2 tahun lepas kami interviu syarikat DreamEdge, kini mereka ketuai Projek Kereta Nasional

UPDATE 18/8/2019: Kereta nasional baharu negera kita nampaknya akan dibangunkan oelh syarikat tempatan iaitu DreamEdge dengan kerjasama syarikat Jepun, Daihatsu Motor Company. DreamEdge juga dikatakan tidak akan menerima dana kerajaan sebaliknya menggunakan pelaburan swasta untuk projek ni.

Apa yang menarik, dua tahun lepas, kami dari SOSCILI pernah interviu orang kuat DreamEdge untuk ceritkan pasal syarikat diorang. Kami sangat berbesar hati bila tau mereka diberi tugas besar untuk membangunkan kereta tempatan. Jadi, bacalah kisah diorang dalam artikel ni.


Hari ni, dunia tengah bergerak maju apabila muncul idea projek penerbangan roket untuk orang awam ke Marikh oleh Elon Musk. Juga muncul macam-macam teknologi yang melepaskan gas karbon dioksida yang rendah (low carbon) dalam banyak sektor untuk mencapai misi memperlahankan kenaikan suhu pemanasan global dalam 10 tahun mendatang.

Para pelabur juga hari ni dilaporkan mula beralih arah untuk melabur dalam syarikat-syarikat gergasi teknologi di Asia yang sebelum ni dikuasai syarikat teknologi dari Amerika. Macam negara kita juga ada beberapa syarikat atau kumpulan berasaskan teknologi yang muncul. Ada yang siap dapat projek teknologi dari syarikat Jepun lagi. Ada juga yang boleh cipta sesuatu setaraf inovasi antarabangsa macam syarikat kereta Tesla.

Cumanya kita tak tahu dan mungkin kurang ambil perhatian pasal diorang. Jadinya, kami akan senaraikan beberapa syarikat dan kumpulan NGO yang memperkenalkan teknologi kepada orang-orang di Malaysia dan antarabangsa yang patut diberi perhatian.

1) DreamEdge: Memperkenalkan Pendidikan Robot Jepun kepada kanak-kanak

Kalau sebut je robot, mesti nama Jepun yang naik. Menurut CNBC, Jepun adalah negara yang sedang rancak membangunkan robot untuk melakukan kerja-kerja manusia. Sebabnya, diorang sekarang kekurangan tenaga buruh. Rupa-rupanya, kita ada syarikat dibarisi anak muda yang ada hubungan rapat dengan teknologi dari Jepun ni. Siapakah mereka?

Model Nescafe pun pakai robot kat Jepun ni. Mana artis nak cari duit. Imej dari Daily Mail.

Khairil Adri Adnan ketika berusia 31 tahun bersama rakan-rakannya telah mebangunkan sebuah syarikat yang berasaskan penyelidikan dan pembangunan. Ideanya tercetus selepas dia berpengalaman menjadi ketua projek pembinaan pusat penyelidikan dan pembangunan Nissan di Vietnam.

Melihat hasil daripada projek pembinaan tersebut, CEO (Khairil Adri Adnan) merasakan perlunya sebuah pusat yang sama di Malaysia.” – Muhammad Khalis Bin Othman, Pembantu Pengurus DreamEDGE ketika dihubungi Soscili.

Maka terbentuklah DreamEDGE yang menawarkan penyelesaian kejuruteraan secara digital dan program latihan istimewa kepada mana-mana syarikat yang nak guna kepakaran diorang. Penyelesaian kejuruteraan dan latihan tu termasuklah cara menggunakan software 3D untuk cipta sesuatu produk. Selain tu, diorang jugak ada cipta kenderaan menggunakan tenaga elektrik dalam usaha mengurangkan pelepasan gas karbon ke udara. Jadinya kenderaan ni dipanggil sebagai Zero Emission Transport (ZET)

Beca ZET. Imej dari DreamEdge.

Ada macam-macam jenis termasuklah kereta, van, beca dan motor. Semuanya pakai tenaga elektrik. Menurut Muhammad Khalis, Pembantu Pengurus DreamEDGE, model ni digunakan secara sewa untuk majlis keraian dan keramaian. Siapa nak kahwin tu, agak-agak tak nak berarak kompang, bolehlah sewa motor elektrik DreamEDGE!

Apa yang menariknya, DreamEDGE juga tidak ketinggalan untuk berkongsi ilmu teknologi dengan masyarakat. Diorang turut menyediakan satu kelas yang berasaskan Kaedah Pendidikan Robot Jepun kepada kanak-kanak yang dipanggil sebagai DOJO Programming.

“Programming DOJO kami mengajar aspek pengaturcaraan robot yang diterima pakai dari pelajaran robot yang paling popular daripada Jepun melalui penggunaan kit robot pendidikan bernama TJ3B.” – Muhammad Khalis Bin Othman ketika dihubungi SOSCILI.

Komputer sekali dengan robot dia bagi test. Imej dari DreamEDGE.

Kelas ni dibuka kepada kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun. Dorang akan diajar bermain coding robot Jepun untuk selesaikan masalah yang disediakan. Menurut Khalis, kelas ni tiap minggu makin ramai yang sertai sebab pengisian yang menarik beserta ‘1 on 1’ learning oleh para pengajar. Kalau nak hantar anak-anak korang untuk jadi pakar robot , bolehlah daftar kelas DOJO Programming kat sini.

2) REKA: Mengajar orang Malaysia mencipta peranti elektronik sendiri

Sebelum ni, negara kita pernah digemparkan apabila ada sekumpulan anak muda telah memperkenalkan teknologi kenderaan tanpa pemandu. Sampaikan kenderaan tu digelar sebagai Tesla Malaysia. Sebab kat dunia ni, Tesla je yang mendominasi teknologi ‘drivelerless car’ ni, Apa yang mengagumkan, teknologi diorang ni boleh masuk kat mana-mana kereta lama atau yang tiada sistem pandu sendiri!

Klik pada gambar kalau nak tengok projek kereta diorang. Imej dari Kongsi TV Production.

Projek ni telah menaikkan nama sekumpulan anak muda yang dikenali sebagai REKA.  Ian juga telah mendapat perhatian kerajaan bila kereta ni diuji sendiri oleh Menteri Sains, Teknologi & Inovasi Malaysia pada National Innovation & Creative Economy (NICE) EXPO 2017. Apa yang menariknya, Jabatan Standard Malaysia juga akan menyediakan piawaian bagi undang-undang kereta tanpa pemandu setelah projek ni dibangunkan.

Siapa yang drive tu?

Ketika dihubungi, Muhammad Haziq Faris, CEO REKA mengatakan dana syarikat ni adalah hasil kumpulan bersama. Sampai sekarang masih tiada lagi bantuan kewangan pihak luar walaupun banyak permohonan telah dibuat. Jadinya, REKA bukan je buat projek kereta. Diorang juga ada sediakan beberapa perkhidmatan macam:

  1. Membangunkan web atau apps jenama/syarikat
  2. Berkaitan paten dan hak cipta sesuatu produk
  3. Pemasaran di media sosial
  4. Merekabentuk produk untuk menarik perhatian pengguna dan apa-apa di dalam skrin

Bukan itu je, REKA dengan kerjasama TM Bhd ada buat bengkel mengajar teknologi yang dipanggil sebagai StartIoT. Bengkel ni akan membantu mereka yang berminat untuk belajar mengenai Internet of Things (IoT), iaitusistem yang dipasang pada sesuatu objek dan boleh memindahkan data tanpa memerlukan bantuan manusia atau komputer. Contohnya, kereta boleh dipasang sensor untuk bagitahu pemandu yang tekanan tayar kereta adalah rendah.

Bengkel IoT. Ramai betul yang join. Anda bila lagi? Imej dari Twitter REKA.

Disebabkan kat Malaysia kurang pendedahan pasal cara nak bina peranti IoT ni, maka kelas StartIoT akan ajar dari A to Z. Kelas ni juga telah memberi platform kepada peserta untuk bermain dengan teknologi IoT secara mudah. Sebab sebelum ni teknologi IoT selalu didedahkan kepada umum dengan cara yang sukar difahami.

“Peserta akan didedahkan kepada konsep IoT, asas elektronik, membina peranti elektronik yang mudah, menghantar data daripada peranti ke ‘Cloud’, memantau dan mengawal peranti IoT dari Internet.” – Muhammad Haziq Faris, CEO REKA ketika dihubungi SOSCILI.

Nampak susah kan? Nasib baiklah ada REKA. Imej dari Twitter REKA.

Kalau nak sertai kelas ni boleh klik kat sini.

3) Mycro: Mengajar teknologi 3D printing kepada pelajar kejuruteraan Sri Lanka

Sebelum ni, kita pernah dengar cerita pasal adik Ainaa yang kecacatan tangan tapi telah dihadiahkan tangan tiruan oleh sebuah syarikat. Tangan tiruan tu telah dihasilkan menggunakan teknologi 3D printing. Korang pun tahu, bukan calang-calang orang boleh cipta 3D printer. Tapi, ada sekumpulan anak muda di Malaysia ni yang bangunkan 3D printer diorang sendiri iaitu Malaysia Conceptual Robotics (Mycro). Serius! Diorang ada cipta 3D printer sendiri yang dipanggil RP-Maker. 

Kalau korang nak tahu, Mycro ni ditubuhkan oleh bekas-bekas graduan kejuruteraan UM sejurus tamat bergraduasi. Biasa lepas hari graduasi orang banyak upload gambar baling topi kat FB dan Insta je. Diorang ni lain. Kami sempat menghubungi Muhammad Basril Bin Muhammad Asri yang merupakan Pegawai Pemasaran Mycro. Menurut Basril, fokus awal kumpulan ni adalah untuk buat barang-barang custom macam spare part. Sampailah ada kepakaran dalam beberapa bidang termasuk 3D Printing.

Pihak kerajaan melalui Malaysian Youth Volunteering Programme (Mycorps) telah pun menghubungi Mycro untuk terlibat dengan program di Sri Lanka. Di sana diorang telah menjalankan Projek 3D Prosthetic Limb For The Need (Limb X). Sebabnya kawasan Killinochchi yang diorang pergi ni ada 5,000 orang yang cacat jari dan tangan berpunca dari perang saudara yang pernah terjadi.

Sampai ke Sri Lanka ilmu diorang. Imej dari FB Mycro.

Program LIMB X ni diadakan dua hari yang mana pelajar kejuruteraan mekanikal dari Universiti Jaffna akan terlibat dengan kelas 3D Printing. Diorang akan ajar cara guna software Tinkercad untuk melukis dan menyiapkan model sesuatu produk dalam bentuk 3D. Apa yang menariknya, kelas ni juga telah memanggil dua orang Sri Lanka yang kehilangan jari dan tangan. Tujuannya untuk melatih peserta supaya memikirkan model yang sesuai untuk menggantikan apa yang diperlukan.

Setelah dianalisis dan diukur, model yang dilukis dalam software tu akan dimasukkan di dalam 3D printer untuk dihasilkan menjadi produk sebenar. Hasilnya, satu jari dan satu tangan palsu telah disiapkan untuk keperluan dua orang tadi.

Jari baru untuk awak. Tahniah! Imej dari FB Mycro.

Seperti diterangkan Encik Basril, salah seorang yang diberi jari palsu tersebut adalah wanita berusia 34 tahun. Apa yang menyedihkan, sudah 8 tahun dia terpaksa disuap oleh ibunya kerana kecacatan jari. Melalui projek ni, wanita tu dah ada jari yang membantunya untuk menguruskan kehidupan seharian seperti makan. Bukan setakat tu je, Mycro juga mengajar teknologi 3D Printing di kawasan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak.

Budak-budak ni dah faham agaknya 3D Printing tu macam mana. Imej dari FB Mycro.

4) KUASA: Memperkenalkan teknologi peta digital kepada penduduk orang asli

Hari ni, negara-negara PBB sedang bekerjasama dalam misi mengawal pemanasan global dari terus meningkat secara mendadak. Salah satu cara yang dicadangkan adalah mengurangkan aktiviti pembalakan. Di Perak, kesan aktiviti pembalakan tak terkawal telah menyebabkan munculnya NGO Alam Sekitar seperti Persatuan Aktivis Alam Sekitar (KUASA). Antara kejayaan terbesar KUASA adalah ketika membantah pembinaan Kilang Gas Asli Cecair & Kilang Besi Magma di Hutan Simpanan Dara Tanjung Hantu & Segari Melintang.

“Dalam kempen ini, kami berjaya menghentikan projek tersebut setelah memobilisasi komuniti tempatan dan massa, termasuk juga dengan bantuan rakan aktivis dari Jerman (kerana syarikat kilang besi tersebut adalah dari Jerman) yang berjaya mengutip tandatangan petisyen sehingga 80,000, sebahagiannya oleh rakyat Jerman.” – Hafizudin Nasrudin, Presiden KUASA ketika dihubungi SOSCILI.

Cari pasal dengan pokok kan?

Lepas beberapa tahun, KUASA telah menyerahkan kepimpinan organisasinya kepada golongan muda yang diketuai oleh Hafizudin Nasarudin. KUASA juga bergiat aktif dalam mendidik rakyat Malaysia. Diorang ada sediakan satu kelas khas untuk pencinta alam sekitar yang dikenali sebagai Latihan Aktivis Alam Sekitar (LASAK). Kelas ni memang betul-betul bagi peserta turun padang masuk hutan dan tengok tempat hutan musnah serta belajar mengenai teori termasuk analisis masalah.

Memang LASAK ni. Imej yang dihantar kepada kami.

Apa yang menarik, KUASA telah memperkenalkan teknologi Global Positioning System (GPS) dan Geographical Informative System (GIS) kepada penduduk Orang Asli. Sebab bagi mereka, orang asli adalah salah satu elemen penting dalam usaha menjaga hutan di negara ini.

“KUASA cuba untuk melatih mereka membuat aktiviti pemetaan komuniti dengan menggunakan alat Global Positioning System ataupun GPS. Alat ini boleh digunakan oleh mereka untuk melorek sempadan wilayah dan adat mereka, menandakan kawasan-kawasan penting seperti kampung, kubur, kebun dan sebagainya.” – Hafizudin Nasarudin, Presiden KUASA ketika dihubungi SOSCILI.

Ilmu baru untuk diorang. Imej yang dihantar kepada kami.

Semua data dari GPS tu akan dianalisis dan ditukar menjadi peta menggunakan aplikasi Geographical Informative System (GIS) pulak. Dari situ, peta tadi akan dicetak menjadi peta rasmi adat dan wilayah.

Peta ni tadi akan dibawa kepada pihak atasan seperti Kerajaan Negeri, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Majlis Peguam dan lain-lain pihak. Jadinya, bila syarikat pembalakan cuba buat apa-apa pada hutan ni, orang asli tadi ada hak nak lawan.

Sharing is caring. Imej yang dihantar kepada kami.

Hasilnya, ada banyak kes yang orang asli menang contohnya di Perak dan Kelantan yang berjaya menghentikan pembalakan dan saman dikenakan kepada syarikat tersebut. Begitu juga, tuntutan tanah adat dan air bagi orang asli Seletar di Johor. Sekarang ni, projek pemetaan menggunakan teknologi ni masih diteruskan di kampung orang asli di Pos Air Banun, Perak.

Teknologi telah memberi peluang kerjaya dan ilmu baru untuk rakyat Malaysia

Empat kumpulan atau syarikat yang disenaraikan tadi telah membuktikan yang teknologi boleh dimanfaatkan dalam pelbagai lapangan. Diorang juga nampaknya dah bagi peluang kerjaya dan pembelajaran untuk semua golongan terutamanya bumiputera.

Macam KUASA diorang berjaya mendapatkan dana dari PBB melalui United Nation Development Programme (UNDP). Untuk REKA pulak, seperti yang diterangkan masih tiada sesiapa yang sudi memberi dana. Berbeza pula dengan DreamEDGE yang ada hubungan baik dengan syarikat Jepun, dikatakan diorang lebih banyak dapat kepercayaan dari negara tu berbanding Malaysia.

Bayangan Malaysia pada 2020 waktu kita kecik-kecik dulu. Imej dari Vulcan Post.

Apa yang diharapkan pada masa akan datang, syarikat dan kumpulan tempatan yang banyak menyumbang dalam ilmu teknologi ni lebih mendapat perhatian di negara sendiri. Akhirnya, cadangan dari pihak pakar supaya Bajet 2018 akan datang ni dapat membantu sektor teknologi untuk terus berkembang amat dialu-alukan.

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT