Selina Ng berkata: “Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan para penyewa, rakan niaga dan sukarelawan bagi meneruskan sokongan kepada komuniti yang memerlukan melalui inisiatif #GivingBersama. Pada tahun 2025, kami memperkukuh usaha ini dengan kerjasama rakan industri bukan sahaja untuk menyediakan keperluan harian, tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang kesihatan menerusi saringan dan pemeriksaan kesihatan percuma. Kami amat menghargai sokongan rakan-rakan niaga kami serta dedikasi para sukarelawan yang bersama-sama membantu meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan asas dan kesejahteraan keluarga yang memerlukan.

“Di CapitaLand, kami kekal komited untuk membina daya tahan dalam komuniti yang kami santuni. Pada tahun 2025, lebih 210 sukarelawan kakitangan CapitaLand menyumbangkan hampir 1,740 jam untuk kerja sukarelawan bagi memperkasa golongan yang memerlukan di Malaysia. Sejak 2011, CapitaLand dengan sokongan CHF telah membantu lebih 16,100 penerima manfaat dan menyumbangkan lebih RM2.6 juta di peringkat tempatan,” ujar Selina.

Diadakan setiap tahun, kempen #GivingAsOne CapitaLand menghimpunkan kakitangan, penyewa, rakan perniagaan dan pelanggan bagi meningkatkan kualiti hidup golongan yang memerlukan di komuniti tempat CapitaLand beroperasi. Dari Ogos hingga Oktober 2025, lebih 17,000 sukarelawan di 14 negara telah menyumbangkan lebih 100,000 jam sukarela, memberi manfaat kepada lebih 130,000 individu. 
Untuk maklumat lanjut mengenai #GivingBersama 5.0, sila layari https://bit.ly/GivingBersama5.