Sebelum Azizulhasni lelong sarung tangan Olimpik, dia juga pernah buat lelongan untuk bantu Gaza

(UPDATE 28/9/2017: Azizulhasni telah pun menyerahkan sumbangan RM 5000 kepada Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar baru-baru ni. Sumbangan itu dikumpul hasil lelongan sarung tangan yang dipakainya ketika menang pingat gangsa di Olimpik Rio. Sebelum ni, dia ada buat lelongan sarung tangan yang disumbangkan kepada Gaza yang menjadi satu kontroversi. Artikel di bawah adalah kontroversi lain yang pernah berlaku sewaktu Hari Raya.)


Di Malaysia pula, kedatangan Syawal sudah diraconfirm kita tau raya dah dekat bila dengar lagu-lagu lagu-lagu raya lama macam lagu Balik Kampung nyanyian Sudirman.

Mak aih! Sudirman balik kampung kemain hipster. Imej dari Youtube.

Biasanya waktu raya ni kita duduk rumah je ramai-ramai tengok TV filem-filem lama sambil makan kuih semperit. Tapi kadang-kadang tu ada juga macam-macam kontroversi yang berlaku. Jadi, kali ni SOSCILI nak kongsi beberapa kerjadian yang pernah berlaku yang buat korang tukar channel kejap daripada filem-filem lama tu, termasuklah:

1. Pakai glove ‘Save Gaza’ lepas perlumbaan basikal

Ramai antara kita yang beruntung sebab dapat beraya dengan selesa sampai sempat tengok iklan raya di rumah. Nasib kita dan atlet sukan sangatlah berbeza. Kita di rumah dan mereka mungkin di luar negara tengah berjuang jika temasya sukan tu berlaku pada tarikh kita berpuasa dan raya.

Itulah yang berlaku kepada para atlet negara kita di temasya Sukan Komanwel 2014, Glasgow, Scotland. Sukan tu bermula dari 23 Julai 2014 sampai 3 Ogos 2014 yang mana 28 Julai adalah satu Syawal. Pada edisi kali ini, Malaysia berjaya merangkul 6 pingat emas, 7 perak dan 6 gangsa. Ia dikatakan antara pencapaian paling buruk bagi negara kita di pentas Komanwel.

Atlet Malaysia tak dapat raya kat kampung tau. Imej dari Thesundaily.

Walaupun macam tu, pingat yang berjaya dirangkul bagi atlet tersebut adalah menjadi pengubat rindu diorang kepada ahli keluarga yang beraya tanpa mereka. Begitu jugalah Azizulhasni Awang yang memenangi pingat gangsa pada acara berbasikal Keirin, ianya pengubat rindu untuk anaknya sempena 1 Syawal.

Apa yang mengejutkan sebelum dia memenangi pingat itu ialah dia hampir dikenakan tindakan disiplin yang boleh menjejaskan kariernya. Kontroversi itu juga boleh menyebabkan dia tak layak lagi bertanding pada temasya itu. Jadi apa kontroversi tu?

Persekutuan Sukan Komanwel sedang meneliti bantahan politik terang-terangan yang dilakukan oleh pelumba basikal Malaysia ketika bertanding sambil memakai sarung tangan yang tertulis perkataan “Save Gaza” — Petikan dari The Guardian.

Geram dengan Israel. Imej dari Dailymail.

Dia bukan setakat pakai sahaja, tetapi turut mengangkatnya didepan kamera berita saluran BBC. Kejadian ni berlaku sejurus lepas dia berjaya memenangi perlumbaan kelayakan untuk ke suku akhir. Ketika ditanya kenapa dia buat tindakan tu adalah kerana…

“Ia daripada hati sanubari saya untuk menzahirkan rasa kemanusiaan. Sejak bila menzahirkan kemanusiaan dianggap sebagai bersifat politik?” — Azizuhasni Awang petikan dari Malaysia Kini.

Namun begitu, Azizulhasni bersetuju untuk memohon maaf kepada Persekutuan Sukan Komanwel. Dia kemudiannya dibenarkan terus bertanding dengan tidak lagi memakai sarung tangan tersebut. Bagi rakyat Malaysia pula, tindakan Azizulhasni itu dianggap wira kemanusiaan kerana menunjukkan sokongan dia kepada rakyat Palestin yang diserang Israel waktu tu.

Poster lelong glove Save Gaza. Imej dari FB IMAM.

Sarung tangan itu tetap bermanfaat apabila Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) telah membuat suatu majlis lelongan sarung tangan tu. Hasil lelongan sarung tangan tersebut telah disumbangkan untuk Gaza.

2. Karikatur mengaitkan duit raya sebagai rasuah

Pada zaman serba Android ni, semua orang mesti update status kat FB atau IG untuk tulis ucapan raya. Tapi yang lebih kreatif akan letak gambar bagai. Tapi macam mana kalau korang post ucapan raya dengan gambar, esok atau lusa orang buat report polis pasal status korang tu? Mesti terkejut sampai tak selera nak makan ketupat palas yang ada kat tangan tu.

Itulah yang berlaku kepada Nga Kor Ming, Ahli Parlimen Taiping dari Parti DAP. Pada 6 Julai 2016 yang merupakan satu syawal, dia ada post satu ucapan beserta gambar raya yang begitu kontroversi.

Ni lah karikatur yang dia upload tu. Imej dari barisannasional.org.

Jelas dalam gambar yang merupakan karikatur tu dia mengutuk parti lawannya UMNO. Tapi bagi beberapa pihak, ianya telah menyinggung Islam kerana,

Status Facebook milik Kor Ming telah memuatkan satu gambar karikatur mengaitkan pemberian duit raya kepada kanak-kanak dan tetamu ketika Hari Raya sebagai rasuah. – Azman Hassan, Setiausaha Agung Kelab Warisan Malaysia (Keris) petikan dari Utusan.

Beberapa NGO yang tak puas hati tu terus pergi buat laporan polis agar Kor Ming disiasat. Walaupun didesak, dia enggan memohon maaf sebab baginya ia tidak menghina Aidilfitiri tetapi hanya menyindir beberapa pihak.

“Saya sangat menghormati agama Islam. Malah setiap tahun, saya tidak pernah lupa anjurkan program khatan perdana, menyumbang kepada masjid dan sumbangan kepada masyarakat Islam yang memerlukan,” — Nga Kor Ming petikan dari The Malay Mail Online.

Tak nak minta maaf ye? Rasakan ni. Imej dari ismaweb

Beberapa hari kemudian, dilaporkan lebih kurang 200 peserta baju merah berkumpul di hadapan Ibu Pejabat DAP, Kuala Lumpur sebagai tanda bantahan kepada Kor Ming. Walaupun ramai yang membantah, ada juga yang tidak bersetuju bahawa gambar karikatur itu menghina Islam. Ku Seman Ku Hussain, bekas Editor Kanan Utusan Malaysia berpendapat,

“Kalau dikatakan karikatur ini menghina Umno atau pemimpin Umno, saya setuju. Tetapi bab menghina Islam saya tidak nampak. Adakah ada perkataan “Aidilfitri” sudah cukup mengaitkan dengan Islam? Jangan pula ada yang mengDAPkan saya pula. Saya non-partisan,” — Petikan dari Malaysia Kini.

Ada yang terasa kot. Gif dari Giphy.

Baginya, ianya adalah satira politik (sindiran) yang melibatkan perkataan ‘derma’ dan ‘dedak’. Walau macam mana pun, Nga Kor Ming tetap disoal siasat mengikut Akta Hasutan 1948 di pejabat polis Bukit Aman.

Tu baru status Facebook dan gambar, kalau video macam mana pulak?

3. Video ucapan raya bersama anjing

Siapa yang tak tahu lagu ‘Satu Hari di Hari Raya’, Dato’ M. Nasir memanglah pelik dan ajaib. Tapi ada satu video dengan nama ‘Satu Hari di Hari Raya’ telah menjadi kontroversi pada tahun 2013. Tajuk memang bukan masalah utamanya, tapi isi video tu yang menggemparkan rakyat Malaysia. Video itu telah dihasilkan oleh Chetz Yusof dan isi kontroversinya adalah…

Video yang berdurasi 1 minit 44 saat itu memaparkan Chetz memakai Baju Melayu hitam dan membasuh kaki anjingnya, kemudian seolah mengambil wuduk dengan membasuh kakinya pula serta mengelap anjingnya sebelum menyediakan kuih raya untuk tiga ekor anjing itu. — Petikan dari Astro Awani.

Kuih satu sorang k. Imej dari Says.com.

Video tu sebenarnya dah di upload pada tiga tahun lepas oleh Chetz Yusof sempena hari raya. Tapi tahun 2013 ada orang viralkan dengan menukar tajuk menjadi ‘Video Menghina Islam 1 Hari di Hari Raya’. Dia memang tak berpuas hati sebab baginya video tu tak menghina Islam pun. Dia juga enggan memohon maaf kerana bukan tanggungjawabnya kalau orang lain salah faham.

“Adakah membela anjing itu sesuatu yang tidak Islamik. Saya hendak bertanya, siapa yang sebenarnya menghina Islam? Saya pastikan anjing-anjing saya bersih. Saya menjaga mereka dengan baik. Jadi, apa masalahnya? “Saya menjaga anjing-anjing saya mengikut ajaran Islam dan Quran. Orang-orang yang memuat naik semula video itu salah tafsir kandungan video dan terlalu beremosi.” Chetz Yusof petikan dari Astro Awani.

Kemudiannya, pihak polis telah menahan Chatz dan diminta beri keterangan di Bukit Aman. Dia juga direman selama dua hari di IPD Daerah Segamat, Johor lepas beri keterangan. Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia waktu tu, diorang akan minta pandangan JAKIM untuk menentukan sama ada video itu menghina Islam atau tak.

Apa yang menakutkan Chatz adalah apabila menerima SMS yang mengancam untuk membunuhnya  selepas tersebar video tu. Sebagai tindak balas, dia pula yang buat laporan polis atas ugutan tersebut.

4. Iklan raya ‘Santa Pak Haji’ yang kontroversi

Hari raya tak sah kalau tak ada video iklan raya arahan Yasmin Ahmad yang sentiasa mendapat pujian masyarakat. Siapa yang akan lupa dengan video ‘Ikan di Laut Asam Di Darat‘ dia tu? Memang syahdu dan menyayat hati.

Google doodle untuk Yasmin Ahmad. Imej dari hollywoodreporter

Pada tahun 2010, rakyat Malaysia juga takkan pernah lupa video raya TV3 bertajuk ‘Sinari Lebaran’ yang akhirnya digelar sebagai video Santa Pak Haji. Video ni dianggap kontroversi kerana menyamakan Aidilfitri dengan unsur Krismas, Hindu dan Buddha. Macam mana boleh jadi macam tu pula?

TV3 menyiarkan iklan sempena hari raya yang menggambarkan seorang ‘Pak Haji’ mengajak kanak-kanak menaiki beca ajaib sehingga melintasi bulan. Ia seolah-olah menyamai watak Santa Claus menaiki kereta salju yang dipacu oleh sekawan rusa kutub membawa hadiah Hari Natal untuk kanak-kanak. — Petikan dari Utusan Online.

Kenapa Santa Claus pakai lebai ni? Imej dari Cilisos

Apa yang dikaitkan dengan Buddha pula ialah apabila ada babak pelita keluar dari bunga teratai. Disebabkan kritikan terhadap babak-babak macam ni lah, iklan raya tersebut telah dihentikan oleh TV3 sendiri walaupun baru lima kali ditayangkan. Kira siapa yang dapat tengok kat TV3 masa tu memang korang insan yang terpilih.

Apa yang patut dipuji, TV3 memohon maaf atas kesalahan dan berani hentikan penyiaran iklan tersebut walaupun kos buat video tu berjumlah RM 200 000. Malangnya, TV3 tetap didenda oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana didapati iklan itu ‘menghina dan mengapi-apikan’.

“Sinari Lebaran oleh TV3, disiasat oleh Akta SKMM 1998 mengikut Seksyen 206 (3) yang memperuntukkan kompaun maksimum RM50,000 yang dikenakan kepada TV3,” — Datuk Joseph Salang Gandum, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, petikan dari Malaysia Kini.

Kacau dodol ke tu? Pelik nau kualinya tu. Imej dari nash121.

5. Angkasawan pertama yang berpuasa dan menyambut raya di angkasa

Jika atlet sukan pernah berjuang di bumi waktu raya, kita juga takkan lupa orang Malaysia yang berjuang di luar Bumi pada waktu raya juga. Pada 10 Oktober 2007, Sheikh Muszaphar Shukor telah berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang berada 400 km dari Bumi. Satu Syawal pula jatuh pada 13 Oktober, jadi dia sempat berpuasa sekejap dan beraya di angkasa.

Selain menjadi angkasawan pertama negara, dia juga merupakan orang pertama yang berpuasa dan menyambut raya di angkasa. Oleh sebab tu, Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia telah menerbitkan satu buku panduan untuk Muslim ketika berada di angkasa. Buku itu bertajuk ‘Perlaksanaan Ibadah di Stesen Angkasa Antarabangsa’.

Nak sikit tak? Imej dari Kosmo.

11 hari dia berada di angkasa memang bermakna bagi dirinya. Dia juga ada berkongsi hidangan raya Malaysia bersama angkasawan lain yang berada di situ.

“Semasa hari raya, saya turut menjamu mereka hidangan Malaysia yang dibawa bersama untuk dikaji seperti sate ayam, rendang daging, nasi himpit, nasi beriani, kuih bangkit dan gegulung pisang,” — Petikan dari Kosmo.

Beberapa penyelidikan seperti mikrob di angkasa, kajian terhadap sel leukemia dan sel kanser hati turut dilakukan di sana. Walaupun sedang berjuang di angkasa, pemergiannya tetap menjadi kontroversi. Ianya timbul apabila website NASA menamakan dia sebagai Spaceflight Participant (Pelancong Angkasa) dan bukannya Astronout (Angkasawan).

Angkasawan ke tak ni? Imej dari Nasa.

Kontroversi ini mendapat respon negatif rakyat sebab jika tak diiktiraf, maka ianya satu pembaziran duit yang banyak buat negara. Ianya juga mendapat kritikan kolumnis akhbar luar negara iaitu Michael Backman,

“Apa yang Malaysia dapat dengan menggunakan program angkasa lepas milik orang lain sebagai teksi? Sah tiada manfaat teknologi yang diperolehi. Tetapi sudah tentu Malaysia sekali lagi akan berkata ‘boleh’. Masalahnya mereka tidak, ini bukan program angkasawan mereka,” — Petikan dari Harakah Daily.

Namun begitu, The Star telah menemu ramah bekas angkasawan NASA, Robert L. Gibson untuk mendapatkan respon mengenai kontroversi ni. Katanya, Syeikh Muszaffar layak menerima panggilan angkasawan dan pangkat tersebut. Gelaran angkasawan ini turut dinyatakan oleh Pegawai Diplomatik Rusia ke Malaysia, Alexander Karchava .

Nak makan ais krim pun susah tau. Gif dari Giphy

Peranan orang awam dalam isu-isu kontroversi

Itulah antara kontroversi yang pernah menganggu kita sedikit sebanyak sewaktu hari raya dulu. Kontroversi ni pun tersebar tak lain tak bukan adalah melalui penggunaan media sama ada akhbar, radio, internet dan televisyen.

Macam kita orang awam yang banyak guna media di internet macam Facebook dan Whatsapp, kita memang suka kongsi berita kontroversi ni sambil buat ulasan. Itu semua tiada masalah kerana hak individu. Cumanya, kita kena fikirkan peranan kita waktu kongsi tu sama ada menjadi batu api atau meneutralkan kontroversi tu.

Takde. Takde. Aku nak ulas jugak isu ni. Gif dari Giphy.

Apa yang paling penting adalah tanggungjawab syarikat-syarikat media massa di negara yang mana orang awam bergantung sumber berita daripada mereka. Harapnya tanggungjawab tu dilaksanakan sebaiknya untuk kebaikan orang awam.

Media massa berorientasi sebagai organisasi yang bertanggungjawab dalam memastikan penyebaran maklumat supaya orang awam dapat membuat keputusan yang bijaksana dalam kehidupan mereka. — Jurnal tulisan Muammar Ghaddafi Hanafiah & Mohd Yuszaidy Mohd Yusoff.

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT