- 291Share sekarang!
- Email0
- Facebook291
- Share
Setiap negara di dunia ini mempunyai adat dan budaya tempatan yang berbeza. Tak semua yang ada di Barat, wujud di bahagian Timur. Begitu juga sebaliknya. Bagi negara Malaysia yang pelbagai kaum ini, kita juga mempunyai adat dan budaya tempatan mengikut kaum dan etnik masing-masing.
Pengalaman ratusan tahun dijajah oleh beberapa kuasa besar dahulu sedikit sebanyak memberi kesan juga kepada adat dan budaya tempatan. Namun, penjajahan dari negara lain juga sebenarnya telah menyebabkan pertemuan dan pertembungan titik yang sama dalam beberapa adat dan budaya.
Sebenarnya, artikel ini akan menerangkan wujudnya persamaan makna peribahasa Melayu dan peribahasa Jepun yang ramai tak tahu. Dan kenapa kita dan Jepun boleh berkongsi idea peribahasa yang sama? Sebelum itu, kita perlu faham dulu mengenai kemunculan peribahasa.
Bagaimana peribahasa boleh muncul?
Peribahasa bermaksud ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu – Petikan dari Kamus Dewan Edisi Keempat
Selain itu juga, peribahasa juga adalah ayat atau susunan kata yang mempunyai maksud tertentu yang biasa merujuk kepada maksud berkias, berlapik dan tersirat. Kalau kita pergi ke program-program rasmi, dalam ucapan-ucapan pasti akan menyelit peribahasa. Contohnya, bagai aur dengan tebing.
Peribahasa ini bukanlah baru wujud waktu zaman kita ini. Namun, ia telah disampaikan dari generasi terdahulu kepada generasi sekarang secara turun-menurun. Maka, setiap peribahasa yang wujud adalah berdasarkan pengalaman kehidupan harian masyarakat dahulu.
Apa yang menarik, kajian mendapati bahawa beberapa peribahasa Melayu dan peribahasa Jepun mempunyai persamaan makna. Ini bermakna, masyarakat Melayu dan Jepun terdahulu mempunyai serba sedikit persamaan pengalaman kehidupan harian.
Lagi pun, masyarakat Melayu dan masyarakat Jepun masih memegang tradisi ketimuran terkenal dalam kesantunannya dalam mengungkapkan sesuatu perkara. Jadi, jom kita pergi ke beberapa contoh peribahasa Melayu dan peribahasa Jepun yang mempunyai persamaan makna.
(Artikel ini banyak merujuk kertas kajian bertajuk Kajian Persamaan Makna Peribahasa Melayu dan Peribahasa Jepun)
1) Masyarakat Melayu memerhati anai-anai, masyarakat Jepun mengamati debu gunung berapi
Jika ingin menerangkan mengenai sabar mengerjakan sesuatu, lama-lama berhasil juga. Maka, peribahasa Melayu dan Jepun yang membawa makna tersebut ialah:
Peribahasa Melayu: Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit
Peribahasa Jepun: Debu bila dikumpulkan boleh menjadi gunung
Perasan tak? Kedua-dua peribahasa ni menggunakan unsur alam seperti bukit dan gunung. Kedua-dua masyarakat iaitu Melayu dan Jepun menggunakan unsur bukit dan gunung yang diterapkan hasil pengamatan kedua-dua masyarakat.
Bagaimana peribahasa ini boleh muncul? Menurut Sasterawan Negara, Abdullah Hussain, peribahasa ‘sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit’ muncul hasil renungan masyarakat Melayu dahulu terhadap bagaimana anai-anai membuat sarang.
“Serangga ini mengangkut debu-debu halus dan dilonggokkan. Hasil dari ketekunan, akhirnya anai-anai berjaya membuat timbunan sarang yang besar, tinggi dan kukuh. Longgokkan debu halus ini dikiaskan sebagai bukit.” – Petikan dari Kajian Persamaan Makna Peribahasa Melayu dan Peribahasa Jepun
Manakala masyarakat Jepun pula mengkiaskan debu-debu gunung berapi yang berterbangan ke udara jika dikumpulkan boleh menjadi gunung. Ini kerana di Jepun terletaknya satu persepuluh daripada jumlah gunung berapi di dunia. Jepun juga terletak di dalam Lingkaran Api Pasifik. Hasil letusan gunung berapi ini menerbangkan debu-debu ke udara.
Maka, kedua-dua peribahasa yang mempunyai makna yang sama ini terhasil daripada pengalaman dan pemerhatian yang tajam pada persekitaran.
2) Kedua-dua masyarakat mempunyai pengalaman mengembara yang jauh
Peribahasa Melayu: Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Peribahasa Jepun: Masuk kampung, patuhi kampung
Kedua-dua peribahasa di atas ini membawa maksud menurut adat atau tempat orang yang didiami. Jika menyingkap semula sejarah, kedua-dua masyarakat ini dahulunya suka berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
“Unsur bumi yang digunakan oleh peribahasa Melayu yang membawa maksud tempat yang didiami atau naungi. Manakala unsur langit membawa maksud undang-undang, peraturan dan budaya sesuatu tempat yang perlu dipatuhi.” Petikan dari Kajian Persamaan Makna Peribahasa Melayu dan Peribahasa Jepun
Manakala peribahasa Jepun itu pula menerangkan bahawa masyarakat Jepun dahulu juga sering melakukan perjalanan jauh merentasi kampung-kampung kecil. Setelah penat, mereka akan singgah berehat di mana-mana kampung yang berdekatan. Oleh itu, seseorang pendatang wajib mengikuti segala peraturan yang wujud di kampung itu.
Nampaknya, persamaan dari segi pemikiran dalam kedua-dua peribahasa ini memang jelas.
3) Masyarakat Melayu dan Jepun cukup berhati-hati dalam meluahkan kata-kata
Masyarakat Melayu dan masyarakat Jepun banyak berkongsi budaya sopan dan santun. Salah satunya adalah cukup berhati-hati di dalam percakapan dan meluahkan kata-kata. Ini kerana kata-kata yang salah boleh menimbulkan fitnah. Maka dengan itu, muncullah peribahasa berikut yang membawa makna berhati-hati dalam memperkatakan sesuatu.
Peribahasa Melayu: Berkata siang pandang-pandang, berkata malam dengar-dengar
Peribahasa Jepun: Pada dinding ada telinga
Masyarakat Melayu telah menggunakan susunan kata “berkata siang pandang-pandang” kerana pada waktu siang segala perbuatan dan kata-kata boleh dilihat serta didengari oleh sesiapa sahaja. Manakala “berkata malam dengar-dengar” membawa maksud pada waktu malam yang gelap-gelita, orang mungkin tidak boleh meilhat tetapi suasana sunyi boleh menyebabkan sebarang kata-kata dapat didengari.
Mungkin berbeza sedikit dengan simbol yang digunakan dalam peribahasa Jepun, mereka menggunakan dinding dan juga telinga.
“Dinding ialah penutup keliling rumah, bilik, ruang dan lain-lain yang diperbuat daripada papan, simen dan sebagainya. Telinga digunakan sebagai kiasan bahawa sentiasa berhati-hati semasa berkata-kata.” – Petikan dari Kajian Persamaan Makna Peribahasa Melayu dan Peribahasa Jepun
4) Masyarakat Melayu banyak menggunakan buah kelapa, masyarakat Jepun menggunakan perigi sebagai sumber air
Kalau tanya peribahasa yang popular dalam kalangan kita di Malaysia ni, semestinya peribahasa, “katak di bawah tempurung”. Semua pun tahu, ia membawah maksud orang yang cetek dalam pengetahuan. Rupa-rupanya, dalam peribahasa Jepun, wujud peribahasa yang sama makna serta simbol yang digunakan.
Peribahasa Melayu: Katak di bawah tempurung
Peribahasa Jepun: Katak dalam perigi tak akan tahu luasnya lautan
Kedua-kedua peribahasa ini juga membawa maksud orang yang sangat cetek ilmu pengetahuan kerana tidak terdedah dengan dunia luar. Penggunaan unsur katak memang jelas dalam peribahasa ini, namun ia berbeza dari segi di mana lokasi katak itu disebutkan.
Ini kerana masyarakat Melayu banyak menggunakan buah kelapa dalam kehidupan seharian sama ada untuk masakan mahupun minuman. Manakala masyarakat Jepun banyak menemui katak di dalam perigi yang merupakan sumber air utama mereka.
Oleh itu, kedua-dua masyarakat lebih cenderung untuk menggunakan unsur katak serta barang (tempurung dan perigi) yang paling mesra dengan mereka. Namun, terdapat kesejajaran pemikiran jelas dalam kedua-dua masyarakat yang begitu teliti dan bijak.
Masyarakat Melayu dan Jepun
Selain daripada empat peribahasa yang kami senaraikan di atas, terdapat beberapa lagi peribahasa yang mempunyai makna yang sama bagi kedua-dua masyarakat. Korang boleh baca kat sini. Apa yang penting, peribahasa ini dahulu digunakan secara meluas dalam kehidupan harian mereka.
Peribahasa-peribahasa ini juga mempunyai banyak pengajaran yang boleh kita renungkan. Maksud setiap peribahasa yang ada dapat difahami secara tersurat dan tersirat. Bagi peribahasa Melayu dan Jepun, ia telah menunjukkan wujudnya kesejajaran pemikiran dalam kedua-dua masyarakat. Memang jelas pengaruh budaya dan alam banyak mempengaruhi dalam penciptaan peribahasa.
Apa yang kami kongsikan dalam artikel ini juga menunjukkan masyarakat Melayu dan masyarakat Jepun banyak berinteraksi dengan alam dan menggunakan kiasan dalam kehidupan harian mereka.
- 291Share sekarang!
- Email0
- Facebook291
- Share