- 557Share sekarang!
- Email10
- Facebook547
- Share
Cerita pasal bola sepak kat Malaysia ni sentiasa hangat, lagi-lagi kalau masuk bab ranking negara dalam FIFA. Tak pernah tak turun. Usaha untuk naikkan balik nama Malaysia dalam bola sepak ni semakin progresif dengan kemunculan Projek Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP). Produk NFDP ni menyasarkan untuk bawa negara layak ke Piala Dunia bawah 17 tahun di Peru pada tahun 2019.
Namun, skuad ni gagal untuk melayakkan diri ke sana setelah gagal di peringkat kumpulan dalam Piala AFC bawah 17 tahun yang berlangsung di Kuala Lumpur. Cerita duka mengenai bola sepak ni bertambah lagi apabila Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq dah melawat Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang dibina dan diusahakan dengan kos RM83 juta untuk pembangunan bola sepak. Namun, laporan lawatan menunjukkan ianya sangat teruk dengan pelajar tak cukup makan.
Sedih kita dengar berita pasal projek-projek mengenai sukan ni. Sedar atau tak sedar, ini bukanlah projek pembangunan bola sepak pertama yang pernah diusahakan. Sebelum ni dah ada beberapa lagi yang gagal termasuk…
1) Projek Barcelona Babes: Misi ke sukan Olimpik 1992
Untuk Sukan Olimpik Barcelona 1992, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dah mengehadkan umur bagi sukan bola sepak mesti bawah 23 tahun. Maka untuk misi ni, negara dah memulakan projek Barcelona 1992 atau Barcelona Babes yang dipimpin oleh Chow Kwai Lam.
Chow Kwai Lam ni adalah jurulatih negara bagi jurulatih negara bagi Pesta Bola Merdeka 1978 dan Sukan Asia di Bangkok. Dia juga orang penting dalam memberi kejayaan kepada pasukan Kuala Lumpur untuk memenangi Piala Malaysia secara hatrik pada tahun 1987, 1988 dan 1989. Skuad ‘Barcelona Babes’ ni dilaporkan antara ‘projek mahal’ yang dikelolakan FAM ketika itu ketika itu ketika itu. Antara pemain yang terlibat dalam projek ni termasuklah nama yang selalu kita dengar macam Ong Kim Swee, Azman Adnan, Salahudin Che Rose dan lain-lain lagi.
Skuad ni diuji dalam Pesta Bola Merdeka 1991. Berada dalam kumpulan B bersama pasukan skuad Olimpik Denmark, skuad Olimpik Thailand dan SK Slovan Bratislava dari Slovakia. Skuad ni gagal layak ke separuh akhir apabila hanya sekadar di tempat ketiga setelah mencatatkan satu kemenangan.
Pada aksi kelayakan peringkat kumpulan bagi Olimpik Barcelona 1992. Pasukan ni berada dalam kumpulan D bersama Korea Selatan, Thailand, Bangladesh dan Filipina. Pasukan Malaysia bermula baik dengan membelasah Filipina 5-0 seterusnya membenam pasukan Bangladesh 1-0. Kemudian ada dua lagi kemenangan, satu seri dan tiga kali kekalahan. Berada ditempat ketiga keseluruhan di peringkat kumpulan menjadikan Malaysia tak layak untuk layak ke Olimpik. Maka, projek ni dikira gagal.
2) Projek Piala Dunia Remaja 1997: Negara Asia Tenggara pertama jadi tuan rumah
Dilaporkan sebanyak lebih kurang 5,000 nama diberi oleh para jurulatih dari seluruh negara, termasuklah dari kalangan para guru di sekolah-sekolah kepada panel FAM. Daripada jumlah 5,000 ditapis menjadi 107 orang sebelum dikecilkan lagi menjadi 35 orang sahaja.
Panel pemilihan pada waktu ni diketuai oleh Claude Le Roy dengan bantuan jurulatih tempatan macam Chow Kwai Lam, Irfan Bakti, Lim Chuan Chin dan Lim Kim Choon. Pengurus skuad ni adalah bekas Datuk bandar KL, Tan Sri Elyas Omar yang dah gariskan hala tuju skuad ni. Ia dikatakan bakal menjadi tunjang untuk skuad Olimpik 2000. Pasukan Piala Dunia Remaja 1997 ni dah dilatih oleh Hatem Souissi dari Tunisia serta B. Sathianathan sebagai penolong jurulatih.
Skuad bawah 20 tahun dipersiapkan untuk bertanding di dalam Piala Dunia bawah 20 tahun kerana Malaysia dah pun layak secara automatik sebagai tuan rumah. Sampai sekarang, Malaysia adalah satu-satunya negara dari Asia Tenggara yang pernah menjadi tuan rumah kejohanan ini.
Malaysia dah diundi untuk berada dalam kumpulan bersama Uruguay, Maghribi dan Belgium. Apa yang menarik, kejohanan ni juga menyaksikan adanya aksi dari Damien Duff, Nicolas Anelka, Michael Owen dan Benny McCarthy. Mereka semua menjadikan kejohanan ni sebagai peluang pertama untuk menjadi bintang yang bakal menyinar.
Sekali pun menjadi tuan rumah serta persediaan yang rapi, pasukan negara tetap tak dapat memanfaatkan peluang sebagai tuan rumah untuk membuktikan sesuatu pada kejohanan ni. Pasukan negara kalah ketiga-tiga perlawanan dengan hanya menghasilkan satu gol tunggal dari Nik Ahmad Fadly. Selepas kejohanan ni, Malaysia tak pernah layak lagi dalam setiap edisi seterusnya.
3) Projek MyTeam: Mengumpul pemain tak profesional bagi mencabar skuad kebangsaan
Projek ni adalah hasil idea Khairy Jamaludin untuk mencari bakat bola sepak bukan profesional berumur sekurang-kurangnya 17 tahun dan berjaya habiskan larian 100 meter bawah 12 saat. Pada tahun 2006, KJ dah bergabung dengan DJ radio, Jason Lo bagi menghasilkan rancangan realiti TV berkaitan bola yang dipanggil MyTeam. Projek ni juga melibatkan Shebby Singh dan juga Bojan Hodak sebagai jurulatih.
Program ni dah menarik minat ribuan peserta untuk datang ke sesi pemilihan. Peserta akan disaring melalui permainan 8 sebelah dengan pergerakan bebas, 8 sebelah dengan 2 sentuhan sahaja, cabaran 2 lawan 2 dan 1 lawan 1 dalam padang bersaiz 30m x 20m. Apa yang menggemparkan, pasukan yang akan disiapkan selama 6 minggu ni akan mencabar pasukan kebangsaan dalam satu perlawanan siaran langsung.
Projek MyTeam ni juga diwar-warkan secara besar-besaran sebagai satu revolusi bola sepak tempatan dengan kempen media secara besar-besaran telah dilancarkan. Tujuannya untuk menarik minat pemain muda supaya menunjukkan diri serta dicungkil bakat mereka. Kru MyTeam dah menjelajah ke 13 buah negeri untuk mengumpul 22 pemain terbaik untuk diserapkan ke skuad utama.
Projek ni menjadi semakin hangat apabila Setiausaha Agung FAM ketika itu, Dr Ibrahim Saad mengatakan bahawa pasukan MyTeam hanyalah pasukan ‘mi segera’. Ketika tu masih menjadi tanda tanya, apakah pasukan yang akan FAM hantar. Rupa-rupanya, pihak FAM hanya menghantar pasukan Malaysia bawah 20 tahun untuk menentang pasukan Myteam yang dah dipersiapkan tu. Hanya tiga orang pemain senior diletakkan di dalam pasukan negara iaitu Indra Putra, K. Nanthakumar dan Khaironnisam Shahabudin.
Perlawanan menyaksikan pasukan MyTeam tewas 2-1 kepada pasukan negara walaupun membuat kejutan pada aksi babak pertama dengan gol pendahuluan oleh pasukan MyTeam. Perlawanan ni juga turut disaksikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Pak Lah. Ramai yang berpendapat walaupun kalah tapi pasukan MyTeam ni menunjukkan semangat juang yang tinggi.
“Jika keputusan yang menentukan kejayaan MyTeam maka kami telah gagal tetapi saya yakin pasukan ini telah berjaya kerana mereka telah mempamerkan mutu permainan yang bagus.” Shebby Singh, petikan dari Chedinsphere.
Bakat yang berjaya dicungkil dari program realiti ni adalah Azmi Muslim yang sebelumnya adalah pemandu forklift di Georgetown Pulau Pinang. Dia juga pernah menyertai pasukan di Liga-M serta menjadi sebahagian dari anggota skuad negara dalam Sukan SEA 2009 sewaktu mendapat pingat emas. Projek MyTeam ni diteruskan pada tahun hadapannya untuk mengumpul pasukan MyTeam 2 bagi melawan pasukan dari Indonesia. Namun, pasukan ni tewas 2-0 kepada pasukan Indonesia.
Pihak United Plantation Berhad (UPB) dah bergabung dengan MyTeam untuk membentuk pasukan UPB-MyTeam bagi merasai perlawanan kompetitif Liga Perdana 2007 dan Liga Super. Namun, masalah kewangan yang ada dah menyebabkan pasukan ni dibubarkan pada tahun 2009.
4) Projek NFDP: Sasaran untuk layak Piala Dunia bawah 17 tahun di Peru tak tercapai
Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dah diluluskan oleh jemaah menteri sebagai pelan jangka masa panjang untuk membentuk pemain masa depan negara. Projek ni dah dirasmikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Seri Najib Razak pada 10 April 2014. Pada tahun 2017, projek ni dah 23,000 pelatih di 123 akademi dengan 1,025 jurulatih sepenuh masa dan separuh masa. Sasaran tahun 2020 adalah untuk mempunyai 50,000 pelatih.
Projek ni macam yang kita tahu, diketuai oleh Lim Teong Kim (LTK) yang merupakan jurulatih bawah 18 tahun kelab gergasi Jerman, Bayern Munich. LTK juga dah meletakkan syarat supaya kerajaan Malaysia perlu mengikut perancangan yang disusun oleh dia sendiri. Sejak 2014, peruntukan sebanyak RM80 juta dah dibelanjakan untuk program manakala kos pembinaan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang berjumlah RM85 juta. Jumlah keseluruhan lebih kurang RM165 juta!
Ianya satu pelaburan yang besar. Sistem NFDP dan AMD adalah begini. Ia akan bermula dengan pusat-pusat Akademi Tunas di sekolah rendah bagi pelatih yang berumur 7 hingga 12 tahun. Kemudiannya, pelatih akan beralih ke Pusat Latihan Daerah (PLD) bagi yang berusia 13 hingga 17 tahun. Seterusnya, pelatih akan ditempatkan ke dalam Sekolah Sukan Negeri (SSN). Selepas tu, pelatih akan ditempatkan di Sekolah Sukan Malaysia (SSM) yang mana setakat ni ada 4 SSM yang mempunyai program pembangunan bola.
Dari jumlah yang ramai tu, 500 pelatih terbaik dari umur 13 hingga 17 tahun akan dimasukkan ke dalam AMD, Gambang, Pahang. Menurut KJ dan LTK, hasil pertama keluaran NFDP boleh dilihat pada generasi pertama yang bersaing dalam kelayakan Piala Dunia bawah 17 tahun 2019. Misi untuk layak ni ke Piala Dunia mesti dicapai dengan sekurang-kurangnya layak hingga ke peringkat separuh akhir Piala AFC bawah 16 tahun yang berlangsung di Malaysia.
Walaupun pasukan ni bermula baik dengan membelasah Tajikistan 6-2. Dua kekalahan seterusnya kepada Thailand dan Jepun dah meranapkan impian Malaysia untuk layak ke peringkat kalah mati serta peluang untuk layak ke Piala Dunia bawah 17 tahun di Peru. Adakah ini bermakna projek NFDP gagal? Baca apa yang LTK cakap ni.
“Ini bukan kegagalan sebaliknya percubaan pertama kita. Jadi, kita perlu meneruskan kerja ini sehingga kita berjaya dan bukannya setakat satu percubaan dan kemudiannya kita berhenti.“- LTK, petikan dari Semuanyabola.
Menurut LTK lagi, sasaran ke Piala Dunia bawah 17 tahun adalah sasaran jangka pendek. Matlamat jangka panjangnya adalah melahirkan pemain yang berkualiti bagi skuad kebangsaan pada masa akan datang. Jadinya, pembangunan pemain akan diteruskan.
Belajar daripada negara yang berjaya dalam pembangunan akar umbi
Walaupun ramai pihak yang masih optimis dengan projek NFDP termasuk LTK, namun ada beberapa pengkritik sukan mencadangkan supaya negara kita aplikasikan terus cara dan teknik yang sudah terbukti berjaya dilakukan oleh negara luar. Contohnya Belgium yang menjalankan ‘Purple Talent Project’ yang dilancarkan pada tahun 2007. Akademi bola tempatan serta kelab-kelab remaja diperkasa dengan mengajar pemain tentang bola serta mendalami kepelbagaian budaya Belgium.
Sasaran projek ni bukanlah untuk layak Piala Dunia, tapi melahirkan pemain negara yang saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Hasilnya boleh dilihat pada Piala Dunia 2014 apabila pasukan Belgium mula dipandang tinggi pasukan lain dan lahirnya Generasi Emas Belgium yang menggegarkan Piala Dunia 2018 sebagai pemenang tempat ketiga. Kira 10 tahun jugaklah projek ni nak berhasil.
Cadangan lain pula ada ditulis dalam buku ‘Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia’ tulisan Lucius Maximus supaya liga tempatan di negara kita diperbetulkan dengan mencontohi sistem liga bola sepak Jepun. Ianya ada 6 peringkat piramid dengan penubuhan kelab-kelab komuniti mengikut daerah atau bandar.
Kelab mengikut daerah ni pula ditaja oleh syarikat korporat yang bertapak di dalam daerah tu, contohnya Tanjung Malim FC ditaja Proton. Melalui cara ini, lagi ramai individu bermain bola sepak secara amatur, maka akan bantu proses mencungkil bakat baru. Mudah-mudahan cadangan dari mereka ini dapat diterima oleh FAM. Amin!
- 557Share sekarang!
- Email10
- Facebook547
- Share