Pameran IMT-GT: Rantau – Sebuah ungkapan artistik seniman visual tiga negara

Balai Seni Negara merasmikan “Pameran IMT-GT: Rantau” yang mula dipamerkan hari ini sehingga 1 Disember 2024. Pameran ini diadakan bagi meraikan Tahun Melawat Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle atau sinonim dengan IMT-GT 2023-2025. Perasmian disempurnakan oleh YBrs. Encik Shaik Rizal Sulaiman, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) di Balai Seni Negara.

Pameran ini adalah sebuah ungkapan artistik seniman visual dari tiga negara. Ia menggambarkan pencetusan pemikiran dan perasaan tentang alam, perhubungan keluarga, perjuangan kehidupan, kisah masa lalu, kelangsungan hidup dan kehidupan harian. Kerjasama tiga buah negara menerusi pameran ini mampu untuk mengangkat nilai kebersamaan dalam meraikan kepelbagaian budaya dan kebersamaan serantau.

Pameran IMT-GT: Rantau di Balai Seni Negara sehingga 1 Disember 2024

“Pameran IMT-GT: Rantau” menghimpunkan lima kurator, dua kolektif seni, empat artis solo dan dua artis duo daripada tiga negara. Indonesia diwakili oleh kurator jemputan Bayu Genia Krishbie dari Galeri Nasional Indonesia bersama kumpulan kolektif Rumah Ada Seni dari Padang, Sumatera Barat yang terdiri daripada sembilan orang ahli, diketuai oleh Yusuf Fadly Aser. Selain itu, kumpulan kolektif Sikukeluang dari Pekan Baru, Riau yang bersifat transdisiplin bersama enam orang ahli yang diketuai oleh Adhari Donora, serta duo Arifa Safura dan DJ Rencong pengkarya dari Acheh.

Malaysia diwakili oleh gandingan kurator Faridah Hanim Abd Wahab dan Adina Quraisa Ibrahim serta penulis jemputan Liu Cheng Hua, bersama artis Chong Yan Chuah serta duo Khairul Izzudin dan Shamin Sahrum.

Ketiga-tiga artis ini mempunyai latar belakang dalam bidang seni bina dan pengkaryaan berskala besar. Mereka menyumbangkan karya yang berkait dengan tema Rantau dan pengalaman diri berkaitan ‘merantau’.

Ketua Kurator Kanan Balai Seni Negara, Faridah Hanim Abdul Wahab memberi penerangan kepada Pengerusi LPSVN, Shaik Rizal Sulaiman mengenai karya “Memory of Life” oleh pengkarya dari Thailand, Nordiana Beehing semasa sesi lawatan ke Pameran IMT-GT:Rantau

Thailand diwakili oleh Suebsang Sangwachirapiban, kurator dari Bangkok Art Biennale, bersama artis Nordiana Beehing dari Yala, Maneerat Thamnarak dari Chumphon dan Arichama Pakapet dari Songkhla. Mereka memainkan peranan dalam pencetusan dialog seni di kalangan masyarakat dan mengikat keintiman persahabatan bagi berkongsi impak dan pengembangan ekonomi serta sosiobudaya daerah-daerah di bawah payung segi tiga IMT-GT.

Majlis perasmian turut dihadiri oleh YBrs. Encik Amerrudin Ahmad, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, YBrs. Encik Amri Bukhairi Bakhtiar, Pengarah Centre for Indonesia- Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) Subregional Cooperation, wakil daripada Kedutaan Indonesia dan Thailand di Malaysia, pegawai-pegawai kanan MOTAC, jabatan dan agensi serta para penggiat seni.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Shaik Rizal Sulaiman dan Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad bergambar bersama kurator dan artis Pameran IMT-GT: Rantau

“Pameran IMT-GT: Rantau” memaparkan usaha Balai Seni Negara yang sentiasa komited dalam menyokong perkembangan seni serantau selain turut mengeratkan hubungan antarabangsa dan menggalakkan kemajuan sektor pelancongan.

Oleh yang demikian, orang ramai dijemput untuk menghayati semangat kebersamaan dan meraikan kepelbagaian budaya menerusi Pameran IMT-GT: Rantau di Balai Seni Negara sehingga 1 Disember 2024. Masuk adalah percuma. Maklumat lanjut layari laman sesawang www.artgallery.gov.my atau ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara.