- 3.2KShare sekarang!
- Email32
- Facebook3.2K
- Share
Pejam celik pejam celik, nampaknya dah hampir tamat kita menyambut 3 kali PKP sepanjang DUA tahun ni. Dah jadi macam satu perayaan la pula ye? Nasib baik jugalah dah nak habis…
Disebabkan kitorang teringin nak tahu apa yang berlaku kepada rakyat Malaysia sepanjang PKP, SOSCILI dengan kerjasama Gardenia KL melancarkan “Survey Setahun PKP” pada bulan April & Mei lepas, dan kitorang dapat banyak statistik yang sangat menarik! Rakan-rakan kitorang dari Gardenia pun ada membincangkan dapatan survey ni dalam livestream diorang yang korang boleh tengok kat sini:
Jadi sebelum kita cerita lebih lanjut tentang hasil kajian kitorang, jom tengok siapa yang join!
Jumlah responden: 1,029
Tempoh survey: 19 April – 3 Mei 2021
Jantina responden: Perempuan (69.8%), Lelaki (29.3%) & Lain-lain (0.86%)
Lokasi responden: Selangor, KL, Johor, Pulau Pinang & Negeri Sembilan; tapi kitorang juga mendapat respon dari penduduk setiap negeri di Malaysia.
Umur responden: 30 – 39 (32.6%), 21 – 29 (26.1%), 40 – 49 (21.9%), 50 – 59 (10.8%); dan kitorang juga menerima respon dari semua kelompok umur.
Antara hasil survey tersebut, ni 6 benda yang kami dapati paling menarik. Kita mulakan dengan…
1) Ramai rakyat Malaysia mengaku tak tukar seluar dalam
Semasa PKP, ramai antara kita yang jarang-jarang keluar rumah. Jadi bila terperap kat rumah je, adakah rakyat Malaysia masih berdisiplin menjaga kebersihan?
Responden kitorang nampaknya sangat jujur, kerana kajian kitorang mendapati:
- 16.6% responden mengaku memakai pakaian yang sama selama 3 hari ke atas, dan lelaki dan wanita sama je peratusannya.
- 4.5% responden turut mengakui yang diorang pernah tak tukar seluar dalam selama 3 hari ke atas, dan lelaki adalah 2.5 kali lebih cenderung melakukannya berbanding wanita.
Kalau korang rasa tu tak cukup lagi, sebanyak 11.8% responden mengakui yang diorang pernah seharian tak gosok gigi. Manakala 4.3% pula mengakui yang diorang pernah tak gosok gigi selama lebih 3 hari! 🤢 🤢 🤢
Daripada geng 3 hari tak gosok gigi tu, golongan lelaki adalah 78% lebih cenderung untuk melakukannya berbanding golongan wanita.
2) Ramai wanita menjadi kerap stress eating
Masa kita buat survey ni, kita masih lagi berada dalam PKPP. Tapi disebabkan kes yang mula naik secara mendadak, kita tiba-tiba dikejutkan (sebenarnya dah boleh agak) dengan lockdown yang lebih ketat, macam PKP pertama tahun lepas.
Jadi apa yang (kebanyakan) rakyat Malaysia buat bila terperap dalam rumah? Makan la kan…
Bila kitorang kaji kekerapan makan rakyat Malaysia, sebanyak 26% responden mengakui terlebih makan semasa PKP, berbanding 15.2% responden yang mengatakan mereka kurang makan berbanding sebelum PKP. Yang lain tu, maintain je la.
Antara responden yang kurang makan ni pula, 3.7% daripadanya mengatakan yang diorang terpaksa ‘diet’ disebabkan tak cukup duit, dan kebanyakannya adalah mereka yang berumur 21-29 tahun. Tambahan pula, peratusan ni adalah lebih tinggi di Pantai Timur iaitu di Pahang dan Kelantan, masing-masing pada 15% & 16% berbanding purata negeri lain sebanyak 3.7%.
Kalau korang tergolong dalam golongan ni, korang boleh klik sini untuk tengok senarai semua food bank yang ada di Malaysia.
Kitorang rasa, kalau kajian ni dijalankan pada bulan Jun, mungkin peratusan mereka yang terpaksa diet ni jadi lebih tinggi. Jadi kalau kita tergolong dalam golongan yang mampu terlebih makan semasa PKP ni, harap-harap kita juga mampu kongsi rezeki dengan mereka yang memerlukannya. Rakan-rakan kitorang dari Gardenia pun tak terkecuali. Sepanjang tahun ni, diorang dah menghulurkan sumbangan sebanyak RM1 juta kepada frontliners dan keluarga-keluarga B40. *Tabik spring!*
Seterusnya, 15.9% responden mengatakan yang mereka menjadi kerap makan bila rasa tertekan (stress eating). Hal ni lebih banyak berlaku kepada kaum wanita, di mana mereka adalah 1.5 kali lebih cenderung untuk stress eating berbanding lelaki.
Memandangkan ramai juga responden yang lebih kerap makan serta stress eating semasa PKP, tak hairanlan kalau…
3) Purata rakyat Malaysia naik berat badan semasa PKP
IYA! 37% responden kitorang mengakui yang diorang dah bertambah berat badan, berbanding 20.8% yang turun berat badan. Sebanyak 23.2% pula berjaya mengekalkan berat mereka, manakala 18.9% lagi tak mampu keep track berat badan mereka yang selalu naik turun macam SOP PKP di Malaysia yoyo.
Kalau korang nak tahu perubahan berat badan rakyat Malaysia dengan lebih lanjut:
Bila kitorang buat tabulasi tentang perubahan berat badan semua responden, kitorang menganggarkan yang secara purata, setiap rakyat Malaysia telah naik 0.63kg semasa PKP! Tu setiap sorang ye… Kalau kita tengok secara keseluruhan pula, Malaysia nampaknya dah menjadi 21 JUTA KILOGRAM lebih berat!
Kalau tengok negeri pula, yang mengungguli carta kenaikan berat badan ni ialah negeri yang terkenal dengan hidangan Nasi Dagang, iaitu Terengganu di mana 47% responden bagitau yang diorang bertambah berat, diikuti dengan negeri Patin Masak Tempoyak iaitu Pahang dengan 45%, dan wilayah paling banyak kepelbagaian makanan iaitu KL, 41.3%.
Manakala negeri-negeri dengan paling banyak responden yang turun berat badan pula adalah Sabah (34.6%), Perlis (33.3%) dan Melaka (30%). Bukanlah sebab makanan di negeri-negeri ni tak sedap, tapi berkemungkinan…
Data kitorang juga menunjukkan mereka yang tinggal berseorangan adalah golongan yang paling kurang naik berat badan, iaitu cuma 24%. Mereka yang tinggal dengan orang lain pula adalah 1.5 kali lebih cenderung untuk bertambah berat badan.
Daripada golongan yang tinggal bersama orang lain tu, mereka yang ber-PKP dengan keluarga terdekat (ibubapa dan adik beradik) adalah golongan yang paling senang naik berat badan, di mana 47.6% daripada mereka melaporkan yang berat diorang naik, diikuti 44.1% yang tinggal bersama datuk dan nenek.
Dah makan tu, kena la bersenam untuk bakar kalori juga kan? Berdasarkan hasil kajian, kitorang mendapati bahawa rakyat Malaysia semakin kurang bersenam semasa PKP.
Sebelum PKP, sebanyak 44.7% responden mengakui yang diorang bersenam sekurang-kurangnya seminggu sekali. Bagaimanapun semasa PKP pula, peratusan ni turun kepada 40.5%, manakala yang 59.5% lagi tak bersenam… kecuali pada minggu Raya haritu, rasa macam ramai betul orang start jogging bila SOP kata tak boleh Raya tapi aktiviti riadah dibenarkan…
Tapi, macam mana nak beriadah kalau banyak sangat U-turn dari kerajaan? Dan ini membawa kita kepada dapatan seterusnya iaitu…
4) Politik Malaysia adalah antara punca utama rakyat Malaysia stress
Antara 3 penyebab utama orang rasa tertekan semasa PKP ni, kajian kitorang mendapati yang ia berpunca dari:
- Hal-hal berkaitan Covid (31.4%)
- Tak dapat jumpa orang tersayang (27.3%), dan juga…
- Politik Malaysia (26.2%)!
Selain daripada tiga penyebab diatas, duit (23.8%) dan kerja (21.9%) juga adalah penyebab utama tekanan yang dialami oleh rakyat Malaysia. Sementara itu, sebanyak 20.1% rakyat Malaysia juga melaporkan yang mereka mengalami konflik dalaman, seperti tak tahu hala tuju masa depan dan pilihan hidup.
Bagi mereka yang duduk dengan keluarga mahupun orang tersayang, salah faham memang tak dapat dielakkan. Sedangkan lidah pun boleh tergigit, kan? Antara 3 salah faham atau pergaduhan yang sering berlaku semasa PKP adalah:
- Pergaduhan tentang tugas-tugas mengemas rumah (24.6%).
- Perihal anak-anak (15.6%), dan juga…
- Bising semasa bekerja/belajar dari rumah (15.5%)
Apa yang merisaukan, sebanyak 4.6% responden cakap yang diorang kerap bertengkar kerana berlakunya ketidaksetujuan tentang vaksinasi Covid. Perkara ni lebih kerap berlaku dalam kalangan mereka yang berbahasa Malaysia (7.1%).
Hanya 3.5% daripada mereka yang berdialek Cina berkata mereka sering bertengkar tentang hal ini, manakala TIADA LANGSUNG responden berdialek India yang menyatakan bahawa mereka sering bertengkar tentang vaksin Covid! 👏🏻👏🏻👏🏻
Walaupun begitu, ada satu punca stress yang agak besar, di mana…
5) 11% responden kehilangan sumber pendapatan semasa PKP
Bekerja/belajar dari rumah ni banyak cabarannya. Antara cabaran-cabaran terbesar yang sering rakyat Malaysia hadapi ialah:
- Tak dapat bezakan waktu bekerja dan waktu peribadi (27.4%),
- Internet macam siput (22.3%), dan
- Kena kerja lebih masa berbanding di pejabat (20.4%).
Selain tu, 16% responden juga mengadu yang bil elektrik makin naik, dan 14% rasa annoyed sebab terlalu banyak salah faham (miscom) bila bekerja dari rumah.
Bila kitorang tanya pasal keseimbangan hidup dan kerja (work-life balance) semasa PKP pula, nampaknya…
- 26.3% responden mengatakan yang mereka bekerja lebih banyak daripada biasa.
- 23.8% responden juga mengatakan yang jumlah waktu bekerja mereka sama je, cuma… sambil-sambil bekerja tu, diorang lebih kerap berehat. Golongan wanita adalah 32% lebih cenderung untuk melakukan perkara ni berbanding lelaki.
- 13.2% pula mengakui yang mereka kurang bekerja daripada biasa – dan lelaki adalah 47% lebih cenderung melakukan perkara ni berbanding perempuan.
Tapi yang paling sedih sekali, sebanyak 20.1% mengatakan mereka takde work-life balance sebab… mereka takde kerja pun 😢 😢 😢
Mana taknya. Dari segi pendapatan, sebanyak 29.9% responden mengatakan yang pendapatan mereka berkurangan sejak PKP, dan satu pertiga responden lain hanya mendapat separuh daripada pendapatan asal mereka.
Lebih sedih lagi, 11.1% mengatakan yang PKP menyebabkan mereka terus kehilangan pendapatan. Manakala cuma 5.2% saja yang berjaya memperolehi pendapatan lebih dalam pandemik ini.
Jadi tak mengejutkanlah bila kitorang dapati…
6) Sebanyak 5% responden pernah terfikir untuk membunuh diri 😢
PKP juga ada memberi kesan kepada kesihatan mental rakyat Malaysia. Sebelum kita sentuh topik tu, jom kita tengok hubungan antara tidur dan kesihatan mental dulu.
Secara purata, sebelum PKP, rakyat Malaysia tidur selama 6 jam 9 minit setiap malam. Tapi masa PKP pula, rakyat Malaysia berjaya tidur lama sikit, iaitu selama 6 jam dan 36 minit, ataupun 27 minit extra berbanding sebelum PKP.
Kalau korang nak tahu siapa yang tidur paling lena masa PKP, nampaknya orang yang tinggal dengan keluarga/saudara-mara dapat tidur yang paling banyak, iaitu lebih 70 minit berbanding sebelum PKP. Ini diikuti oleh mereka yang tinggal bersama kawan-kawan, yang mendapat 46 minit extra. Orang yang ber-PKP sorang-sorang pula takde sebarang perubahan.
Tapi, ada juga mereka yang kehilangan tidur semasa PKP. Golongan yang paling terkesan adalah mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental dan tak mempunyai akses kepada ubat-ubatan. Golongan ni rata-ratanya mendapat tidur berkurangan sebanyak 31 minit berbanding purata.
Cakap pasal kesihatan mental ni, kitorang juga ada statistik yang agak merisaukan. Contohnya, seramai 5% responden kitorang mengakui bahawa diorang pernah terfikir untuk membunuh diri, dan 2.4% pernah mencederakan diri sendiri😢 😢😢
Dua kumpulan ni juga dilaporkan mempunyai lebih masalah tidur berbanding orang lain, di mana mereka adalah 16.8% lebih cenderung untuk susah lena, dan 17.8% lebih cenderung untuk sukar bangun tidur berbanding orang lain.
Mereka juga 10.3% lebih cenderung untuk mengalami tidur yang terganggu, dan 18.2% lebih cenderung untuk merasa letih selepas bangun dari tidur. Bagi golongan ni, penyebab utama tekanan mereka adalah duit (42.1%), bekerja dari rumah (33.3%), dan konflik dalaman (29.8%). Dan nampaknya, perkara ini lebih kerap berlaku kepada perempuan (69.6%) berbanding lelaki (28.5%).
Bagi yang tinggal bersama keluarga pula, mereka nampaknya kurang mengalami masalah kesihatan mental berbanding kumpulan lain. Contohnya, mereka yang tinggal bersama pasangan dan anak-anak adalah 23% kurang cenderung untuk mengalami gangguan emosi seperti merasa cemas atau tertekan, 40% kurang cenderung untuk membunuh diri, dan 62% kurang cenderung untuk mencederakan diri sendiri.
Manakala mereka yang tinggal berseorangan pula adalah 25% lebih cenderung untuk mengalami kegelisahan dan kemurungan berbanding rata-rata rakyat Malaysia yang lain, serta 69% lebih cenderung untuk berfikir tentang membunuh diri berbanding purata.
Sekiranya korang pernah berasa tertekan sampai macam ni, korang janganlah segan untuk hubungi Befrienders di +603-79568145. Ni side note sikit la, tapi penulis ni pun pernah mengalami masalah yang sama, dan Befrienders memang sangat membantu. Kalau korang pula rasa nak membantu Befrienders, korang boleh buka pautan ni.
Jadi dengan pelbagai statistik yang kita perolehi ni, ini membuatkan kitorang juga terfikir…
Bila la agaknya kita boleh bebas macam dulu ye?
Kalau kita lihat dari segi positif sepanjang pandemik ni, kita boleh tengok yang rakyat Malaysia mendapat tidur lebih lama secara puratanya, ibubapa ada lebih masa di rumah bersama anak-anak, dan rakyat Malaysia juga selalu menghulurkan bantuan sesama sendiri sepanjang tempoh pandemik ni.
Tapi kita juga tak boleh nafikan yang PKP ni juga ada kesan buruk kepada yang kurang bernasib baik. Ramai yang kehilangan sumber pendapatan, pemakanan yang kadang-kalanya tak cukup, malah ada yang mengalami masalah tidur disebabkan kerisauan melampau tentang pandemik dan banyak lagi.
Memandangkan kita dah capai 90% imuniti kelompok dan boleh rentas negeri, apa yang kita boleh buat sekarang adalah supaya sama-sama bertanggungjawab dan kekal mengikuti SOP Covid-19 walaupun dah divaksinasi supaya kes berjaya turun dan kita boleh hidup macam biasa balik satu hari nanti. Malah, jangan lupa untuk berwaspada dan sama-sama memerangi berita palsu, sebab bahaya dan mudaratnya mampu meracuni minda mereka yang mudah terpengaruh.
- 3.2KShare sekarang!
- Email32
- Facebook3.2K
- Share