- 589Share sekarang!
- Email34
- Facebook555
- Share
Dari dulu lagi, kita biasa dengar perkataan ‘dunia tanpa sempadan’. Segala maklumat boleh kita dapat hanya menggunakan hujung jari termasuklah cuaca, maklumat pasal wabak dan macam-macam lagi. Dunia tanpa sempadan ni makin dirasai dengan kewujudan tekonologi online yang boleh kita manfaatkan daripada media sosial sampailah untuk beli barang.
Jadi, muncullah penipu tanpa sempadan macam scammers yang menipu pembeli barang online. Muncul jugak kawan-kawan dalam media sosial yang kita tak pernah nampak depan mata, tapi bersembang macam dah kenal lama. Kalau untuk berita pulak, kita dapat banyak berita-berita alternatif tanpa perlu harapkan satu sumber je. Tapi, keburukan tetap ada bila berita tu sendiri adalah palsu atau disebarkan dalam bentuk fitnah.
Di peringkat antarabangsa, nampaknya sebaran berita kurang tepat dan palsu ni berlaku jugak walaupun melalui channel berita yang ada kredibiliti atau kolumnis yang berprofil tinggi. Kadang-kadang apa yang disebarkan adalah palsu dan cubaan untuk memburuk-burukkan agama lain. Dan ini beberapa senarai berita palsu antarabangsa yang telah memburukkan dan menimbulkan prasangka terhadap agama.
1) Google Maps nak hilangkan Palestin dari peta dan gantikan Israel?
Pada Jun 2014, berlaku konflik antara HAMAS (Palestin) dan tentera Israel kerana kematian tiga remaja Israel. Hamas dituduh sebagai dalang. Ditengah-tengah konflik ni, tiba-tiba muncul satu vote online/petisyen yang dikeluarkan oleh Google Earth untuk menentukan sama ada nak letak Israel atau Palestin dalam peta diorang.
“Google melancarkan undi untuk menamakan Israel atau Palestin dalam peta Google Earth. Setakat ini, 72% memilih Israel. Sila hantar kepada setiap orang yang anda kenali untuk undi PALESTIN” – Petikan dari petisyen tu.
Petisyen ni nampaknya dah tersebar jauh dalam banyak page dan website termasuk Malaysia. Bila disiasat oleh Snopes (website yang siasat berita viral), barulah kita tahu yang rupanya bukan Google Earth yang buat survey ni. Sebabnya google tak guna vote untuk tentukan kedudukan negara dalam peta diorang. Sebenarnya ada website ambil kesempatan buat benda ni untuk tambah trafik website diorang.
Walaupun dah terjawab benda ni palsu, tapi, bila tekan Palestin dalam Google Map memang tak keluar perkataan Palestin. Apa yang muncul adalah perkataan Gaza dan West Bank yang dibesarkan. Bila search Israel, keluar pulak nama negara tu. Benda ni jadi isu antarabangsa sampai beberapa wartawan Palestin mula buat petisyen yang mengarahkan Google untuk masukkan Palestin semula. Dengan kempen #Palestineishere, diorang berjaya mendapatkan 250 000 tanda tangan hingga Ogos 2016.
Walaupun lebih 136 negara di PBB mengiktiraf Palestin sebagai negara yang merdeka. Tapi, nampaknya orang lagi ambil perhatian kalau Palestin tak ada dalam Google Earth/Google Map. Bila viral berita pasal petisyen yang berjaya mengumpul 250 ribu tandatangan tu, maka banyak kritikan yang keluar termasuk mengenai sistem peta dalam dunia ni. Sebab dalam dunia ni tak ada peta yang standard pernah diciptakan walaupun ada cubaan oleh Albrecht Penck (Ahli Geografi Jerman) untuk mengetuai projek peta dunia yang akhirnya tak berjaya.
Sampailah sekarang tak ada peta standard walaupun daripada PBB. Jadi, Google punya peta diatur dengan sudut pandang yang popular di negara US & beberapa negara barat yang tak mengiktiraf Palestin. Sebelum ni Google juga pernah dikritik pasal wilayah Crimea di Ukraine yang diletak dalam map sebagai kawasan jajahan Rusia.
2) Fox news keluarkan berita bahawa orang Islam yang serang masjid Quebec, Justin Truedau suruh minta maaf
Kanada sekarang ni sangat terkenal dengan Perdana Menterinya yang sangatlah charming. Sampai diletak ranking nombor satu dalam Hottest Head Of State. Tapi, tetap ada berita kurang tepat tentang Kanada yang disebarkan oleh portal berita dunia. Ianya bermula apabila dunia dikejutkan dengan pembunuhan enam muslim di masjid Quebec dalam satu serangan tembakan. Berita menggemparkan ni memang menarik perhatian dunia sampailah ke Malaysia.
Antara yang buat liputan adalah Fox News yang diorang update melalui twitter. Dalam tweet tu disebutkan suspek penembak adalah keturunan Morocco. Tweet berita tu tersebar luas sampai lebih 900 retweet. Akhirnya, pejabat PM Kanada hantar surat kepada Fox News minta tarik balik atau update tweet tu. Sebab suspek penembak adalah French Canadian manakala orang yang berketurunan Morocco tu adalah saksi.
“Tweet oleh Fox News ini mencemarkan memori terhadap enam mangsa dan keluarga mereka apabila menyebarkan maklumat yang salah, mempermainkan identiti politik dan menambah ketakutan serta perpecahan dalam komuniti kami” – Kate Purchase, Pengarah Komunikasi Perdana Menteri Kanada, petikan dari CNN.
Kesannya, Mohamed Belkhadir keturunan Morocco yang duduk di Quebec tu terpaksa bermalam dalam ketakutan. Kalau korang nak tahu, Fox News sebelum ni pernah minta maaf sebab bagi informasi yang salah mengenai orang Islam di England dan Perancis. Sampaikan maklumat yang salah tu diejek sendiri oleh Perdana Menteri UK, David Cameron (sekarang bekas PM).
Kesilapan fakta Fox News pasal muslim di Eropah adalah kenyataan pasal adanya kawasan ‘no-go-zone’ kat Eropah yang mana kawasan tu orang bukan Islam tak boleh masuk contohnya Birmingham. Kesilapan ni telah menyebabkan Fox News memohon maaf 4 kali dalam masa sehari pada jam 1 petang, 4 petang, 7 petang dan 9 malam. Betul-betul serba salah ni.
3) Keluarga Muslim UK tak dibenarkan masuk US untuk melawat Disneyland
Dari UK nak pergi Los Angeles ambil masa 11 jam kalau nak sampai. Penat weh! Tapi bayangkan, bila sampai je tak dibenarkan keluar dari airport tu walaupun dah ada dokumen semua. Itulah yang terjadi kepada Mahmood dan sembilan orang anaknya yang nak pergi ke Disneyland. Diorang tak dibenarkan untuk masuk ke US tanpa sebarang sebab.
Berita ni memang dapat tumpuan dunia. Banyak komen yang dibuat termasuklah dari kolumnis portal berita dunia. Antara orang yang berprofil tinggi yang komen adalah Katie Hopkin. Apa yang hebat sangat dia ni? Penulisannya pasal muslim di UK pernah dipuji dan di retweet oleh Donald Trump sebelum dia menjadi Presiden US. Artikelnya juga sebelum ni sangat kontroversi dan dikritik apabila menggelar pelarian yang datang ke Eropah beramai-ramai ni sebagai lipas. Daripada penulisan sebegitu dia telah dibuang dari The Sun dan diambil oleh Daily Mail.
Untuk isu Muslim UK tak dapat masuk US ni, dia antara orang yang gembira. Kemudian dia tulis satu artikel dalam Daily Mail dengan mengaitkan keluarga Mahmood dengan kumpulan Al-Qaeda. Jadinya, berita ni dah tersebar luas. Setahun lepas tu, Daily Mail dan Katie mengeluarkan permohonan maaf terhadap keluarga Mahmood atas tuduhan tu. Akhirnya, Daily Mail terpaksa bayar ganti rugi 150 ribu pound kepada kelurga Mahmood.
Walaupun banyak artikel-artikel ofensif yang dikeluarkan oleh Katie Hopkin. Sampai sekarang follower di twitternya masih banyak dengan 800 ribu follower. Jadi berhati-hati!
4) Video pelarian Islam di France buat protes ganas
Hari ni segala benda boleh viral melalui Facebook walaupun hanya satu video yang pendek tapi dengan caption yang menarik. Sampaikan ada website yang ajar cara untuk buat post viral di Facebook. Jadi keluarlah macam-macam page yang suka viralkan sesuatu post.
Kehebatan viral ni nampaknya diambil kesempatan dengan cara masukkan video lain tapi caption dia tak ada kaitan dengan video. Inilah yang dilakukan oleh satu page ni, ‘Our Eye On Islam’ yang sebarkan satu video orang berkulit hitam tengah mengganas dalam satu demonstrasi di Perancis. Caption dia pun lain macam,
“FRANCE HAS FALLEN!!SHARE BEFORE ITS TAKEN DOWN.” – Petikan dari FB page Our Eye On Islam.
5) Pelarian Muslim di Jerman minta Dato’ Bandar untuk batalkan Oktoberfest sebab ada hidang arak
Menurut Pusat Kajian Pew, Jerman yang terkenal kerana menerima pelarian juga adalah antara negara Kesatuan Eropah yang mempunyai populasi muslim yang tertinggi dengan 4.8 juta orang. Selain tu, kajian menunjukkan yang orang Islam yang tinggal di Jerman lebih mudah membiasakan diri berbanding orang Islam di negara lain. Kirannya diorang memang tak campur hal sangat dengan festival-festival kat Jerman ni.
Di Jerman ada satu festival arak dan fun fair tahunan terbesar di dunia iaitu Oktoberfest. Tapi pada tahun 2015, ada petisyen yang dikatakan telah dibuat oleh seorang pelarian Muslim untuk membatalkan festival tersebut.
Petisyen nitak dapat banyak sokongan pun. Tapi dapat perhatian orang-orang besar di Eropah, termasuklah ahli Saintis dan Professor Oxford, Richard Dawkin. Lepas tu dia buat tweet yang memerli petisyen ini:
“Orang Islam melarang muzik, tarian, muka perempuan, alkohol, kaki wanita, terbangkan layang-layang, lengan wanita. Jadi, kenapa mereka tak nak cuba larang Oktoberfest?” – Petikan twitter Richard Dawkin.
Setelah disiasat oleh Snopes, nampaknya petisyen ni telah dibuat oleh akaun yang tak dikenali yang dihantar dari Belanda. Bila Mirror Online buat pengesahan kepada Change.org, diorang menjangkakan ianya perbuatan account troll. Sebab benda ni kena share oleh satu akaun yang bernama 4chan yang sebelum ni pernah bocorkan gambar-gambar selebriti bogel. Menurut Mirror Online, ini bukan kes pertama berita palsu yang orang Islam nak ban acara-acara besar.
Bukan kat luar negara je, kat Malaysia pun banyak berita viral yang palsu!
Kalau profesor Oxford pun boleh termakan khabar angin, apatah lagi rakyat jelata macam kita ni. Malah sebelum ni kami pernah tulis artikel tentang 6 cerita viral kat Malaysia yang sebenarnya palsu.
Mungkinlah benda-benda viral kat Malaysia ni tak seberat ‘propaganda’ dalam senarai kat atas, tapi ia juga boleh mengelirukan orang ramai dan mengundang bahaya. Contohnya dulu, viral surat TNB mengarakahkan orang ramai buka tingkap kereta sebanyak 30% sebab cuaca panas. Korang nak kena rompak ke dik?
Malah pernah ada satu post yang menyenaraikan empat bandar di Malaysia dalam 10 tempat paling berbahaya di Malaysia. Post ini telah dikongsi hampir 14 ribu kali!
SOSCILI sendiri telah menulis satu artikel untuk menganalisa dakwaan yang dibuat oleh World Atlas, dan ternyata laporan yang mereka buat memang tak boleh pakai. Sebab itulah pentingnya kita periksa dulu sumber yang kita dapat.
Pembohongan kecil boleh membawa kepada yang besar. Jadi apa yang boleh kita lakukan?
Walaupun benda-benda yang kita viralkan kat Malaysia ni nampak kecil, tapi benda kecil ni lah lama-lama boleh jadi besar, dan boleh jadi fitnah. Jadi macam mana kita nak elakkan ia daripada berlaku, sebagai seorang individu?
Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) ada menyenaraikan Kod Kandungan untuk dipatuhi oleh mana-mana badan atau individu dalam menyebarkan/berkongsi maklumat. Contohnya kalau ada syarikat buat iklan mengarut yang mendakwa kulit korang confirm putih dalam masa 3 hari, tapi tak jadi, korang boleh komplen kat CMCF!
Tapi ingat, borang aduan ni pun boleh digunakan kepada orang yang share berita palsu jugak. Jadi, kalau korang dapat benda yang meragukan kat WhatsApp, pastikan dulu kesahihannya sebelum main forward je kat grup saudara-mara.
Korang boleh download kod kandungan ni untuk rujukan sendiri. Kalau korang nampak apa-apa berita atau iklan-iklan yang meragukan – tak kisahlah kat Facebook ke, laman web ke, SMS ke, radio sampailah ke TV, korang boleh laporkan ke laman CMCF di sini.
- 589Share sekarang!
- Email34
- Facebook555
- Share