Nenek saya kantoi ada 4 boyfriend. Ni macam mana dia hilang RM60,000

Kisah ni dikongsikan oleh seorang pembaca dan disunting oleh Soscili. Untuk melindungi identiti individu yang terlibat, beberapa butiran dalam artikel ini telah diubah.

Kalau dulu, nenek akulah antara orang yang paling kaya dan paling berdikari dalam keluarga. Bila raya ke, sesiapa kahwin ke, dialah yang paling steady hulurkan duit kat anak cucu. 

Gambar sekadar hiasan.

Tapi sekarang, semuanya dah terbalik.

Cerita ni bermula kira-kira tiga tahun lepas, selepas kematian datuk aku. Beberapa bulan kemudian, aku perasan yang nenek dah join group cari jodoh.

Gambar sekadar hiasan.

Mula-mula, aku buat tak endah saja. Yelah, mungkin dia sunyi. Tak salah pun kalau dia nak cari kawan atau peneman hidup baru, kan?

Nenek sanggup naik bas sampai ke Selangor untuk jumpa seorang Dato’

Satu hari, aku dapat panggilan telefon dari nenek. Dia bagitau yang dia nak datang ke Selangor untuk satu rombongan jalan-jalan. Aku rasa pelik. Rombongan apa? Dengan siapa?

Rupanya, nenek aku bercadang nak naik bas selama lima jam dari kampung, semata-mata untuk join satu rombongan yang dianjurkan oleh lelaki bergelar Dato’ yang dia kenal melalui Facebook.

Gambar sekadar hiasan.

Menurut nenek, Dato’ ini seorang usahawan yang sedang rekrut orang untuk kembangkan “empayar” bisnes dia. Sekali hidu, memang semerbak bau MLM.

Puas aku cuba pujuk nenek supaya batalkan niatnya. Tapi nenek aku memang susah nak dengar nasihat. Lagi ditegah, lagi dia nak pergi.

Akhirnya, aku mengalah dan setuju untuk ikut sekali. Nak tak nak, kalau nenek aku nak kena brainwash dengan MLM, sekurang-kurangnya biarlah aku ada kat situ untuk kurangkan risiko.

Apa yang aku tak tahu lagi masa itu ialah… MLM sebenarnya cuma masalah kecil, berbanding apa yang bakal aku jumpa sepanjang rombongan tersebut.

Nenek bukan mangsa kepada satu scam je

Hari sebelum rombongan, nenek aku tiba di Selangor. Petang itu, aku bertemankan housemate pergi ke stesen bas untuk jemput dia. 

Gambar sekadar hiasan. Imej daripada Cari Destinasi

Sambil aku dan kawan rancak bersembang di tempat duduk depan, kami dengar sesuatu yang buatkan telinga kami terpacak. Nenek aku balas satu voice note di WhatsApp dengan panggilan “sayang”.

Oleh sebab nenek aku dah berusia, pendengarannya pun tak berapa kuat. Jadi walaupun dia cuba “berbisik”, volume suara dia masih kuat. Kami pun pasang telinga. Siapakah “sayang” ni?

Housemate aku teka “sayang” ni mungkin orang Negeri Sembilan berdasarkan loghatnya. Haa, nampak gaya boleh makan masak lomak cili api la raya depan.

Malam tu pulak, nenek tidur di bilik aku. Dalam suasana sunyi, aku dengar suara “sayang” lagi sekali. Cuma kali ini, loghatnya lain pula. Bukan Negeri Sembilan, tapi Indonesia.

Gambar sekadar hiasan. Imej daripada Tima Miroshnichenko

Perut aku terus rasa tak sedap. Aku keluar ke ruang tamu dan terus telefon ibu saudara aku untuk korek gosip hangat. Dari situlah, satu demi satu rahsia nenek mula terbongkar.

Ibu saudara aku cuma pesan satu benda: “Kalau ada peluang, cuba check WhatsApp nenek.”

Katanya lagi, password nenek sangat susah nak teka: “1234” 😂

Rupanya bukan satu “sayang”, tapi empat!

Keesokan harinya, belum sempat aku nak curi-curi tengok telefon nenek, nenek aku dah pun minta aku tolong kosongkan memori telefonnya yang dah penuh. 

Aku pun ambil peluang untuk tengok mesej-mesej dalam WhatsApp dia. Apa yang aku nampak, ya Allah, terkejut betul. Bukan seorang je kenalan yang bersayang-sayang dengannya, tapi paling kurang pun empat!

Yang dari Indonesia, dia minta duit dari nenek supaya boleh datang ke Malaysia untuk berjumpa.

Ada seorang lelaki tempatan, katanya ada masalah kesihatan dan perlukan bantuan dengan segera.

scam cinta
Gambar sekadar hiasan.

Dan yang diminta bukan sikit, sekali minta RM5,000 ke atas!

Nenek aku pun, baik hati sangat. Sanggup pergi ke cash deposit machine untuk hantar duit kepada lelaki-lelaki yang belum pernah dia lihat dengan mata sendiri!

Aku ingat RM800 yang dia habiskan dalam scam MLM hari ni dah cukup banyak, tapi rupanya setitik je kalau nak dibandingkan dengan duit yang ditabur dalam scam-scam cinta ni! 

Malam tu juga, selepas aku hantar nenek ke stesen bas untuk pulang ke kampung, aku hubungi ibu saudara aku lagi sekali. Kali ni, dia kongsikan lagi banyak cerita. Rupanya, ada sekali nenek hilang RM15,000 untuk tolong teman lelakinya nak membuat misi aman di “Gaza”, dan beberapa ribu lagi untuk seorang “ustaz” di Indonesia.

Lepas kena scam, nenek aku yang berdikari sekarang asyik meminta duit je

Rupanya, semua duit simpanan nenek yang lebih RM60,000 dah pun habis. Yang tinggal cuma duit bulanan dari Felda, dan sedikit duit belanja dari anak-anak. 

Gambar sekadar hiasan. Imej dari Ahsanjaya.

Ibu-ibu dan bapa-bapa saudara aku sendiri pun sudah banyak kali menangis dan melutut kat nenek untuk hentikan semua perbuatan sia-sia ini. Tapi macam biasa, nenek aku “dah hidup lama” dan “lagi arif” daripada anak-anaknya. Sampai sekarang, anak-anaknya pun sudah takut untuk hulurkan wang kepada dia, dan cuma tolong belikan barangan dapur sahaja.

Aku sendiri pun alami dilema yang sama bila nenek call aku dan mengadu dia tak ada duit. Ada sekali, dia minta RM5,000 dari aku untuk persiapan “Raya Haji” walaupun masa tu aku sibuk simpan duit untuk berkahwin. 

Walaupun rasa bersalah, aku tetap berkeras. Last-last, aku bayarkan kos lembu korban terus dengan masjid je, sebab aku tahu wang tunai pasti akan terus lesap.

Paling frust, aku tak tahu nak buat macam mana nak tolong. Duit dia semua dah takde. Untuk hidup bulan-bulan, duit Felda dia lebih dari cukup. Last-last, kami sekeluarga buat keputusan, kalau dia perlukan apa-apa, kita belikan je. Tapi kalau dia minta duit ke, minta emas ke, tolonglah jangan bagi. Itu je yang kami mampu buat sekarang.


Kalau korang atau orang tersayang berada dalam situasi yang sama, ini beberapa perkara yang boleh dibuat

Mungkin susah nak bayangkan scam macam ni boleh berlaku dalam keluarga sendiri. Tapi bila tengok statistik, sebenarnya tak mustahil langsung.

Imej daripada Harian Metro

Jadi kalau korang berada dalam situasi yang sama, ini beberapa tip praktikal yang kitorang rasa boleh bantu, terutamanya bila melibatkan scam yang mensasarkan warga emas.

1. Jangan terus marah atau terjah

Scam cinta ni melibatkan emosi.  Lagi kita marah atau malukan orang tua kita, lagi besar kemungkinan diorang akan teruskan hubungan tu secara senyap-senyap lepas ni.

Kalau boleh, cuba korek cerita perlahan-lahan dengan empati dan rasa ingin tahu, bukan gaya soal siasat.

2. Hadkan penggunaan media sosial mereka

Ramai mangsa scam berkenalan dengan scammer di media sosial. Sama macam kita guna parental control untuk hadkan penggunaan telefon anak-anak, benda yang sama juga boleh dipertimbangkan untuk ibu bapa atau warga emas. Contohnya:

Fungsi parental control juga boleh digunakan untuk menjaga keselamatan warga emas

3. Susah nak kawal perasaan, tapi kita masih boleh kawal kewangan mereka

Mungkin susah untuk paksa mereka berhenti percaya pada “sayang” masing-masing. Tapi kita masih boleh bantu kurangkan risiko dengan mengawal aliran duit. Contohnya:

  • Tetapkan had pindahan harian dalam akaun bank mereka.
  • Buka akaun bersama (joint account) supaya korang boleh masukkan duit bila perlu, dan pada masa yang sama pantau pergerakan wang dalam akaun tersebut. Dari situ, transaksi mencurigakan lebih mudah dikesan.

4. Simpan duit di tempat yang betul-betul selamat

Kalau ada simpanan wang tunai, pastikan ia disimpan dalam institusi kewangan yang sah dan dilindungi, seperti bank-bank ahli PIDM. Untuk makluman, PIDM melindungi simpanan bank korang sehingga RM250,000 bagi setiap pendeposit di setiap bank ahli, secara automatik dan percuma.

Semua bank perdagangan berlesen, bank Islam yang dilesenkan, bank digital dan subsidiari bank-bank asing yang diperbadankan dan beroperasi di Malaysia adalah bank ahli PIDM.

Tapi perlu diingat, perlindungan ini layak diberikan selagi wang simpanan masih berada dalam bank ahli PIDM, dan penyimpan hanya akan layak terima pembayaran balik sekiranya bank ahli PIDM berkait diisytiharkan muflis! Paling penting korang juga kena tau PIDM tidak melindungi kehilangan wang akibat penipuan mahupun scam sebegini.

5. Tingkatkan literasi kewangan tentang scam

Paling penting, kita sendiri perlu tingkatkan literasi kewangan tentang scam, bukan saja untuk lindungi diri kita, tetapi untuk pastikan keluarga kita tak menjadi mangsa penipuan.

Kalau ibu bapa masih terbuka untuk dengar nasihat, teruskan usaha tingkatkan literasi kewangan kepada mereka dengan:

  • berkongsi info tentang jenis-jenis scam,
  • kenal pasti taktik penipuan, dan
  • jika telah terjebak, hubungi NSRC di talian 997 untuk khidmat nasihat selanjutnya

Kalau korang nak dapatkan lebih info tentang taktik scam terkini, TikTok ada program kesedaran scam seperti #FikirDulu, dan rakan-rakan kami di PIDM juga kerap jalankan program literasi kewangan dan sediakan pelbagai panduan dari semasa ke semasa.

Untuk dapatkan info tentang scam dari TikTok, korang boleh cari “ThinkTwice” di aplikasi tersebut.

Dan kalau nak tahu lebih lanjut mengenai apa yang lindungi dan tidak dilindungi PIDM, layari www.pidm.gov.my