
Korang anak-anak muda sekarang ni mesti pernah merungut pasal rumah kan? Ye lah, sewa mahal gila, nak beli? Nampak macam mustahil terus walaupun gabungkan gaji korang dengan pasangan korang. Jadi bila korang dengar pasal pekerja estet tuntut rumah kekal untuk diorang lepas pencen, mungkin korang akan kata … “Eh? Senang-senang je mintak, orang lain pun susah juga nak ada rumah sendiri?”
Dan soalan tu sebenarnya adil je untuk korang tanya.
Sebab, secara teknikalnya, pekerja estet memang dapat rumah. Tapi rumah-rumah dekat estet yang korang nampak bukanlah milik diorang untuk diwariskan kat anak cucu, cuma sekadar tempat tumpang berteduh masa kerja sana. Jadi bila diorang bersara, diberhentikan kerja, atau tanah ladang tu kena jual, rumah tu syarikat ambil semula. Mula-mula memang nampak macam biasalah kerja dapat tempat tinggal kan.
Tapi ada beza sebab… kebanyakan diorang ni dah tinggal kat sana untuk beberapa generasi, dan kalau hilang rumah tu, takde tempat diorang nak pergi.

Benda ni lebih teruk bila kita ingat balik macam mana komuniti ni datang ke sini. Zaman dulu, datuk nenek diorang datang sini naik kapal dari India untuk bersihkan hutan dan kerja kat tempat yang orang lain tak nak. Gaji tak sepadan dengan kerja berat, dan sekali dengan anak-anak kena ikut kerja. Akibatnya ramai yang tercicir daripada sekolah dan akhirnya terperangkap dalam kitaran yang sama. Generasi demi generasi, sebahagian besar diorang masih lagi terikat dengan ladang tanpa ada jalan keluar.
Jadi bila kira-kira seratus daripada diorang ni berarak ke parlimen pada 13 Ogos lepas, diorang cuma minta satu benda je. Lepas seumur hidup hidupkan ladang-ladang di Malaysia, diorang cuma nak tempat berteduh yang tak hilang lepas kerja diorang tamat je.
Hakikatnya, kerajaan dah cuba selesaikan isu ini sejak tahun 1973 lagi
Korang mungkin terkejut bila tau yang perjuangan untuk perumahan pekerja estet ni bukannya benda baru tapi dah bermula sejak tahun 1973 lagi, bila Tun Abdul Razak (Perdana menteri kedua dan bapa Najib) umumkan Skim Perumahan Sendiri Pekerja.

Atas kertas, nampak macam ni penyelesaian yang bernas.
Pemilik estet dan lombong perlu sediakan sebahagian tanah untuk bina rumah teres untuk pekerja, dan pekerja kemudian akan bayar untuk dapat rumah tu secara ansuran melalui potongan gaji setiap bulan. Kerjaan malah peruntukkan dana khas sebanyak RM10 juta dibawah Rancangan Malaysia Ketiga untuk jayakan projek ni. Beberapa projek di Kedah, Perak dan Selangor gunakan dana ni tapi lepas tu, banyak estet yang dorong pekerja diorang ambil pinjaman daripada bank.
“Projek pertama dan kedua di Ladang Batu Pekaka, Kedah menggunakan peruntukan sebanyak RM5,000.00, manakala projek kedua di Ladang Dowanby, Perak menelan kos RM7,500.00. Namun, bagi projek ketiga di Ladang Tennamaran, Selangor, jumlah perbelanjaan meningkat kepada RM11,500.00, dengan RM3,000.00 daripadanya disumbangkan sendiri oleh para pekerja. Sumbangan itu dipotong daripada gaji mereka oleh pihak pengurusan ladang (sebanyak RM50 sebulan).
“Bagi projek lain seperti di Ladang Sungai Buloh dan Ladang Glemmary, tiada dana khas digunakan. Sebaliknya, para pekerja memperoleh pinjaman berjumlah RM25,000.00 daripada bank perdagangan. Skim perumahan pekerja di Ladang Kamasan dan Ladang Raja Musa juga dilaksanakan melalui pinjaman bank.“
– dipetik dan diterjemah daripada Pertubuhan Perkhidmatan Rakyat (PSO) melalui Malaysiakini

Kumpulan seperti People’s Service Organisation (PSO) cuba membantu para pekerja memahami perjanjian-perjanjian ini, sambil mempersoalkan ke mana perginya baki dana tu. Sebab hakikatnya, skim itu hampir tidak membawa sebarang kesan: hanya sekitar 33 daripada kira-kira 1,000 ladang di Semenanjung Malaysia ada buat rumah ni. Tetapi, kenapa sikit sangat?
Kalau korang terfikir yang benda ni berkaitan dengan undang-undang, korang betul. Semuanya sebab skim ni sebenarnya tak pernah digubal sebagai akta, dan bergantung kepada belas ehsan majikan. Dan disebabkan tak ada undang-undang untuk kuat kuasakan skim ni, nasib para pekerja bergantung kepada pemilik ladang. Malangnya, keadaan ni jadi kejam bila…
Pembangunan semula yang berleluasa memaksa pekerja ladang dihalau keluar dari rumah diorang
Beberapa dekad kemudian, ladang-ladang ni tak lagi digunakan semata-mata untuk tanam getah dan kelapa sawit. Banyak ladang, terutamanya sekitar Lembah Klang, kini terletak atas tanah yang lebih bernilai sebagai kawasan komersial. Suka atau tak, pekerja-pekerja ladang ni terpaksa lepaskan tempat berteduh diorang.
Tapi apa yang kebanyakan orang terlepas pandang adalah konsep alam estet.

Mudah kata, orang yang duduk estet ni macam duduk dalam alam diorang sendiri. Ada baris-baris rumah untuk keluarga, tanah tempat diorang tanam sayur dan bela ayam atau kambing, kuil untuk sembahyang, sekolah untuk budak-budak, dan kedai todi untuk lepaskan penat kerja. Sesetengah estet cukup lengkap sampaikan pekerja kat dalamnya boleh habiskan seumur hidup dalam estet, tak pernah keluar.
“Dan hal ini bukan hanya berlaku kepada pekerja ladang. Syarikat pembalakan dan pelaksana projek empangan besar juga sering tidak sedar atau mungkin tidak mahu akui bahawa apabila mereka mengusir seluruh komuniti dari tanah yang telah mereka diami turun-temurun, sebenarnya mereka sedang memusnahkan satu-satunya ‘dunia’ yang komuniti tu tahu.”
– diterjemah daripada FMT
Bagi pekerja, estet ni bukan sekadar tempat kerja, ia adalah rumah, budaya dan identiti yang dah meresap dalam kehidupan diorang. Anak-anak membesar, persahabatan, perkahwinan, tradisi dibawa selama bergenerasi. Dalam kata lain, estet ni macam pekan-pekan kecil yang terletak atas tanah ladang.

Bila projek pembangunan mula masuk, sebenarnya yang musnah bukan sekadar rumah je, tapi seluruh kehidupan sosial yang dah terbina berdekad-dekad. Para pekerja hilang tempat tinggal, dan lebih pedih, tempat dimana diorang membesar. Bayangkan kampung yang jadi tempat korang, mak ayah, dan atuk nenek membesar dan satu-satunya dunia yang korang kenal tiba-tiba lenyap sebab tanah tu ‘lebih bernilai’ untuk bina kondominium.
Jadi, kat mana kerajaan dalam hal ni?
Sebenarnya diorang nampak kesannya, tapi reaksi pun ala kadar je
Di Selangor contohnya, sekitar tahun 1991 kerajaan negeri cuba galakkan pemilik ladang bina rumah kekal untuk pekerja yang diusir. Tapi macam Skim Tun Razak dulu, dasar tu tak pernah diwajibkan. Akhirnya, kebanyakan syarikat buat tak tahu, terus kerja macam biasa. Walaupun perumahan kekal adalah jawapan yang obvious untuk masalah ni, sesetengah kes jadi lagi rumit bila ada keluarga yang dipindahkan ke perumahan sementara sementara menunggu rumah kekal diorang dibina.
Sekali pandang, macam adil, tapi ni cuma cara diorang lepaskan tanggungjawab. Contohnya kat Taman Rimba Kiara, di mana pekerja ladang dari Bukit Kiara dipindahkan lepas kerajaan beli tanah tempat diorang tinggal. Pada tahun 1982, diorang dipindahkan ke rumah panjang kayu yang hampir tak boleh digelar rumah tapi diorang ok ke sebab diorang diberitahu yang sementara je.
43 tahun kemudian, 98 keluarga masih tinggal kat situ, macam yang dikongsi Sivakumar kat BFM.
Yang membawa kita kepada cubaan besar seterusnya untuk selesaikan masalah ni.
Sekitar tahun 2000, kerajaan salurkan RM50 juta dalam dana pusingan khas. Skim ni dipanggil Skim Khas Pembiayaan Rumah Pekerja Estet (SKRE) dan tawarkan pinjaman dengan faedah serendah 2% sehingga RM150,000. Kadar faedah ni kira separuh daripada kadar pasaran masa tu. Pendek kata, sama ada nak beli rumah baru, beli unit sub-jualan, atau bina rumah atas tanah keluarga sendiri, SKRE ni sepatutnya bolehkan pekerja ladang akhirnya mampu ada rumah sendiri.

Tapi lepas lebih daripada sedekad, tak sampai 300 orang pekerja pun yang pernah guna skim ni. Sebab walaupun pinjamannya ‘murah’, bayaran bulanannya tetap sekitar RM500 sebulan untuk tempoh 35 tahun. Mungkin bagi orang bandar, jumlah tu nampak kecil je, cuma separuh sewa rumah kat KL. Tapi bagi pekerja ladang yang gaji bulanan pun cukup-cukup makan, dengan sesekali ke klinik bila anak sakit, RM500 tu besar gila.
Realitinya, kebanyakan pekerja tak mampu pun nak manfaatkan bantuan ni. SKRE memang masih wujud sampai hari ni tapi keadaannya tak banyak berubah. Rumah yang ditawarkan sama ada terlalu jauh, terlalu mahal atau langsung tak sepadan dengan kemampuan gaji pekerja ladang. Sementara tu, kira-kira RM35 juta daripada dana tu cuma terperap macam tu je dalam bank. Dan kalau betul-betul gali isu sebenar disebalik semua ni, semuanya berbalik pada satu perkara je: GAJI.
Sistem gaji estet direka untuk pastikan pekerja miskin
Kebanyakan masa, pekerja ladang sebernarnya tak pernah ada gaji bulanan pun. Diorang dibayar ikut hari. Jadi kalau hujan, tak ada kerja. Bila ladang tengah tanam semula pokok, tak ada kerja. Pendek kata, bukan gaji je rendah, tapi tak menentu langsung.


Gergasi dalam sektor perladangan macam Guthrie (sebelum bergabung) dan Sime Darby pertahankan benda ni dengan kata gaji perlu diberikan ikut produktiviti. Tapi produktiviti di estet bergantung pada benda yang pekerja tak boleh kawal macam harga pasaran global, bekalan baja, dan juga cuaca. Bayangkan bos korang potong gaji sebab cuaca buruk. Itulah yang jadi kat estet.
Korang mesti fikir kerajaan akan masuk campur. Mana tak nya, petani ada FELDA, nelayan ada skim bantuan, penanam padi pun dapat subsidi. Tapi kenapa pekerja ladang tercicir terus? Katanya, sebab ladang ni urusan syarikat swasta, jadi soal rumah dan kebajikan tu tanggungjawab majikan, bukan kerajaan.

Mula-mula, mungkin korang fikir “Okey la, bunyi macam adil…” sampailah korang sedar yang banyak ‘syarikat swasta’ tu sebenarnya tak berapa swasta pun. Kerajaan pun ada pegangan dalam syarikat-syarikat tu.
Guthrie dan Sime Darby, contohnya, akhirnya jatuh di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) lepas serangan mengejut kerajaan dalam Dawn Raid pada awal 1980-an. Maksudnya, tuan tanah terbesar dalam ladang ni sebenarnya… kerajaan sendiri. Jadi sementara pegawai-pegawai sibuk cuci tangan dan kata itu bukan tanggungjawab diorang, hakikatnya diorang duduk dalam bilik mesyuarat, sambil kutip dividen.

Sampai tahun 2001, barulah pekerja ladang akhirnya dapat gaji minimum RM350 sebulan. Sepatutnya, ini jadi satu kemenangan selepas bertahun hidup dengan bayaran harian yang tak tentu. Tapi masalahnya, garis kemiskinan masa tu RM510 🤦♀️. Jadi, sekali lagi diorang tetap tak dibayar dengan cukup. Menjelang 2007, gaji naik jadi RM650, tapi nak bayar sewa pun dah semput, apatah lagi nak simpan untuk beli rumah kalau dihalau dari kuarters.
Persoalannya kat sini, kalau syarikat (dengan kerajaan siap duduk barisan depan) pun tak mampu bayar gaji cukup untuk pekerja mampu hidup di luar ladang… masuk akal ke nak harap diorang bagi rumah lepas pekerja-pekerja ni bersara nanti?
Syarikat-syarikat ladang untung besar tapi hasilnya langsung tak sampai ke poket pekerja

Sampai sini, korang mungkin dah terfikir soalan ni. Memang betul, rumah bukan murah. Tapi persoalannya, syarikat ladang ni ada ke duit lebih nak bina rumah untuk pekerja? Dan kalau ada pun, benda ni akan potong keuntungan diorang ke?
Mari kita undur balik sikit. Bila Malaysia mulakan industrialisasi, tanah ladang tiba-tiba jadi rebutan dan jadi antara hartanah paling bernilai. Selain kawasan yang kita sebut tadi, banyak tanah ladang dibeli untuk projek perumahan mewah, padang golf, taman perindustrian, dan bandar baharu macam Putrajaya, Nilai, dan Diamond Creeks. Di Ulu Selangor saja, jumlah ladang jatuh daripada 21 ke 11 dalam masa empat tahun. Johor pula hampir hilang semua ladang dekat JB selepas sepuluh daripadanya dijual.
Nampak macam rugi besar, kan? Tapi hakikatnya, syarikat-syarikat tu tengah kaut untung gila-gila. Ladang Bukit Rajah di Selangor dijual dengan harga RM380 juta. KLK pula jual Ladang Tanjung Malim kepada kerajaan dengan nilai RM321 juta. Dan bila semua ni berlaku, pekerja macam biasalah, kena angkat kaki. Mungkin korang fikir, “Takpe lah, mesti ada pampasan kan?”

Ya… tapi jumlahnya memang ciput gila. Ikut undang-undang, pekerja cuma layak dapat pampasan 20 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan. Jadi kalau seseorang dah kerja 20 tahun, pampasan yang dia dapat hanyalah sekitar RM6,000 je. Untuk bagi perspektif, jumlah pampasan pekerja di Tanjung Malim tu tak sampai 1% pun daripada untung yang KLK buat hasil jualan tanah tu.
Jadi persoalannya, dengan RM6,000 tu, rumah apa yang mampu diorang beli? Dan sementara kita tengah cerita pasal rumah ni, kena jelaskan juga yang syarikat ladang ni pun bukan bagi rumah percuma dari awal. Syarikat ada bagi sumbangan sikit, tapi kos sebenar ditanggung pekerja sendiri yang dipotong daripada gaji bulanan.

Agak gila juga bila fikir balik sebab dari satu sudut, CEO syarikat gergasi macam Sime Darby boleh kaut gaji lebih RM6 juta setahun. Tapi di sisi lain, purata gaji pekerja Sime Darby baru je naik dari RM1,500 ke RM2,700 sebulan. Memang jauh beza, kan? Jurangnya besar sampai kadang-kadang mahkamah sendiri pun tak sanggup tengok ketidakadilan tu.

Ambil contoh kes mahkamah tahun 2003 melibatkan Guthrie. Peguam syarikat berhujah bahawa pekerja yang diberhentikan tak ada hak untuk terus tinggal di rumah ladang lepas pampasan dibayar. Hakim Mahkamah Rayuan kemudian menyindir, “Nak suruh mereka pergi mana? Tinggal atas pokok? Dalam kandang lembu? Atau kamu dah sediakan hotel untuk mereka?” Lepas beberapa kali berbalas hujah, peguam Guthrie berkata bahawa walaupun pekerja menang kes nanti, mereka tetap kena keluar dari rumah.
Hakim pun jawab, “Kalau mereka menang, sekurang-kurangnya mereka keluar dengan sesuatu; tapi sekarang mereka keluar dengan perut kosong.”
Bila sampai tahap mahkamah sendiri pun pandang serong pada syarikat-syarikat ladang ni, memang kita tahu ada benda tak kena. Bila pekerja yang dah habiskan seluruh hidup diorang di ladang dengan kemahiran yang cuma sesuai untuk kerja ladang, tiba-tiba dihalau keluar, kita sebenarnya sedang cipta satu golongan miskin bandar yang baru.
Kebanyakan diorang tak mampu tukar haluan cari kerja lain sebab tak ada kemahiran yang boleh diguna di bandar. Lepas seumur hidup kerja ladang, tiba-tiba disuruh terima hakikat yang diorang “tak diperlukan”, dan kemudian dihumban ke bandar tanpa apa-apa. Jadi bila kerajaan cuma tengok dari jauh dan syarikat pun buat sekadar cukup syarat (malah kadang kurang dari tu 🙄), siapa lagi yang diorang boleh harap bila tempat tinggal pun dah tak pasti?
NGO sebenarnya yang paling banyak turun padang dalam perjuangan pekerja ladang
Tempat pertama yang sepatutnya jadi harapan pekerja ladang adalah Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang (NUPW). Diorang ni kesatuan sekerja terbesar kat Malaysia, malah yang terbesar di Asia. Tapi terus terang, rekod pencapaian diorang agak mengecewakan.
Sebahagian masalah tu memang di luar kawalan diorang. Bila ladang beralih daripada getah kepada kelapa sawit, jumlah pekerja yang diperlukan pun jauh berkurang. Lepas tu tambah pula kemasukan buruh kontrak asing yang hampir mustahil nak disatukan bawah kesatuan, terus keahlian merudum. Tapi kalau bab perjuangan gaji pun, NUPW tak banyak bawa hasil juga.

Walaupun diorang cuba, NUPW tak pernah benar-benar berjaya bantu ahlinya keluar daripada garis kemiskinan. Lagi parah bila pada tahun 1989, satu pendedahan menunjukkan dana kesatuan digunakan untuk beri kemewahan kepada pemimpinnya sendiri, terus reputasi diorang pun jatuh menjunam.
Bila diorang cuba bangkit semula dengan mogok tiga hari pada tahun 1990 untuk desak kenaikan gaji, kerajaan pula campur tangan dan akhirnya paksa diorang terima tawaran ciput. Jadi tak hairanlah, lepas siri kegagalan demi kegagalan, NUPW pun makin hilang taring dan tenggelam dari radar perjuangan pekerja ladang.

Kekosongan tu bagi ruang untuk pihak lain ambil alih. Antara yang terawal ialah People’s Service Organisation (PSO), diorang turun padang ajar pekerja tentang hak perumahan dan desak pihak ladang baiki keadaan hidup asas. Tapi kalau ada satu kumpulan yang betul-betul sinonim dengan perjuangan pekerja ladang, mestilah Parti Sosialis Malaysia (PSM).
PSM dah berdekad terlibat dalam isu ni. Pada tahun 1991, diorang lancarkan kempen tandatangan seluruh negara untuk desak kerajaan masukkan pekerja ladang dalam dasar pembangunan luar bandar, bukan biar nasib diorang ditentukan syarikat semata-mata. Hasil desakan tu akhirnya melahirkan dasar perumahan negeri Selangor 1991 untuk pekerja ladang yang kehilangan tempat tinggal.

Pada tahun 1996, PSM mulakan satu lagi kempen nasional, kali ni menuntut gaji minimum RM750. Waktu tu, pekerja ladang masih terperangkap dalam sistem gaji harian. Memang tak ubah sistem tu serta-merta, tapi boleh kata PSM yang letak asas kepada Perintah Gaji Minimum tahun 2013.
Baru-baru ni pula, satu kumpulan lain bernama Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) terus sambung perjuangan, kali ni turun ke jalan. Dah lama diorang berganding bahu dengan PSM untuk lawan pengusiran paksa dan perjuangkan hak perumahan kekal. Dan hasil kerjasama tu, PSM dan JSML baru saja berjaya lakukan salah satu langkah paling berani dalam sejarah perjuangan pekerja ladang moden.
PSM dan JSML hasilkan draf undang-undang sendiri dan serah ke Parlimen
Bila pekerja ladang bersama sekutu diorang berarak ke Parlimen Ogos lepas, diorang bukan sekadar bawa sepanduk dan laungan slogan, tapi datang dengan penyelesaian sebenar.
Diketuai oleh PSM dan JSML, perarakan tu sendiri memang dramatik. Polis cuba halang diorang di pintu masuk Parlimen, dan Arul, timbalan pengerusi PSM, sempat terjatuh sebelum akhirnya ditahan. Tapi walaupun kecoh di luar, pimpinan JSML dan PSM tetap berjaya serahkan apa yang diorang datang bawa: satu draf undang-undang yang akan menjamin pekerja ladang dapat rumah kekal selepas bersara.

Dan Akta Skim Perumahan Pekerja Ladang ni bukan sekadar cadangan tangkap muat. Sejak 2023, JSML dah turun padang ke lebih 100 ladang, kumpul cerita, bincang dengan pekerja, siap tulis sendiri draf fasal undang-undang. Pendek kata, diorang dah buat kerja rumah yang sepatutnya kerajaan buat. Sejak tu, diorang dah pergi jumpa pelbagai kerajaan negeri dan kementerian untuk cuba jadikan draf tu realiti undang-undang. Tapi setakat ni sambutan masih suam-suam kuku dan nasibnya pun masih belum pasti.
Tapi kalau undang-undang ni betul-betul berjaya diluluskan, inilah intipati utamanya:
- Pemilik ladang wajib sediakan tanah dan bina rumah lengkap dengan kemudahan asas.
- Pekerja ladang tempatan yang dah lama berkhidmat boleh beli rumah tu pada harga tetap RM48,000.
- Bayaran boleh dibuat secara ansuran, maksimum RM300 sebulan.
- Sebuah Lembaga Perumahan Ladang baharu akan ditubuhkan untuk pantau pelaksanaan dan pastikan semua pihak patuh.
- Sebarang pertikaian akan diselesaikan melalui tribunal khas.

Menariknya, ini sebenarnya bukan kali pertama JSML “melawat” Parlimen. Pada tahun 2019, diorang pernah datang bawa satu memorandum menuntut skim perumahan awam untuk pekerja ladang. Masa tu, Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran, janji nak tengok dan pertimbangkan… tapi kalau tengok hakikat yang pekerja kena datang balik tahun ni, rasanya kita pun boleh agak apa jadi dengan janji tu.
Jadi, perarakan kali ni sebenarnya kemuncak kepada bertahun-tahun janji kosong dan jalan mati. Sampai ke tahap, kalau kerajaan tak nak tulis undang-undang tu, diorang tulis sendiri. Dan kalau kita fikir balik, agak pelik sebab…
Kenapa susah sangat nak laksanakan undang-undang ni?
Macam biasa, benda macam ni memang susah nak buat, tambah-tambah lagi kalau takde pilihanraya.
Pertama sekali, soal tanah ni bawah kuasa kerajaan negeri. Maksudnya, walaupun Parlimen lulus undang-undang peringkat persekutuan yang wajibkan pemilik ladang bina rumah, kerajaan persekutuan tetap kena dapatkan kerjasama kerajaan negeri. Setiap negeri ada haluan dan kepentingan sendiri contohnya, kalau Selangor terbuka nak buat, mungkin negeri lain dah pun intai tanah ladang tu untuk projek kondominium mewah. Jadi kalau tak ada kerjasama antara semua negeri, undang-undang ni berisiko tinggal sebagai dasar indah di atas kertas je.
Lepas tu, timbul pula isu kos. Arul jelaskan yang syarikat-syarikat ladang ni memang tak rela nak keluar duit lebih. Malah, kadang-kadang diorang sanggup heret pekerja ke mahkamah bertahun-tahun semata-mata nak elak bayar apa yang sepatutnya.
“Syarikat-syarikat perladangan ni kuat. Alasan mereka, ‘sektor lain pun tak kena bina rumah, jadi kenapa kami kena?’”
– Arul, Timbalan Pengerusi PSM
Dan secara jujurnya, sejak bila ada syarikat yang suka-suka hati nak keluar duit lebih, semata-mata sebab kerajaan suruh?

Sektor pembuatan sejak dulu lagi dah bagi amaran yang piawaian perumahan yang lebih ketat akan menjejaskan keuntungan majikan. Pemaju pula selalu mengadu yang pembinaan rumah mampu milik kurangkan margin keuntungan diorang daripada sekitar 40% bagi unit biasa kepada hanya 10–15%. Dan walaupun macam tu, diorang masih risau rumah murah itu tidak akan terjual.
Tambah pula faktor biasa seperti kerenah birokrasi, keutamaan politik yang selalu berubah, serta hakikat yang pekerja ladang bukanlah kumpulan pengundi yang berpengaruh, jelas la kenapa golongan pekerja ladang ni selalu dipinggirkan.
Sudah tiba masanya pekerja ladang berhenti dipinggirkan dalam sistem kebajikan Malaysia.

Selepas kemerdekaan, pelbagai kumpulan masyarakat sedikit demi sedikit diserap ke dalam skim penempatan yang disokong kerajaan. Pekebun kecil Melayu mendapat manfaat daripada FELDA dan FELCRA, di mana tanah dan rumah disediakan di kawasan luar bandar. Komuniti Cina pula ditempatkan dalam Kampung Baru Cina melalui program penempatan semula.
Namun, walaupun diorang tidak tergolong sepenuhnya dalam kategori yang sama, pekerja ladang tidak pernah nikmati program perumahan sistematik macam tu. Apabila ladang mula kecilkan operasi, jual tanah atau tukar jenis tanaman, para pekerja biasanya dibiarkan cari jalan sendiri. Pengusiran jadi tajuk berita yang berulang, dan keluarga yang habiskan seluruh hidup diorang di estet tiba-tiba kehilangan tempat tinggal.

Memang menyedihkan, tapi hakikatnya corak yang sama masih berulang sampai sekarang.
Selama berdekad-dekad, pekerja ladang mengerah tenaga supaya industri perladangan terus berjalan, namun bila keadaan jadi sukar, diorang dilayan seolah-olah boleh digantikan macam tu je. Ramai antara datuk nenek diorang dibawa ke sini untuk membuka tanah, dan beberapa generasi kemudian diorang masih berjuang mencari tempat dalam negara yang diorang bantu bina. Sama ada tanggungjawab itu terletak pada syarikat atau kerajaan, yang penting ialah seseorang mesti tampil untuk bertanggungjawab.
Yang menyedihkan, pada tahap ini apa jua bentuk bantuan macam dah terlambat. Pekerja ladang sepatutnya menerima sokongan tu dari dulu lagi sebelum komuniti diorang dipecah-belah dan diusir. Walaupun macam tu, masih ada kelompok kecil pekerja ladang yang bertahan sebab tak ada tempat lain untuk dituju. Bagi diorang, undang-undang ni mungkin akhirnya menjadi langkah pertama yang sebenar ke arah memutuskan kitaran lama tu.
Sementara menunggu waktu tu sampai, sekurang-kurangnya kita boleh terus hidupkan isu ini dengan bercakap tentangnya, desak ahli Parlimen kita ambil tindakan, dan pastikan ia tidak sekali lagi disapu ke bawah karpet.