- 2.2KShare sekarang!
- Email24
- Facebook2.2K
- Share
Siapa yang tak suka makan? Rata-rata rakyat Malaysia ni memang mengaku diri mereka sebagai #foodlover #foodhunter #foodie. Tengok je dekat dalam media sosial, penuh dengan gambar makanan selain daripada gambar travelling, gambar anak anak, dan gambar kucing, dan sebagainya.
Kalau dekat Malaysia ni dari segi makanan dari range paling murah sampai mahal, kita semua ada preference masing masing. Contohnya rakyat marhaen macam kami, selalu makan mamak je. Hujung bulan tu kadang-kadang bawa bekal. Kalau paling mewah tu mungkin Tony Roma’s sebulan atau dua bulan sekali je kot? Hewhewhew.
Kalau korang nak tahu, ada je makanan mahal kat seluruh dunia yang harga dia boleh beli bekalan dapur tiga keturunan! Contohnya Almas Caviar yang mencecah USD25,000 untuk 2 lbs (907gram). Eksklusifnya pakej kaviar ni, telur ikan Sturgeon liar diletakkan dalam tin yang diperbuat daripada 24 karat emas. Wheww! Atau Italian White Alba Truffle yang berharga USD160,406? Atau murah sikit daripada tu, cendawan Matsutake yang berharga USD1000?
Dekat Malaysia ni pun kita ada je makanan eksklusif kita sendiri walaupun tak setinggi harga caviar tadi. Kat sini, SOSCILI cuba senaraikan beberapa makanan di restoran tempatan yang kami rasa boleh bilang dengan jari berapa kali je boleh makan dalam setahun.
1. Ikan patin muncung di Temerloh, Pahang (RM280-300 sekilo)
Sebut je Temerloh, ikan patin ni memang makanan paling popular kat sana. Kadang-kadang tu orang dari serata Malaysia sanggup datang dari jauh semata-mata nak makan ikan patin masak tempoyak yang fresh kat sana. Patin pula ada macam macam jenis, yang paling murah adalah patin sangkar yang diternak (dikatakan bau hanyir sebab berkumpul satu tempat je), lepas tu patin sungai, up sikit, patin buah yang harga dia kami check mencecah RM100 sekilo setakat tahun 2012.
Peminat tegar ikan patin yang pentingkan kualiti bolehlah pergi cuba. Biasanya, ikan patin buah dijual pada harga antara RM90 dan RM200 sekilogram, kalau yang dah masak, harga dalam RM18 hingga RM20 seketul ikut saiz. Tapi yang paling mahal setakat ni kitorang jumpa ialah ikan patin muncung, yang range harga dia mencecah RM280-300 untuk sekilo je. Ni yang belum masak, ok?
“Harga patin muncung memang mahal sekarang terutama bagi yang mempunyai berat sekitar satu hingga tiga kilogram. Bagi yang bersaiz lebih besar, harganya murah sedikit tetapi masih melebihi RM200 setiap kilogram,” nelayan sungai, Abdul Fadil Abu Samah
Nak dijadikan cerita, ikan patin ni jadi makin popular masa tahun 2011. Masa tu ada sekumpulan 56 orang yang pergi makan dekat restoran ikan patin di Temerloh. Sekali masa nak bayar, tergamam terus sebab hidangan patin termasuk air, semua sekali RM13,000. Nak tak nak tu kena bayar la juga. Sorang kena bayar RM240 lebih kurang sebab dah masuk perut, lepas tu baru buat report dan viralkan.
2. Ayam Cemani/Selasih/Ayam Hitam (RM17,000 hinggalah RM85,000 seekor)
Ayam ni sebenarnya berasal dari Pulau Jawa dan merupakan antara ‘ayam lagenda’ di Indonesia sebab colour dia yang rare, hitam daripada sekecil-kecil rongga sampai seluruh kulit dan tulang sekali. Tak hairan pun ayam ni jadi popular dari Indonesia sampai la seluruh dunia sampai dekat Amerika Syarikat pun ada sebab dikomersialkan.
Siap panggil ayam tu “lamborghini untuk dunia per-ayam-an” lagi sebab nilai harga dekat pasaran tinggi. Contohnya seorang penternak di Florida di Greenfire Farms menjual ayam ni untuk USD2500 seekor, dan USD4,999 untuk sepasang. Dan itu ialah RM11k sehingga RM22k duit Malaysia.
Seluruh badan hitam ayam ni hitam disebabkan fibromelanosis, iaitu satu keadaan genetik yang menyebabkan hiperpigmentasi. Ayam selasih ni mempunyai hitam bulu, kulit, paruh, kuku, dan daging, sampailah tulang pun. Satu-satunya bahagian ayam yang tidak sepenuhnya hitam adalah darah, tapi kalau nak banding, lebih gelap daripada darah ayam biasa.
Ayam ni punyalah mahal sampai ada yang dijual dengan harga RM17,000 hinggalah RM85,000 seekor, tapi ada juga yang jual dalam lingkungan harga RM450 seekor.
3. Me’nate Steak-Wagyu (bergantung kepada bahagian, jenis masakan, berat mengikut gram)
Wagyu ni asal dia ialah baka lembu Wagyu di Jepun, dimana ‘Wa’ bermaksude Jepun, dan ‘gyu’ bermaksud lembu. Lembu Wagyu sebenarnya haiwan yang digunakan dalam bidang pertanian, dan telah dipilih untuk ketahanan fizikal mereka. Wagyu adalah baka lembu bertanduk, biasanya berwarna hitam atau berwarna merah.
Daging wagyu ni mahal sebab daging tu sendiri merupakan campuran sel lemak dan otot. Walaupun lemak tu nampak sama banyak dengan daging, tapi khasiat dia lebih tinggi daripada mana-mana daging lembu biasa.
Bagi peminat steak atau wagyu, memang inilah tempat yang paling sesuai untuk feel sendiri steak yang paling best. Menurut sumber yang kitorang jumpa dekat The Malay Mail, asal nama restoran ni datang daripada perkataan Men Ate, yang membawa maksud golongan yang memakan daging. Encik Mustaffa Othman, pemilik Me’nate Steak Hub ni berasal dari Kelantan, jadi dia pun tambah apostrophe kat depan tu jadi Mē natè.
Me’nate Steak Hub pernah viral sebab review pelanggan yang bayar sampai RM9k lebih dalam satu resit. Kalau nak tahu, yang membuatkan steak dorang mahal ialah daging Wagyu tu sendiri, dan juga pemilik kedai tu pernah belajar “Master in Butchering & Culinary” di sebuah kolej swasta dalam masa 11 tahun kat Britain. Dia juga pernah berkhidmat dengan Queen Elizabeth dekat Istana Buckingham, London.
Kami siap tengok review pelanggan di Trip Advisor, rata-rata sangat berpuas hati dengan makanan dan servis di Me’nate Steak Hub. Sama ada kami tak jumpa komen negatif, atau memang tempat ni sangat sangat disarankan. Kecur liur kami tengok.
4.Mangga Harum Manis Perlis (RM40 sekilo)
Kalau tadi kita dah cakap pasal makanan, sekarang kita pergi dekat pencuci mulut pulak. Siapa yang tak pernah dengar pasal Harum Manis dekat Perlis ni, memang patut cuba.
“Tempahan akan dibuka semula bermula Mac 2017. Sila like Page Mangga Harumanis Perlis untuk info setiap musim.”- siap ada page sendiri!
Mempelam Harum Manis memang ’emas’ bagi peladang kat Perlis. Khabarnya, Harum Manis ni bakal dijual sehingga mencecah harga RM40 sekilogram pada musim buah tahun ni. Bermula awal April sampai awal Jun setiap tahun, Harum Manis memang selalu ditunggu-tunggu oleh die-hard-fans dorang. Bukan sahaja rakyat Malaysia je, tapi lepas dah dikomersial sampai luar negara, peminat buah ni pun ada dari negara seperti Jepun dan Thailand.
Selain tu juga, Mangga Harum Manis ni dah didaftarkan sebagai harta intelek Negeri Perlis lagi! Penjagaan buah ni sangat rapi, siap dikawal selia oleh Jabatan Pertanian Negeri Perlis lagi sebab mereka memang nak jaga betul kualiti buah ni.
5. Durian Black Thorn (RM60 sekilo) vs Musang King (mencecah RM110 sebiji)
Dan yang terakhir sekali, yang paling ditunggu tunggu setiap tahun *drumrolls*
DURIAAAAAAANNNNNNNNNNN!
Kalau durian sendiri ialah raja segala buah, jadi Black Thorn Durian dan Musang King ni kiranya maharaja segala raja buah la?
Durian Black Thorn ni dikatakan durian spesies baru juga, direkodkan lagi popular dari Musang King pada tahun 2015. Selain tu, Black Thorn juga merupakan juara durian pada tahun 2013 dan 2014 dalam pertandingan durian Jabatan Pertanian Malaysia, mengalahkan Durian Musang King dan Durian Raja Kunyit.
Berasal daripada Pulau Pinang, Durian Black Thorn ni sangat mahal sebab isi yang lemak manis dan amat berkrim dan jumlah yang dituai setiap tahun sangat terhad.
Ditambah pula dengan permintaan yang semakin meningkat, harga dia boleh mencecah RM60. Lebih kurang sama mahal macam pesaing dia, Musang King yang dikatakan pernah mencecah RM110 sebiji di Balik Pulau, Pulau Pinang. Nak tahu mana satu yang sedap dan paling berbaloi, tu korang kena cuba sendiri la sebab lain orang lain selera.
Disebabkan kualiti, mahal pun orang akan beli
Sesetengah orang pentingkan kualiti dari kuantiti, dan sebaliknya juga. Contohnya macam makanan yang mahal ni, selalunya sebab sangat jarang untuk dijumpai dan membuatkan ramai yang akan cari. Macam dalam buku asas ekonomi la, “Where there is demand, there will be supply”. Jadi selagi ada permintaan, selagi tu juga orang akan cari bekalan.
Dalam banyak banyak makanan yang kitorang dah sebut tadi, tu la antara makanan dekat Malaysia yang kitorang rasa paling mahal. Tapi ada kot antara makanan yang korang masih mampu makan kan? Sesetengah tu memang berbaloi la kalau nak cuba sekali sekala sebab tak salah kan? Tu pun bergantung kepada diri sendiri la, tepuk dada, tanya selera.
Kalau korang rasa ada makanan Malaysia yang lagi mahal daripada yang kitorang sebutkan ni boleh komen dekat bawah, nanti kitorang try :)
- 2.2KShare sekarang!
- Email24
- Facebook2.2K
- Share