Nak apply visa je dah kena bayar RM1.9K? Kisah scam kat Malaysia

(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, TahanUni)

Beberapa tahun kebelakangan ni, Malaysia merupakan salah satu destinasi popular untuk para pelajar dari seluruh dunia untuk sambung pelajaran kat sini! Perkara ni adalah berita baik untuk universiti tempatan, tapi dalam masa yang sama, ada juga orang-orang yang tak bermoral ambik kesempatan terhadap pelajar asing yang datang ke Malaysia.

Dalam sebuah siri dokumentari yang dihasilkan oleh R.AGE dari The Star, dorang membongkar tentang pelajar asing yang ditipu oleh ejen. Dokumentari tu memfokuskan pelajar dari Bangladesh yang datang ke Malaysia untuk menyambung pelajaran, tapi kemudiannya ditipu dan terpaksa menjadi buruh paksa.

Sebagai rakyat Malaysia, ramai antara kita yang tak tahu pasal proses yang pelajar asing lalui untuk belajar di Malaysia, walaupun korang mungkin ada beberapa kawan dari oversea. Tapi, ramai yang mungkin terkejut bila dapat tahu yang…

1. Institusi kolej atau universiti berhak untuk menyimpan passport korang

Jadi, bila saya boleh dapat balik passport saya? Imej dari dailymail.co.uk

Untuk pelajar asing, dorang perlu dapatkan Single Entry Visa atau Visa Masuk Tunggal daripada Kedutaan Malaysia sebelum sampai kat Malaysia. Sesampainya pelajar ke negara ni, diorang kena pergi ke kolej atau universiti untuk uruskan kemasukan dengan memberikan passport diorang kepada institusi.

Tapi, ni la masalahnya. Pihak universiti akan simpan passport dan hantar ke imigresen sebelum dipulangkan kembali beberapa minggu atau bulan kemudian. Boleh bayangkan macam mana diorang nak keluar dari negara ni kalau ada hal kecemasan yang berlaku, tapi passport takde dengan diorang?

Untuk beberapa negara lain yang banyak terima pelajar antarabangsa setiap tahun macam Amerika Syarikat, UK, atau Australia, prosesnya ialah kena dapatkan visa pelajar sebelum sampai ke negara diorang. Jadi, proses negara-negara ni lain berbanding polisi Malaysia di mana pelajar antarabangsa kena buat permohonan visa pelajar melalui institusi SELEPAS sampai.

Suka nauuu orang luar dapat belajar oversea. Imej dari giphy

Disebabkan passport dipegang oleh pihak universiti, jadi diorang akan bagi notis (sekeping kertas + fotokopi halaman maklumat pasport & halaman visa), kalau-kalau pihak berkuasa tahan dan minta pengenalan. Tapi macam mana pulak kalau yang masuk ke kolej palsu melalui sindiket macam kebanyakan pelajar dari Bangladesh yang kena tipu tu?

R.AGE ada terangkan, para pelajar ni selalu diugut dalam setiap peringkat proses permohonan visa diorang. Jadi bila kolej palsu ni pegang passport diorang untuk permohonan visa, diorang cuma akan bagi balik kalau pelajar tu bayar duit tambahan, lebih daripada sepatutnya kat ejen.

Bercakap pasal caj, ada satu lagi benda yang kita kena tahu pasal proses permohonan visa pelajar…

2. Terdapat BANYAK caj tersembunyi untuk dapatkan visa pelajar

Jadi, berapa harga asal untuk dapatkan visa pelajar ni? Tengok kat resit ni, dan kita buat kira-kira, ok?

Nampak macam mudah, kan? Salah! Imej dari tahanuni

Kalau korang kira macam biasa, harganya cumalah RM60 untuk pas pelajar. Manakala yuran untuk visa sebenar berbeza-beza, ada yang percuma, dan ada yang sampai RM50 bergantung pada negara masing-masing. Contohnya untuk pelajar dari Indonesia, yuran bayaran untuk visa kemasukan berganda (multiple entry visa ) ialah RM15. Tapi bila nak bayar tu, harganya jadi lain, dan pecahannya jadi macam ni:

  • Bayaran permohonan visa baru: RM1,060.00
  • Yuran pemeriksaan kesihatan untuk pemohon kali pertama: RM265.00
  • Yuran pas pelajar: RM60.00
  • Insurans Kesihatan (pelan sedia ada yang paling murah): RM424.00
  • Yuran penghantaran (kalau pikap sendiri, murah RM10): RM63.60
  • Visa Kemasukan Pelbagai : RM15.00

Jadi maksudnya, jumlah kos yang perlu dibayar apabila memohon visa buat kali pertama ialah RM1,887.60. Tapi selain daripada dapat hidup di Malaysia secara sah sebagai pelajar, diorang juga dapat i-kad dan kad insurans, yang memberi sokongan RM50 setiap kali pergi klinik (tapi tak cover kalau jumpa pakar)

Bila korang tahu korang ada perlindungan insurans. Imej dari giphy

Benda ni standard la kot bila nak apply yuran visa untuk negara-negara lain pun. Tapi, untuk pelajar antarabangsa yang apply melalui kolej atau ejen, benda ni la yang menyebabkan banyak ruang untuk penyalahgunaan. Kalau tak kaji betul-betul, tak tahu bahasa yang digunakan, takde keluarga atau kawan-kawan yang boleh diharapkan, lagi senang la ejen ambik kesempatan.

Ada lagi satu sebab kenapa proses visa di Malaysia berbeza dengan negara-negara lain, iaitu…

3. Pelajar asing di Malaysia kena buat permohonan visa SETIAP TAHUN

Malaysia berbeza dengan negara-negara lain yang selalu terima pelajar asing, di mana diorang kena perbaharui visa setiap tahun berbanding dapat sekaligus sepanjang tempoh pengajian. Tapi, pelajar asing ni tak perlu ulang pemeriksaan kesihatan untuk pembaharuan visa. Kos pembaharuan visa pun murah sikit daripada permohonan kali pertama.

Kalau nak tahu, Kementerian Pengajian Tinggi memperkenalkan sebuah syarikat baru pada tahun 2013 yang dinamakan Education Malaysia Global Services (EMGS) untuk mempromosikan pendidikan di Malaysia dan membantu proses permohonan visa pelajar. Malah, pada tahun lepas EMGS mengesan peningkatan mendadak pelajar Bangladesh, yang mendorong diorang untuk selidik, kolej mana yang terlibat dengan pemerdagangan ni.

Ini bermakna, kalau ada kawan korang dari luar negara jumpa ejen yang menjanjikan visa pelajar atau permit bekerja di Malaysia…

Screenshot dari justlanded.com

… JANGAN LAYAN.

Kalau nak tahu, dasar pembaharuan visa dibuat secara tahunan sebab tak nak pelajar asing menetap di negara ini melebihi tempoh ditetapkan dan memerangi laporan jenayah yang dijalankan oleh pelajar-pelajar ni. Malah, proses pemeriksaan EMGS dikatakan telah menymbang dalam menurunkan kadar jenayah oleh pelajar antarabangsa di negara ini.

Walau bagaimanapun, Menteri Pengajian Tinggi, Idris Jusoh, kata pelajar antarabangsa yang dilaporkan terlibat dalam jenayah adalah kurang daripada 1%. Di samping itu, kehadiran pelajar dan pelajaran diorang juga pernah dikaji balik, di mana pelajar antarabangsa dikehendaki mencapai 80% kehadiran dan PNGK mesti kena 2.0 ke atas setiap tahun. Selain tu juga, pihak berkuasa boleh masuk campur kalau ada pelajar asing tak datang kelas selama tiga hari berturut-turut.

Kena tangkap sebab ponteng kelas pun, ekstrim juga, kan? Imej dari abc.net

Sebenarnya apa yang kerajaan Malaysia buat ni adalah sebab nak pastikan pelajar antarabangsa terjaga. Tapi dalam masa yang sama juga benda ni dah menjadikan dorang lagi mudah untuk dieksploitasi. Diorang juga diperas ugut sama ada nak bayar hutang supaya boleh balik ke negara diorang balik, ataupun bayar ejen untuk perbaharui visa supaya diorang boleh bekerja.

4. Kesemua prosedur ni pelik dan rumit

Kalau korang nak fahamkan lagi macam mana sistem EMGS ni berfungsi, inilah garis panduan proses permohonan visa yang perlu dilalui oleh pelajar antarabangsa sebelum mereka ke Malaysia.

1. Bila dapat tawaran dari universiti di Malaysia, hantar surat tawaran, gambar, dan salinan pasport ke laman web EMGS ATAU ke institusi anda untuk memulakan permohonan.

Nampak macam senang, kan? Imej dari educationmalaysia.gov.my

2. Lepas tu, EMGS akan proses semua dokumen. Kalau semuanya ok, diorang akan hantar Surat Kelulusan Visa dalam tempoh dua minggu selepas mengemukakan permohonan. Bila approve je, pelajar asing tadi perlu pergi ke Kedutaan Malaysia di negara diorang untuk dapatkan Visa Kemasukan Tunggal.

3. Sampai je ke Malaysia, pelajar asing akan dapat setem khas yang membolehkan diorang tinggal di sini semasa pas pelajar diproses. Dalam masa tujuh hari dari tarikh tiba, pelajar asing juga akan menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik yang diluluskan oleh EMGS. Lepas tu, diorang kena serahkan passport ke institusi pembelajaran di mana institusi tu pula akan hantar ke EMGS untuk visa pelajar ditampal di dalam passport.

Contoh visa pelajar yang ditampal dalam passpot pelajar asing, Imej dari lnconsultancy.com

Kalau nak diikutkan, prosedur permohonan visa ke Malaysia sebenarnya lagi susah daripada UK. Sebabnya mana-mana pelajar Malaysia yang nak mohon visa UK, diorang cuma perlu apply kat pusat permohonan visa. Tapi untuk proses visa Malaysia pula, pelajar asing kena mohon daripada surat kelulusan, pergi ke kedutaan Malaysia di negara diorang, dapatkan visa sementara, terbang ke Malaysia, pergi ke universiti yang dipilih, kemudian barulah dapat visa pelajar.

Dulu masa EMGS mula ditubuhkan pada 2013 pun, ada banyak masalah dengan proses permohonan. Sampai ada yang ambik masa selama berbulan-bulan sampaikan diorang sendiri tak tahu macam mana status permohonan dan apatah lagi mana perginya passport diorang. Sekarang ni, barulah nampak macam mana ejen ni dah salahgunakan sistem visa pelajar dan memperdagangkan pelajar.

Gunakan saluran yang betul supaya tak jadi mangsa sindiket

Siapa yang untung dengan pemerdagangan pelajar ni? Korang boleh baca lebih lagi disini. Imej dari R.AGE

Pendedahan R.AGE pasal pemerdagangan pelajar asing kat Malaysia ni sedikit sebanyak dah membuka mata kita tentang bahaya yang berlaku di negara kita. Pemerdagangan manusia tak sepatutnya berlaku di negara maju macam Malaysia. Jadi, harapnya pihak kerajaan dan pihak berkuasa yang berkenaan akan buat pemantauan secara berkala.

Malah, kalau korang ada kawan-kawan luar negara yang nak study kat Malaysia pun, pastikan diorang gunakan saluran yang betul supaya tak tertipu dengan mana-mana sindiket yang nak mempergunakan diorang ni.

Mudah-mudahan, liputan tentang isu masalah pelajar asing yang teraniaya ni boleh membuka mata pelbagai pihak, terutama sekali pihak berkuasa untuk melindungi pelajar asing yang terdedah dengan bahaya di Malaysia.