Talentbank umum senarai universiti pilihan majikan 2024, bantu lepasan SPM

Talentbank, dalam menerajui dan meningkatkan daya kebolehpasaran para graduan serta menghubungkan bidang akademia dengan sektor industri, hari ini telah mengumumkan senarai yang dinantikan ramai iaitu Senarai Universiti Pilihan Majikan 2024.

Panduan ini telah disediakan bagi membantu pelajar lepasan SPM dengan maklumat yang menyeluruh berkenaan institusi pengajian tinggi pilihan majikan yang akan membantu mereka dalam pencarian kerja setelah tamat pengajian dan menambah baik peluang mereka untuk dipilih oleh para majikan.

Data bagi panduan ini diekstrak dari analisa penuh berdasarkan Indeks Kebolehpasaran Graduan Nasional Talentbank atau Talentbank National Graduate Employability Index (Talentbank’s GE Index) di mana penilaian terhadap tahap kebolehpasaran para graduan di Malaysia telah dijalankan.

Talentbank’s GE Index adalah inisiatif dinamik yang telah dibangunkan oleh Talentbank sejak 2020. Indeks ini memberi pencerahan dan maklumat yang mendalam daripada lebih 700 majikan termasuk Intel, TDCX, Ant Group, Huawei, Maybank, Nestlé, PETRONAS, Shopee, CIMB, Sunway Group, PwC, Maxis, AIA, Hartalega, Malaysia Airlines, dan banyak lagi. 

Direka khas sebagai satu kompas untuk anak muda menentukan masa hadapan mereka, Talentbank’s GE Index menjadi panduan untuk memilih bidang pengajian yang sesuai di institusi yang berprestij, sekaligus membantu para ibu bapa dalam mengetahui graduan universiti yang mana akan menjadi pilihan para majikan.

Pendekatan strategik ini dijangka akan menaikkan taraf kebolehpasaran para graduan, membolehkan mereka untuk bersiap sedia untuk peluang pekerjaan dengan pendapatan yang berdaya saing. Majlis pelancaran Talentbank’s GE Index yang dihadiri oleh tetamu kehormat seperti Datuk Dr. Haji Megat Sany bin Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Professor Dr. Azlinda binti Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan Ben Ho, Ketua Pengarah Eksekutif Talentbank, telah mengetengahkan kepentingan dalam memastikan hala tuju pengajian tinggi untuk selari dengan permintaan pasaran supaya dapat menjamin masa hadapan yang utuh di alam pekerjaan.

“Penyelidikan ini lahir dari komitmen kami untuk memberi panduan kepada para pelajar bagi memudahkan pengemudian pemikiran dan penetapan fokus mereka ke arah kerjaya yang bermakna di masa hadapan. Inisiatif ini memainkan peranan penting di dalam visi kami di mana kami mengetengahkan universiti yang akan membantu para graduan untuk berjaya di dalam pasaran kerjaya antarabangsa. Bukan hanya sekadar perjalanan akademik, inisiatif ini akan memberi laluan kepada kerjaya yang menyeluruh, dengan matlamat untuk menaiktaraf kebolehpasaran dan kecemerlangan para graduan Malaysia di mata dunia.”

-Ben Ho, Ketua Pengarah Eksekutif Talentbank.

Menggunakan tiga bahagian metodologi yang unik, Talentbank’s GE Index menyediakan pandangan holistik tentang bagaimana pihak universiti menyediakan para pelajar untuk alam pekerjaan. Metodologi ini mengandungi tiga bahagian utama; mengenal pasti senarai universiti yang sering dipilih oleh majikan di dalam proses pengambilan, mengira keseluruhan jumlah graduan yang diambil oleh setiap universiti dan akhir sekali membuat penilaian kekerapan pengambilan ini berdasarkan prestasi positif graduan.

Lebih dari sekadar tinjauan, Talentbank’s GE Index menjadi panduan yang menyeluruh untuk masa hadapan graduan, dengan harapan tinggi yang indeks ini akan memperbaiki kadar pengangguran di Malaysia setelah permintaan pasaran diselaraskan dengan keputusan pendidikan. 

Talentbank’s GE Index adalah satu pusat kajian dan perunding dengan kemahiran di dalam bidang kebolehpasaran graduan. Kajian yang dilakukan merangkumi ribuan para majikan graduan di sektor-sektor industri penting untuk memahami kriteria pilihan dalam pengambilan pekerja. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Talentbank’s GE Index, lawati laman sesawang di https://www.talentbankgroup.com