Selain MH17, ini 5 kemalangan pesawat Malaysia yang penuh konspirasi dan misteri

UPDATE 9/3/2020: Untuk pengetahuan korang, hari ni (9 Mac 2020) bermulanya kes perbicaraan melibatkan kes terhempasnya pesawat MH17. Ia akan berlangsung di Amsterdam, Belanda. Empat orang suspek akan didakwa termasuk Igor Girkin, Sergei Dubinsky, Oleg Pulatov dan Leonid Kharchenko. Tiga daripadanya warga Russia manakala seorang dari Timur Ukraine. Semoga keadilan untuk semua mangsa dapat dibela dengan perbicaraan ini.

Korang mesti selalu dengar pasal pesawat terhempas kan? Kat peringkat dunia, kejadian yang paling baru telah berlaku pada 16 januari 2017 di mana sebuah pesawat kargo milik Turki telah terhempas di Kyrgyzstan dan meragut 32 nyawa.

 

Keadaan pesawat kargo milik Turkish Airlines terhempas di sebuah perkampungan berhampiran Lapangan Terbang Manas, Kyrgyzstan. Sumber dari Berita harian

Malaysia pun pernah juga mengalami benda yang sama di mana pesawat negara telah dirampas oleh pengganas, di embak jatuh menggunakan peluru berpandu dan kehilangan penuh misteri yang menggemparkan seluruh dunia. Di sini kami akan membawa anda mengimbas kembali tentang 5 kisah kemalangan pesawat terburuk yang pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.

5. Tragedi “Double Six” 1976 di Sabah, kemalangan atau konspirasi?

Siapa sangka apabila sebuah pesawat “GAF Nomad” yang berlepas dari Labuan pada 6 Jun 1976 untuk ke Kota Kinabalu telah menjadi satu titik hitam apabila enam pemimpin Sabah yang disayangi rakyat dan lima penumpang lain di atas kapal tersebut telah terhempas ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Mangsa yang terlibat ialah Ketua Menteri Sabah Tun Mohammed Fuad Stephens bersama-sama dengan Menteri Kewangan, Datuk Salleh Sulong, setiausaha tetapnya Datuk Wahid Peter Andu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Peter Mojuntin, Menteri Kerja Raya dan Komunikasi, Datuk Chong Thain Vun dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Darius Binion.

Tragedi Double Six telah meragut 11 nyawa. Sumber dari The Borneo Post.
Kalau korang nak tahu memang pada masa itu pesawat kecil tidak memiliki kotak hitam yang fungsinya untuk merekodkan segala kejadian yang berlaku di dalam pesawat. Namun begitu, saksi telah melihat pesawat itu seolah-olah berhenti secara tiba-tiba sebelum ianya menjunam dari ketinggian 600 kaki dan terhempas tepat pada 3:41 P.M, 6 Jun 1976. Tanpa kotak hitam pesawat dan maklumat yang terlalu sedikit, pihak penyiasat telah menghadapi banyak kesukaran untuk melakukan siasatan kemalangan pesawat yang telah meragut nyawa separuh daripada kabinet kerajaan Sabah pada ketika itu. Kebetulan atau tidak, kalau korang nak tahu pada masa itu Kerajaan Sabah dengan Kerajaan Persekutuan tak kaotim sangat.

Puncanya apabila Sabah di bawah pimpinan Tun Fuad Stephens telah membuat tuntutan 25% royalti minyak untuk kerajaan negeri, perbezaan yang besar dengan 5% yang sabah dan mana-mana negeri lain dapat pada hari ini. Pada hari kejadian, rombongan ini sebenarnya sedang menuju ke Kota Kinabalu untuk menandatangani perjanjian 10% hasil minyak yang akan diberikan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak.

Keratan akbar bertarikh 7 jun 1976 menganai pesawat yang terhempas. Sumber dari sabahanews.
Pada 28 Oktober 1976, empat setengah bulan selepas tragedi itu, siasatan rasmi punca kemalangan telah pun disiapkan tetapi malangnya penemuan itu tidak didedahkan kepada umum kecuali kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Komunikasi Mohd Ali M. Sharif ketika di Parlimen. Dalam jawapannya kepada soalan Ahli Parlimen DAP dari Kinta, Mohd Ali berkata, penemuan tidak mendedahkan sebarang kesilapan teknikal atau sabotaj sebagai punca kepada nahas udara terbabit. Apa yang dirumuskan pasukan penyiasat merumuskan, kemalangan ini telah disebabkan oleh kesilapan manusia apabila sepatutnya pesawat tersebut hanya memuatkan 6 penumpang sahaja tetapi telah dinaiki oleh 11 orang dan kerana itu juruterbang gagal menaikkan sayap pesawat untuk diselaraskan dengan tekanan minyak dan akhirnya menyebabkan kemalangan.
Tugu Peringatan Double six yang teretak di Gracepoint Foodcourt, jalan pantai Sembulan, Sabah. Sumber dari unclehighrule blogspot.
Ia juga mendedahkan bahawa ruang simpanan di belakang pesawat, telah dimuatkan dengan barang-barang melebihi muatan maksimum. Akibatnya, pesawat tersebut telah hilang kawalan ketika ia cuba untuk mendarat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu dan terhempas. Selain daripada keterangan di parlimen, memang tidak ada laporan rasmi yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia dan mungkin sebab itulah kes ini terus menjadi misteri dengan pelbagai teori telah menular dalam masyarakat Malaysia sehinggalah ke hari ini.

4. Kapal Terbang terhempas di Tawau: 34 nyawa melayang!

Inilah pesawat Fokker 50 yang digunakan oleh MAS dalam penerbangan Kota Kinabalu ke Tawau. Sumber dari Wikipedia.
Pada 15 Sempember 1995, negara sekali lagi dikejutkan dengan berita sebuah pesawat MAS, Fokker 50 telah terhempas di Lapangan Terbang Tawau. Pesawat yang dalam perjalan dari Kota Kinabalu ke Tawau itu telah terhempas ketika melakukan pendaratan dan kejadian ini telah mengorbankan 34 orang di dalam pesawat dan mencederakan sembilan lagi mangsa di darat. Untuk pengetahuan korang, kejadian ini telah digambarkan sebagai bencana paling buruk selepas kejadian pesawat terhempas di Tanjung Kupang pada 1977. Kisahnya bermula apabila pesawat ini cuba mendarat di lapangan terbang Tawau dan kemudianya terbabas dari landasan dan menjunam ke kawasan perumahan penduduk yang terletak berhampiran dengan lapangan terbang tersebut. Menurut laporan daripada akhbar CNN, saksi dan kakitangan MAS di Lapangan Terbang Tawau berkata mereka telah mendengar satu letupan yang kuat dan melihat pesawat itu terbakar selepas ia melanggar 20 buah bijik rumah setinggan kayu yang pada ketika itu kebanyakanya diduduki oleh warga Indonesia dan Filipina, berhampiran dengan lapangan terbang tersebut.
Pesawat Fokker 50 yang terhempas pada 15 September 1995. Sumber dari Harian Metro
Laporan siasatan kemalangan merumuskan bahawa kegagalan juruterbang untuk membuat keputusan dengan pantas dan kegagalan beliau mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam penerbangan adalah sebagai punca utama kemalangan ngeri ini berlaku. Laporan itu juga merujuk kepada kegagalan pembantu juruterbang untuk memberi amaran kepada kapten kapal tentang gerakan yang tidak selamat atau bertindak pantas dengan mengambil alih kawalan pesawat. Satu lagi faktor penyumbang kepada kemalangan ini ialah kegagalan pengawal trafik udara untuk menyediakan perkhidmatan trafik dengan baik di ruang udara. Kesimpulanya, bukan senang sebenarnya nak jadi pilot ni, apatah lagi ianya melibatkan nyawa manusia di mana kesilapan yang sedikitpun pasti akan mendatangkan risiko yang besar. Di atas kecuaian ini jugaklah satu malapetaka telah berlaku dan mengorbankan 34 nyawa.
Keratan akbar melaporkan tragedi hitam yang merangut 34 nyawa ini. Sumber dari Utusan Malaysia.

3. MH17: Pesawat berkecai di udara dan apa kesudahanya?

Kisah MH17 ni mestilah korang ingat lagikan. Tapi apa sebenarnya kesudahan kisah yang pernah menggemparkan dunia ni. Kisahnya bermula apabila penerbangan Malaysia Airlines Boeing-777, MH17 memulakan perjalan dari Amsterdam untuk pulang ke Malaysia pada 17 Julai 2014.  Namun begitu, pesawat malang ini telah ditembak jatuh di wilayah Donetsk yang sedang dilanda perang saudara di timur Ukraine. Kesemua 298 orang di atas kapal dari 10 buah negara terbunuh dan yang sedihnya 80 orang daripada mangsa terdiri daripada kanak-kanak.

Ilutrasi tentang kejadian pesawat MH17 di tembak jatuh. Sumber dari The Times UK.
Sebenarnya pesawat MAS bukanlah suka-suka nak lalu di kawasan bergolak ni, tetapi ianya telah diarahkan oleh pusat kawalan trafik udara Ukraine untuk terbang melalui zon konflik tersebut dan untuk pengetahuan korang banyak lagi Airline yang lalu dekat situ, contoh yang paling dekat adalah Singapore Airline. Tetapi sudah ditakdirkan yang pesawat MAS ini berada di tempat kejadian pada waktu tersebut telah menjadikanya sebagai mangsa pergolakan. Bagaimana pula dengan siasatan kes ini? Disebabkan kes ni telah mendapat liputan yang sangat luas oleh satu dunia, negara-negara yang terlibat telah menubuhkan dua pasukan penyiasatan rasmi dalam menyiasat bencana MH17 ini. Satu penyiasatan teknikal yang diketuai oleh Lembaga Keselamatan Belanda, dan yang kedua adalah siasatan jenayah yang berasingan oleh Pasukan Siasatan Bersama (JIT). Ia terdiri daripada penyiasat dan pakar-pakar dari Belanda, Belgium, Australia, Malaysia, Ukraine, dan jawatankuasa yang kedua inilah yang akan menentukan siapa yang bertanggungjawab terhadap kejadian tersebut.
Cerbisan pesawat yang telah musnah, pesawat ini dipercayai telah ditembak sewaktu di udara sebelum ianya jatuh terhempas. Sumber dari The Times UK.
Akhirnya pada Oktober 2015, laporan awam terbesar telah dikeluarkan oleh Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) dan menurut penemuan DSB ini, Boeing 777 telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK dengan kepala peledak 9N314M. Namun begitu, pakar-pakar Belanda tidak dapat menentukan pihak mana yang melepaskan tembakan tersebut, samada tentera kerajaan Ukraine ataupun pemberontak yang berada di bawah pengaruh Kerajaan Russia. Untuk maklumat korang, sampai sekarang tiada siapa yang mahu mengaku bersalah dan bertanggungjawab dalam hal ini. Bagi pihak Ukraine dan sekutunya, mereka telah menuduh Kerajaan Russia yang membekalkan senjata anti pesawat kepada pihak pemberontak manakala Moscow terus menafikan penglibatan mereka dengan menyalahkan pihak Ukraine dan negara-negara barat yang bersekutu dengannya.
Penyerahan kotak hitam pesawat MH17 oleh pemberontak Ukraine kepada wakil Malaysia. Sumber dari linkedin.com.
Disebabkan Russia dan Kerajaan Barat ni tak ngam sangat, hampir serta-merta selepas MH17 ditembak jatuh media barat telah menyalahkan Rusia, mendakwa Moscow telah membekalkan sistem pelancar roket (BUK) untuk pemberontak dan menembak pesawat malang tersebut. Walaupun Amerika mendakwa mempunyai bukti penglibatan pemberontak Ukraine yang di dokong Russia dalam insiden terbabit, data itu tidak pernah didedahkan secara jelas ataupun dikongsikan dengan orang ramai mahupon pasukan penyiasat. Akhirnya, Pada 10 Julai 2015, Malaysia telah meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menubuhkan sebuah tribunal antarabangsa bagi mendakwa mereka yang disyaki menembak jatuh pesawat MH17 di timur Ukraine, namun langkah itu tidak menjadi kenyataan apabila ianya ditolak oleh Rusia menggunakan kuasa Veto yang dimilikinya.
Keratan Akbar dari seluruh Dunia melaporkan tragedi hitam MH17.
Kes tragedi MH17 ini mungkin tiada kesudahanya apabila ianya melibatkan kuasa besar dunia yang saling berbalah dan tidak bertanggungjawab dalam mengakui kesilapan mereka sendiri. Semoga satu hari nanti kita dapat melihat pesalah ini dihadapkan ke muka pengadilan untuk menerima hukuman yang sewajarnya.

2. Tragedi Tanjung Kupang: Pesawat Malaysia dirampas pengganas?

Pada tanggal 4 Disember 1977, negara telah digemparkan dengan satu kejadian yang dasyat di mana telah berlaku satu nahas udara  yang mengerikan dan telah meragut 100 nyawa. Tragedi Tanjung Kupang adalah kemalangan udara pertama bagi syarikat penerbangan negara iaitu Malaysia Airlines (MAS). Kalau korang nak tahu, penerbangan MH653 pada mulanya berlepas dari Lapangan terbang Pulau Pinang tepat pada 7:21 P.M dan dijangka melakukan transit di Lapangan Terbang Subang atau kini dikenali sebagai Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi terahkirnya iaitu Singapura.

Keratan akbar dan gambar di tempat kejadian di mana persawat MH653 terhempas.
Namun begitu, pada kira-kira 7:54 P.M, pesawat yang berada pada ketinggian 4,000 kaki ini dilaporkan telah dirampas dan hal ini hanya disedari apabila Kapten kapal G.K. Ganjoor memaklumkan kepada menara kawalan udara Subang bahawa mereka mempunyai masalah di atas kapal. Kapten Ganjoor: Kami mempunyai kecemasan di atas kapal. Menara Kawalan: Sila berikan butiran mengenai keadaan kecemasan. Kapten Ganjoor: Kami mempunyai perampas di atas kapal. Bila dengar je pewasat kena rampas, menara kawalan terus menghubungi pihak berkuasa dan kod darurat telah diisytiharkan. Pada mulanya, pesawat ini dijangka akan melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Subang, bagaimanapun mungkin di atas arahan pengganas atau sebab-sebab yang lain, tepat pada jam 8:05 P.M Kapten Ganjoor memberitahu menara kawalan bahawa mereka akan meneruskan perjalanan ke Singapura dan tidak melakukan pendaratan di Subang.
Bangkai pesawat yang terhempas di Tanjung Kupang telah menggemparkan Dunia pada masa tersebut. Sumber dari 3.bp.blogspot
Memang huru-haralah keadaan time tu sebab inilah pertama kali Malaysia digemparkan dengan kes pesawat dirampas. Keadaan bertambah bingung lagi apabila pada jam 8:15 P.M, semua komunikasi dengan penerbangan MH653 telah terputus dan laluan pesawat tidak lagi dapat dikesan oleh radar. 20 minit lepastu, kira-kira pada jam 8:36 P.M, penduduk di Kampung Ladang, Tanjong Kupang, Johor telah terdengar satu letupan yang amat kuat dan melihat bangkai pesawat yang sedang terbakar di dalam paya. Bangkai pesawat itu kemudian dikenal pasti sebagai Penerbangan MH653. Pesawat ini dipercayai telah mencecah tanah pada sudut yang hampir menegak pada kelajuan yang sangat tinggi sehinggakan tidak ada satu pun mangsa yang terselamat. Kalau korang nak tahu, pesawat ini hanya 15 minit lagi je untuk menuju ke destinasi yang terakhir iaitu Singapura.
Keratan akhbar menyiarkan pelbagai teori yang timbul berkaitan targedi ini. Sumber dari Sinar Harian.
Kesemua 93 penumpang dan 7 anak kapal dengan beberapa orang kenamaan termasuk Menteri Pertanian, Datuk Ali Ahmad, Duta Cuba yang pertama ke Malaysia, Mario Garcia Inchausteghi, dan isterinya telah maut di tempat kejadian. Selain itu turut terkorban ialah usahawan Jepun, Tomio Gotto, Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera, Datuk Khalid Mohamad; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Abu Bakar Othman Merican serta dua pegawai Bank Dunia, O.D. Hoerr dan S.A. Naime. Bagi mencari punca sebenar kemalangan tersebut, Kesemua sisa mayat mangsa telah menjalani pemeriksaan X-ray dalam percubaan untuk mencari tinggalan objek ataupun senjata, namun malangnya tiada satu pun yang dijumpai. Kesemua mayat mereka kemudiannya telah dikebumikan di dalam satu liang lahad besar.
Tugu peringatan mangsa telah didirikan di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru bagi mengingati tragedi tersebut. Sumber dari nasirhamzah blogspot.
Sesetengah beranggapan bahawa Tentera Merah Jepun ataupun gerakan anti-kerajaan Cuba yang menjadi dalang dalam serangan pesawat ini, walau bagaimanapun tiada bukti lanjut diberikan untuk menyokong tuduhan tersebut. Peristiwa ini masih kekal misteri sehinggalah ke hari ini apatah lagi pihak Kerajaan Malaysia tidak pernah mendedahkan hasil siasatan rasmi kepada umum tanpa sebarang alasan. Mungkin itulah juga sebabnya ia sering dianggap sebagai salah satu peristiwa berhantu dalam dunia penerbangan Malaysia.

1.  MH 370: Misteri yang belum terungkai…

Kes ni memang popularlahkan. Kisah tentang penerbangan MH370 yang berlepas dari Kuala Lumpur ke China dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014 dan sehingga ke hari ini masih tiada petunjuk ke mana pesawat ini hilang.

Ilutrasi menujukan pejalanan pesawat selepas segala komunikasinya terputus. Sumber dari Daily mail UK
Memang banyak persoalan yang satu dunia nak tahu tentang pesawat ini seperti mengapa sistem komunikasi terpadam atau dimatikan secara tiba-tiba, dan mengapa pula pesawat itu melakukan pusingan “U” tepat pada waktu peralihan zon di antara Malaysia dan Vietnam?. Semua misteri ini bermula pada 8 Mac 2014 apabila pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal telah dilaporkan hilang dari radar pada jam 2:14 A.M. Pesawat yang sepatutnya tiba di Beijing pada jam 6:30 A.M ini didapati telah hilang dari radar sewaktu melakukan penerbangan merentasi Laut China Selatan. Pada keesokan harinya, Kerajaan Malaysia dan Vietnam telah melakukan pencarian pesawat tersebut yang dipercayai telah terhempas di perairan Vietnam di mana komunikasi terakhir antara pihak kawalan udara dan juruterbang pesawat.
Sekumpulan Bomoh juga telah menggemparkan dunia apabila melakukan pencarian MH370 hanya menggunakan buah kelapa, buluh dan tikar terbang. Sumber dari mstar online.
Bila dah cari tapi masih tak jumpa, kawasan pencarian diperluaskan dengan meliputi kawasan dalam lingkungan 115-batu nautika yang melibatkan 34 pesawat dan 40 kapal dari beberapa negara. Namun usaha pencarian MH370 di Laut China Selatan hanyalah sia-sia. Selepas tiga hari pencarian di Laut China Selatan menghadapi kebuntuaan, barulah pihak Tentera Malaysia memaklumkan kepada umum tentang pesawat yang tidak dikenali dipercayai MH370 telah merentasi bahagian utara tanah air dan ianya telah dikesan oleh radar Tentera Malaysia dan Thailand. Lepas dapat berita tu, pihak berkuasapun terus mengalihkan kawasan pencarian yang kini tertumpu di Laut Andaman. Pada 15 Mar 2014 Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Razak telah membuat satu kenyataan yang memeranjatkan apabila beliau berkata pesawat yang hilang itu sengaja dialihkan dan terus terbang selama lebih daripada enam jam selepas terputus hubungan dengan menara kawalan.
Liputan luar biasa diterima oleh Malaysia ketika kejadian yang menggemparkan dunia penerbangan ini berlaku. Sumber dari 1 malaysia news.
Mula dari sinilah pelbagai konspirasi timbul dan untuk pengetahuan korang, bukan dekat Malaysia sahaja tau teori-teori ini muncul, tapi satu dunia penuh dengan teori kehilangan pesawat MH370. Antaranya ada yang menuduh Korea Utara dan Vladimir Putin yang merampas MH370, pesawat ini telah ditembak jatuh oleh tentera Amerika, MH370 telah disorokan oleh CIA. Bukan itu sahaja, teori yang pelik-pelik pun muncul jugak masa ini seperti ada yang mengatakan pesawat ini berada di bulan, konspirasi illuminati, satu rancangan penipuan Insuran secara besar-besaran, di tangkap oleh Alien, dan banyak lagilah. Korang bulih tengok sendiri dekat link ini. Inilah salah satu teori yang dikeluarkan oleh pengacara TV CNN tentang kehilangan pesawat MH370. Oleh sebab kejadian ni penuh dengan misteri, Dunia turut mengambil bahagian apabila satu kerjasama terbesar dalam sejarah telah berlaku di mana angkatan laut dari 25 negara termasuk Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan, Pakistan, Bangladesh, India, Myanmar, Laos, Vietnam, Thailand, Indonesia, Australia.  Amerika Syarikat, Perancis dan China telah mengambil bahagian dalam pencaian ini. Kawasan pencarian juga telah diperluaskan dari Laut China Selatan, Selat Melaka, Laut Andaman dan yang terakhir di Lautan Hindi yang meliputi kawasan sekitar 430 batu (692km) panjang dan 50 batu (80km ) lebar.
Serpihan dijumpai di Pulau Pemba, Tanzania pada 20 Jun lalu namun sehingga kini misteri MH370 masih belum dapat dirungkai. Sumber dari CNN.
Setelah lama sangat melakukan pencarian tapi masih tiada hasil, ahkirnya pada 28 Januari 2015 Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) secara rasmi mengisytiharkan insiden itu sebagai satu kemalangan dengan membuat kesimpulan bahawa pesawat tersebut telah kehabisan bahan api dan terhempas di kawasan yang ditakrifkan sebagai Selatan Lautan Hindi. Namun begitu, usaha pencarian masih lagi diteruskan tetapi kali ini ianya telah dipimpin oleh Kerajaan Australia. Usaha yang telah memakan belanja sehingga 650 juta tersebut masih lagi diteruskan sehinggalah pada 17 Januari 2017, di mana Kerajaan Malaysia, China dan Australia telah bersetuju menggantung pencarian pesawat MH370 sehinggalah petunjuk baru ditemui.
Keratan akbar Utusan Malaysia tentang MH370, walaupun terdapat sisa pesawat yang telah dijumpai namun kehilanganya masih lagi menjadi satu misteri. Sumber dari Utusan Malaysia.
Ini berikutan keputusan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia (JACC) yang berkata pelbagai usaha menggunakan teknologi dan kemudahan sains telah dibuat, tetapi masih belum menemui pesawat malang tersebut. Mungkinkah satu hari nanti segala persolan ini terungkai?. Mampukah keadilan ditegakan untuk mangsa MH17 ataupun misteri tragedi “Double Six” , Tanjung Kupang dan MH370 ini dapat diketahui umum. Hanya masa yang akan menentukan.