- 1.4KShare sekarang!
- Email25
- Facebook1.4K
- Share
*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 16 November 2016.
UPDATE 16 Disember 2020: Seluruh negara nampaknya dikejutkan dengan berita pemergian tokoh ilmuan dan cendekiawan ulung negara – Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Abdul Hamid pada usia 98 tahun. Kini rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu telah kehilangan seorang ikon yang tiada galang gantinya.
Sekarang ni pakej haji ada macam-macam. Kalau nak jimat, bolehlah pergi dengan Tabung Haji, tapi kenalah tunggu nombor giliran bertahun-tahun. Tapi, kalau ada duit lebih macam Neelofa dan nak belanja mak abah, bolehlah pergi dengan pakej swasta, takdelah kena tunggu lama sangat sebab korang guna kuota swasta.
Tapi dengan pakej Tabung Haji yang biasa tu pun, kira bersyukurlah jugak kita boleh pergi ke Mekah naik kapal terbang, ada air-cond, kalau naik pakej ekonomi pun boleh bersandar atas kerusi sambil makan kacang.
Namun, korang pernah terfikir tak macam mana rakyat Malaysia nak pergi ke Tanah Suci zaman dulu-dulu? Dah la dulu Tabung Haji belum ditubuhkan lagi, jadi berapa banyak yang datuk nenek kita kena bayar? Benda inilah yang kami ingin tau siap berkunjung ke Arkib Negara lagi untuk cari sumber-sumber lama, dan ini ceritanya…
Zaman dulu, kalau nak pergi Mekah terpaksa meredah ombak hingga berbulan-bulan
Pada abad ke-15, kalau nak pergi ke kota Mekah kena guna kapal layar dan mengambil masa sehingga berbulan-bulan. Jadi biasanya para jemaah akan bawak bekalan makanan sendiri untuk dimakan dalam kapal.
Dah lah lama, keadaan tak berapa selesa, makan tak sempurna, ditambah pulak dengan mabuk laut sehinggakan ramai jemaah yang jatuh sakit dalam perjalanan. Sampai ada yang terpaksa disemadikan di laut akibat meninggal dunia (tak kiralah perjalanan pergi atau balik).
Dari sumber yang kami jumpa di Arkib Negara, pada tahun 1821 seorang hartawan Arab di Singapura merupakan orang pertama yang jadi ejen pelayaran kapal haji dekat Pulau Pinang. Setelah beberapa tahun, sebuah syarikat Inggeris Alfred Holt turut berminat lalu membuat tawaran kepada hartawan Arab tadi supaya menyerahkan perusahaan kapalnya dengan menjanjikan faedah sebanyak RM10.00 bagi setiap seorang jemaah haji, dan hartawan Arab tu pun bersetuju.
Namun, ketika Perang Dunia Pertama (WWI) meletus pada tahun 1914 sehingga 1918, pelayaran kapal haji telah terhenti sementara. Setelah peperangan tamat, terdapat lebih banyak lagi kapal-kapal lain dari India dan Jepun turut menawarkan pelayaran kapal haji di Malaysia.
Pada tahun 1936, Pejabat Hal Ehwal Haji telah bekerjasama dengan syarikat Blue Funnel Line untuk membawa jemaah haji ke Mekah. Tapi pada tahun 1951 hingga 1952, urusan tersebut telah dipindahkan kepada syarikat kapal laut China Navigation Line.
Sekitar tahun 1950 – 1960an, tambang haji adalah mengikut kelas iaitu Kelas I (RM875), Kelas II (RM800) atau tambang murah dengan bayaran RM600 (jemaah duduk kat atas dek kapal). Oleh sebab tambangnya yang mahal, ramai jemaah haji yang terpaksa menggadaikan harta, tanah, haiwan ternakan dan sebagainya untuk menampung perbelanjaan tersebut.
Ini telah mengakibatkan tekanan ekonomi ke atas diri sendiri dan keluarga, dan secara tak langsung telah merosakkan struktur ekonomi luar bandar serta mengancam pertumbuhan ekonomi negara. Namun setelah teknologi pengangkutan dah semakin berkembang pada akhir tahun 1970-an, perkhidmatan kapal haji mula dihentikan. Jemaah haji lagi suka naik kapal terbang ke Mekah. Malah masa yang diambil juga lebih singkat iaitu lapan hingga sembilan jam je.
Melihatkan macam mana susahnya orang kampung nak pergi haji, seorang tokoh Malaysia mula dapat idea…
Dari satu kertas kerja, Ungku Aziz mampu mencipta Tabung Haji
Profesor DiRaja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Ungku telah mengemukakan kertas kerja bertajuk “Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-bakal Haji” kepada kerajaan.
Daripada kertas kerja itulah wujudnya Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji (PWSBH) pada tahun 1962 dan mula beroperasi pada 1963 bagi mengendalikan urusan orang-orang beragama Islam menunaikan Fardhu Haji tanpa perlu menggadaikan harta benda.
“Saya lihat orang kampung akan menjual kambing, kerbau atau tanah mereka untuk menunaikan haji. Sekembalinya mereka dari sana, mereka tiada ternakan dan sumber rezeki lagi.” – Ungku Aziz, Pengasas Tabung Haji. Dipetik dari Utusan Malaysia.
Untuk mempertingkatkan lagi perkhidmatan dan kemudahan kepada para jemaah, perbadanan tersebut telah dicantumkan dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji. Maka dari situ lahirlah Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH)
“Penubuhan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) sebenarnya adalah untuk membantu ekonomi orang Melayu pada jangka masa yang panjang.” – Pak Ungku, dipetik dari Utusan Malaysia.
Pada tahun 1997, nama LUTH telah digantikan dengan nama baru iaitu Lembaga Tabung Haji (LTH). Kini kejayaan LTH mengurus jemaah haji Malaysia mendapat pujian malah diiktiraf sebagai antara agensi terbaik di dunia termasuk kerajaan Arab Saudi.
Dulu kami ada tulis pasal kelebihan-kelebihan menunaikan haji dengan LTH. Sebenarnya tak wajib pun pergi melalui LTH, cuma banyak keistimewaannya sebab kerajaan dah sediakan subsidi sebanyak RM 8910 bagi setiap jemaah yang buat haji kali pertama. Di samping itu, kos haji melalui LTH juga adalah lebih murah jika dibandingkan dengan pakej swasta yang boleh mencecah sehingga RM64,000.
Tapi betul ke ada yang kata kalau nak pergi haji melalui LTH ni, korang kena tunggu antara 60 hingga 90 tahun? Menurut kenyataan dari Pengurus Besar Kanan LTH, pendaftaran haji semakin meningkat dari tahun ke tahun, so pendaftar terpaksa menunggu lama kerana LTH mengamalkan sistem giliran dan kuota pula telah ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi. Senang cerita, kalau korang lambat daftar, maka lambatlah giliran korang nak menunaikan haji.
Tapi biasanya LTH akan mengkaji semula tempoh giliran menunggu dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk faktor kesihatan dan juga umur pemohon. Mereka akan utamakan kepada warga emas yang berumur 65 tahun ke atas yang belum pernah tunaikan haji.
Selain menunaikan Haji, LTH turut menyediakan pelaburan untuk orang Melayu
Menurut Portal Rasmi Tabung Haji, LTH ni ditubuhkan bukan sahaja untuk menguruskan pemergian jemaah haji ke Tanah Suci, malah ia juga berfungsi sebagai suatu badan alternatif kepada Umat Islam Malaysia untuk menyimpan wang secara selamat dan berkat. Serta dalam masa yang sama harapan setiap pendeposit untuk melaksanakan Rukun Islam yang kelima juga akan tercapai apabila tiba giliran. Ia umpana menggunakan kaedah ‘serampang dua mata‘ lah kiranya.
Manakala dana yang terkumpul akan dilaburkan kepada anak syarikat LTH untuk mendapatkan pulangan tambahan yang menepati kehendak Islam. Aktiviti melabur dana simpanan para pendeposit ke beberapa buah anak syarikat LTH inilah yang dikatakan sebagai ekonomi moden umat Islam.
Antara tujuan penubuhan LTH ialah:
- Membolehkan orang-orang Islam menyimpan secara beransur-ansur bagi memenuhi perbelanjaan menunaikan fardhu haji atau perbelanjaan lain (yang bermanfaat).
- Membolehkan orang Islam melalui simpanan mereka untuk amik bahagian di bidang penanaman modal dengan mengikut cara Islam (memberi keuntungan kepada pendeposit-pendeposit atas wang simpanan mereka).
- Memberi perlindungan, pengawalan dan kebajikan kepada jemaah haji (kemudahan dan perkhidmatan)
LTH mendapat pujian dan sokongan pelbagai pihak kerana ia banyak membantu dalam mengerjakan ibadah Haji serta menaikkan ekonomi masyarakat Islam Malaysia.
Keutamaan Tabung Haji perlulah untuk berkhidmat kepada rakyat
Pada tahun 2000, Ungku Aziz sendiri pernah membantah LTH membeli saham penerbangan Malaysia (MAS) yang bermasalah akibat kegawatan ekonomi kerana bagi beliau tujuan penubuhan sebenar LTH adalah untuk menyediakan perkhidmatan kepada bakal haji.
“Tabung Haji ini bukannya Bulan Sabit Merah untuk menyelamatkan syarikat-syarikat yang tenat, lagipun kerajaan ada banyak lagi perbadanan lain seperti Pengurusan Danaharta Nasional Bhd. untuk melakukannya.” – Ungku Aziz, Pengasas Tabung Haji. Dipetik dari Utusan Malaysia.
Tambah beliau lagi, seharusnya badan penasihat pelaburan LTH harus mengkaji segala aspek sebelum membuat sebarang pelaburan bagi mengelakkan pelabur menanggung kerugian kerana ia melibatkan wang simpanan rakyat.
Seharusnya LTH jugak kenalah bersikap professional dan mengekalkan reputasi sebagai sebuah pertubuhan yang bersih dari pelaburan yang mencurigakan. Dah tiba masanya, zaman kegemilangan Tabung Haji dikembalikan!
- 1.4KShare sekarang!
- Email25
- Facebook1.4K
- Share