Filipina dan Indonesia tarik subsidi minyak pada 1998. Ni apa yang jadi

Sebab korang klik untuk baca artikel ni, mesti korang dah ada dengar yang kerajaan tengah perkenalkan rasionalisasi subsidi minyak, atau dalam kata mudahnya diorang nak kurangkan subsidi minyak.

Kita dah biasa isi diesel dan RON95 pada lebih kurang RM2 seliter sebab subsidi, jadi apa yang akan jadi lepas ni? Minyak jadi lagi mahal? Harga barang naik? Adakah ini semua agenda EV?

Untuk menjawab semua persoalan yang terbuku di kalbu, jom kita buat lawatan sambil belajar kat dua negara yang dah buang/kurangkan subsidi minyak diorang. Tapi sebelum korang naik bas, cikgu HEM akan bagi briefing dulu tentang…

 

Dah kenapa Malaysia nak rasionalisasikan subsidi ni?

Pertama, ni harga diesel beberapa negara jiran kita.

Data diambil dari Global Petrol Prices, April 2024.

Macam yang korang nampak, diesel kat Malaysia memang murah. Sebab utamanya kerajaan belanjakan banyak duit subsidi untuk kurangkan harga. Tahun 2022 saja, RM90 bilion dibelanjakan untuk tampung pelbagai subsidi termasuk subsidi bahan api.

Sebahagian duit ni datang dari cukai yang kita bayar, dan sepatutnya kita boleh guna untuk benda-benda lain macam tambah doktor kat hospital, tampal jalan berlubang, atau repair sekolah yang tunggu masa je nak roboh.

Tapi mungkin korang rasa yang apalah maknanya ada sekolah lawa kalau minyak mahal. Sekolah ke, subsidi ke, kot mana pun sampai ke rakyat juga ye tak?

Tak jugak bhai. Kalau ikut statistik, dari 2019 ke 2022 penggunaan diesel naik 37.7% (dari 6.1 bilion liter ke 8.4 bilion liter), tapi jumlah kenderaan diesel yang berdaftar cuma naik 2.4% je (2.08 juta ke 2.13 juta). Jadi ke mana perginya diesel lebih ni? Kemungkinan besar, kepada mereka yang tak sepatutnya dapat subsidi, macam sesetengah syarikat atau diseludup ke luar negara.

“Ketirisan ini yang perlu kita hentikan. Duit kita bayar kepada syarikat yang tidak sepatutnya mendapat subsidi. Ia sepatutnya pergi kepada rakyat … untuk kita bina sekolah yang lebih elok, klinik serta infrastruktur lain yang lebih penting kepada rakyat.”

-Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II, dipetik dari Sinar Harian.

Bukan sikit pulak tu: setiap hari, dianggarkan 3 juta liter diesel Malaysia diseludup keluar, menyebabkan kita rugi RM4.5 juta sehari.

Bak kata Ming-Ming, ini serius! Jadi tak hairanlah kerajaan nak kurangkan subsidi diesel ni.

Sebenarnya bukan Malaysia je yang tak tidur malam disebabkan subsidi bahan api ni, jadi habiskan daun saderi korang cepat-cepat dan beratur naik bas, sebab kita nak melawat…

 

Filipina, yang dah bebaskan harga minyak diorang sejak 1998

Filipina pun pernah ada sistem subsidi di mana duit tu datang dari keuntungan masa harga minyak dunia rendah, tapi berapa lama je harga minyak rendah kan? Menjelang lewat 90an (zaman krisis kewangan Asia), kerajaan diorang dah tak hadap lagi nak tampung hutang subsidi.

Diorang ambil langkah yang dipanggil deregulation, atau dalam bahasa suami tersakiti, langkah “I dah tak nak control harga minyak you lagi, you fikir la sendiri“.

Gambaran industri minyak Filipina selepas deregulasi.

Ikut strategi ni, harga minyak ditetapkan oleh pasaran dunia dan industri minyak Filipina, tapi macam kebanyakan watak suami dalam drama TV, kerajaan Filipina takdelah lepas tangan macam tu je sebab kena fikirkan anak-anak diorang (rakyat). Untuk produk macam minyak tanah, petrol dan LPG, ada tempoh peralihan di mana kerajaan masih kawal serba sedikit harga dia guna mekanisme harga automatik (APM).

Diorang juga ada perkenalkan skim perlindungan sosial yang dipanggil 4P (Pantawid Pamilya Pilipino Program) untuk tolong rakyat diorang hadap kenaikan kos sara hidup sejak 2007, dan di masa yang sama, bangunkan Filipina. Selain bantuan tunai dan makanan, program 4P ni juga ada bahagian di mana rakyat diberi kerja part-time untuk bangunkan infrastruktur dan dibayar dengan makanan.

Dengan bantuan-bantuan ni, Filipina berjaya move on dari subsidi minyak persis Sarimah Ibrahim di awal 2000an. Tapi penarikan subsidi ni ada baik buruknya.

Salah satu stesen minyak kat Filipina. Imej dari Auto Deal PH

Yang bagus, rakyat kat sana dah ada lagi banyak pilihan stesen minyak sebab pasaran dah terbuka dan tak lagi dimonopoli syarikat-syarikat besar macam Shell dan Caltex. Syarikat-syarikat kecil tumbuh bak cendawan akrab lepas hujan, dan diorang bersaing antara satu sama lain dari segi harga minyak dan servis tambahan macam cuci kereta percuma.

Yang buruknya pulak, bila harga minyak dunia naik, Filipina pun ikut sekali. Tambah lagi dengan matawang diorang yang susut dan konflik Russia-Ukraine, sakitnya tuh di dompet. Namun kerajaan diorang ada kawal masalah ni dengan bagi nelayan, petani, dan pengusaha kenderaan awam harga diesel yang lebih murah.

Kalau pengalaman Filipina dengan subsidi minyak diorang persis Sarimah Ibrahim, pengalaman Indonesia pulak macam Elyana Emrizal sebab…

 

Indonesia main tarik tali dengan sistem subsidi minyak diorang

Macam Filipina, om-om di Indonesia mula gerakan tarik subsidi diorang lepas krisis kewangan Asia, cuma bezanya diorang dah tarik tali dalam isu subsidi ni sekurang-kurangnya 14 kali. Sebab kitorang dah penat naik bas jauh dari Filipina, jadi kita ringkaskan jelah ceritanya.

Budak-budak kat belakang bas dah macam ni.

Secara kasarnya, kita boleh bahagikan cubaan diorang ni kepada tiga era. Era pertama ialah masa zaman Suharto. Waktu ni, Indonesia terdesak perlukan pinjaman duit dari IMF sebab krisis kewangan, jadi diorang tergesa-gesa naikkan harga minyak. Rakyat protes sampailah Suharto terpaksa letak jawatan, dan penarikan subsidi ni tak diterima.

Masuk zaman Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) sekitar 2004, Indonesia masih cari jalan nak buang subsidi sebab diorang dah bergantung kat minyak import, dan mensubsidikan minyak import ni sakit woo. Bezanya kali ni rakyat dah tak protes, sebab SBY ni tak semata-mata buang subsidi, tapi jaga rakyat juga.

Dia perkenalkan sistem perlindungan sosial macam bantuan tunai untuk tolong rakyat hadapi kos hidup yang meningkat sebab harga minyak naik. Selain tu, dia juga yakinkan rakyat pendapatan rendah untuk beralih dari guna minyak tanah (yang subsidinya tinggi) kepada LPG dengan bagi dapur gas dan tong gas 3kg secara percuma.

Tak sangka pulak tong gas dia ada tulis benda ni. Imej dari UMSU.

Tapi subsidi tak boleh dibuang terus sebab nilai rupiah dan harga minyak dunia yang tak stabil. Sekarang di zaman Jokowi, kerajaan masih bagi sebahagian subsidi minyak melalui Pertamina (macam Petronas versi Indonesia).

Jadi apa manfaat cerita ni? Pertama, kalau tetiba tarik subsidi tapi tak bagi bantuan atau alternatif kat rakyat, kena protes la jawabnya. Kedua, walaupun Indonesia tak sepenuhnya berjaya buang subsidi, diorang sedikit sebanyak berjaya kurangkan perbelanjaan subsidi kerajaan dengan naikkan harga minyak, walaupun masih di bawah harga pasaran.

Banyak je cara nak tangani isu subsidi ni, jadi tatkala bas mula perlahan-lahan masuk ke perkarangan sekolah di waktu senja yang syahdu, mungkin korang terfikir…

 

Macam mana pulak Malaysia nak rasionalisasikan subsidi?

Gambaran cikgu korang yang dah penat lawatan pastu nak balik rumah memasak lagi.

Sebenarnya, kebanyakan negara kat dunia ni ada subsidi minyak, tapi IMF cakap ini bukanlah praktis yang bagus dari segi ekonomi (sebab bantuan tak sampai ke tempat yang sepatutnya) mahupun alam sekitar (bila minyak murah, lagi banyak orang guna).

Hasil tekanan ekonomi, banyak negara yang cuba untuk buang atau kurangkan subsidi minyak diorang, dan contoh jiran-jiran kita ni adalah kes yang tak teruk sangat.

Untuk contoh kes yang lebih teruk, kebelakangan ni beberapa negara kat Afrika macam Nigeria, Angola, Zambia dan lain-lain terpaksa tarik balik subsidi minyak diorang. Kat Nigeria, subsidi ditarik secara tiba-tiba masa kerajaan berhutang teruk dengan syarikat minyak diorang. Rakyat diorang mogok dan buat protes besar-besaran, tapi terpaksa hadap je buat masa sekarang.

Balik ke Malaysia, nampaknya strategi kerajaan buat masa sekarang lebih lembut. Tak macam Nigeria dan Filipina, Malaysia tak tarik terus subsidi, tapi sasarkan kepada golongan dan sektor tertentu.

Contohnya, kerajaan sekarang bagi subsidi diesel bersasar menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0, untuk kawal harga barang dan perkhidmatan asas. Di fasa permulaannya, cuma sesetengah pengangkutan awam macam bas, teksi, dan kenderaan bomba dan ambulans sukarela je dapat, tapi sejak dari tu jenis kenderaan yang layak dah diperluaskan kepada 20, dan paling terkini 34.

Senarai kenderaan yang layak, dari KPDN.

Ni termasuk kenderaan macam lori-lori kargo, lori sejuk, bas dan juga van. Selain tu, untuk kurangkan kesan kepada barang keperluan harian kita, diorang juga tengah mempertimbangkan kenderaan lain juga. Sistem ni tujuannya supaya kos logistik dan harga barang kat Malaysia tak naik mendadak.

Selain tu, sistem ni juga akan bagi kuota kepada syarikat-syarikat berkenaan, dan semuanya direkodkan secara digital, jadi penyelewengan dan penyeludupan diesel dapat dihentikan.  Kalau sistem ni berjaya, bukan saja kita jimat berbilion Ringgit belanja subsidi diesel, kita juga dapat elakkan kebocoran duit negara.

Dalam dunia yang perfek, duit yang kita jimat ni boleh disalurkan kepada bantuan-bantuan lain ataupun penambahbaikan infrastruktur di sekeliling Malaysia. Tapi sama ada sistem ni betul-betul mampu kawal harga barangan di Malaysia, kita kena tunggu dan lihat.

Sambil tunggu, kalau korang tergolong dalam syarikat yang layak dapat subsidi diesel, pastikan korang buat permohonan melalui Sistem MySubsidi Diesel secepat mungkin.