Sekumpulan haiwan dari Indonesia datang berenang, kita hantar penembak tepat?!

Sebelum ni kitorang pernah tulis pasal amalan syirik yang makin menjadi-jadi di Pulau Besar Melaka. Tapi baru-baru ini, ada lagi satu insiden atau tragedi di Pulau Besar ni, bagi yang belum tahu, Pulau Besar DISERANG oleh Indonesia! Dan penyerang ini tak menggunakan apa-apa senjata ataupun kapal untuk sampai ke Pulau Besar. Dan, angka penyerang ni boleh melebihi penduduk di Pulau Besar kalau situasi tu tak dikawal.

Jadi, Malaysia menghantar 3 penembak tepat untuk menyelamatkan Pulau Besar dari jajahan ni. Oh, tapi mereka ni kira kenalan kita jugak lah (Sus scrofa vittatus), dan kita sedang bercakap pasal babi hutan bukan manusia ?.

5 Jam perjalanan, dari Sumatera ke Pulau besar, kalau babi hutan tu naik feri kat pelabuhan Dermaga – Imej dari Google Maps

Untuk pengetahuan korang, babi hutan ni haiwan yang “invasive” dan jumlah haiwan ni boleh meningkat dengan cepat, dan ada kebarangkalian populasi haiwan ni boleh merebak sampai Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Johor. Terkejut jugak la kan, dapat tau yang babi hutan ni secara berkumpulan berenang merentas Selat Melaka.

Tapi kalau korang nak tau, babi hutan ni bukan je tengah berhijrah ke Malaysia, beberapa negara lain juga sedang menjadi destinasi pilihan untuk babi hutan ni mencari rezeki. Untuk pengatahuan korang, ni adalah artikel Soscili yang paling banyak ada perkataan babi.

1. Petani di India buat bom buatan sendiri untuk bunuh babi hutan yang rosakkan tanaman mereka!

Bahan mentah yang digunakan oleh petani untuk buat bom buatan sendiri. Imej dari India Today

Bulan lepas, 2 orang ditahan oleh pihak polis India kerana didapati menyimpan bom buatan sendiri, tapi mereka tidak dipanggil sebagai pengganas ataupun ekstrimis. Mereka ni petani, yang ingin menyelamatkan tanaman diorang dari aktiviti haram babi hutan ni. Di India, petani akan buat bom buatan sendiri dan salut dengan bijian tanaman dan tinggalkan di semak hutan sebagai perangkap.

Elok pulak perangai bila suruh amik gambar! Imej dari Orissa Post

Di Khandapara, India, populasi babi hutan ni membimbangkan kerana setiap petang babi hutan ni datang singgah makan kat ladang diorang. Antara tanaman kegemaran babi hutan kat India ni padi, tebu dan keladi. Selain itu, menurut petani di sana, Jabatan Perhutanan tak membantu para petani menyelesaikan masalah ini, jadi, petani panggil pemburu haram ni datang untuk bereskan kerja.

Tapi, di selatan negara India, Coimbatore, Persatuan Petani Tamil Nadu sedang mendesak kerajaan untuk memberi pampasan kepada petani yang tanaman mereka rosak akibat gejala babi hutan ni, supaya meraka boleh mulakan tanaman baru pada musim menanam nanti.

2. Korea Selatan hantar TENTERA penembak tepat dan dron udara untuk bunuh babi hutan

Korea Selatan ni memang tak main-main bab bunuh babi hutan ni, kerana haiwan ini ada Virus Demam Babi Afrika yang mereka kata datang dari Korea Utara, walaupun Korea Utara kata virus itu tidak serius di negara mereka. Ini kerana, mereka jumpa 5 bangkai babi hutan yang dijangkiti virus ini di sempadan negara tersebut.

Unit kuarintin di Korea Selatan. Imej dari South China Morning Post.

Dengan masalah virus ni, penduduk Korea Selatan berebut untuk makan daging ni di restoran yang terkenal dengan hidangan ni, kerana mereka tak tahu bila stok daging baru akan masuk. Disebabkan daging babi ni antara juadah istimewa orang Korea Selatan, menurut Kementerian Pertanian Korea Selatan, hampir 154,548 ekor babi dari 94 ladang disembelih untuk menghalang virus ni dari merebak.

Aktivis hak asasi haiwan buat demonstrasi memakai topeng babi di Seoul, Korea Selatan. Imej dari South China Morning Post

Siapa sangka babi hutan ni boleh bawak banyak masalah. Bercerita pasal daging babi ni, ia merupakan sumber protein nombor satu kat China, dan penduduk China makan hampir separuh dari jumlah sumber daging babi kat dunia. Dan, sejak mereka kesan virus tu kat sempadan China dengan Rusia Ogos tahun lepas, hampir 200 juta babi ni mati ataupun pun disembelih pasal virus ni, giler babi kan! 

Memandangkan tahun ni pun tahun babi, China punya jumlah keuntungan ekonomi yang mereka dapat dari babi ni hampir 128 billion USD. Jadi, harga daging babi ni melonjak tinggi, dan banyak rakyat China kena bergantung dengan sumber makanan yang lebih murah, tapi bila daging ayam, kambing dan lembu ni tak memenuhi permintaan pasaran, harga daging ni pun naik jugak.

Nak beli ke tak, nak beli ke tak. Imej dari South China Morning Post.

3. Populasi babi hutan di Kanada meningkat 9% setiap tahun, dan haiwan ni boleh hidup dalam semua jenis iklim!?

Di Kanada, populasi babi hutan meningkat sehingga 9% setiap tahun, dan haiwan ni merosakkan alam sekitar dengan menyebabkan hakisan tanah, merosakkan kualiti air dan tanaman liar. Selain itu, disebabkan jumlah haiwan ni meningkat dengan cepat, haiwan ni menjadi pemangsa kepada haiwan-haiwan kecil seperti burung dan amfibia (katak & cacing).

Keluarga babi hutan di Saskatchewan, Kanada. Imej dari Phys.org

Sebenarnya babi hutan di Kanada ni dibawa dari Eropah pada tahun 80-an dan 90-an untuk tujuan menambah jenis haiwan ternakan dan sebagai binatang buruan untuk pemburu. Berat babi hutan kat Kanada ni boleh sampai 100kg dan babi betina ni boleh beranak sampai 6 ekor anak babi setahun.

Jadi, langkah awal yang diambil oleh Kanada untuk selesaikan masalah ni, mereka buat kajian dahulu untuk mencari cara paling efisien menangani haiwan cepat membiak ni dengan memasang kolar pengesan, kamera kesan tapak kaki dan temu ramah pemburu tempatan.

Babi hutan ketakutan dan hidup dalam buruan manusia. Imej dari Univesity Saskatchewan

 

Ancaman flora dan fauna juga datang dari faktor semula jadi

Walaupun babi hutan ni tidak menjajah dan merosakkan pemikiran kita, tapi ia merosakkan ekosistem alam sekitar, seperti kualiti air semula jadi, tanaman asli dan haiwan-haiwan kecil yang terancam.

Jadi, sebagai manusia yang prihatin dengan alam, ia menjadi tanggungjawab kita untuk mengambil berat dan faham tentang ancaman flora dan fauna disebabkan oleh faktor semula jadi (macam babi hutan dan bencana alam) atau faktor manusia (seperti pembuangan sampah secara haram & lain-lain).

Memandangkan Malaysia antara negara dimana rakyatnya sering melancong ke negara lain, pentinglah untuk korang semua baca berita dahulu tentang negara tersebut jika terdapat sebarang wabak penyakit yang sedang tular di negara tersebut. Oleh itu, dalam keseronokan melancong, penting juga untuk mengutamakan kesihatan, bak kata pepatah Inggeris ni “prevention is better than cure”.