Amalan pelik di Pulau Besar makin menjadi-jadi, RM50 pakej doa ustaz palsu

(This article is a translation. For original, visit our sister site, CILISOS)

Kalau korang tanya orang Malaysia secara rawak untuk bagi nama pulau tempatan, mesti diaorang akan sebut Pulau Pinang, Langkawi, Tioman, Sipadan atau pun Redang dan Pangkor. Sebenarnya, ada satu lagi pulau yang ramai orang jarang sebut tapi orang keluar masuk punyalah ramai dari dalam dan luar negara. Mungkin sebab tujuan ke pulau tu sendiri dah lain macam.

Sebelum ni kami pernah tulis pasal Pulau Jerejak di Pulau Pinang yang pernah menjadi tempat pemisahan orang yang sakit dari masyarakat, dan Pulau Bidong yang digunakan untuk menempatkan sebilangan besar pelarian Vietnam sekitar tahun 1970-an. Kali ni kami dari SOSCILI nak kongsikan pula satu lagi kisah pasal pulau yang jarang disebut, tapi ramai yang datang:

Imej dari Panglima Wadah

Gambar kat atas ni menunjukkan sebahagian kawasan perkuburan yang dihias cantik. Pulau yang akan kami ceritakan ni ada banyak gila kawasan perkuburan macam ni, dan ia juga merupakan pulau terbesar di Melaka macam namanya juga iaitu Pulau Besar.

Dan satu benda yang korang kena tahu adalah…

Pulau Besar dianggap suci oleh sesetengah orang

Kira besarlah ni. Imej dari The Star

Pulau Besar ni adalah sebuah pulau yang dikelilingi kepulauan kecil yang jaraknya 15 km dari persisiran pantai Melaka, dan kalau nak gambaran lagi rupa bentuk pulau ni, baca apa yang pegawai Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah ni terangkan:

“Di puncak pulau itu ada sebiji batu besar yang terbelah ditengah-tengah. Ia dipanggil ‘Batu Belah’ dan ia menjadi destinasi kegemaran untuk pelancong tempatan. Orang tempatan melihat pulau itu sebagai suci. Para pengunjung dilarang memakan babi malam sebelum mereka datang dan juga sepanjang berada di pulau itu. Mereka juga perlu berperangai baik di pulau itu.”- Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah.

Menurut sejarah, kalau orang dulu belayar di Selat Melaka menghala ke Singapura, Pulau Besar dan kawasan sekitarnya adalah pulau terakhir yang mempunyai bekalan air bersih. Jadi, sebelum abad ke-15, kapal-kapal akan berhenti untuk menambah stok bekalan air. Di situ juga, mempunyai beberapa telaga lama serta sebahagiannya telah ditambah baik sekarang.

Tetapi, macam mana pulau ini boleh dipanggil pulau suci? Sebenarnya, ia terkait dengan orang-orang yang menyebarkan Islam di Tanah Melayu suatu masa dulu.

Salah satu makam yang ada. Imej dari Berita Daily

Dalama banyak-banyak kubur lama, kuil kecil dan makam yang dijumpai di dalam pulau, salah satu daripadanya dipercayai milik Sultan Arrifin Syeikh Ismali, keturunan Nabi Muhammad. Menurut legenda, Sultan mendengar suara yang menyuruhnya untuk menyampaikan Islam ke Nusantara ketika melawat makam Rasulullah di Madinah. Para pengikutnya pula dah membina kedai di Pulau Besar dan menghabis hidup mereka mengajar agama kepada orang tempatan.

Dia dan pengikutnya kemudian telah meninggal dan dikuburkan di pulau itu, dan kubur-kubur mereka menjadi satu daya tarikan orang ramai sama ada tempatan atau pun asing untuk berkunjung. Tapi, di sana ada tarikan mistik macam gua mistik, perigi dan batuan yang berbentuk agak lain daripada yang lain. Benda yang paling popular adalah Batu Belah yang berada di puncak pulau.

Popular batu ni. Korang pun kalah. Imej dari 7708

Dikatakan batu itu dah dibelah oleh lidah berkuasa milik Panglima Lidah Hitam sewaktu pertunjukkan seni bela diri. Batuan setinggi 3 meter itu mempunyai jarak belahan 30 cm. Dan dilaporkan sesiapa sahaja yang melalui ruangan itu dengan bahu kirinya masuk dulu dan menyentuh bahagian akhir batuan itu dengan tangan kanan, hajat mereka akan dimakbulkan. Dan hajat kebiasaan orang melibatkan nombor loteri.

Kalau korang jenis klaustrofobia (rasa sesak ditempat sempit) atau tak rasa nak menang apa-apa loteri, jangan risau.

Amalan tahyul di pulau itu buat pihak berkuasa negeri pening kepala

Pulau ni dikunjungi orang ramai atas tujuan spiritual untuk memberi penghormatan kepada makam suci orang-orang soleh atau hanya untuk mencari tempat sunyi jauh dari bandar bagi beribadah (ada masjid dan sebuah tahfiz), orang lain juga datang untuk mencari sesuatu dari dunia spiritual. Bukan sahaja orang Malaysia, di sini juga ada orang Indonesia yang mengiklankan ‘pakej doa’, beberapa rawatan yang dilakukan di pusara Sultan Ariffin, macam kat bawah ni.

Ada transfer energi siap tu. Imej dari Eddy Roshdi

Amalan sembahan di pusara ini bukan dilakukan oleh orang Islam sahaja, orang bukan Islam pun ada jugak. Dan ia menjadi masalah besar untuk pihak berkuasa negeri. Kalau korang betul-betul nak lawat pulau ni, korang akan perasan papan tanda dari pihak berkuasa agama menasihatkan supaya pengunjung tak buat perkara-perkara khurafat macam menyembah pusara dan amalan yang lebih kurang. Tapi, papan tanda tu tak menghalang pun aktiviti-aktiviti tersebut.

Kalau korang ingat tempat yang sedia ada tak cukup, korang silap sebab banyak lagi tapak baru yang bertambah beberapa dekad sebelum ni. Hinggakan orang tempatan ambil peluang buat duit dengan menjual alat-alat ritual macam bunga kalung, kemenyan, air bunga ros dan kelapa.

Ada juga yang mengambil peluang itu menjual artifak misteri macam permata, cincin lama, keris kuno dan batuan istimewa pada harga yahudi. Apa yang mengejutkan, dilaporkan ada ustaz palsu yang mendoakan pengunjung Islam dan bukan Islam dan memberi air dengan bayaran di antara RM30-50.

Amaran ni hanya ada hiasan. Imej dari Cintamenora

Di sana juga pernah berlaku masalah apabila pihak berkuasa mengalihkan pusara ke tempat lain, tapi pengunjung tetap melakukan sembahan ritual di tapak tu. Pihak berkuasa dah buat macam-macam benda untuk memperbaiki masalah yang berlaku seperti meletakkan badan berautoriti di pulau untuk membendung amalan-amalan sesat, memusnahkan binaan haram yang digunakan untuk sembahan, atau membina masjid besar untuk mengurus pengunjung.

Membangunkan pulau mungkin boleh menyelesaikan masalah yang ada

Air-air bacaan. Imej dari Berita Harian

Pulau Besar sangat terkenal dengan amalan-amalan mistik hingga digelar sebagai ‘Pulau Syirik’, jadi ia tak nampak baik buat pihak kerajaan negeri untuk membiarkannya. Buat masa sekarang ni, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari mengatakan sebab usaha kerajaan sebelum ni tidak berjaya kerana ia tidak dibangunkan.

“Usaha untuk mengekang kegiatan tahayul dan mistik di Pulau Besar sebelum ini telah gagal kerana pulau itu tidak dibangunkan, diabaikan dan diasingkan. Tiada benda baru dihasilkan di sana menyebabkan kawasan itu disalahgunakan oleh sesetengah kumpulan.

Dengan pelaksanaan pembangunan yang dirancang dan menyeluruh, beberapa kegiatan tahayul di pulau itu dapat dihapuskan, serta membersihkan pulau itu,”- Adly Zahari, petikan dari The Star keluaran Ogos

Salah satu rancangan untuk bangunkan pulau ini adalah dengan menjadikannya bebas cukai sepenuhnya, bukan hanya untuk rokok dan bahan alkohol sahaja. Perancangan seterusnya oleh kerajaan negeri adalah dengan membangunkan industri koko di dalam Pulau Besar dengan kerjasama negeri Sabah. Ini akan menghentikan import koko yang biasanya datang dari Afrika Selatan.

Melimpah-limpah ke ladang Pulau Besar. Imej dari Singapore Commercial’s Youtube

Untuk kawasan perkuburan lama di pulau itu, Adly mengatakan yang kerajaan akan mengekalkannya sebagai tapak bersejarah. Dengan kesemua usaha ni, dia percaya aktiviti-aktiviti tahyul ni dapat dihentikan. Tapi adakah usaha ini mudah? Menurut sejarah, ia tak mudah sebenarnya.

Ini bukan kali pertama kerajaan negeri berusaha membangunkan Pulau Besar

Menurut laporan, kerajaan dah cuba membangunkan pulau ini sejak tahun 1980 dengan rancangan untuk menjadikan pulau ini kawasan ladang ternakan 40 ekor lembu Fresian. Lembu-lembu ini tadi hilang satu persatu dan orang tempatan percaya ia ada kaitan dengan kuasa mistik. Beberapa resort yang dibina pada tahun 1990 siap lengkap dengan padang golf bertukar menjadi tempat terbengkalai.

Warna air tu pun dah macam kolam ikan keli. Imej dari Crazy Travel

Orang tempatan mengatakan bahawa kegagalan projek itu kerana lokasinya yang terletak di sebuah kampung misteri yang dikatakan mempunyai 146 jin di sana. Pada tahun 2009 pula, pulau ini dilaporkan akan diubah menjadi pelabuhan simpanan minyak, tapi nampaknya ia tetap tak jadi.

Pada tahun 2015, Pulau Besar dihubungkan dengan grid elektrik. Kali ni, kerajaan negeri ada idea untuk membina satu Taman Tema Tamadun Islam untuk menarik 1.8 juta pelancong Islam dari seluruh dunia, tapi macam biasa, tiada kejayaan.

Imej dari me.me

Sama ada menjadi atau tak projek koko, ia tetap akan menjadi persoalan sama ada ia mampu memberi pembangunan atau memulakan masalah yang lain pula. Pesuruhjaya PAS Melaka, Kamaruddin Sidek mengingatkan kerajaan negeri supaya menghentikan usaha ke atas Pulau Besar atas nama pembangunan.

Jika tujuannya untuk menghentikan amalan syirik, penguatkuasaan undang-undang sahaja dah cukup.

“Saya menyokong usaha kerajaan negeri untuk menghalang perkara tahayul di Pulau Besar, tetapi jika pembangunan Pulau Langkawi dijadikan contoh, berhati-hati. Pembangunan boleh mengikis keunikan Pulau Besar. Bagi saya, Pulau Langkawi telah dijual kepada konglomerat asing…walaupun ia lebih maju sekarang, realiti adalah keunikan pulau legenda yang terkikis.- Kamaruddin Sidek, petikan dari Sinar Harian

Kita nantikan, apa yang akan terjadi?

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT