
Korang tengah sangkut dalam jem sambil jari tekan-tekan butang cari stesen radio. Tiba-tiba, suara DJ bergema: “anda sedang mendengar ERA, stesen radio Nombor 1 di Malaysia”.
Kereta gerak sikit.
Korang tukar stesen lagi. Tiba-tiba, DJ lain pulak cakap: “anda sedang mendengar H** FM, stesen radio Nombor 1 di Malaysia”.
Aippp… Adakah ini sebuah mimpi? Tidak, ni bukan déjà vu. Malah, ni lah satu drama yang ramai rakyat Malaysia tengah perasan pasal ERA dengan satu lagi stesen radio Bahasa Melayu popular di Malaysia.

Sebelum korang tanya, “apasal korang sebut nama ERA, tapi tak sebut stesen satu lagi tu?”. Well, sebenarnya kami dah hubungi kedua-dua stesen untuk dapatkan komen, tapi kami dapat respon yang berbeza:
- ERA ajak kami lepak dan kongsi banyak cerita hangat
- Stesen satu lagi tak bagi kami letak nama diorang dalam artikel ni
Jadi, sebab kami tak nak kena saman hormati permintaan diorang, maka dengan itu kami akan gunakan nama lain yang takde kena-mengena dengan stesen radio tu sepanjang artikel ni: Huat FM.
Sedikit disclaimer juga: Artikel ni akan nampak macam berat sebelah ke arah ERA sebab… ye la, kami cuma dengar cerita dari sebelah pihak je. Sebelah lagi senyap je, speaker rosak kot.
Nak bagi kisah ni lebih lengkap, kami juga bercakap dengan orang-orang lain dalam industri ni, termasuk seorang perunding media bebas. Pendek kata, cerita ni memang hot panas.
Macam mana ERA dan Huat FM boleh claim yang diorang #1?
Mungkin benda ni tak akan jadi drama kalau kedua-dua stesen radio ni dimiliki syarikat yang sama. Tapi dalam kes ni, ERA dan Huat FM dimiliki oleh syarikat yang berbeza.
ERA dimiliki oleh Astro Audio. Dan sebab kami tak boleh sebut nama pemilik Huat FM, kami akan bagi diorang gelaran “Media Pro Max”
Jadi macam mana diorang boleh claim masing-masing #1? Adakah ni bermakna salah satu stesen ni bukan je main lagu, tapi juga… main auta?

Mungkin korang fikir “haaa ni mesti diorang kira guna formula lain-lain ni”. Kalau ye, sila masuk Who Wants to Be a Millionaire sebab jawapan korang tepat sekali!
Secara amnya, jumlah pendengar radio di Malaysia dikira ikut kajian survey, dan ni dua syarikat penyelidikan yang terlibat:
- GfK | Kaedah: Radio Audience Measurement (RAM)
- Nielsen | Kaedah: Consumer & Media View (CMV)
Masalahnya, dua-dua syarikat ni ada cara sendiri buat survey. Ni perbezaan diorang secara ringkas:
Kaedah RAM oleh GfK:
- Kira-kira 6,000 rakyat Malaysia dipilih dua kali setahun untuk isi “radio diary” selama 7 hari.
- Diorang catat bila dengar radio secara live setiap 15 minit, termasuk waktu, lokasi dan alat yang digunakan.
- Data ni akan tunjuk siapa dengar, bila, kat mana, guna apa, negeri mana, bahasa apa, dan lain-lain.
Kaedah CMV oleh Nielsen:
- Nielsen temuramah lebih 16,000 rakyat Malaysia sepanjang tahun.
- Fokus CMV lebih kepada siapa yang dengar dan gaya hidup diorang.
- Survey ni bukan setakat radio, tapi juga merangkumi TV, surat khabar, online, produk, dan tingkah laku pengguna.
Pendek kata: RAM memang fokus pada radio, manakala CMV pula lebih meluas, merangkumi gaya hidup dan media. Dua-dua survey ni sah, dua-dua syarikat legit, dua-dua ada pengalaman dan reputasi yang kukuh.

Masalahnya, survey RAM sah kata ERA #1. Tapi survey CMV pulak sah kata Huat FM #1. Jadi sebenarnya, takde siapa menipu. Dua-dua claim #1, dan dua-dua ada bukti.
Mesti korang fikir, “Dah tu, kenapa tak main o-som je? Settle siapa pemenang”. Hmm… kat sinilah ceritanya jadi kekok sikit.
Stesen-stesen radio Malaysia dulu dah setuju pakai RAM dari GfK

Kat sinilah kitorang nak memperkenalkan Commercial Radio Malaysia (CRM). CRM ni persatuan stesen radio yang dianggotai oleh pengendali-pengendali utama saluran radio komersial di Malaysia. Ni termasuklah syarikat induk ERA (Astro Audio) dan juga syarikat induk Huat FM (Media Pro Max).
Sebelum 2016, ramai stesen pakai survey RAM oleh Nielsen. Tapi lepas tu, CRM buat pilihan untuk jadikan GfK punya RAM sebagai standard rasmi industri radio Malaysia.
Sekarang ni, 17 daripada 21 stesen radio dalam CRM pakai survey RAM oleh GfK. Empat lagi stesen yang guna Nielsen punya CMV semuanya dimiliki oleh Media Pro Max
“Sebenarnya kita ada proses tender yang dibuat oleh CRM, ataupun Commercial Radio Malaysia. Kita buat tender ni untuk pilih satu survey, satu kaedah je.
Benda ni tolong kita elakkan situasi macam ni di mana semua orang claim nombor satu, kan?”
— Priya Dharshini Prabakaran, Pengarah Astro Audio, diterjemah dari Bahasa Inggeris
Jadi sekarang jelas lah kan? ERA stesen #1 sebenar sebab ikut “peraturan” CRM. Dan Huat FM pulak #1 ciplak sebab diorang gred kertas periksa ikut skema jawapan sendiri.
Cumanya… “peraturan” CRM tu bukannya undang-undang pun. CRM ni bukannya macam Majlis Peguam untuk lawyer, dan diorang takde hak untuk kuatkuasakan apa-apa. Diorang ni lebih kepada geng rakan sebaya dengan bro code sendiri. Jadi bila orang-orang dalam persatuan ni nampak yang Media Pro Max kongsi statistik dari syarikat survey lain…
“Kitorang memang terkejut masa tu, macam, ‘eh bukan ke semua dah setuju guna satu kaedah je?’ Tapi bila tengok balik perlembagaan CRM, memang tak ada klausa yang larang untuk guna nombor dari syarikat kajian lain. Akhirnya, CRM ni lebih kepada panduan je. Antara kita, dia macam satu ‘bro code’, faham sama-sama lah.”
— Rizal Sahimy, bekas Setiausaha CRM & sekarang Head of Strategy Astro Audio, diterjemah daripada Bahasa Inggeris
Senang cakap, apa yang CRM bagi cuma garis panduan atau amalan terbaik je. Kalau ikut, baguslah; kalau tak ikut…
“Orang boleh claim macam-macam kalau pandai main nombor. Bukan salah, bukan jenayah. Tapi macam… tak gentleman la.”
— Rostam Said, Konsultan Media Bebas, diterjemah daripada Bahasa Inggeris
Sekarang, tak adil lah kalau kitorang panggil CRM ni harimau tak bertaring tanpa dengar penjelasan diorang. Malangnya, sama macam Media Pro Max, CRM juga tak nak terlibat dalam artikel ini. Kebetulan?
Haa, kat sini lah jalan cerita ada plot twist sikit. Biasanya, jawatan Presiden CRM memang dipegang oleh orang-orang dari industri radio sendiri. Tapi yang menariknya, Presiden CRM sekarang juga merupakan CEO kepada…????

Ada banyak pendapat pasal apa yang “terbaik” untuk industri radio Malaysia
Kalau korang teka yang Presiden CRM juga orang dari Media Pro Max, tahniah lagi sekali! Tapi sebelum korang mula buat teori konspirasi iluminati, kitorang nak tekankan yang jawatan dalam CRM ni memang selalu berpusing antara orang-orang besar radio, macam main kerusi muzik pulak. Malah, pihak satu lagi dalam drama ni, Astro Audio, pun pernah jadi Presiden CRM dari 2021 sampai 2022.

Tapi tak kisah la siapa yang memimpin CRM, organisasi ni sepatutnya jadi penyatu antara semua stesen radio komersial Malaysia. Jadi bila Presiden CRM sekarang juga merupakan bos besar syarikat yang langgar “bro code” tu, dah tentu akan ada pihak yang persoalkannya.
“Untuk industri radio secara keseluruhannya, kita memang perlukan keputusan yang kolektif untuk pastikan apa yang terbaik untuk industri. Barulah semua orang boleh dapat manfaatnya.
Kalau semua buat hal masing-masing, kau buat cara kau, aku buat cara aku, pasaran akan keliru dan akhirnya semua rugi.”
-Rizal Sahimy, bekas Setiausaha CRM & kini Ketua Strategi Astro Audio. Disunting dan diterjemah daripada Bahasa Inggeris
Semua ni pula berlaku dalam suasana industri radio yang berdepan dengan masalah. Walaupun jumlah pendengar radio tak menurun, pendapatan pula yang merosot. Kalau dulu, radio dan TV adalah platform utama untuk iklan. Tapi sekarang, radio kena kerja lebih keras, tapi pendapatan iklan yang diorang dapat makin sikit.
“Dulu, kitalah raja bila cakap pasal iklan. Sekarang, kita kena kongsi rezeki dengan Spotify, podcast, dan YouTube.”
– Rostam Said, Perunding Media Bebas. Disunting dan diterjemah daripada Bahasa Inggeris

Kitorang tak pasti apa sebenarnya motif Media Pro Max, tapi satu perkara yang jelas, dua-dua pihak ada peluang untuk buat duit melalui drama ni.
Bisnes ERA boleh dapat manfaat daripada drama ‘Stesen Radio #1’ ni

Satu poin penting, pingat “radio nombor satu” tu sebenarnya bukan untuk tarik perhatian pendengar je. Tujuan utama dia adalah untuk tarik perhatian penaja dan bina kredibiliti dengan label muzik antarabangsa.
Pengurus Jenama Rangkaian Inggeris Astro, Navin Rishal, beritahu kami yang gelaran “stesen #1” ni memang bantu masa nak runding dengan label muzik yang bawa masuk artis dari luar negara. Katanya, ia beri kredibiliti, dan diorang boleh tunjuk data yang sokong dakwaan itu.
Jadi walaupun dengar macam pelik, tapi drama pasal siapa stesen #1 ni mungkin sebenarnya untungkan pihak-pihak yang terlibat. Alah, macam selebriti. Ada kontroversi, ada lah spotlight.
“Kecoh pasal survey radio ni sebenarnya exciting juga, sebab orang mula sembang pasal radio balik.
-Priya Dharshini Prabakaran, Pengarah Astro Audio. Diterjemah daripada Bahasa Inggeris.
Walaupun ramai keliru pasal siapa nombor satu, tapi dalam masa sama, orang mula sedar yang eh, radio ni masih relevant. Masih ada market yang pengiklan boleh manfaatkan.”
Ia juga bagi sebab untuk ERA turun padang, tengok sendiri macam mana nak mantapkan kandungan dan mesej diorang supaya lebih kena dengan kehendak bisnes.

“Daripada sekadar cakap ‘kami nombor satu’, kami pilih untuk turun padang dan jumpa pendengar. Lepas tu, kami cuba hasilkan kandungan yang lebih strategik dan lebih berkesan untuk bisnes.”
– Alan Wong, Penolong Naib Presiden Penyelidikan & Insight Astro Audio. Disunting dan diterjemah dari Bahasa Inggeris
Tapi pada masa yang sama, Priya turut tegaskan yang situasi ni tak semestinya baik untuk industri radio secara keseluruhan. Bila dua gergasi radio bergaduh, stesen-stesen kecil pula yang terkesan. Suara diorang tenggelam macam speaker Temu yang nak cuba lawan dengan Marshall Amp.
Bagi Astro Audio, ia soal etika, prinsip dan perpaduan

Menurut Astro Audio, diorang cuma nak semuanya adil dan telus. Bagi Priya, tujuan ada proses tender untuk pilih satu sistem survey yang standard adalah supaya semua stesen radio nampak bersatu.
“Bagi saya, kami dari dulu memang ikut peraturan. Kalau nak tukar syarikat survey pun saya tak kisah. Tapi kena buat elok-elok. Tamatkan kontrak sedia ada dulu, lepas tu kita buka tender baru, boleh je tukar syarikat lain. Tapi jom ikut peraturan, jangan la main ubah suka hati masa kontrak lama masih aktif.”
– Priya Dharshini Prabakaran, Pengarah Astro Audio, diterjemah dari Bahasa Inggeris
Lagipun, semua drama radio ni menyusahkan agensi media juga. Diorang ni lah yang uruskan kempen iklan untuk penaja, termasuklah tolong penaja pilih stesen mana yang sesuai untuk iklan diorang. Tapi bila kena hadap dua data yang berbeza, diorang kena buat kerja dua kali.
“Sekarang bila nak rancang kempen, kerja jadi makin rumit. Setiap kempen kena semak dua kali guna dua sistem survey berbeza, dari awal sampai habis. Pemilihan stesen dan bajet semuanya ikut objektif klien, kumpulan sasaran, dan jenis data yang diorang nak, dan dua survey tu bagi maklumat yang tak sama.”
–Pembeli media dari Ampersand Advisory, diterjemah dari Bahasa Inggeris
Sebab tu lah kalau diberi pilihan, diorang lebih suka kalau ada satu standard.
“Kalau boleh, lagi senang. Lagi-lagi kalau kita cakap pasal stesen radio arus perdana. Senang sikit semua pihak buat keputusan strategik yang lebih jelas dan teratur untuk rancang kempen.”
-Pembeli media dari Ampersand Advisory, diterjemah dari Bahasa Inggeris
Jadi, bila agensi media yang hari-hari kerja dengan radio pun boleh keliru, kita ni nak percaya siapa weh?
Wujud ke stesen radio #1 kat Malaysia ni sebenarnya?
Ni bukan soalan falsafah. Dah tentu stesen radio #1 wujud. Secara rasmi, ia ditentukan melalui statistik dan tinjauan. Tapi macam apa yang korang nampak sekarang masalahnya bukan pada nombor. Masalahnya apa yang orang buat dengan nombor tu.

Ni bukan masalah unik pun. Billboard sendiri pun dah beberapa kali ubah cara diorang kira jualan album dan penstriman untuk tentukan lagu mana yang betul-betul #1 dalam carta. Drama minuman tenaga DJ Khaled mungkin contoh terbaik untuk tunjuk betapa rumitnya isu ini.
Orang yang kami temu bual ada bagi beberapa cadangan untuk selesaikan isu ni. Contohnya lantik pihak ketiga yang neutral untuk uruskan CRM, atau semua stesen radio bersetuju untuk tukar syarikat survey. Tapi masalahnya, semua itu perlukan kerjasama dari semua stesen radio (dan pemilik diorang). Masalahnya, kalau diorang boleh sepakat dari awal, drama ni takkan wujud pun.
Kami nak tekankan sekali lagi, memang senang nak tengok Media Pro Max / Huat FM sebagai ‘watak jahat’ berdasarkan artikel ni. Tapi hakikatnya, ni sebab kami cuma dapat respon dari pihak Astro Audio je.
Dan korang pulak sokong Huat FM dan rasa Astro yang over, itu pun tak salah – semua orang ada perspektif masing-masing.
“Kalau benda ni dah buat pendengar keliru, apatah lagi klien yang tak ikut media sosial atau langsung tak tahu cerita sebenar dari perspektif industri. Daripada apa yang diorang nampak kat luar sana, kami memang susah nak pertahankan diri.
Sebab setiap kali kami cuba jelaskan, ia nampak seolah-olah kami ni tak nak kalah.”
–Priya Dharshini Prabakaran, Pengarah Astro Audio, diterjemah daripada Bahasa Inggeris
Apa-apa pun, jom kita cuba jawab soalan sebenar yang buat korang baca artikel ni.
ERA atau Huat FM, siapa stesen radio #1 yang sebenar?
Jadi, wujud ke stesen radio yang betul-betul #1 kat Malaysia?
Atas kertas? Ada.
Dalam realiti? Hmm… tak juga.
Bila industri tak boleh sepakat kira markah, semua orang boleh angkat piala sendiri.

ERA guna RAM dari GFK. Huat FM guna CMV dari Nielsen. Dua-dua tinjauan sah, tapi diorang tak ukur benda yang sama. Secara teknikalnya dua-dua boleh claim yang diorang nombor satu… bergantung kepada keputusan mana yang korang tengok.
Ini bukan sekadar perang nombor. Ini perang naratif. Dua gergasi radio, dua jenis data, satu guideline yang tak dipatuhi, dan satu industri yang dari luar… nampak macam tengah berkelahi.
Statistik mungkin boleh dipertikai. Tapi tabiat pendengaran korang? Itu tak boleh tipu. Jadi mungkin, pemenang sebenar adalah… stesen yang korang masih dengar esok pagi.