- 305Share sekarang!
- Email1
- Facebook304
- Share
Perasan tak, sepanjang kita hidup ni, kita hanya tahu dua jenis tulisan sahaja iaitu tulisan rumi dan jawi. Sekarang ni kita dapat lihat hanya tulisan Jawi je yang ramai orang tahu dan ambil peduli sampaikan pelbagai kempen dilakukan. Contohnya, gunakan tulisan jawi pada hari Jumaat.
Selain daripada Jawi, Kepulauan Nusantara sebenarnya kaya dengan pelbagai tulisan/huruf lain, atau nak lebih jelas lagi kita panggil aksara. Huruf-huruf ni boleh dikatakan tidak mendapat sambutan kerana majoriti daripada kita guna huruf rumi je.
Huruf-huruf dan tulisan ini termasuklah…
1. Huruf Lota: Diperkenalkan oleh Sultan Alaudin pada abad ke-16
Huruf Lota atau nama panjangnya Huruf Lota Ende/Kota Ende berasal dari Ende, Flores, Indonesia. Huruf ini sebenarnya berasal dari huruf Lontara (Bugis) yang dibawa ke Ende pada abad ke-16, sewaktu zaman pemerintahan Raja Goa XIV I Mangngarangi Daeng Manrabia (Sultan Alaudin).
Lepas tu, huruf Lontara ini berkembang dan diubah suai menjadi huruf Lota. Ia juga dikatakan tulisan yang muncul sebelum penciptaan kertas kerana mereka dulu tulis huruf itu di atas daun lontar dengan menggunakan pisau.
Cara tulis huruf ni serupa kita menulis huruf jawi iaitu dari kanan ke kiri. Sekarang rasanya orang di situ dah jarang pakai tulisan Lota.
2. Huruf Mbojo: Sebuah Aksara dari Kerajaan Purba Bima
Huruf Mbojo sangat berkait rapat dengan huruf Lontara dan sering dikaitkan dengan huruf-huruf yang ada di Flores, Sumbawa dan Sumatera. Ia juga telah muncul sejak abad ke-14 serta digunakan untuk menulis buku dan catatan Kerajaan Bima.
Info tambahan, Kerajaan Bima merupakan sebuah pemerintahan kuno yang wujud pada 1621 masihi. Masyarakat dalam kerajaan Bima ini dipanggil Kaum Bima, dan mereka ni menganut fahaman animisme dan dinamisme.
Sebelum kedatangan Islam di Kerajaan Bima, semua buku dan catatan kerajaan adalah menggunakan huruf Mbojo. Akan tetapi selepas Islam berkembang semasa zaman pemerintahan Sultan Bima II, semua jenis penulisan ditukar kepada bahasa Melayu dalam huruf Jawi. Lepas tu, huruf ni tidak dipakai lagi oleh Kaum Bima.
Sebabtu ramai penyelidik sekarang cuba untuk memartabatkan huruf Mbojo ni. Pada 2019, mereka cuba untuk menerapkan subjek tulisan Mbojo di sekolah-sekolah (kat Bima saja).
Pada gambar kat atas tadi, korang boleh tengok padanan huruf Mbojo dengan huruf Latin serta cara bacaannya.
3. Huruf Rejang: Huruf yang dihapuskan selepas kedatangan Belanda
Huruf Rejang adalah aksara utama dalam tulisan Brahmi, dan ada kaitan dengan tulisan-tulisan di kawasan serantau seperti Batak dan Bugis. Ia dikatakan berasal dari cabang huruf-huruf Malayo-Polinesia (Austronesia).
Huruf Rejang berasal dari huruf Brahmi kemudian berkembang di daerah yang menganut budaya Hindu-Buddha. Pada mulanya, ia dipanggil Surat Ulu, tapi kemudian ia ditukar kepada Ka-Ga-Nga pada 1926 oleh seorang ahli antropologi, Mervyn Jaspan.
Punyalah tua huruf Rejang ni sampaikan tak ramai penyelidik yang berani menyatakan bila huruf ni mula diperkenalkan. Ada yang kata ia mula diperkenalkan pada abad ke-18 tapi tak ramai tak percaya.
Huruf Rejang tidak lagi digunakan selepas Belanda mula menjajah Tanah Rejang. Semua penulisan dan catatan ditukar kepada huruf latin. Sebab tu rata-rata orang di sana tak ramai yang mahir atau tahu huruf ini.
Korang boleh cuba sebut huruf-huruf Rejang ni dengan melihat gambar di bawah:
4. Huruf Sunda: Digunakan oleh majoriti masyarakat Jawa Barat
Kalau huruf Sunda ni dia spesifik sikit sebab digunakan di Jawa Barat sahaja. Ia mula diperkenalkan pada abad ke-14, kemudian berkembang ketika abad ke-18, dan mula-mula ia dipanggil Sunda Kuno. Huruf ni berasal dari huruf Pallawa yang sudah diubah suai.
Bukti masyarakat dulu menggunakan huruf Sunda ni ialah daripada penemuan batu-batu bersurat di Astana Gede, Kawali, dan Ciamis. Namun, selepas huruf Latin, Arab Gundul, dan Jawa mula diperkenalkan sekitar tahun 1705-1706, huruf Sunda Kuno ni mula hilang di mata masyarakat Jawa Barat.
Huruf Sunda ini mula diperkenalkan semula tapi ditukar kepada Sunda Baku (sesuai untuk penggunaan bahasa kontemporari). Ia mula digunakan pada papan-papan tanda di Muzium Sri Baduga, Kampus Yayasan Atikan Sunda, Pejabat Dinas Pariwisata Daerah Kota Bandung serta sekitar Kota Bandung.
Oh ye kami menjumpai cara sebutan huruf Sunda ni, ada terjemahan dalam huruf latin, jadi senanglah korang nak faham:
5. Huruf Batak: Mempunyai pelbagai varian mengikut sub-etnik Batak
Sebelum masuk kepada huraian huruf Batak, mari kami bagitahu dulu pasal kaum Batak. Baiklah, Batak merupakan salah satu kaum di
Nusantara yang berasal di Sumatera Utara. Perkataan Batak tu sendiri berasal dari Bataha iaitu sebuah perkampungan di Kerajaan Siam.
Berdasarkan beberapa kajian, mereka mengatakan terdapat beberapa kawasan penempatan kaum Batak di sekitar Kepuluan Nusantara iaitu:
- Pergunungan Bukit Barisan.
- Persisiran Selat Melaka.
- Lautan Hindia sebelah Barat.
Kaum batak ni juga terbahagi kepada lima:
- Batak Angkola-Mandailing.
- Batak Toba.
- Batak Simalungun.
- Batak Karo.
- Batak Pakpak-Dairi.
Mereka ni juga dikatakan mempunyai huruf atau tulisan sendiri. Menurut Herman Neubronner van der Tuuk (pengkaji bahasa), huruf Batak berasal dari Mandailing. Setiap kaum Batak mempunyai huruf mereka tersendiri tapi yang paling popular ialah huruf Batak Toba.
Huruf Batak Toba ni merupakan rumpun dari huruf Brahmi serta mempunyai dua jenis — Ina Ni Surat (huruf utama) dan Anak Ni Surat (huruf salinan). Jumlah hurufnya ialah 19 dan ia tidak mempunyai sebarang simbol seperti koma, titik, tanda seru, atau tanda soal dalam penulisan.
Korang boleh cuba baca huruf-huruf Batak Toba ni:
Siri huruf-huruf Nusantara yang kompleks dan rumit
Sebenarnya ada banyak huruf-huruf dan tulisan-tulisan di Kepulauan Nusantara yang menarik dan unik. Hal ini kerana ia dihasilkan oleh kejayaan kerajaan-kerajaan atau kaum-kaum terdahulu supaya semua orang boleh berkomunikasi antara satu sama lain.
Banyak pengkaji bahasa atau ahli sejarah yang cuba menerokai keunikan huruf-huruf Nusantara. Sebenarnya susah tau nak kaji huruf-huruf tersebut kerana ada yang digunakan semasa kaum itu wujud saja, jadi mereka perlu melakukan kajian yang mendalam dengan bertemu dengan orang-orang kampung.
Lagi huruf-huruf Nusantara zaman dulu yang korang boleh kenali
- 305Share sekarang!
- Email1
- Facebook304
- Share