11 simbol dan isyarat yang korang tak patut guna bila travel kat negara lain

Bila kita travel ke luar negara, biasanya ramai yang akan pilih tempat yang senang nak cari makanan halal, tempat yang familiar, ramai traveller Malaysia pergi, atau tempat yang senang faham bahasanya supaya perjalanan korang jadi lancar tanpa susahkan korang untuk faham apa diorang cuba nak bagitau.

Tak kurang juga yang akan beli internet kat negara yang korang lawati tu supaya senang nak berkomunikasi dengan orang tempatan, itu pun kalau murah. Kalau korang pergi kat negara yang internet mahal macam negara-negara Soviet dengan purata RM600 per 10 Mb/s, biasanya korang akan guna internet hotel je kan?

Jadi korang yang travel secara bajet ni pergi pula tempat yang korang tak berapa familiar, dan berurusan dengan orang tempatan. Macam mana korang nak tanya? Guna isyarat tangan? Hati-hati, kalau salah guna isyarat sebab tak tahu faux pass sesebuah negara tu, korang ni memang cari nahas. Kat sini kitorang listkan pelbagai isyarat dan simbol yang korang tak patut guna kat sesebuah negara atau tempat yang korang lawati tu!

1. Tanda ibu jari (thumbs up) di Greece dan Timur Tengah ada maksud yang tak bagus

Imej dari inspirationfeed.com

Maksud yang kita tahu: Selain Malaysia, thumbs up ni benda biasa yang digunakan di seluruh dunia. Dari pemahaman kita, maksud isyarat tangan ni adalah nak tunjuk ‘bagus’ atau ‘well done’ dekat orang yang berjaya buat sesuatu perkara. Oh, tak kurang juga yang tunjukkan isyarat ni bila adik-beradik korang kena pukul dengan penyapu sebab balik lambat, tak pergi mengaji, ataupun tak dengar cakap mak.

Maksud bagi negara lain: Tapi simbol ni membawa maksud lain bagi negara Greece dan negara-negara Timur Tengah. Bunyinya agak kurang sopan, tapi ia adalah simbol lucah yang bermaksud menggunakan ibu jari untuk meliwat orang yang ditujukan. Jadi, hati-hati kalau nak gunakan isyarat ni dengan kawan-kawan korang yang berasal dari negara-negara tu.

2. Simbol OK tak semestinya baik-baik saja di Brazil

Maksud yang kita tahu: Antara simbol yang paling popular di dunia selain daripada thumbs up ialah simbol OK, dengan ibu jari dan jari tunjuk bersatu, dan tiga lagi jari lain dinaikkan. Kita biasa buat simbol ni bila orang tanya, “Kau ok tak ni?”, walaupun dalam hati kau dah menangis.

Maksud bagi negara lain: Tapi rupa-rupanya, tak semua negara ada pemahaman yang sama. Di Jepun, maksud isyarat jari ni ialah ‘duit’. Manakala di Perancis pula bermaksud ‘kosong’ atau ‘takde nilai’. Di Turki dan Venezuela pula lagi bahaya sebab maksud isyarat ni menunjukkan kita kata orang tu homoseksual. Di Brazil pula, isyarat OK tu lebih kuranglah maknanya macam angkat jari tengah.

3. Simbol Peace atau V-sign tak melambangkan keamanan di Afrika Selatan

Yoko Ono menunjukkan simbol ‘peace’ untuk meraikan ulang tahun ke-75 kelahiran John Lennon. Imej dari japantimes.co

Maksud yang kita tahu: Simbol peace adalah simbol keamanan yang digunakan masa protes melawan Perang Vietnam oleh para penentang perang sejak tahun 1960-an lagi. Kemudiannya simbol ni dipopularkan oleh golongan hippies dan berkembang di seluruh Amerika. Tak lama lepas tu, ia diterima pakai di seluruh dunia dan simbol ni jadi popular terutamanya Korea dan Jepun masa ambik gambar.

Maksud bagi negara lain: Kat UK, Australia dan Afrika Selatan pula, isyarat ‘peace’ yang menggunakan bahagian belakang tangan pada orang lain pula melambangkan jari tengah. Jangan salah buat peace pulak ye!

4. Angguk dan geleng kepala bawa maksud sebaliknya di Bulgaria dan Greece

Maksud yang kita tahu: Angguk maksudnya nak, dan geleng maksudnya tak nak. Ni lah isyarat yang paling senang dan terawal kita belajar masa kecik. Tak belajar cakap lagi pun, mesti ajar angguk atau geleng supaya sekurang-kurangnya tahu apa yang budak nak.

Maksud bagi negara lain: Tapi di Greece dan Bulgaria, maksudnya berlawanan antara satu sama lain. Angguk maksudnya tak, dan geleng maksudnya nak. Jadi kalau korang melancong ke tempat ni, jangan keliru pula ye!

Pastu, maksud dia faham ke tak ni?

5. Silang jari di Vietnam tak boleh selamatkan korang dari malapetaka

Maksud yang kita tahu: Kalau kita tengok filem-filem Barat, korang mungkin pernah nampak sorang watak akan silangkan jari bila dia berharap sesuatu. Kalau korang tak tahu, maksud silang jari tu adalah syarat tangan yang biasa digunakan untuk mengharapkan nasib yang baik dan juga percubaan untuk memohon perlindungan Tuhan.

Maksud bagi negara lain: Korang jangan cari nahas pula dengan mempraktikkan benda yang korang tak pasti maksud dia. Sebab lain pula di Vietnam, bagi diorang simbol tu menyerupai alat kemaluan wanita

6. Simbol tiga jari dinaikkan di Thailand bukanlah penghargaan kepada seseorang

Maksud yang kita tahu: Korang yang biasa tengok Hunger Games, mesti faham maksud isyarat tangan ni. Isyarat ni digunakan Katniss lepas dia cuba selamatkan salah seorang peserta daripada daerah lain tapi peserta tu akhirnya mati. Simbol tu bermaksud terima kasih, dan juga penghargaan dan ucapan selamat tinggal kepada seseorang yang disayangi.

Maksud bagi negara lain: Tapi kalau korang dekat Thailand, jangan memandai-mandai pula buat isyarat tangan macam ni. Simbol ni digunakan oleh rakyat negara itu dan pihak pembangkang yang tak setuju dengan rampasan kuasa pada tahun 2006,yang menggulingkan Perdana Menteri Thailand pada masa tu, Thaksin Shinawatra. Simbol yang diambil daripada xfilem The Hunger Games ni kemudiannya diharamkan sampai sekarang.

7. Isyarat ‘rock’ ni boleh buatkan orang Itali dan Sepanyol belasah isteri diorang

Imej dari CBS LA

Maksud yang kita tahu: Di Amerika Syarikat, simbol “the horn fingers” kebanyakannya digunakan oleh penyanyi dan peminat rock seluruh dunia sebagai sebuah persetujuan untuk “rock on”. Isyarat tangan ni asalnya daripada Universiti Texas di Austin.

Maksud bagi negara lain: Di Itali, Sepanyol, Portugal dan Colombia pulak, maksud bagi isyarat tangan tu menandakan yang isteri curang di belakang diorang. Jadi jangan la buat, tak pasal-pasal pulak bini diorang kena pukul sebab salah faham.

8. Korang cari nahas bila panggil orang kat Jepun dengan isyarat jari

Maksud yang kita tahu: Kalau nak tahu ni la cara orang Amerika panggil orang dan suruh orang tu datang. Tapi dalam budaya kita pula, kalau panggil orang dengan gaya macam ni sebenarnya agak kurang sopan. Bukan apa, dah la panggil guna jari je, lepas tu patutnya kita panggil orang, kita la pergi kat dia. Korang jangan panggil orang yang lagi tua daripada korang macam ni pula, cari nahas juga sebenarnya.

Maksud bagi negara lain: Kita sedia tahu yang Jepun ni sebuah negara yang penuh dengan adab sopan dan kesusilaan. Jadi bagi diorang isyarat ni agak kasar dan menyinggung perasaan orang yang dipanggil. Bukan Jepun je, malah negara Asia yang lain sebab bagi Singapura pula, isyarat ni melambangkan kematian. Malah kalau korang gunakan isyarat ni kat Filipina pula, korang boleh ditangkap oleh pihak berkuasa sebab cara panggilan tu cuma digunakan bila nak panggil anjing.

Try la buat macam ni kalau nak kena penampar Jepun

9. Makan dengan mulut terbuka dianggap sopan di China

Maksud yang kita tahu: Salah satu etika di meja makan ialah jangan bercakap masa mulut penuh dengan makanan. Kita diajar untuk menutup mulut dan habiskan makanan sebelum bercakap. Bukan sebab apa, nampak tak sopan dan takut makanan tersembur dekat orang lain.

Maksud bagi negara lain: Tapi, lain pula dengan negara China. Kat sana, takde istilah tak sopan kalau korang bercakap masa mulut penuh dengan makanan. Bukan tu je, sendawa dan kentut depan orang pun tak jadi masalah sebab bagi diorang benda tu normal. Disebabkan hal-hal macam ni la Menteri Perlancongan Jepun kemudiannya keluarkan panduan etika khas untuk pelancong daripada China. Itu pun lepas diorang terima banyak sangat aduan daripada pemilik hotel kat negara matahari terbit tu pasal tingkah laku pelawat dari China.

10. Jangan gunakan tangan kiri untuk berurusan dengan orang di negara-negara Islam

Scout handshake. Imej dari hazelbrookscouts.com

Maksud yang kita tahu: Di Malaysia dan kebanyakan negara-negara Islam, menggunakan tangan kiri untuk makan, berjabat tangan, menghulurkan atau menerima sesuatu dianggap kurang sopan. Sebabnya, tangan kiri selalunya digunakan untuk membersihkan diri di tempat-tempat sulit dan kotor. Jadinya, gunalah tangan kanan supaya lebih sopan.

“Tangan kanan Rasulullah digunakan dalam bersuci dan makan. Adapun tangan kiri, dipakai untuk membersihkan bekas kotoran dari buang hajat dan perkara-perkara yang najis “- (Hadits sahih riwayat Abu Dawud)

Maksud bagi negara lain: Biasanya di negara Barat pun diorang akan salam gunakan tangan kanan sebab diorang sedia tahu pasal budaya orang Asia yang gunakan tangan kiri untuk tujuan kebersihan. Tapi kalau korang nak tahu ada je yang salam guna tangan kiri ni, iaitu Scout handshake’ atau ‘jabat tangan pengakap’, sebagai tanda kepercayaan dan persahabatan.

11. Jangan hulurkan tangan untuk bersalaman di sesetengah negara Islam

Maksud yang kita tahu: Bersalaman adalah tanda hormat dan pengenalan antara satu sama lain. Tapi, bukan untuk semua negara rupa-rupanya. Kadang-kadang tu diorang ada cara lain untuk menyapa selain daripada bersalaman, iaitu dengan meletakkan dua tapak tangan bersama dan sebut ‘Namaste’. Manakala kat Jepun pula diorang menunduk dan sebut ‘Kon’nichiwa’. Lagi rendah kita tunduk, maknanya lagi tinggi hormat kita kepada orang tu.

Maksud bagi negara lain: Di negara-negara lain, kalau diorang tak hulurkan tangan untuk bersalaman, jadi apa kata kita tengok dulu budaya diorang menyapa sesama sendiri dulu. Kat negara-negara Islam, biasanya lelaki dan perempuan takkan bersalaman dengan yang bukan mahram (bukan adik-beradik atau ibu bapa). Sebabnya, ajaran Islam mengharamkan sentuhan kulit antara bukan mahram dan takde hubungan suami isteri.

Penting untuk kita fahami budaya luar

Setiap negara ada budaya dan pemahaman tersendiri yang dibawa sejak zaman dulu lagi. Malah dalam 169 negara yang ada di seluruh dunia, simbol dan isyarat yang wujud menjadikan setiap negara tu unik dan berlainan daripada yang lain. Contohnya lambang ‘peace’ atau ‘sign V’ untuk ‘victory’ yang bermaksud kejayaan wujud disebabkan kemenangan menentang peperangan di Vietnam.

Sebab ni lah, penting untuk kita faham budaya sesebuah negara tu untuk mengelakkan sebarang masalah. Malah sebagai perantau di tempat orang, kita tak boleh harapkan orang tempatan yang kena faham budaya kita, padahal kita yang masuk tempat diorang. Jadi, kita yang kena sesuaikan diri dan adaptasi budaya diorang selagi tak bercanggah dengan agama dan tatasusila masyarakat. Bak kata pepatah,

“Masuk kandang kambing mengembik, masuk kandang kerbau menguak”- pepatah Melayu lama

atau

“When in Rome, do as the Romans do”-pepatah Inggeris

Jadi kalau korang yang nak travel kat luar tu, kalau boleh kurangkanlah buat simbol tangan dan mungkin korang boleh guna t-shirt ni je untuk bagitau benda penting macam nak cari kedai makan ke, tandas ke, hospital, wifi, dan macam-macam lagi untuk memudahkan pemahaman korang dan juga orang tempatan.

Bila ada t-shirt ni, senang la sikit nak travel kemana-mana! Imej dari CNN