Kisah di sebalik kenapa Labuan dijadikan Wilayah Persekutuan

Selamat Hari Wilayah Persekutuan!

Geng KL, Putrajaya dan Labuan cuti! Gif dari Giphy.

Seperti yang kita tahu, Malaysia ada tiga Wilayah Persekutuan, tapi kalau korang duduk semenanjung, mungkin kadang-kadang terlepas pandang tentang kewujudan wilayah persekutuan yang kedua iaitu Labuan.

Lagipun, mungkin korang pernah tertanya-tanya, kenapa Labuan Wilayah Persekutuan ea? Ada pejabat kerajaan ke sana? Pusat pentadbiran Sabah dan Sarawak kat Labuan ke? Ada makan makan ka baitu?

Untuk lebih faham, jom kita mulakan rencana hari ni dengan memahami dulu…

Kenapa KL dan Putrajaya dijadikan Wilayah Persekutuan?

Majlis tandatangan penyerahan KL kepada kerajaan pusat. Imej dari Kitab Tawarikh 2.0.

Kuala Lumpur jadi Wilayah Persekutuan pada tahun 1974, jadi sebelum tu, Malaysia tak ada Wilayah Persekutuan. Mudah cakap, Wilayah Persekutuan ni tempat-tempat yang direct bawah Kerajaan Persekutuan/Pusat, dan berdasarkan maklumat yang kami dapat cari, KL jadi WP atas sebab politik.

Lepas pilihanraya tahun 1969, Parti Tindakan Demokratik (DAP) iaitu pembangkang pada masa tu menang majoriti kerusi di Selangor. Ini masalah bagi kerajaan persekutuan BN pada masa tu, sebab macam susah pulak kalau ibu negara bawah kerajaan negeri pembangkang.

Untuk selesaikan masalah, KL dicadangkan jadi Wilayah Persekutuan untuk memastikan yang ibu negara akan sentiasa berada di bawah kuasa kerajaan yang memerintah. Untuk memastikan kestabilan politik, kerajaan negeri Selangor bersetuju melepaskan Kuala Lumpur jadi Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974.

Estet Prang Besar, sebelum jadi Putrajaya. Imej dari Perbadanan Putrajaya.

Kuala Lumpur ni sebenarnya tak dirancang sebagai pusat pentadbiran, jadi pejabat-pejabat kerajaan berterabur sekitar KL. Keadaan trafik pulak kian hari kian sesak, dan ni sedikit sebanyak menganggu proses pentadbiran.

Dari permasalahan tu, kerajaan pada tahun 2001 bertindak mengambil satu lagi kawasan dalam Selangor, – estet Prang Besar di Sepang – bina bandar yang lebih terancang, pindahkan segala pejabat-pejabat kerajaan kat sana, dan namakan tempat tersebut Putrajaya.

Putrajaya dijadikan pusat pentadbiran (eksekutif), manakala Kuala Lumpur dikekalkan sebagai pusat perundangan (Parlimen) dan tempat bersemayam YDPA (Istana Negara). Jadi Labuan pulak, pusat kehakiman ke?

Salah!

Labuan dijadikan Wilayah Persekutuan untuk menjana ekonomi

Sebelum masuk Malaysia, Labuan ada zaman kegemilangannya tersendiri. Labuan ni kira macam stesen minyak bagi kapal-kapal belayar: ada pelabuhan semulajadi, bengkel repair kapal, dan lombong dan stesen mengisi arang batu untuk kapal-kapal perang British.

Mercu tanda Labuan ni juga membayangkan yang Labuan ada industri batu-bata satu masa dulu. Imej dari Amusing Planet.

Tapi zaman pelayaran dah berlalu, dan keadaan ekonomi Labuan kian sendu. Untuk selamatkan Labuan, kerajaan Sabah pada 1984 bagi Labuan kat Kerajaan Persekutuan untuk dibangunkan, sungguhpun tak semua orang Sabah bersetuju dengan keputusan tersebut.

Menurut Fauziah Datuk Din, aktivis dan anak kepada Datuk Din Jaafar yang menentang Labuan diberikan kat kerajaan pusat, harapan Sabah pada masa tu adalah supaya Labuan mencapai tahap kejayaan yang sama dengan Singapura dan Hong Kong.

“Masa Labuan diberikan kepada pemerintahan Persekutuan, ianya tanpa pampasan, tak seperti Kuala Lumpur. Pemahaman masa itu adalah sebagai balasan, Persekutuan akan mencipta stimulus untuk menjana ekonomi di atas pulau tersebut dan ini menerbitkan impian dimana Labuan akan menjadi Singapura atau Hong Kong kecil.”

-Fauziah Datuk Din, diterjemah dari Daily Express.
Kompleks Labuan Financial Park. Imej dari Pulau Labuan.

Tetapi, masa Labuan digazetkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984, kerajaan Persekutuan sebenarnya masih belum ada perancangan khusus untuk Labuan. Lima pilihan dipertimbangkan masa tu:

  1. jadikan Labuan ibu pejabat angkatan tentera untuk Sabah dan Sarawak
  2. kembangkan industri pembinaan kapal Labuan yang sedia ada
  3. kembangkan industri pelancongan Labuan
  4. bina pusat konvensyen besar
  5. bina pusat kewangan dengan konsep tempat perlindungan cukai (tax haven)

Lepas lima tahun, kerajaan Persekutuan akhirnya memilih pilihan kelima dan mengubah Labuan menjadi Pusat Kewangan Offshore Antarabangsa (IOFC) dan pada masa yang sama, cuba jalankan pilihan 2, 3 dan 4 juga.

Eh, jap… Labuan ni tempat cuci/sorok duit ke?

Gif dari Tenor.

Bila sebut pasal duit “offshore”, selalunya orang akan membayangkan orang kaya cuci duit atau elak cukai, tapi tu cuma jenayah yang dikaitkan dengan offshore.

Pusat kewangan offshore ni sebenarnya mana-mana kawasan yang menyediakan khidmat kewangan, kepada pelanggan yang kebanyakkannya dari luar kawasan tersebut, pada skala yang jauh lagi besar dari ekonomi kawasan tersebut.

Kelebihan kewangan offshore termasuklah cukai yang lebih kecil, identiti tak didedahkan, tak begitu terkesan dengan kadar tukaran matawang, dan lebih mudah berurusan kalau korang jenis yang tak duduk satu negara je.

Macam… macam hitman. Imej dari Radio Times.

Memang ada kelebihannya dari segi bisnes, tapi tak dinafikan yang kelebihan-kelebihan ni boleh digunapakai untuk jenayah juga. Walaupun kerajaan Malaysia cuba sedaya-upaya untuk pastikan yang imej dan bisnes Labuan IOFC bersih, pada mulanya IOFC Labuan tak berapa dapat sambutan.

Sekarang keadaan Labuan boleh dikatakan bertambah baik. Beberapa usaha dah dijalankan untuk memperbaiki kekurangan IOFC Labuan, macam

  • memudahkan orang berurusan dengan bawa semua agensi terlibat bawah satu agensi (Autoriti Khidmat Kewangan Labuan, LFSA)
  • penjenamaan semula IOFC kepada IBFC (tukarkan “offshore” kepada “business”)
  • pemindaan undang-undang Labuan supaya lebih selaras dengan standard antarabangsa.
Carta dari The Edge Markets. Boleh baca lebih lanjut tentang perjalanan IBFC Labuan di pautan ni juga (English).

Dengan penjenamaan semula Labuan sebagai pusat kewangan “midshore” (undang-undang lebih ketat, tapi cukai masih rendah) dan lain-lain usaha, Labuan IBFC buat pertama kalinya berjaya menyumbang lebih dari RM1 billion cukai pada pendapatan negara pada tahun lepas, dengan bilangan syarikat mencecah 4,858 berbanding hanya 81 pada 1996.    

Walaupun Labuan masih agak jauh dari mencapai tahap pusat kewangan di Singapura dan Hong Kong, impian tersebut kini dah tak semustahil dahulu.