Mickey menangis makan masakan Melaka? Dan 11 kali Malaysia diangkat dalam filem antarabangsa

Dalam salah satu siri Mickey Go Local, episod 2 menceritakan mengenai Peranakan Spice atau masakan Peranakan. Mickey mengenakan pakaian Batik manakala Minnie pula mengenakan pakaian kebaya. Dalam siri ni, Minnie cuba masak lauk Peranakan, tapi tersalah resipi, habis Mickey yang menanggung.

Siri ni dah menaikkan lagi salah satu budaya yang memang berasal dari Malaysia iaitu Baba dan Nyonya dari etnik Cina Peranakan. Etnik ni dah lama wujud sejak tahun 1400 tahun lagi di Melaka.

Kalau nak tahu, ini bukanlah pertama kali perkara berkaitan Malaysia diangkat dalam sesuatu drama atau siri TV. Dah berlaku banyak kali termasuk…

1) Venom ada babak kat Airport Sibu dan Star Trek ada sebut Pulau Langkawi

Filem Venom sebelum ni yang dilakonkan oleh Tom Hardy nampaknya dah mencapai kutipan tiket sebanyak AS$80 juta (RM332 juta), iaitu yang tertinggi pada minggu pertamanya. Tapi apa yang lebih membanggakan kita rakyat Malaysia adalah apabila permulaan cerita tu di mana sebuah kapal angkasa terhempas di sebuah hutan simpan di Sibu, Sarawak. Yayyyy! Oops, maksud kitorang, kitorang bangga yang nama Malaysia sekali lagi masuk dalam filem antarabangsa, Marvel pulak tu!

Salah satu babak dalam Venom di Lapangan Terbang Sibu, Sarawak. Imej dari twitter

____________________________________________________________________________

Rasanya korang mesti dah tengok siri televisyen sci-fi Star Trek: Discovery yang Tan Sri Michelle Yeoh berlakon tu, kan? Kalau korang tak tengok lagi, mesti korang tak tahu pasal dia ada sebut Pulau Langkawi kat dalam salah satu scene tu, kan? Kalau belum tengok, ni ha scenenya:

Kembang kempis satu Malaysia bila tengok Malaysia disebut-sebut dalam siri TV antarabangsa tu. Nak lagi Star Trek tu merupakan antara  francais filem dan siri TV popular Amerika berdasarkan siri televisyen fiksyen sains sejak 1966 lagi!

Tapi sebelum ni, banyak je scene dalam beberapa filem lain yang sama ada disebut, atau difilemkan di Malaysia macam…

1. Adegan Jackie Chan berlawan atas KTM yang bergerak

Imej dari gonewiththetwins.com

Police Story 3: Supercop (1992) mengisahkan Kevin, seorang polis senior di Hong Kong yang menyamar sebagai penjahat untuk dihantar ke China bagi menghapuskan penyeludupan bahan terlarang. Filem ni asalnya dari Hong Kong, tapi dorang pilih penggambaran cerita ni untuk difilemkan di Malaysia.

Sekali lagi menampilkan Tan Sri Michelle Yeoh, dia berlakon dalam cerita ni sebagai pegawai atasan kepada Jackie Chan yang ikut dia menyamar, masuk dalam organisasi jenayah besar. Malah dalam salah satu scene berlawan, Michelle siap pakai tudung lagi!

Sekali pandang, macam Wan Azizah pun ada ;P . Imej dari Soscili dan Keadilan Daily

Antara scene paling ikonik adalah bila Jackie Chan dan musuhnya berlawan atas train KTM Berhad yang masih bergerak. Kita yang naik train ni pun kena pegang palang sebab tak nak terjatuh, dorang ni pulak siap buat aktiviti lasak lagi. Malah masa dalam satu temu bual untuk filem tu, Jackie Chan mengakui yang dia hampir-hampir mati disebabkan salah satu scene dalam filem tu.

“Selamat Datang ke Kuala Lumpur” – scene ni atas train. Imej dari Youtube

Disebabkan lakonan dorang yang dikatakan menaikkan lagi imej Malaysia ni jugalah membolehkan Jackie Chan dapat gelaran Datuk, Michelle Yeoh pula kepada Tan Sri sekarang.

2. Apabila Malaysia Airlines disebut dalam 2 Broke Girls

Imej daristore.hmv.com

2 Broke Girls pulak adalah siri TV daripada US, pasal dua orang perempuan, iaitu Max Black (lakonan Kat Dennings) dan Caroline Channing (Beth Behrs) yang tinggal di kota metropolitan, New York. Struggle diorang adalah tinggal di New York dan cuba sedaya upaya saving up untuk diorang punya kedai cupcake.

Pada musim ke 4 dalam episod ke 22, Max dan Caroline berborak tentang macam mana dorang nak keep up dengan pekerjaan separuh masa dorang di airport, dan Max pun,

“Don’t worry, I’m making friends in the TSA . Judy, big gal, little beard? Having lunch with her at the Wok N’ Roll near Malaysia Airlines. It’s pretty quiet over there these days. ” – Max Black, 2 Broke Girls

Dalam scene ni, Max kata yang dia nak lepak dekat Wok N’ Roll, iaitu retsoran makanan Asia dalam airport tu, yang berdekatan dengan tempat flight Malaysia Airlines. Mulanya kembang kempis jugalah bila nama MAS disebut, tapi sebenarnya lawak diorang tu merujuk kepada MAS yang kurang dapat sambutan lepas MH370 yang hilang pada tahun 2014.

3. Susahnya nak sebut Kuala-la-la Lam pir France

The Simpsons. Imej dari IMDB

Rasanya tak payah kot perkenalkan lebih lagi pasal kartun family (otak) kuning ni. Selain daripada mempunyai dark humornya yang tersendiri, The Simpsons juga popular sebagai kartun yang dikatakan banyak meramal masa depan dalam beberapa episodnya. Contohnya macam masa tragedi 11 September, skandal daging kuda kat US, masa Trump menang Plihanraya Presiden Amerika dan lain-lain lagi.

Dalam salah satu siri episod kartun dark humor tu, watak pembaca berita, Kent Brockman tengah kaji skripnya untuk berita di sebelah petang. Masa tengah baca skrip tu, dia tergeliat lidah nak sebut “Kuala Lumpur”. Jadinya, ayatnya adalah Kuala-la-la France. Korang boleh tengok di minit yang ke 1:40.

https://www.youtube.com/watch?v=qukxwQ6-kVg

Bumblebee Man kemudiannya menggantikan tempat Brockman dan menyebut pasal ombak besar di Kuala Lumpur yang membunuh 120 orang.

4. KLCC runtuh dalam filem Independence Day: Resurgence

Filem ni mengisahkan tentang pencerobohan makhluk asing yang cuba untuk memusnahkan bandar-bandar diseluruh negara (syukurlah Malaysia masih aman), dan menyebabkan rakyat di seluruh dunia bergabung untuk menentang makhluk asing ni balik ke tempat asal dorang.

Kepada korang yang tak follow movie ni, Independence Day: Resurgence adalah sekuel kepada salah satu filem lama, iaitu Independence Day pada tahun 1996.  Dalam sekuelnya iaitu Resurgence pulak, ia merupakan selang 20 tahun daripada filem pertamanya di mana dunia pada masa tu dah menggabungkan teknologi yang lebih canggih untuk melindungi bumi, tapi last-last… makhluk asing datang balik.

Kalau korang boleh perasan, korang akan nampak KLCC runtuh… atas London Bridge?

5. Apabila Perang Dunia berlaku di seluruh dunia, termasuklah… di Kuala Lumpur

Imej dari machinimasboc.com

Filem Children of Men diarahkan oleh pengarah yang sama filem Gravity, iaitu Alfonso Cuarón yang mengisahkan tentang masa hadapan di mana manusia akan hilang keupayaan untuk melahirkan anak. Bila takde anak dan keturunan, nampaknya takde harapan la yang dunia ni akan hidup lama juga. Jadi, berlakulah salah faham dan peperangan.

Peperangan yang berlaku ni nampaknya bukan saja terjadi di negara-negara Barat macam kita selalu tengok tu, tapi juga kat Malaysia! Korang kena perhati betul-betul, sebab kalau korang kelip mata kejap je, confirm miss punya – iaitu scene di mana London masih lagi teguh berdiri, manakala bandar-bandar lain semuanya dah nak hancur. Scene tu menunjukkan bandar Paris, Washington, Moscow, dan last sekali… KUALA LUMPUR di mana KLCC terbakar, dan ada teksi lama (lagi lama daripada Proton Saga) berdekatannya.

Children of Men, 3:50

6. Makhluk asing sempat serang Malaysia… masa Superman hilang

Justice League Season 1, Episode 1: Secret Origins.

Kalau korang pernah tengok Justice League, masa episod 1 lagi, korang mungkin tahu pasal penduduk Marikh mula menyerang dunia dan kita rakyat Bumi berperang dengan dorang. Masa Superman takde, berita pun kedengaran…

“Semakin banyak kehancuran dan kekecewaan yang berlaku, tapi persoalan yang meniti di bibir kita semua ialah… di manakah Superman?”

Ada ni ha, baru balik lunch. Imej dari giphy

Dalam masa yang sama, berita juga mengumumkan antara tempat-tempat yang dimusnahkan makhluk asing ni ialah beberapa tempat di seluruh dunia, termasuklah… hutan-hutan di Malaysia (patutlah negara kita ada masalah pembalakan hutan dan juga jerebu!).

7. Perdana Menteri Malaysia diletupkan dekat KLCC dalam siri animasi pengintipan, Totally Spies

Dalam salah satu episod siri ni yang bertajuk Man or Machine, kisahnya tentang seorang saintis yang bercita-cita untuk menakluk dunia. Jadi, saintis tu culik para pemimpin di seluruh dunia dan menggantikan mereka dengan cyborg jahat.

Dalam episod ni, Perdana Menteri kat Malaysia pun tak terkecuali. Semasa ada persidangan di KLCC, salah seorang cyborg yang menyerupai menteri Malaysia direnjat dengan tazer masa nak bagi ucapan dalam sebuah persidangan, sampai meletup!

Kesian pemimpin kita :(

8. Bila Presiden US diberitahu yang pengeboman berlaku di Kuala Lumpur

West Wing Season 4 Episode 20. 7:10

In case korang tak tahu, West Wing adalah drama bersiri yang ditulis oleh orang yang sama tulis movie Facebook. Watak US President dalam cerita ni dibawakan oleh Martin Sheen.

Dalam musim 4 episod ke 20, seluruh Rumah Putih dikunci dari dalam sebab ada kes tembakan yang berlaku. Semasa Martin dapat taklimat pasal krisis yang terjadi, dia juga diberitahu yang kes pengeboman turut berlaku di Kuala Lumpur dan Berlin.

9. Masa seluruh Malaysia kene virus, tapi… dorang cuma sebut Singapura

Dari filem Contagion (2011)

Eh, tapi dia labelkan Singapura, bukannya Malaysia! Sabarrrr, sebab ceritanya adalah pasal sebuah kejadian yang pernah berlaku kat Malaysia. Tapi tak tahulah kenapa diorang tak jumpa Malaysia atas peta.

Sebenarnya masa tahun 1999, Malaysia pernah diserang virus Nipah, atau dikenali sebagai MEV-1 virus. 

MEV-1 adalah berdasarkan patogen yang sebenarnya, yang dipanggil virus Nipah. Ia menyebabkan gejala pernafasan, ensefalitis, sawan, dan telah membunuh 45 hingga 90 peratus mangsanya.Virus ni ada dalam kelawar dan telah menyerang beratus-ratus orang di Malaysia dan Bangladesh. “-The Scientist.com

Kalau bukan sebab Dr Chua Kaw Beng ambik sampel dan terbang ke US untuk buktikan, tak tahulah berapa ramai lagi yang terkorban. Dr ni la hero sebenarnya! Klik untuk baca.

Kejadian yang berlaku tu nampaknya menarik minat pengarah Steven Soderbergh untuk menggunakannya virus ni dalam filemnya, Contagion (2011).

Imej dari wikipedia

Dalam filem ni, Gwyneth Paltrow telah dijangkiti virus ni yang kemudiannya membunuh berjuta-juta orang di seluruh dunia. Pada akhir cerita, barulah asal-usul virus kemudiannya didedahkan, iaitu virus Nipah yang dah menyebabkan 105 kematian Malaysia, dan pemusnahan sejuta ekor babi.

10. Jay Chou buat kacau di Malaysia

The Viral Factor (2014)

70 batu di utara Kota Bharu, ada sebuah kapal tangki minyak di mana kesemua 14 anak kapalnya terbunuh disebabkan satu penyakit yang nampak macam demam campak. Dan virus tu menuju ke Kuala Lumpur disebabkan seorang pegawai perisik. Hukaloh, boleh ke Malaysia terselamat dari malapetaka ni?

Satu masalah audience kat Malaysia – tak pandai berlakon jadi orang lalu lalang je. Apa-apa jadi mesti berhenti nak tengok. Imej dari vvens.com

Filem ni banyak fokus kat Jay Chou sebagai pegawai perisik, iaitu abang kepada tahanan banduan di Malaysia. Kebetulan pulak, salah seorang anggota pasukan khasnya dah belot, dan  mengkhianati pasukan tu dengan mencuri virus tu, dan merancang untuk menjualnya sebagai senjata biologi… kat Malaysia juga.

Penggambaran filem antarabangsa ni kebanyakannya mengambil tempat di Malaysia. Antara scene-scene yang korang boleh nampak dalam filem ni macam MPV Alphard jatuh dalam sungai Klang, ada tahanan penjara lari dekat bangunan Sultan Abdul Samad, tiga buah helikopter di ruang udara KLCC. Malah, ada adegan kejar mengejar dengan kereta dekat Pavilion KL!

Scene di Pavilion, KL.

Nama Malaysia dipromosi untuk pelancongan

Perkara macam ni bukan semata-mata bagi nama baik, tapi juga menaikkan lagi nama Malaysia sebagai sebuah pusat pelancongan untuk tarik pelancong luar datang ke Malaysia. Menurut Setiausaha Pertubuhan Usahawan Bumiputera Langkawi,

“Dialog yang menyebut nama Langkawi, walaupun sekejap adalah promosi yang baik dan menarik lebih minat untuk datang ke pulau itu…

Ia benar-benar sangat baik untuk usaha mempromosi Langkawi dan dihargai supaya lebih ramai pelancong akan datang,” – Ahmad Phisol Ishak, Setiausaha Pertubuhan Usahawan Bumiputera Langkawi (USAHABUMI). Dipetik dari Bernama.

Bagus betul kalau Malaysia bertambah pelancong disebabkan positive vibes macam ni, kan? Ye la, asyik-asyik dapat highlight yang lain macam je dalam akhbar antarabangsa.