- 590Share sekarang!
- Email20
- Facebook570
- Share
Bila disebut pasal 10 malam terakhir Ramadan, kita semua tahu ada satu malam yang dipanggil malam lailatulqadar yang sangat dikejar-kejar umat Islam. Malam lailatulqadar ni merupakan malam yang lebih bernilai dari 1000 bulan dan hanya Allah SWT sahaja yang tahu bila terjadinya malam lailatulqadar ni.
Tapi mana datangnya kurniaan malam lailatulqadar ni? Haa… Kalau korang nak tahu, ada kisah dimana Nabi Muhammad SAW kelihatan tersenyum sendiri oleh sahabatnya berdasarkan kitab Muqasyafatul Qulub oleh Imam Al-Ghazali.
Jadi, sahabat Rasulullah SAW pun bertanyalah kepada baginda alasannya tersenyum. Baginda SAW menjawab:
“Diperlihatkan kepadaku hari akhir ketika seluruh manusia dikumpulkan di mahsyar, ada seorang Nabi dengan membawa pedang yang tidak mempunyai pengikut satupun, masuk ke dalam syurga. Beliau adalah Syam’un” – petikan dari Republika Online.
Rasulullah SAW pun menceritakan tentang Syam’un AS kepada sahabat-sahabatnya.
Nabi Syam’un AS mempunyai kekuatan super dan taat pada Allah SWT
Nabi Syam’un Al-Ghazi atau Nabi Samson merupakan seorang nabi dari kalangan Bani Israil keturunan Nabi Yaakub AS. Kisah Syam’un AS tidak diceritakan dalam al-Quran tapi ada dalam kitab Muqasyafatul Qulub oleh Imam Al-Ghazali dan Qishashul Anbiya (kisah-kisah nabi).
Syam’un AS dikurniakan mukjizat kekuatan yang sangat luar biasa sehinggakan mampu untuk meruntuhkan tembok dan melembutkan besi.
Selain tu, pedang Syam’un AS diperbuat daripada tulang rahang unta yang diberi nama Liha Jamal juga merupakan satu mukjizat dimana ia berupaya mengeluarkan makanan serta minuman ketika Syam’un AS lapar dan dahaga.
Walaupun Nabi Syam’un AS ni sangat gagah, baginda merupakan hamba yang sangat taat dan kuat beribadah kepada Allah SWT. Syam’un AS dikatakan berpuasa dan berjihad di siang hari dan beribadah pada malamnya.
Syam’un AS diseksa orang kafir atas khianat isterinya sendiri
Pada zaman Syam’un AS, penyembahan berhala sangat berleluasa dalam kalangan Bani Israil tu, jadi baginda dikurniakan kekuatan supaya dapat menyebarkan dakwah dengan mudah.
Yang peliknya, orang-orang Romawi ni sangat gerun akan Nabi Syam’un AS yang kuat tu, tapi mereka masih tak nak mengikut ajarannya. Ini disebabkan mereka ni tak dapat dipengaruhi dengan kekuatan. Mereka hanya pentingkan berhala dan hanya boleh dipengaruhi dengan harta benda.
Syam’un AS ni sangat dibenci orang-orang kafir pada masa tu termasuklah Raja Bani Israil sehinggakan mereka mahu menghapuskan baginda .
Raja Bani Israil ni sebenarnya sangat takut juga dengan Syam’un AS, sebab tu lah dia siap menawarkan harta berupakan wang, permata dan emas untuk sesiapa yang mampu untuk membawa Syam’un AS kepada dia dalam keadaan lemah.
Orang-orang kafir kemain semangat nak hapuskan Syam’un AS sehinggakan isteri Syam’un AS juga ditawarkan harta benda supaya memerangkap baginda. Untuk pengetahuan korang, Syam’un AS sangat mengasihi isterinya.
Ibarat gunting dalam selimut, isteri Syam’un AS sanggup menerima tawaran orang-orang kafir tu dan mengkhianati cinta suaminya. Ketika Syam’un AS sedang tidur, isterinya mengikat suaminya dengan tali tapi dengan mudahnya baginda memutuskan ikatan tu.
Maka Syam’un AS bertanya kepada isterinya:
“apakah engkau yang mengikat aku wahai isteriku?”
Lalu isterinya menjawab:
“Aku hanya ingin menguji seberapa kuat engkau wahai suamiku.”
Selepas percubaan pertama tu dah gagal, orang-orang kafir ni bagi pula rantai besi kepada isteri Syam’un AS untuk mengikat suaminya. Hasilnya sama juga sebab Syam’un AS boleh putuskan ikatan rantai besi tu dengan mudah.
Lepas gagal lagi, datang pula iblis kepada orang-orang kafir ni supaya menyuruh isteri Syam’un AS menanyakan sendiri kelemahan suaminya.
Sayang punya pasal, Syam’un AS yang mempercayai isterinya tu pun bagitahu yang rambutnya sendiri adalah kelemahanya. Yang menariknya, rambut Syam’un AS ni sangatlah panjang sehinggakan masa berdiri pun rambutnya mencecah tanah.
Jadi, percubaan seterusnya pula, isteri Syam’un AS pun memotong rambut suaminya lalu mengikat baginda dengan rambutnya sendiri. Syam’un AS yang dah diikat tu tak mampu nak melepaskan diri dari ikatan tu lalu dibawa ke istana Raja Bani Israil dalam keadaan yang lemah dan diseksa.
Syam’un AS dikerat bibir dan telinganya manakala matanya dibutakan oleh orang-orang kafir ni. Akibat dari tu, datanglah Malaikat Jibril kepada Nabi Syam’un AS bertanyakan permintaannya.
Syam’un AS berdoa meminta kepada Allah SWT:
“Saya ingin minta ampun atas kesalahan yang seharusnya tidak saya beritahukan kepada siapapun termasuk isteri saya, dan minta agar kekuatannku dikembalikan hingga saya dapat menggerakkan tiang istana ini” – petikan dari SUARAMUHAMMADIYAH
Maka, Allah SWT kabulkan doa Syam’un AS dan dikembalikan kekuatan sehinggakan tiang istana yang Syam’un AS diikat hancur lalu meruntuhkan istana Raja Bani Israil tu. Kesemua masyarakat dalam istana tu habis mati dalam runtuhan kecuali baginda.
Sejak dari kejadian tu, Syam’un AS bersumpah untuk dosa-dosanya dengan beribadah dan berjuang di jalan Allah SWT selama 1000 bulan lamanya iaitu bersamaan dengan lebih 83 tahun.
Kisah Syam’un AS turut diceritakan dalam Bible
Korang tahu tak yang kisah Nabi Syam’un AS ni ada juga versi Bible? Dalam kitab Injil atau Bible ni, Syam’un AS disebut sebagai Samson manakala isterinya dipanggil Delilah dan kisahnya lebih kurang je dengan cerita yang korang dah baca ni.
Sama juga dengan kisah yang diceritakan Rasulullah SAW, Samson ni merupakan seorang manusia yang tersangatlah kuat sehinggakan mampu mengalahkan singa dengan tangan kosong!
Untuk versi Bible, Samson ni dikatakan melawat ke Filistin lalu berkenan pula dengan seorang wanita Filistin ni dan mahu menikahinya. Dia mengadakan pesta untuk perkahwinan tu tapi majlis tu diakhiri pula dengan pergaduhan besar. Rupa-rupanya, wanita tu sebenarnya dah berkahwin dengan orang lain.
Samson ni sangat mengagumi wanita-wanita Filistine yang cantik sehinggalah dia bertemu dengan Delilah dan mengahwininya.
Orang-orang Filistin ni menawarkan sejumlah harta kepada Delilah supaya dia menemukan sumber kekuatan Samson. Tapi, Samson ni memang dah syak sesuatu so dia pun bagitahu petunjuk palsu kepada Delilah supaya plot mereka ni gagal.
Bezanya dengan cerita Rasullah SAW, Samson mengalah juga akhirnya dengan desakan Delilah dan mengaku yang dia akan menjadi lemah apabila kepalanya dicukur.
Jadinya, Delilah ni bawa seseorang untuk mencukur kepala Samson semasa dia tengah tidur supaya dia menjadi lemah. Lepas tu, Samson ditahan dan menjadi tawanan orang Filistin, dicungkil biji matanya dan dipaksa menjadi buruh menukarkan sebuah kilang menjadi penjara Gaza.
Lama-kelamaan, rambut Samson beransur tumbuh. Suatu hari, orang-orang Filistin mengadakan sebuah upacara memuja dewa Dagon. Orang ramai yang ada masa tu berteriak nak tengok Samson, jadi Samson dibawa keluar dan diikat di antara dua tiang.
Masa tu, orang ramai menghina Samson lalu dia berdoa agar kekuatannya dikembalikan untuk sekali tu saja. Doanya dikabulkan dan dia pun menolak tiang-tiang kuil sehingga meruntuhkan kuil tu dan membunuh semua orang termasuklah dirinya sendiri.
Turunnya wahyu Allah SWT mengurniakan malam lailatulqadar untuk umat Islam
Kembali pada penceritaan Rasulullah SAW tadi, sahabat-sahabat pun menangis selepas mendengar cerita baginda SAW sebab mereka pun nak beribadah macam Syam’un AS. Lalu, baginda SAW pun diam sejenak dan ketika itulah wahyu Allah SWT diturunkan.
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar (1),
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? (2),
Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (3),
Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); (4),
Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (5)” – Surah al-Qadr.
Walaupun kisah Nabi Syam’un AS tercatat dalam Muqasyafatul Qulub, tiada hadis riwayat yang sahih mengenai kisah ni. Kisah ni lebih sesuai dikatakan sebagai legenda berbanding asbabun nuzul atau sebab turunnya ayat al-Quran.
Maka, umat Islam seharusnya sama-sama memanfaatkan malam lailatulqadar yang dikurniakan melalui kisah Nabi Syam’un Al-Ghazi. Sebabnya, malam lailatulqadar ni datang sekali je dalam setahun semasa bulan Ramadan dan teramatlah besar ganjaran bagi mereka yang beribadah pada malam tu.
- 590Share sekarang!
- Email20
- Facebook570
- Share