
Seperti diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada Majlis Perhimpunan Bulan YAB Perdana Menteri hari ini, Kerajaan MADANI mula menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk Semua mulai 9 Februari 2026.
Dengan peruntukan sebanyak RM2.2 billion, lebih 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia dewasa boleh memanfaatkan kredit one-off RM100 SARA untuk Semua. Kredit ini sah digunakan sehingga 31 Disember 2026.
Isi rumah berpeluang menerima bantuan berganda bergantung pada bilangan ahli dewasa yang layak. Sebagai contoh, sebuah keluarga yang terdiri daripada suami, isteri serta dua anak berumur 18 tahun dan ke atas akan menerima RM400 kredit SARA untuk Semua secara keseluruhan, tidak termasuk bantuan SARA bulanan jika berkelayakan.
Mengambil kira maklum balas rakyat, Kerajaan MADANI telah melaksanakan beberapa penambahbaikan untuk meningkatkan kemudahan dan fleksibiliti pembelian.
Berdasarkan maklum balas yang diterima, Kerajaan MADANI bersetuju untuk meluaskan kategori barangan SARA dengan merangkumi makanan sejuk beku (frozen food). Penambahbaikan ini menjadikan jumlah keseluruhan 15 kategori barangan asas, dan meningkatkan jumlah barangan yang layak dibeli menggunakan kredit SARA kepada 140,000 jenis barangan.
Selaras dengan Perutusan Tahun Baharu 2026 oleh YAB Dato’ Seri Anwar, Kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan penyertaan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada 10,000 kedai menjelang hujung tahu 2026. Jarak kedai runcit terdekat juga dikurangkan daripada 10 kilometer kepada 7 kilometer.
Orang ramai boleh menyemak status pengkreditan dan soalan lazim (FAQ) berkenaan SARA untuk Semua melalui portal rasmi SARA di https://sara.gov.my.
Kementerian Kewangan (MoF) mengingatkan rakyat agar berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Sebagai langkah keselamatan, MoF tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp. Penerima disarankan merujuk hanya kepada portal rasmi SARA bagi sebarang maklumat terkini.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
9 Februari 2026
