- 2.3KShare sekarang!
- Email0
- Facebook2.3K
- Share
Waktu akhir bulan Mac hari tu, ada satu sekolah kat Sabah khas untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan, dah dapat anugerah kecemerlangan untuk trend reka bentuk dan seni bina bagi kategori projek mampan.
Penyampaian anugerah tu diadakan kat Mumbai, India anjuran majalah Home & Design Trends. Majalah tu memang asalnya dari India dan majalah tu jugak merupakan majalah khas yang mengetengahkan aspek-aspek reka bentuk dan seni bina. (Kalau rasa tak perlu nak beli majalah, bolehlah tengok Instagram dia).
Sekolah tanpa kerakyatan ni memang banyak kat Sabah dan Sarawak untuk bagi akses pendidikan kanak-kanak yang tak dapat ruang pendidikan yang sepatutnya. Tapi, pendidikan yang diberikan kat sekolah tanpa kerakyatan ni tak sama macam sekolah rasmi yang diiktiraf oleh kerajaan, mereka cuma diajar aspek-aspek asas je contohnya macam menulis, mengira dan membaca. Kalau ada yang sampingan, tu semua inisiatif tenaga pendidik kat sekolah tersebut.
Jadi, kali ni SOSCILI nak ceritakan 3 sekolah tanpa kerakyatan yang popular dan pelopor sekolah tu:
1. Etania Green School: Sekolah dari kontena dan kayu-kayu kitar semula
Sekolah Etania Hijau ataupun dikenali sebagai Etania Green School terletak kat Kota Kinabalu, Sabah. Sekolah ni lah yang dah dapat anugerah reka bentuk mampan dari majalah Home & Design Trends kat Mumbai India tadi. Dan sekolah ni jugak tersenarai dalam 10 Rekaan Sekolah Terbaik oleh Designboom. Bukan beshe-beshe tu!
Sekolah ni merupakan sekolah pertama yang dibina khusus untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan yang tak dapat akses pendidikan kat Malaysia. Sebelum ni kelas untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan ni tak ada ruang dan bangunan yang sesuai. Apa yang ada semuanya terletak kat kawasan rumah kedai yang tak selesa dan tak kondusif untuk dijadikan ruang belajar.
Tapi atas inisiatif Dr Kathryn Rivai yang merupakan pengasas sekolah tu dengan usaha sama arkitek terkemuka dari badan NGO billionBricks; Robert Verrijt dan Prasoon Kumar,. Jadi, nasib kanak-kanak kat situ terbelalah untuk dapatkan pendidikan yang sepatutnya. Dan apa yang penting sekolah tersebut diisi dengan tenaga pengajar yang berkaliber dari pelbagai latar belakang.
Kalau dilihat dari reka bentuk dan kawasan sekolah tu, ianya memang menarik dan diinspirasikan daripada alam semula jadi yang dikelilingi dengan ladang dan kebun sawit. Dan untuk nampakkan kawasan tu jadi minimalis dan untuk jimatkan kos bangunan dan ruangan pembelajaran (kelas), sekolah tu dibina dari kontena penghantaran. Kat bahagian atas bangunan tu pulak, kelas tu diperbuat daripada kayu-kayu kitar semula. Sangat-sangat jimat kan?
Sekolah ni dibina khas untuk memuatkan seramai 350 orang pelajar dari umur 5 tahun hingga 13 tahun yang beroperasi selama 6 hari seminggu. Mereka kat sekolah tu dipenuhi dengan program-program pendidikan yang dipelankan khas untuk kanak-kanak istimewa ni. Sekolah Etania Hijau ni jugak sama macam sekolah biasa yang lain sebab kemudahan kat sekolah tu sangat lengkap, cumanya sistem pendidikan diaorang je bukan pendidikan rasmi daripada pentaksiran kerajaan.
Memandangkan sekolah ni terletak dan dikelilingi kawasan sawit, kebanyakan dan majoriti pelajar kat sekolah tu adalah anak-anak pekerja ladang sawit yang takde kerakyatan yang sah. Kebanyakannya juga adalah pelarian dari negara jiran yang masuk kat Malaysia tanpa dokumen yang sah. Jadi, anak-anak diaorang ni lah jadi ketinggalan sebab tak dapat hak asasi diaorang yang asas contohnya macam akses pendidikan dan persekolahan serta juga akses untuk dapatkan rawatan kesihatan atas faktor dan isu kerakyatan ni.
2. Sekolah 3M: Anggota tentera sebagai pengajar untuk masyarakat di Pulau Berhala
Ni ada jugak sekolah untuk kanak-kanak yang takde kerakyatan dah dibina kat Pulau Berhala, Sabah. Sekolah tu ditubuhkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjalankan tugas diaorang kat sana. Sekolah tu ditubuhkan disebabkan faktor kemanusiaan oleh anggota-anggota tentera yang berkhidmat kat sana, bila diaorang tengok kanak-kanak kat sana ketinggalan dan tahap buta huruf diaorang sangat tinggi.
ATM tubuhkan sekolah 3M ni dengan ajar aspek-aspek asas iaitu membaca, menulis dan mengira (sebab tu lah dipanggil 3M). Dan diaorang jugak diajar subjek-subjek asas dan tertentu contohnya macam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Pendidikan Islam. Sekolah 3M ni jugak dah pernah terima anugerah dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) waktu tahun 2014 sebab ATM dah berjaya majukan hak asasi manusia kat sana.
Sekolah ni memang diwujudkan dan dipantau sepenuhnya oleh anggota tentera kat kawasan tu. Sistem pembelajaran kat sana pun memang sepenuhnya gunakan silibus dari Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Cumanya sekolah ni bukanlah gunakan sistem yang formal, jadi ada je masalah kehadiran dari pelajar-pelajar sekolah tu. Sekolah ni kiranya banyaklah kes-kes ponteng sekolah sebab kehadiran diaorang dalam sehari boleh dianggarkan cuma 70% je.
Budak-budak yang belajar kat situ adalah kebanyakannya anak-anak masyarakat dan rakyat pelarian daripada Filipina yang menetap kat Pulau Berhala tu. Sekolah 3M ni jugak menempatkan pelajar yang terdiri dari umur 4 hingga 17 tahun.
Selain aspek pendidikan yang asas (3M), diaorang jugak didedahkan dengan pembentukan nilai dan akhlak yang baik melalui aspek keagamaan dan kerohanian. Aspek patriotisme pun jadi sampingan bagi tujuan untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan anak-anak kat Pulau Berhala tu.
“Daripada mereka berkeliaran di pulau ini, ATM telah membuka Kelas 3M ini untuk mereka belajar, sekurang-kurangnya untuk kelangsungan hidup mereka pada masa akan datang, untuk boleh membaca, menulis dan mengira,” – Lt Kol Shamsuri Nordin, Pegawai Memerintah Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja, sumber dari Karangkraf.
Sebelum wujudnya sekolah 3M ni, budak-budak kat situ banyak habiskan masa dengan bermain dan ikut apa mak ayah diaorang buat. Dan tahap IQ diaorang ni agak rendah disebabkan diaorang membesar dengan keadaan buta huruf.
“Dulu (tiada sekolah) anak main saja. Sekarang (ada sekolah) maju sudah, anak ada pemikiran. Syukurlah ada tentera ajar anak kami,” – Isni Lasah, penduduk Pulau Berhala, sumber dari BH Online.
3. Sekolah Alternatif Semporna: Sekolah atas air secara percuma untuk anak-anak tanpa kerakyatan
Satu lagi sekolah untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan kat Semporna, Sabah yang ditubuhkan hasil daripada inisiatif seorang graduan yang bergabung dengan NGO, Teach For The Needs (TFTN). TFTN ni memang badan swasta yang ditubuhkan untuk membela hak kanak-kanak kurang bernasib baik contohnya macam anak-anak yatim, pelarian dan kanak-kanak tanpa kerakyatan.
Sekolah yang diwujudkan oleh TFTN ni dinamakan sebagai Sekolah Alternatif Semporna, Sabah. Tapi ada jugak sekolah alternatif yang TFTN buat kat Kota Kinabalu, Tawau dan Tuaran.
Mukmin Nantang yang ada Ijazah Sarjana Muda Seni Kreatif dan juga seorang aktivis yang suka buat aktiviti sukarelawan; pilih untuk jadi pengajar kat kanak-kanak kurang bernasib baik di Semporna. Dia percaya yang pendidikan adalah hak untuk semua orang, sebab tu lah dia bukak sekolah alternatif ni untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan tu secara percuma.
“Semuanya bermula sekitar tahun 2015 semasa saya sedang aktif dengan aktiviti sosial di UMS. Saya terlibat sebagai aktivis pendidikan kerana merasakan pendidikan sebagai medium atau ruang untuk membela sesuatu yang tidak adil,” – Mukmin Nantang, Guru Besar Sekolah Alternatif Semporna, sumber dari FMT.
Sekolah tu pun keadaan dan strukturnya agak uzur. Hanya rumah yang dijadikan pusat untuk kanak-kanak tak bernasib baik untuk nak dapatkan hak pendidikan yang sepatutnya. Kawasan rumah tu pulak dibina atas kawasan air. Walaupun macam tu, sekolah tu boleh menempatkan seramai 37 orang anak-anak warga pelarian kat sana untuk dapatkan akses pendidikan asas secara percuma.
Mukmin Nantang jugak merupakan guru besar kat sekolah tu. Dia ada bagitahu yang dia dapat tawaran kerja yang lebih baik tapi dia pilih untuk jadi tenaga pengajar kat situ sebab dia nak ubah nasib komuniti yang tak bernasib baik ni. Pendidikan asas yang diajar adalah 3M jugak, membaca, menulis dan mengira. Semuanya disediakan secara percuma kat situ termasuk makanan dan alat tulis jugak. Bagusnya! (Rasa macam nak masuk sekolah lagi lah pulak).
“Tentang saya tidak penting, yang penting anak-anak yang cergas dan pintar ini akhirnya akan memberikan sumbangan di kemudian hari. Merekalah yang akan mengubah nasib dan membela komuniti mereka sendiri,” – Mukmin Nantang, Guru Besar Sekolah Alternatif Semporna, sumber dari FMT.
Budak-budak kat situ jugak diajar dengan bidang-bidang kesenian asas seperti menjahit, mencetak baju dan menghasilkan kraftangan. Dengan adanya pengajaran bidang macam ni, Mukmin percaya budak-budak kat situ boleh jana pendapatan diaorang dengan hasil jualan daripada produk seni tu bila diaorang dah habis sekolah nanti.
Habis sekolah tu maksudnya bila pelajar-pelajar kat situ dah berjaya kuasai pendidikan asas yang diajar. Contohnya macam dah pandai mengira, membaca dan boleh berkomunikasi dengan lebih teratur.
Pendidikan hak semua orang…
Hak pendidikan ni memang hak asasi semua orang. Semua layak terima pendidikan yang sepatutnya dan tak ada istilah diskriminasi dalam dapatkan ilmu. Dan akhir tahun 2018 hari tu, kerajaan ada umumkan langkah yang akan bagi ruang untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan ni masuk ke sekolah formal (sekolah kerajaan) untuk dapatkan pendidikan formal.
Dengan adanya langkah yang macam ni, kanak-kanak yang takde kerakyatan tu boleh ambil peperiksaan awam jugak untuk melayakkan diaorang pergi ke peringkat seterusnya.
“Langkah ini diambil kerana kerajaan berhasrat memberi pendidikan formal kepada semua kanak-kanak,” – Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pendidikan, sumber dari FMT.
Jadi, bagi keluarga yang tak mampu nak daftarkan anak diaorang kat sekolah formal, sekolah alternatif ni lah yang jadi pilihan. Sebabnya, kan ada caj yuran tertentu yang dikenakan lagi-lagi bagi status komuniti yang tanpa kerakyatan ni. Konteksnya kat sini, semua orang layak terima pendidikan tanpa mengira status memandangkan hak pendidikan tu adalah hak asasi untuk semua orang.
“Apa yang kita boleh bantu ialah persiapkan diri mereka dengan pendidikan supaya mereka terdorong untuk menjadi anggota masyarakat yang baik,” – Fatiha Shuib, pengarah urusan 1Moment4Them, sumber dari FMT.
- 2.3KShare sekarang!
- Email0
- Facebook2.3K
- Share