Ni macam mana Malaysia lindungi pemangsa kanak-kanak

Awal bulan ni, X/Twitter dikejutkan dengan berita seorang lelaki warganegara Malaysia di Ireland disabitkan kesalahan serangan seksual. Lelaki tersebut adalah Amirul Arif Mohammad Yunus, adik lelaki kepada Dr Halina Mohd Yunus, iaitu isteri kepada angkasawan pertama negara kita, Dr Sheikh Muszaphar Shukor.

Berita mengenai Amirul dan tuan badan. Imej dari eCentral.

Kalau korang pelik kenapa kami petik semua nama yang kami baca tadi, kabel si Amirul ni antara sebab netizen panas hati dengan kes ni. Waktu sesi penghakiman kat Ireland, kaum keluarga Amirul cuba yakinkan mahkamah yang peribadi dia ni sebenarnya bagus. Bayangkan, dah disabitkan kesalahan grooming (pengantunan seksual) dan serangan seksual terhadap seorang remaja perempuan pun, masih nak pertahankan dia ni.

Si mangsa trauma dengan kejadian tu, sampai salahkan diri sendiri atas apa yang berlaku, si pesalah pulak dijunjung. Apa benda semua ni woi?! Lebih menjijikkan, Amirul ni kerja sebagai pakar psikiatri kanak-kanak waktu dia buat kesalahan tu pada tahun 2023. Dan benda ni tak habis kat situ je: pasukan peguam dia cuba untuk “settle tepi” dengan tawarkan RM9,320.40 kat budak perempuan tu..

Senang hidup kan?

Macam biasa, dengan kepakaran risikan level CIA, netizen Malaysia sebarkan gambar dan nama Amirul ni kat media sosial untuk pastikan semua orang tahu pasal dia. Sebab apa je yang menghalang Amirul balik Malaysia lepas habis hukuman penjara dan buat benda yang sama kat sini? Memandangkan keluarga dia ada harta dan pengaruh, tak mustahil di sini dia boleh lepas camtu je.

Kalau sistem kat Malaysia ni tak cukup ketat untuk halang pesalah macam Amirul daripada ulang benda sama, apa jaminan kita untuk keselamatan kanak-kanak? Kat sinilah daftar pesalah seksual kanak-kanak jadi benda penting yang ramai orang kena tahu.

Malaysia ada ke daftar pesalah seksual kanak-kanak?

Mungkin korang terkejut, tapi Malaysia memang ada daftar pesalah seksual. Tapi jangan teruja dulu, sebab daftar ni tak semua orang boleh tengok.

Jadi buat apa ada daftar bro

Tahun 2019, kerajaan lancarkan daftar ni di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang senaraikan sekitar 3,000 pesalah. Tujuannya untuk bagi sekolah, pusat jagaan harian, mahupun ibu bapa cara nak semak latar belakang seseorang sebelum bagi dia kerja dengan kanak-kanak. Contohnya kalau sekolah nak ambil guru baru atau ibu bapa nak cari pengasuh, takdelah terambil orang yang tak sepatutnya, kan?

Dari segi konsep, OK, tapi nak semak latar belakang seseorang tu tak mudah sebenarnya. Korang kena:

  • Dapatkan nombor MyKad orang tu.
  • Isi borang yang menyatakan hubungan korang dengan dia.
  • Hantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Lepas tu layanlah kerenah birokrasi. Korang boleh hantar borang kat pejabat JKM negeri atau daerah, tapi kalau pejabat daerah akan diproses dalam lima hari bekerja. Katakanlah orang yang korang semak takde rekod, korang akan dapat surat pengesahan yang diorang ni bersih. Tapi kalau tak bersih dan nak semak selanjutnya, isi lagi borang dan tunggu lagi.

Kalau ada pengesahan pun, tak dijamin bersih, sebab jumlah pesalah seksual kanak-kanak yang sabit kesalahan sikit je berbanding yang dituduh. Imej dari Malaysiakini.

Selain proses yang agak leceh, korang juga kena faham yang tak ada undang-undang yang wajibkan sesiapa, termasuk sekolah, untuk semak sama ada orang yang kerja dengan anak-anak korang tu pesalah seksual atau tak.

Jadi daftar pesalah seksual ni buat masa sekarang leceh, tak wajib, dan kemungkinan besar kebanyakan mak bapak dan pengurusan sekolah tak tahu pun kewujudannya. Untuk perbandingan…

Kat US, cari pesalah seksual semudah cari restoran

Di Amerika, korang tak perlu isi borang kalau nak semak sama ada seseorang tu ada rekod jenayah seksual atau tak, berkat undang-undang yang dinamakan Megan’s Law.

Undang-undang ni dinamakan sempena Megan Kanka, seorang budak perempuan 7 tahun yang dirogol dan dibunuh oleh jirannya sendiri pada tahun 1994. Lebih menyedihkan, jiran tu sebenarnya dah ada rekod jenayah seksual sebelum ni, dan mak bapak Megan marah gila sebab kalau diorang tahu latar belakang jiran diorang, kematian Megan sepatutnya boleh dielakkan.

Dari situ, kerajaan Amerika perkenalkan Megan’s Law yang mewajibkan setiap negeri mewujudkan daftar pesalah seksual yang terbuka untuk orang awam tengok. Dan bila cakap terbuka, proses menyemak semudah Google nama orang tu.

Dengan undang-undang ni, bila ada pesalah seksual pindah ke satu kawasan, pihak berkuasa wajib maklumkan pada penduduk. Ibu bapa atau sesiapa je pun boleh taip nama seseorang atau alamat online untuk semak sama ada kawasan tu ada pesalah seksual atau tak. Sesetengah laman web pun letakkan lokasi pesalah seksual ni atas peta kawasan.

Tangkap layar salah satu laman web untuk semak pesalah seksual bagi peta Salt Lake City, Utah. Imej dari AskLegal.

Walaupun ada perbezaan antara negeri dalam cara maklumat ni didedahkan – sesetengah negeri mungkin tak bagitau perincian kesalahan seseorang – sistem kat sana jauh lebih telus kalau nak dibandingkan dengan Malaysia.

Aktivis gesa daftar awam bagi pesalah seksual di Malaysia

Kes Amirul ni telah cetuskan kemarahan rakyat Malaysia. Bukan setakat perbuatan dia seorang, tapi juga sebab ada celahan dalam undang-undang kita yang membolehkan pemangsa kanak-kanak bebas bergerak tanpa kita sedari.

Pengerusi Voice of the Children, Sharmila Sekaran, menggesa untuk lebih ketelusan melalui dua senarai. Satu adalah senarai yang mendedahkan nama yang disabit kesalahan secara umum supaya komuniti dan majikan boleh akses dengan mudah, dan satu lagi senarai adalah nama-nama yang dituduh kesalahan, tapi senarai ni hanya boleh diakses oleh pihak berkuasa.

Sharmila Sekaran juga seorang peguam yang dah lama memperjuangkan isu kebajikan kanak-kanak. Imej dari MalayMail.

Namun, mungkin perkara ni susah nak dilaksanakan.

Pakar jenayah, Nadiah Syariani Md Shariff, beri amaran yang daftar awam ni berkemungkinan lebih banyak buruk dari baiknya. Walaupun macam penyelesaian yang mudah, daftar awam ni boleh menyukarkan pesalah untuk masuk semula dalam masyarakat lepas dihukum. Selain masalah privasi, stigma berpanjangan, dan kesukaran untuk bina semula hidup diorang, masyarakat setempat pun mungkin mengalami ketakutan dan rasa panik yang tak perlu.

“Ini akan memberi kesan kepada keharmonian awam dan kesejahteraan hidup macam keselamatan peribadi dan kesihatan mental. Dengan panik dan ketakutan yang meningkat, ini boleh membawa kepada persepsi kurang tepat tentang jenayah dan keselamatan peribadi, penyebaran khabar angin, reaksi berlebihan, dan tindakbalas yang tak perlu,”

-Nadiah Syariani, diterjemah dari Sinar Daily.

Tapi kalau kita tengok balik, daftar awam ni bukannya untuk hukum pesalah sangat, tapi untuk bagi masyarakat lebih ruang untuk lindungi diri dan keluarga.

Ibu bapa berhak tahu kalau seseorang dengan rekod jenayah seksual bekerja dekat dengan anak diorang. Majikan yang upah pengasuh atau pekerja untuk jaga kanak-kanak pun perlu bertanggungjawab. Dan yang paling penting, mangsa berhak untuk lihat kewujudan sistem yang utamakan keselamatan diorang berbanding keselesaan pesalah.

Tapi sementara perbincangan ni berterusan…

Apa yang kita boleh buat untuk pastikan anak-anak kita selamat?

Ambil nota!

Suka atau tak, jenayah seksual terhadap kanak-kanak masih berlaku buat masa sekarang, dan macam akan berterusan untuk masa terdekat. Sampailah benda ni selesai, kesedaran dan pencegahan penting untuk kita pastikan anak-anak kita selamat.

  1. Ambil tahu daftar sedia ada – Walaupun leceh, kalau nak cari pengasuh atau hantar anak ke aktiviti kokurikulum, berbaloi untuk ambil masa semak.
  2. Gesa semakan mandatori – Sekolah, pusat jagaan harian, atau kelab kokurikulum (terutamanya melibatkan kanak-kanak) sepatutnya kena semak silang staf mereka dengan daftar pesalah. Korang boleh hubungi lembaga pendidikan, pihak berwajib, atau mulakan petisyen untuk bagi tekanan supaya benda ni jadi.
  3. Pantau media sosial anak-anak – Pemangsa selalunya guna platform media sosial atau permainan atas talian untuk grooming. Tanya anak-anak dengan siapa diorang berinteraksi, dan jangan teragak-agak untuk letak batasan dengan diorang.
  4. Libatkan diri dengan usaha komuniti – Sertai bengkel keselamatan, atau buat perbincangan dengan kawasan kejiranan korang. Lagi ramai sedar cara kesan pemangsa, lagi selamat komuniti kita.
  5. Sokong undang-undang yang lebih baik – Sokong atau sertai kumpulan seperti Voice of the Children yang perjuangkan polisi lebih kukuh. Sama ada melalui derma, kerja sukarela, atau sebarkan mesej diorang, usaha ni akan membantu.

Keselamatan kanak-kanak dan kumpulan terjejas lain bukan kerja dua tiga orang je. Kita semua bertanggungjawab. Walaupun sistem sedia ada mungkin belum kukuh, selagi kita sama-sama berusaha untuk jadikan komuniti kita selamat, perlindungan golongan-golongan yang terkesan ni sedikit sebanyak terjamin sampailah sistem ditambahbaik satu hari nanti.