- 171Share sekarang!
- Email8
- Facebook163
- Share
This article is a translation. For the original, visit our sister site, CILISOS)
(Untuk korang yang nak semak sesuatu berita atau kenyataan menteri tu betul ke bohong, boleh lah join Group FB Berita Betul Ke Bohong Malaysia ni!)
Pelantikan peguam dan aktivis hak asasi manusia, Latheefa Beebi Koya, sebagai ketua baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dah jadi buah mulut sejak kebelakangan ni.
Walaupun ramai yang jelas menyokong perkara ni, tapi nampaknya Badan Peguam Malaysia mempersoalkan pelantikannya, sebab ia agak bercanggah dengan janji pilihan raya Pakatan Harapan.
“Kerajaan berhasrat untuk mempunyai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) tapi untuk itu, kerajaan perlukan majoriti dua pertiga, tapi kerajaan tidak mempunyai majoriti dua pertiga untuk menukar Perlembagaan Persekutuan. Jadi buat masa sekarang kita ikut cara lama dalam membuat sesuatu pelantikan iaitu Perdana Menteri yang membuat keputusan.” – Tun Mahathir, dipetik dari The Star.
Walaubagaimanapun, ada beberapa pihak, termasuklah bekas ketua SPRM, Mohd Shukri Abdull sanggup memberi peluang kepada Latheefa Koya untuk melakukan yang terbaik dalam menjalankan tugasnya. Dan caranya adalah dengan menyiasat kes-kes rasuah yang mungkin tak selesai lagi seperti…
1. Menteri Besar Negeri Sembilan yang didakwa membeli sebuah apartmen mewah melalui… pengurup wang
- Jumlah yang terlibat: RM10 juta
- Kes dibuka: 2008
- Status terkini: Ditutup pada 2013
- Siapa yang mahu ia dibuka semula: Rafizi Ramli, Zulkefly Mohammad Omar dan Yusof Tapar dari PKR
Pada tahun 2008 masa Mohammad Hassan (Tok Mat) dari UMNO masih lagi merupakan Menteri Besar Negeri Sembilan, dia didakwa membeli sebuah apartmen mewah di London yang bernilai RM10 juta. Yang peliknya transaksi pembelian tu bukan melalui bank, tapi dengan memindahkan duit ke luar negara melalui… pengurup wang?!
“Pejabat Peguam Negara telah meneliti butir-butir siasatan. RM10 juta itu bukan produk dari rasuah. Pejabat Peguam Negara berpendapat bahawa ia adalah lebih sesuai untuk mengambil tindakan terhadap pengurup wang. “- Nancy Shukri, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri kepada Malay Mail pada tahun 2013.
Dan baru-baru ni pada April 2019 pula semasa PRK Rantau, beberapa orang dari PKR seperti Rafizi Ramli menggesa supaya SPRM membuka semula kes ni. Ini kemungkinannya adalah semasa 2013 di mana Tok Mat didapati tak bersalah, tiada apa-apa kenyataan pun yang menerangkan kenapa Tok Mat memilih untuk membuat pemindahan wang melalui pengurup wang walaupun ia secara jelas adalah menyalahi undang-undang.
Tambahan pula, Ketua Penerangan PKR, Yusof Tapar, baru-baru ni membuat laporan polis terhadap Tok Mat dengan membentangkan bukti baru – video Tok Mat didakwa membuat pengakuan terhadap kes tu kepada polis.
Sebenarnya Tok Mat sendiri dilaporkan mengalu-alukan sebarang siasatan baru oleh SPRM mengenai kes ni. Walau bagaimanapun, semasa penulisan ni, tak ada laporan pun yang menyatakan kes tu telah dibuka semula atau disiasat sekali lagi walaupun laporan yang telah dibuat oleh Yusof.
2. Pendakwaan terhadap kes rasuah dan skandal Taib Mahmud
- Jumlah yang terlibat: BERBILION BILION
- Kes dibuka: Pada tahun 2011
- Status terkini: Ditutup pada 3 Julai 2018
- Siapa yang mahu kes dibuka semula: Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen, Laporan Sarawak dan Gerakan
Tun Mahathir dan Taib Mahmud dulunya memang dikenali sebagai kawan rapat, iaitu semasa Taib Mahmud merupakan Menteri Wilayah Persekutuan pada tahun 1980-an. Bagaimanapun, Dr Mahathir mendakwa yang dia tak dimaklumkan pun mengenai laporan yang dibuat terhadap Taib.
“Untuk kita ambil tindakan, mesti ada laporan oleh seseorang. Sampai saat ini terdapat banyak perbincangan tetapi tidak ada laporan yang betul, jadi kami belum mengambil tindakan apa-apa. Tetapi jika rakyat Sarawak ingin kami mengambil tindakan, mereka boleh membuat pertuduhan atau aduan dan kita akan melihatnya, “- Tun Mahathir, The Star, 29 Jun 2018
Selepas kenyataan tersebut, kitorang dapati ada seorang lelaki yang dah pernah buat laporan setebal dua inci terhadap Taib Mahmud dan keluarga, dan namanya adalah Francis Paul Siah dari Movement for Change, Sarawak (or MoCS).
Selepas Francis, ada seorang lelaki lain yang bernama Roland Engan, Pengerusi PKR Baram, yang mendakwa dia juga telah memfailkan aduan baru terhadap Taib Mahmud pada 6 Jun 2018 kerana dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa ketika Taib masih menjadi Ketua Menteri. Sejak itu, terdapat 15 fail yang dilaporkan oleh SPRM untuk menyiasat Taib Mahmud dan keluarganya.
Bagaimanapun selepas siasatan menyeluruh, SPRM dilaporkan tak dapat mengesan sebarang bukti salah laku atau rasuah yang dilakukan oleh Taib dan keluarganya.
“Kita perlu menghentikan siasatan ke atas Taib pada ketika ini. Kami telah membuka 15 fail terhadap Taib. Memang benar dia terlibat dalam sebahagian daripada dakwaan itu.
Tetapi tidak ada dalam satu kes di mana dia mempengerusikan mesyuarat atau membuat keputusan. Undang-undang tidak membenarkan kami mengambil tindakan jika dia tidak membuat keputusan. “- Bekas Ketua SPRM, Shukri memberitahu The Edge Markets.
Dia menambah lagi, yang satu-satunya cara untuk membabitkan Taib Mahmud dengan tuduhan tersebut adalah dengan menerima maklumat baru daripada orang di belakang tabir atau saksi yang sebenarnya boleh membantu dalam siasatan.
Mungkin sebab ni la kenapa beberapa pihak macam Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen, Sarawak Report dan Gerakan meminta SPRM untuk membuka semula siasatan untuk skandal Taib Mahmud.
3. Menteri Wilayah Persekutuan didakwa menerima RM160 juta daripada projek Taman Rimba Kiara
- Jumlah yang terlibat: RM160 juta
- Kes dibuka: Pada tahun 2018
- Status semasa: Masih dalam siasatan
- Siapa yang mahu kes dibuka semula: Hannah Yeoh dan C4
Pada tahun 2016, penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) mula melihat sebuah projek baru yang sedang membangun di taman mereka, yang dikenali sebagai Taman Rimba Kiara. Dan mereka tak gembira dengan perkara tu.
Semasa projek itu dimulakan, Yayasan Wilayah Persekutuan, yang memiliki tanah Taman Rimba Kiara, dilaporkan sebagai rakan usahasama dengan sebuah syarikat swasta bernama Memang Perkasa Sdn Bhd untuk projek ini. Projek tu didakwa diberikan tanpa tender terbuka.
Walau bagaimanapun, rancangan tu adalah untuk membangunkan tanah bagi membina rumah dan kondominium yang berpatutan. Tapi ada dakwaan yang mengatakan walaupun Memang Perkasa SDn. Bhd. menanggung kesemua kos pembangunan, sejumlah RM160 juta tetap disalurkan kepada yayasan. Dan korang rasa siapa pemilik yayasan tu?
Dan ia adalah… Tengku Adnan Tengku Mansor, yang merupakan Menteri Wilayah Persekutuan pada masa tu.
Sejak tu, penduduk TTDI dah buat bantahan untuk projek tu. Bukan tu je, malah korang sendiri mungkin pernah dengar pasal pertikaian antara Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh mengenai projek ni. Menurut Hannah, projek itu dilaporkan mempunyai unsur konflik berkepentingan.
Hannah juga baru-baru ni mendakwa yang projek tu mempunyai 273 pelanggaran undang-undang yang disenaraikan di bawah Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020. Walaupun terdapat tuduhan dan pelanggaran, Khalid Samad mengecilkan projek tu dan menyatakan yang dia hanya akan membatalkannya sekiranya pihak berkuasa benar-benar menemui unsur-unsur rasuah yang dikaitkan dengannya.
Dan semasa penulisan ni dilakukan, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) telah membentangkan penemuan mereka mengenai dakwaan rasuah terhadap projek tu kepada SPRM. Dan dengan penemuan C4, kes tu telah dibuka semula dan sedang berada dalam siasatan semula. Malah, SPRM mendakwa yang ia berada di peringkat terakhir penyiasatan sebelum kertas tu dikemukakan kepada pendakwa raya.
4. Kes di mana SPRM sendiri terkejut apabila ia ditutup
- Jumlah yang terlibat: RM2.8 juta
- Kes dibuka: Mac 2016
- Status terkini: Ditutup pada 6 September 2018
- Siapa yang mahu kes dibuka semula: Gerakan
Pada tahun 2015, Lim Guan Eng didakwa menggunakan jawatannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) untuk meluluskan penukaran tanah pertanian ke zon perumahan awam. Bukan tu je, malah terdapat satu lagi tuduhan ke atasnya di mana dia telah didakwa membeli sebuah banglo di bawah nilai pasaran (pada RM2.8 juta). Ahli perniagaan, Phang Li Koon juga didakwa kerana terlibat dalam proses membeli banglo (yang sebenarnya dia mampu, tak macam beberapa bekas menteri lain *ahem*).
Dan pada tahun lepas, Guan Eng dan Phang nampaknya dilepaskan dan dibebaskan dari segala tuduhan mereka. Dan dah tentulah ramai yang mempersoalkan pembebasan tu, dan korang boleh baca pasal kes tu kat sini.
“Ketua SPRM pada masa itu juga terkejut dengan keputusan itu.” – Datuk Dr Dominic Lau, presiden Gerakan kepada The Star.
Jadi, masuk akal je kenapa Gerakan baru-baru ni minta supaya Latheefa Koya meneliti semula kes ni. Tapi setakat penulisan ni dibuat, belum ada lagi laporan yang menyatakan kes tu dah dibuka semula.
Bila kita sebut pasal Lim Guan Eng, mungkin ada juga antara korang yang fikir tentang terowong bawah laut Pulau Pinang tu. Tapi projek terowong bawah laut Pulau Pinang tu nampaknya sedang disiasat. Kalau korang memang mengikuti berita tentang projek ni, korang juga mungkin pernah dengar tentang G Gnanaraja yang didakwa menipu kontraktor dengan nilai sebanyak RM19 juta, malah didakwa dengan 68 tuduhan rasuah yang lain. Korang boleh baca kes tu dengan lebih lanjut kat sini.
Memandangkan projek tu masih disiasat, C4 telah menggesa kerajaan Pulau Pinang untuk menghentikan projek tu.
5. Bumbung stadium Terengganu yang runtuh tapi tiada siapa yang bertanggungjawab !?
- Jumlah yang terlibat: RM35 juta
- Kes dibuka: 2009
- Status terkini: Ditutup pada 31 Januari 2011
- Siapa yang mahu kes dibuka semula: Ketua Pakatan Harapan Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah
Korang masih ingat tak, pada bulan Jun 2009, bumbung stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh? Ketua Pakatan Harapan, Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah baru-baru ni nampaknya meminta adanya siasatan baru dalam kes itu.
Kes tu dilaporkan ditutup pada tahun 2011 apabila seorang jurutera perunding tempatan, Wan Man Wan Ali didakwa mengikut Kanun Keseksaan berhubung kejadian itu. Dia didakwa bertindak seperti pemeriksa meluluskan, menandatangani dan menyerahkan dokumen mengenai sistem bumbung utama dan kerja yang berkaitan untuk membina stadium utama kepada Jabatan Kerja Raya negeri.
Tapi selain Wan Man, tak ada pihak lain yang bertanggungjawab atas kejadian tu. Syarikat Korea Selatan yang merancang dan membina bumbung dengan kos RM35 juta pun tak kena. Raja Kamarul percaya yang syarikat tu harus bertanggungjawab dan laporan penuh yang dikeluarkan oleh SPRM mengenai insiden itu pada 2009 tak menjawab persoalan-persoalan yang sepatutnya.
“Siapakah pereka asal dan jurutera bumbung dan mengapa syarikat Korea Selatan tidak berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.” – Raja Kamarul memberitahu The Star.
Walaupun SPRM melakukan siasatan menyeluruh pada masa tu, Raja Kamarul menegaskan yang tak ada sebab atau punca utama dari insiden ini diketahui oleh orang ramai. Dan ni mungkin sebab kenapa dia memanggil kes tu untuk dibuka semula.
6. Lelaki MIC yang membuat laporan rasuah terhadap Samy Vellu untuk… KALI KETIGA
- Amaun yang terlibat: RM449,595
- Kes dibuka: –
- Status semasa: Tiada apa yang berlaku…
- Siapa yang mahu kes dibuka semula: Ketua Bahagian MIC Sungai Siput, M Lokanathan
Dan yang terakhir sekali adalah kes yang berlaku pada tahun 2005 ketika Samy Vellu masih lagi merupakan Menteri Kerja Raya. In case korang lupa, Samy Vellu juga adalah bekas presiden MIC pada masa tu dan dikenali kerana petikan ikoniknya sebagai ‘Bapa Pembangunan Kaum India’.
Menurut ketua MIC Sungai Siput, M Lokanathan, Samy Vellu didakwa membeli tanah seluas 40.87 hektar di Sungai Siput di bawah harga pasaran.
“Samy telah membeli tanah tersebut dengan hanya RM11,000 sehektar, padahal harga pasaran pada masa itu untuk pembelian tanah itu adalah RM68,000 sehektar.” – Lokanathan kepada NST.
Dan nampaknya, tanah tu, yang juga ladang kelapa sawit, dibeli untuk membina rumah mampu milik untuk pekerja ladang yang juga pemegang saham sebuah perbadanan perladangan yang diketuai oleh Samy Vellu.
Walau bagaimanapun, Lokanathan mendakwa yang tiada rumah pun sebenarnya dibina untuk pekerja dan mereka bahkan tak dapat faedah daripada hasil yang diperolehi daripada hasil kelapa sawit. Malah, pemilikan tanah tu didakwa dipindahkan kepada ahli perniagaan China tetapi Lokanathan tak mendedahkan siapa ahli perniagaan tu.
Dan mungkin itulah sebabnya kenapa Lokanathan membuat laporan kepada SPRM untuk menyiasat Samy Vellu mengenai kes ni pada September 2016 dan Februari 2017. SPRM bagaimanapun tak mengambil tindakan terhadap laporannya. Dia kemudiannya membuat laporan ketiga (ya, sebanyak tu) kepada SPRM dalam kes yang sama pada bulan Mac 2019.
Dan nampaknya kali ni, SPRM dilaporkan telah diancam oleh bekas timbalan setiausaha agung PKR, Jenapala Perumal yang mendakwa yang dia akan buat laporan terhadap SPRM kalau SPRM masih lagi tak nak ambil tindakan terhadap Samy Vellu.
Eh, kenapa pula kes Teoh Beng Hock tak disenaraikan sekali?!
Ok, ok. Ya, ramai pihak contohnya dari Gerakan dan pemimpin Pemuda DAP yang dah minta supaya Latheefa Koya buka semula kes Teoh Beng Hock – seorang pembantu DAP yang dipanggil untuk dipersoalkan di SPRM, dan dia akhirnya didapati mati di luar bangunan tak lama lepas soal siasat tu.
“Kegagalan Menteri Dalam Negeri untuk mengarahkan Ketua Polis Negara untuk membuka semula siasatan terhadap kematian Teoh Beng Hock walaupun digesa untuk berbuat demikian oleh Peguam Negara membingungkan dan amat dikesali.
Kegagalan untuk mengarahkan IGP bertindak dengan segera menimbulkan kecurigaan terhadap kemungkinan penutupan kematian Teoh. “- Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh ke Malay Mail.
Dan ini mambawa kita kembali kepada ketua SPRM yang baru bersara, Shukri Abdull. Nampaknya, ada beberapa pihak yang tak berpuas hati dengan pelantikan Latheefa tu sebab mereka merasakan yang Shukri adalah seorang calon yang sangat baik, tak bersifat politik dan nampaknya berani dan tegas dengan beberapa tekanan serius semasa pemerintahan sebelumnya.
Bagaimanapun, kita juga mendapati yang Shukri sebenarnya merupakan ketua penyiasatan untuk kes Teoh Beng Hock dan kes tu belum dibuka semula semasa dia masih dilantik sebagai ketua SPRM. Seperti yang korang lihat, ketua SPRM bukan peranan tentang kebolehan, tetapi juga mengenai persepsi masyarakat.
Jika anda tidak boleh mempercayai seorang anggota polis, bolehkah anda percaya bahawa dia menangkap orang yang betul?
Teoh Beng Hock hanyalah salah satu daripada beberapa kes yang masih perlu disiasat. Malah ada lagi kes lain seperti…
- Skandal apartment didakwa melibatkan dua exco PKR Johor (Gerakan meminta SPRM membuka semula kes ni)
- Kes 1BestariNet yang telah disiasat oleh SPRM pada tahun 2015 atas kegagalannya
- Kes-kes terhadap Dr Mahathir (Pemantau Malaysia Baru telah meminta SPRM untuk membuka semula kes-kes ini)
… dan kemungkinannya, banyak lagi.
Dan sebenarnya SPRM baru-baru ni dah mula menyiasat kes berprofil tinggi yang melibatkan beberapa menteri termasuk bekas Menteri Pertahanan, Hishamuddin Hussein. Dia didakwa terlibat dalam perjanjian pertukaran tanah mengikut laporan rasuah oleh MINDEF.
Bagaimanapun reputasinya, tindakan sebenarnya yang lebih penting daripada janji-janji yang ditaburkan. Ini mungkin kenapa sesetengah pihak macam Gerakan meminta supaya SPRM di bawah pentadbiran Latheefa untuk membuka semula beberapa kes, terutama kes profil tinggi, untuk menghapuskan persepsi pelantikan politik.
“Saya percaya jika Latheefa dapat mencapai tiga KPI di atas, dia boleh menghancurkan kritikan bahawa dia adalah pelantikan politik, dan juga membuktikan bahawa dia kompeten.” – Dominic Lau memberitahu The Star.
- 171Share sekarang!
- Email8
- Facebook163
- Share