Pelajar Harvard malukan Konsulat Israel? Ini sejarah bangsa pertama di Palestin

UPDATE 18/11/2019: Gempar apabila sekumpulan pelajar jurusan undang-undang di Universiti Harvard keluar dewan kuliah beramai-ramai sewaktu ceramah disampaikan oleh Dani Dayan, Konsulat Israel di New York. Ceramah tu bertajuk “The Legal Strategy of Israeli Settlements”.


Isu Palestin tak pernah berhenti dibincangkan, sama ada berkaitan dengan nasib rakyatnya ataupun kedudukannya sebagai kota suci ketiga umat Islam. Kita sendiri pun nampak, isu berkaitannya bukan lagi urusan negara-negara Islam atau Arab sahaja, tapi dah jadi perjuangan ramai orang tak kira agama dan bangsa.

Sekarang ni, tanah Palestin yang asal dah jadi dua negara yang berbeza iaitu Israel dan Palestin. Kerajaan Palestin yang dulunya terbahagi kepada Semenanjung Gaza dan Tebing Barat (Fattah vs Hamas) pulak nampaknya dah bersatu buat sekarang. Selebihnya pula adalah negara Israel.

Peta pembahagian negara Israel dalam Palestin dari 1948 hingga 2005. Klik untuk imej penuh dari Israelandpalestine.org.

Tapi perkara yang paling hangat diperdebatkan tentang isu Palestin-Israel ini adalah tentang pemilikan Baitul Maqdis atau nama lainnya Jerusalem. Dari dulu memang tak sudah-sudah.

Jadi bila Presiden US, Trump mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel, benda ni jadi kontroversi yang besar. Presiden Turki, Erdogan, membuat kenyataan yang isu Baitul Maqdis ni memang boleh menguji kesabaran umat Islam. Malah, bukan setakat dia sahaja yang bersuara.

Bantahan pemimpin-pemimpin dunia tentang pengisytiharaan Donal Trump

Tak lama lepas tu, ramai pemimpin dunia keluarkan kenyataan sama ada dari Arab atau pun Eropah. Antaranya adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh Pope Francis dari Vatican:

“Saya membuat rayuan mendesak ini kepada semua orang supaya menghormati status quo bandar itu (Baitul Maqdis), selaras dengan resolusi-resolusi penting oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).” – Pope Francis, petikan dari The New York Times.

Mahmoud Abbas (Presiden Palestin sekarang) bertemu Pope Francis. Imej dari Euronews.

Apa yang mengejutkan, negara yang dianggap pengganas macam Korea Utara pun turut membantah tindakan ni. Mereka berpendapat ianya satu penghinaan terhadap undang-undang antarabangsa.

PM Najib Razak juga tak terlepas untuk membantah tindakan ini yang diucapkannya di Perhimpunan Agung UMNO 2017. Jadi isu ni betul-betul mendapat perhatian dunia. Pemimpin-pemimpin Arab sebelum ni yang dilaporkan rapat dengan Israel pun boleh membantah benda ni. Contohnya macam Presiden Mesir Abdel Fattah Al-Sisi.

“Menerusi satu kenyataan, Abdel Fattah menyatakan soko­ngan padu terhadap Palestin un­tuk melindungi Baitul Maqdis mengikut rujukan antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).” – Petikan dari Utusan.

Abdel Fatteh Al-Sisi (Presiden Mesir) dan Benjamin Netanyahu (PM Israel) bersembang apa entah. Imej dari Reuters.

Kiranya, dalam undang-undang antarabangsa dan PBB, Baitul Maqdis ini ada statusnya tersendiri. Menurut Professor Elihu Lauterpacht dan R.H Pfafff (pakar undang-undang), Baitul Maqdis ni memang kunci utama perdamaian Arab-Israel. Jadi, jom kita selami secara perlahan-lahan perjalanan status Baitul Maqdis dari dulu sampai sekarang.

Bagaimana Baitul Maqdis terpisah selepas kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyyah

Untuk faham konflik Baitul Maqdis ni, kita kena tahu yang dalam Baitul Maqdis tu sendiri ada kawasan Timur dan Barat. Macam mana boleh terpisah?

Timur, Barat? Kiri, kanan?

Sewaktu Baitul Maqdis masih berada dalam pimpinan kerajaan Uthmaniyyah, memang tiada sebarang masalah bagi penganut semua agama datang dan menjalankan ibadah. Tapi setelah kerajaan Uthmaniyyah kalah pada Perang Dunia Pertama, empayar ini dah dipisahkan oleh kuasa besar.

British diberi mandat oleh Liga Bangsa (nama PBB masa tu) untuk menjaga Palestin. Waktu tu, Yahudi Zionis mula melakukan keganasan terhadap penduduk Palestin, termasuklah menyerang tentera British yang ada kat Palestin yang mengorbankan pegawai British di Mesir, Lord Moyne. Dilaporkan 300 orang tempatan dan 10 tentera mati.

Inilah orang yang tentera Yahudi bunuh. Imej dari Egy.com.

Pada Februari 1947, British dah minta cadangan dari PBB untuk bantu selesaikan isu di Palestin ni. United Nations Special Commitee On Palestine (UNSCOP) ditubuhkan dan dah bersetuju supaya tanah Palestin dipisahkan dua negara, satu milik Arab dan satu lagi milik Yahudi Zionis. Baitul Maqdis pula dijadikan kawasan yang dipantau zon antarabangsa. Malangnya Yahudi bersetuju tetapi Liga Arab tak bersetuju. Akhirnya…

“Pertempuran bemula di Palestin antara Yahudi dan tentera negara Arab. Sehingga Israel mengumumkan kemerdekaanya pada 14 Mei 1948, kebanyakan pertempuran berlaku antara tentera tempatan pada mulanya. Apabila Israel mengumumkan kemerdekaan, negara-negara Arab terus terlibat secara langsung.” – Jurnal tulisan Jeremy Pressman.

“Baitul Maqdis Barat telah ditawan Israel ketika perang Arab-Israel 1948, apabila lebih 750 ribu rakyat Palestin telah dihalau keluar dari negara mereka, orang Palestin menamakan kejadian ini sebagai Hari Nakbah apabila Israel secara rasminya ditubuhkan.” – Petikan dari Al-Jazeera.

Peperangan negara Arab-Israel berlaku hingga tamat pada awal tahun 1949. Kesan perang tu, Israel dah menguasai 78% tanah Palestin yang ada dalam perancangan UNSCOP. Manakala Baitul Maqdis yang sepatutnya berada bawah kendalian antarabangsa dah bertukar tangan. Bahagian Barat Jerusalem ditawan Israel, manakala bahagian Timur Baitul Maqdis bawah Transjordan (kemudiannya jadi Jordan). Jordan turut menguasai Tebing Barat dan Semenanjung Gaza pulak dikuasai Mesir.

Baitul Maqdis dipisahkan dua bahagian. Imej dari Al-Jazeera.

Kemudian, berlakunya Perjanjian Gencatan Senjata 1949 antara Israel dan negara-negara Arab yang terlibat dalam peperangan (Mesir, Jordan, Lubnan dan Syria). Dalam perjanjian tersebut, Israel ada sempadannya termasuk Barat Jerusalem. Manakala, Timur Jerusalem yang dalamnya ada Kota Lama (terdapat Masjid Al-Aqsa) adalah di bawah pemerintahan Jordan.

Waktu tu, Palestin tak diiktiraf sebagai negara. Penduduk Palestin yang ada kat kawasan tu diberi kerakyatan Jordan. Manakala seramai 30 ribu bangsa Arab di Barat Baitul Maqdis telah dihalau keluar oleh Israel.

Baitul Maqdis Timur jatuh ke tangan Israel melalui perang

Pada 23 Januari 1950, Israel bertindak menjadikan Barat Baitul Maqdis sebagai ibu kota negaranya. Sempadan dalam Perjanjian Gencatan Senjata 1949 makin lama makin tak relevan apabila Israel mula melakukan penaklukan yang mencetuskan perang Arab-Israel 1967. Israel menawan Bukit Golan (Syria), Sinai (Mesir), Gaza, Tebing Barat dan juga kawasan yang paling relevan dengan kes kita sekarang iaitu…  Baitul Maqdis Timur.

Dalam PBB, British membentangkan Resolusi 242 supaya Israel mengembalikan semula wilayah yang dirampas atau dijajah (Occupied Territory). Tapi bila dilihat betul-betul resolusi ni, ramai yang menganggap ia sebenarnya seolah-olah menyokong perluasan sempadan Israel. Cerita resolusi ni agak kompleks, jadi korang boleh baca kat sini.

Suasana perang Arab-Israel 1967. Imej dari MY Times.

Setelah Baitul Maqdis Timur jatuh ke tangan Israel, merek memulakan proses ‘meyahudikan’ kawasan tersebut, di mana orang Palestin dihalau dan penempatan Yahudi dibina dengan pesat. Wakil Setiausaha PBB, Ernesto A. Thahman mengesahkan tindakan yang dilakukan Israel di Baitul Maqdis Timur itu bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

“Thalman dalam laporan beliau mengkritik Israel yang mengaplikasikan undang-undang Israel di Baitul Maqdis mulai 28 Jun 1967. ” – Petikan dari jurnal Muhamad Hasrul Zakariah.

Itulah bezanya status Baitul Maqdis Timur dan Baitul Maqdis Barat. Baitul Maqdis Timur dari segi undang-undang antarabangsa tetap dikira sebagai kawasan dijajah secara tak sah.

“Jelas sekali status Baitul Maqdis Timur berbeza sedikit sebanyak dengan Baitul Maqdis Barat. Baitul Maqdis Timur dari segi undang-undang antarabangsa bukanlah milik Israel kerana statusnya masih tidak diputuskan.

Masyarakat antarabangsa sepakat bahawa tindakan Israel merampas wilayah Baitul Maqdis Timur selepas Perang Enam Hari 1967 adalah tidak sah” – Abdul Muein Abadi pensyarah Sains Politik UKM ketika dihubungi Soscili.

Tanah penduduk Arab Islam dan Arab Kristian turut dirampas, manakala bangunan kedai dan kediaman mereka diruntuhkan. Sebahagian besar penduduk Arab keluar dari penempatan mereka di Baitul Maqdis Timur. Walaupun Israel dikritik, tapi Levi Eshkol (PM Israel waktu tu) bertegas takkan menyerahkan wilayah-wilayah Arab yang mereka takluki selepas perang.

Muslim dan Kristian Palestin dalam perarakan Krismas bagi mengenang rakyat diorang yang mati. Imej dari The Arab Weekly.

Tindakan Israel ni sebenarnya dah banyak melanggar undang-undang dan perjanjian antarabangsa termasuklah Perjanjian Damai Oslo 1993 yang meletakkan syarat supaya status Baitul Maqdis mestilah melalui rundingan dua pihak iaitu Palestin dan Israel.

“Oslo Accord mengesyorkan masalah pemilikan Baitulmaqdis diselesaikan melalui perundingan.” – Ayman Rashdan Wong, penulis dalam bidang hubungan antarabangsa ketika dihubungi Soscili.

Palestin sekarang ni dalam proses untuk mendapat status negara merdeka, di mana Baitul Maqdis Timur yang dijajah Israel adalah ibu negaranya. Namun, apabila Trump mengiktiraf keseluruhan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel, Benjamin Netanyahu (PM Israel) pun berkata…

“Ini adalah satu hari yang bersejarah. Baitul Maqdis telah menjadi kota orang Yahudi sejak 3,000 tahun yang lalu.” – Petikan dari Youtube IsraeliPM.

Tapi, benar ke yang bangsa Yahudi paling layak dan berhak untuk memiliki kota ini menurut sejarah?

Berapa lama bangsa Yahudi pernah tinggal di Baitul Maqdis mahupun Palestin?

Menurut Yusuf Qaradhawi dalam buku Palestin Masalah Kita Bersama, bangsa Yahudi adalah satu bangsa dari beberapa suku yang mempunyai keturunan dari Nabi Ibrahim.

Secara spesifiknya, Yahudi adalah pecahan 3 daripada 12 suku Bani Israel – iaitu 12 anak nabi Yaakub. Nabi Yaakub adalah anak Nabi Ishaq dan cucu nabi Ibrahim. 3 suku Yahudi tadi pula adalah Judah, Benjamin, dan Levi.

Saya Yahudi. Hehe.

Menurut Haaretz (website berita Israel), waktu negara Yahudi ini nak merdeka, ada banyak cadangan nama negara. Ada yang mencadangkan Judah, tapi ditolak sebab tempat bersejarah berkaitan Judah banyak yang berada di luar sempadan tanah Palestin yang digariskan PBB. Akhirnya, nama Israel dah dipilih kerana ia merupakan gelaran bagi nabi Yaakub dalam kitab Genesis.

Menurut Qaradhawi, bangsa Yahudi menganggap tanah Palestin ini sebagai tanah yang dijanjikan kepada keturunannya oleh Nabi Ibrahim. Seperti yang tertulis dalam Perjanjian Lama (Old Testament), “Sesungguhnya Tuhan menjanjikan bahawa Ibrahim  akan memberikan Palestin kepada keturunannya”.

Tapi betul ke Nabi Ibrahim ada memiliki mana-mana tanah di Baitul Maqdis mahupun Palestin? Isu ni dah pun dijawab oleh Yusuf Qaradhawi dengan hujahnya.

“Seperti yang disebutkan dalam perjanjian-perjanjian lama, Nabi Ibrahim dan isterinya masuk ke Palestin dari tanah airnya Iraq sebagai orang asing pada umur 75 tahun…

Sampaikan waktu isterinya Sarah meninggal, Ibrahim minta tempat dari bangsa Palestin untuk kebumikan mayatnya.” – Yusuf Qaradhawi, petikan Buku Palestin Masalah Kita Bersama.

Yahudi Ortodoks yang anti-zionis bertemu Qardhawi di Doha. Imej dari Naturei Karta.

Begitu jugak anak Nabi Ibrahim serta cucunya Nabi Ishaq yang tinggal sebagai orang asing di Palestin tanpa ada sebuah tanah pun. Manakala, anak Ishaq iaitu Ya’kub (Israel) dan isterinya pulak dah berhijrah ke Mesir. Menurut Qaradhawi, dari Ibrahim hingga cucunya Ya’kub (Israel) hanya hidup di Palestin 230 tahun sebagai orang asing tanpa ada walaupun sejengkal tanah Palestin.

Kemudian, Bani Israel hidup di Mesir selama 430 tahun di mana mereka dijadikan hamba dan diseksa oleh Firaun. Hinggalah Nabi Musa menyelamatkan mereka keluar dari Mesir lalu hidup di Sinai. Nabi Musa waktu tu juga tak ada sebarang tanah di Palestin. Jadi nampaknya, sebelum nabi Ibrahim sampai ke Baitul Maqdis dan Palestin lagi, dah ada orang lain yang tinggal. Siapakah mereka?

Bangsa pertama yang tinggal di Baitul Maqdis adalah bangsa Yabus dan Kan’an

Menurut Yusuf Qaradhawi, bangsa yang pertama sekali membangunkan kota Al-Quds adalah suku bangsa Yabus dan Kan’an. Siapakah diorang ni?

“Bangsa Yabus adalah salah satu kabilah Arab kuno yang meninggalkan jazirah Arab bersama suku bangsa Kan’an. Ini berlaku sekitar 30 abad sebelum Masehi.” – Yusuf Qaradhawi, petikan buku Palestin Masalah Kita Bersama.

Klik gambar untuk tengok apa reaksi kanak-kanak Palestin bila tanya pasal Israel. Imej dari Media Islamic.

Jadi suku Bangsa Kan’an dan lainnya dah tinggal berabad-abad di Al-Quds dan Palestin. Waktu tu, Al-Quds namanya ‘Urussayaleem atau Kota Syaliim iaitu Tuhan bangsa Yabus. Qaradhawi turut mengatakan dalam Taurat juga disebut perkataan ‘Yubus’ yang terkait dengan kabilah ni. Jadi, terbuktilah yang bukanlah orang Yahudi mahupun Bani Israel yang memiliki tanah ini sejak awal lagi.

Cumanya sepanjang sejarah, ada juga Nabi yang menjadi nabi dan raja Bani Israel macam Yusha’, Syaul, Daud dan Sulaiman. Semuanya berlaku dalam jangka masa 100 tahun je menurut Qaradhawi. Selepas tu, mereka diserang oleh Bangsa Babylon dan Bangsa Romawi yang menyebabkan orang Yahudi berserakan di muka Bumi dan dilarang tinggal di Baitul Maqdis. Sampailah Saidina Umar Al-Khattab dah datang untuk membebaskan Baitul Maqdis macam yang selalu kita dengar.

Dalaman Baitul Maqdis ada Kota Lama. Imej dari Wikitravel.

Waktu tu, Paderi Kota Al-Quds, Covernicus menyerahkan kunci kota kepada Umar Al-Khattab dengan memberi syarat supaya tidak membenarkan bangsa Yahudi untuk memasuki atau tinggal di sana.

“Bangsa Arab memasuki al-Quds dalam keadaan tidak ada bangsa Yahudi di dalamnya iaitu yang telah diusir oleh bangsa Romawi dan penduduknya masuk Islam. Tinggallah bangsa Arab di sana lebih 1400 tahun. Apakah mereka tidak punya hak sejarah seperti bangsa Yahudi?” –  Yusuf Qaradhawi, petikan dari buku Palestin Masalah Kita Bersama.

Telah ramai manusia dikorbankan dalam konflik Baitul Maqdis

Baitul Maqdis adalah antara tiga tanah suci umat Islam kerana di situ tempat tapi Nabi Muhammad SAW dinaikkan ke langit dalam persitiwa Isra’ Mi’raj. Sebelum ni juga terbukti, Baitul Maqdis terbuka kepada semua waktu pemerintahan Kerajaan Uthmaniyyah. Tapi, nampaknya, pada masa sekarang, ianya seolah-olah bertukar tangan tanpa ada peluang untuk memulangkan atau berkongsi oleh Israel. Jadi alternatif terbaik adalah…

“Secara perundingan. Perkongsian secara bersama adalah lebih baik walaupun ia agak sukar dicapai.”- Ayman Rashdan Wong, ketika dihubungi Soscili.

Anak-anak Palestin tak henti menangis. Imej dari United We Stand.

Dalam keadaan sukar dicapai ni, kita selaku orang awam, sekurang-kurangnya mestilah berbuat sesuatu dalam isu Baitul Maqdis. Kita boleh nyatakan bantahan melalui petisyen ni. Atau pun bantulah mereka dengan bagi sumbangan kepada NGO yang dipercayai. Kerana di sebalik isu ni, korban nyawa melibatkan orang Palestin tak kira agama adalah terlalu ramai sejak dari tertubuhnya negara Israel.

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT