5 perlaksanaan hukuman hudud yang ramai salah anggap

UPDATE 4/9/2018: Dua wanita yang didakwa atas kesalahan percubaan melakukan hubungan songsang dah disebat dikhalayak seramai 100 hingga 150 orang. Kedua-dua wanita yang berusi 32 dan 22 tahun tu dah disebat sebanyak 6 kali sebatan oleh dua orang tukang sebat wanita dari penjara Kajang, Selangor. Ini adalah pertama kali sebat di hadapan khalayak dilakukan di Malaysia.


Sebat dikhalayak ramai ni juga dulu pernah dibangkitkan oleh Datuk Hassan Mahmud, Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan pada tahun 2016. Katanya, pelaksanaan hukum hudud diperkembangkan lagi kalau tak bercanggah dengan perlembagaan.

Jadinya, isu hudud kat Malaysia ni memang dah lama sangat diperkatakan. Kalau korang nak tau, hudud sebenarnya dah diluluskan kat Kelantan dan Terengganu, tapi disebabkan limit kuasa mahkamah syariah (yang tak boleh melebihi kuasa mahkamah sivil) dan juga tekanan dari kerajaan persekutuan, ia tak dapat dilaksanakan sepenuhnya.√ Jadi apa yang presiden PAS, Hadi Awang cuba lakukan kat Parlimen dulu adalah buat pindaan pada Akta 355 supaya had ini boleh dimansuhkan.

UPDATE 12 JULAI 2017: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang antaranya membolehkan hukuman sebat dijalankan kat khalayak ramai. RUU ni jugak dikatakan sebagai salah satu persiapan Kelantan untuk melaksanakan Akta 355 kalau ia diluluskan Parlimen nanti.

UPDATE 02 JAN 2018: Kerajaan Negeri Kelantan kata – khidmat pakar bedah akan digunakan untuk hukuman potong tangan. Khidmat pakar bedah diambil untuk elakkan sebarang kesalahan dan kesilapan masa hukuman potong tangan dilaksanakan.

Imej asal dari Malay Mail Online.
Imej asal dari Malay Mail Online.

Jadi apa itu hukuman hudud?

Hudud sebenarnya adalah hanya satu dari tiga bahagian dalam Undang-undang Jenayah Islam/Syariah. Oleh tu kami akan ceritakan dulu apa itu Undang-undang Jenayah Syariah:

  • Qisas: Hukuman balas untuk bunuh dibalas dengan bunuh dan mencedera dibalas dengan mencedera. Tapi jika membunuh dengan tak sengaja dan mencedera dengan tak sengaja maka hukumannya adalah denda atau Diyat.
  • Hudud: Hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah SWT melalui al-Quran dan Hadis. Khusus untuk kesalahan zina, menuduh orang berzina (Qazaf), minum arak, mencuri, merompak dan murtad.
  • Takzir: Hukuman yang tak disebut dalam al-Quran dan Hadis. Hukuman ini diserahkan kepada kebijaksanaan hakim. Hukuman boleh jadi seperti penjara, buang daerah, denda, sebat, nasihat dan lain-lain.

 

Dalam Islam, hakim yang dilantik perlu adil, berilmu dan bermaruah. Imej dari Berita Harian.

Dan di bawah ini adalah antara hukuman-hukuman hudud:

  • Berzina: Sebat 100 kali untuk orang belum berkahwin dan rejam sampai mati untuk orang yang dah kahwin.
  • Tuduh orang berzina (Qazaf): Hukuman sebat 80 kali jika tak bawa 4 saksi.
  • Minum arak: Sebat antara 40 hingga 80 kali mengikut mazhab.
  • Mencuri: Potong tangan jika cukup bukti dan ada 2 orang saksi.
  • Merompak: Jika membunuh masa merompak hukumannya bunuh. Merompak dengan merampas harta orang lain, hukumannya potong tangan dan kaki.
  • Murtad: Keluar dari Islam sama ada melalui perkataan atau perbuatan. Hukumannya mati. (pancung kepala)
Imej dari Giphy.

Walaupun hukuman-hukuman ni (khususnya hudud) nampak macam ganas dan keras tapi untuk melaksanakannya adalah sangat susah. Kami buat kajian tentang perkara ni dan ini yang kami dapat.

1. Dalam kes murtad, bukan semua kena hukum mati

Murtad bermaksud keluar dari agama Islam secara perbuatan atau perkataan dengan memeluk agama lain atau ajaran yang bertentangan dengan Islam. Tentang hukuman untuk kesalahan ni, Presiden PAS, Hadi Awang dan pendakwah terkenal Dr Zakir Naik ada bagi penerangan pasal masalah ni.

  • Hukuman mati hanya dilaksanakan jika orang yang murtad tu mengancam keselamatan negara, menyebarkan agama baru mereka atau bertindak memusuhi Islam.
  • Hukuman mati tak akan dijalankan bila tindakan murtad itu diambil secara persendirian dan tak buat perkara yang kat atas tadi.

“Hukumannya dilihat dari segi bahayanya orang yang murtad itu, sekiranya dianggap mengancam keselamatan negara, jadi agen kepada musuh Islam maka hukumannya mati.” – Tuan Guru Hadi Awang dipetik dari ucapannya di S. Rajaratnam School of International Studies, Singapura.

Tapi orang yang murtad, mereka masih diberikan peluang untuk bertaubat. Ada ulama yang berpendapat diberikan masa beberapa hari dan ada ulama yang kata sepanjang hayat.

2. Ketika sebat, tangan perotan tak boleh angkat lebih dari ketiak

Hukuman sebat di Aceh, Indonesia. Imej dari Al-Jazeera.

Hukuman sebat dalam Islam dikhaskan pada orang yang berzina, menuduh orang berzina tanpa saksi dan minum arak. Tapi hukuman sebat tak macam apa yang kita nampak kat penjara sekarang ni.

Islam dah tetapkan syarat-syarat bagaimana hukuman sebat dijalankan:

  1. Rotan yang digunakan tak terlalu berat atau terlalu ringan.
  2. Ketika sebat dilaksanakan tangan perotan tak boleh diangkat hingga nampak ketiak dan tak boleh lebih tinggi dari kepala perotan.
  3. Kalau pesalah yang akan dihukum itu sakit, maka hukuman akan ditangguhkan.
  4. Jika berlaku ketelanjuran dalam sebatan seperti luka, maka pesalah boleh dapatkan pampasan.
  5. Hukuman sebat untuk kesalahan minum arak dikecualikan untuk wanita mengikut Mazhab Hanafi.
Imej dari Mindakini.

Malah mungkin ada yang pernah dengar pasal kisah zaman Nabi yang telah menggantikan hukuman sebat:

“Ada satu kisah zaman Rasullulah seorang lelaki didapati bersalah kerana berzina dan dihukum 100 sebatan. Tapi sahabat beritahu pada Nabi Muhammad yang lelaki tu kurus dan uzur kalau disebat takut boleh mencederakannya.

Jadi Rasullulah kata ambil seikat ranting yang berjumlah 100 batang dan disebat sekali saja kepada lelaki itu dan 100 ranting tadi hanyalah sebagai simbolik.” – Hadis riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Majah, diceritakan oleh Tuan Guru Hadi Awang, dipetik dari ucapannya di S. Rajaratnam School of International Studies, Singapura.

3. Hudud tak dikenakan ke atas pencuri kalau dia miskin dan terpaksa

Sebenarnya bila nak laksanakan hukuman potong tangan, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan dan syarat-syarat yang perlu dipenuhi. Bila dah cukup bukti dan syarat yang ada seperti 2 orang saksi, barulah hukuman ni boleh dijalankan.

Imej dari Giphy.

Selain tu, ada lagi situasi-situasi yang menghalang dari hukuman ini dijalankan:

i) Hukuman tak boleh dilaksanakan kalau kecurian berlaku antara ahli keluarga.

Contoh: Isteri curi barang suami, anak curi barang bapa atau adik curi barang kakak.

ii) Hukuman tak boleh dilaksana jika orang yang mencuri itu bertindak kerana terpaksa atau nilai barang yang dicuri kecil.

Contoh: Si pencuri seorang yang miskin/tak ada punca pendapatan/ada pendapatan tapi tak cukup atau mencuri sesuatu barang yang nilainya kecil (nilai akan ditetapkan oleh kerajaan mengikut keadaan semasa).

iii) Kalau berlaku kecurian dan itu kerana kelalaian kita, maka hukuman potong tangan pada si pencuri juga tak boleh dilaksanakan.

Contoh: Barang kemas atau barang berharga yang kita letak kat merata tempat atau tempat yang tak selamat dan lepas tu dicuri pulak dengan orang.

iv) Tak dihukum Hudud tapi Takzir, kalau mencuri harta awam kerana semua orang termasuk si pencuri ada hak terhadap harta itu.

Contoh: Mencuri kabel letrik, balak, besi penutup longkang atau sebagainya.

v) Suspek tidak boleh dipaksa mengaku kesalahan.

Contoh: Suspek mengaku salah bila dia dah dipukul atau diancam.

“Walaupun macam tu, tak bermakna mereka boleh lepas begitu saja. Jika ada bukti yang membuktikan dia bersalah dia tetap dihukum tapi dengan Takzir. Nak pergi (hukum) ke Hudud ni cukup payah dia punya syarat.” – Tuan Guru Hadi Awang.

4. Dalam kes zina, pesalah digalakkan bertaubat daripada mengaku salah

Bagi Islam, jika seseorang itu telah melakukan kesalahan maka lebih baik jika dia bertaubat atau minta ampun dari mangsa berbanding menyerah diri dan dihukum.

“Mengikut syariat Islam, pihak yang berkenaan sama ada hakim atau polis bila datang orang yang mengaku (kesalahan), dinasihatkan supaya dia bertaubat. Diberi peluang sebanyak 4 kali dalam kes zina supaya dia balik dan bertaubat.”- Tuan Guru Hadi Awang.

Mengikut akidah Islam, jika seseorang itu mengaku dan dihukum di dunia maka dia tak akan dihukum lagi kat akhirat nanti. Manakala bagi orang yang mengampunkan kesalahan pula, Allah janjikan syurga kepada mereka.

Selain tu dalam hukum Qisas, pesalah hanya boleh diampunkan oleh ahli keluarga si mati yang dibunuh atau mangsa itu sendiri (yang dicederakan). Pengampunan ni tak boleh dibuat oleh kerajaan mahupun Lembaga Pengampunan.

Lembaga Pengampunan Negeri dipengerusikan oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri masing-masing. Imej dari Astro Awani.

Dalam Undang-undang Syariah jugak, denda yang dibayar tak dibagi pada kerajaan tapi diserahkan pada ahli keluarga si mati yang dibunuh atau mangsa yang dicederakan.

5. Proses pembuktian hukuman Hudud cukup ketat

Imej dari Peguam Syarie Fas.

Dalam hukum Hudud, 2 orang saksi diperlukan untuk kes mencuri dan 4 orang saksi diperlukan dalam kes zina dan menuduh zina (Qazaf). Saksi -saksi ni pulak hendaklah diambil dari orang yang betul-betul layak dan cukup syarat. Antaranya adalah beriman, adil, waras dan budiman (boleh dipercayai).

Tuduhan yang dibuat juga perlu ada bukti yang benar dan siasatan yang menyeluruh.

“Ada satu kisah di zaman Saidina Umar, seorang perempuan yang mengandung tanpa bersuami. Jadi dia dituduh berzina. Apabila dihadapkan ke Mahkamah, dia kata yang dia sebenarnya telah dirogol masa tidur kerana dia tidur mati. Bila dia bagitau perkara tu Saidina Umar tak percaya, bagaimanapun Saidina Ali yang ada ketika itu berkata, kamu tidak boleh menghukum wanita itu dan dia mesti dibuktikan dengan menanyakan kepada keluarganya dan jirannya.

Selepas dibuktikan bahawa betul wanita itu tidur mati maka dia dibebaskan dan tak dikenakan Hudud.” – Diceritakan oleh Datuk Nik Mohd Amar, Tim.Menteri Besar Kelantan, ketika di Wacana Sinar Harian.

Dalam kes rogol pulak, kalau seseorang wanita tu dirogol dan takde 4 saksi untuk buktikan kes tu. Maka siasatan polis, ujian DNA dan laporan pemeriksaan doktor boleh diterima. Cuma hukumannya bukan Hudud tapi Takzir.

Boleh ke Malaysia laksanakan hudud?

Perbincangan tentang perkara ni dah banyak diadakan dan ada banyak pendapat sama ada yang sokong atau yang bantah (boleh tengok survey yang kami pernah buat kat sini). Dr Asri Zainul Abidin dalam satu forum kata, hukuman hudud hanya boleh dilaksanakan sekiranya semua rakyat Malaysia dianggap sama di sisi undang.

“Selagi ada satu masyarakat yang ada golongan yang tak boleh disentuh, tidak boleh dibawa ke mahkamah, Hudud tidak boleh dibuat kerana ada orang yang tidak sama dihadapan undang-undang.

Sehingga suasana itu berlaku, yang berada di istana sama saja dengan yang berada di rumah buruk,(mereka) boleh dibawa ke mahkamah, Hudud akan berfungsi.” – Dr Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis ketika di Wacana Sinar Harian.

Menurut peguam Fahri Azzat pula, Sistem Syariah dan Sistem Sivil boleh duduk bersama tetapi tidak secara setaraf. Kerana katanya, peruntukan telah pun ditetapkan di bawah Kanun Keseksaan (Penal Code) dan jika Hudud hanya dilaksanakan untuk orang Islam saja, maka ia dah melanggar Perlembagaan Persekutuan – Perkara 8 yang menyebut tentang kesamarataan dan keadilan /non-discrimination (rujuk Fail PDF).

Pelaksanaan Hudud kat Brunei berkuatkuasa pada 22 Oktober 2013. Imej dari Malaysian Review.

Kesimpulan yang boleh dibuat, Hudud bukanlah hukuman yang mudah dilaksanakan kerana ia perlukan pembuktian yang lengkap dan bersyarat. Sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak di negara kita ini, itu terserah kepada Ahli Parlimen yang kita pilih sebagai wakil untuk membuat keputusan nanti.

Untuk lebih faham tentang apa itu Hudud boleh tengok video ni:

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.