Kerajaan kata inflasi rendah. Jadi, kenapa semua benda mahal gila?!

Hujung minggu lepas, penulis ni keluar dengan kawan-kawan untuk menikmati makanan tradisi kegemaran rakyat Malaysia, roti canai. Tapi buka je menu, terus hilang selera.

RM20 untuk roti canai?? SIAPA YANG NORMALISE BENDA NI???????!!!

Sebelum korang cakap ini mesti kafe kayangan kan, satu masa dulu, secawan kopi kat sini cuma RM4.50. Tapi sekarang, harganya dah hampir dua kali ganda, RM7.50. Serius lah!

Tapi kalau korang baca berita kebelakangan ni, inflasi di Malaysia sebenarnya rendah. Biar betul, sebab dompet kita rasa macam makin nipis je, kan?

Jadi, apa sebenarnya yang sedang berlaku?

Rupa-rupanya, inflasi yang rendah tak semestinya jadikan barang semakin murah. Sebaliknya, inflasi untuk benda macam makanan, penjagaan kesihatan dan utiliti masih meningkat! Tapi selain tu, ada unsur-unsur lain yang tengah buat kita rasa pokai walaupun ekonomi semakin rancak. 

Untuk betul-betul faham kenapa semua benda rasa makin mahal, jom kita patah balik dan teliti beberapa benda yang selalu buat orang keliru bila cakap pasal kos sara hidup, bermula dengan…

Apa sebenarnya maksud inflasi?

Sebenarnya, inflasi cuma tunjukkan tahap peningkatan harga dari masa ke masa. Maksudnya, kalau tahun lepas secawan kopi tu RM5 je, tapi sekarang dengan inflasi 1.4%, harga dia dah jadi RM5.07.

Katakanlah inflasi tahun-tahun sebelum ni 3%, tapi tahun ni inflasi turun jadi 1.4%. Ni tak bermakna harga barang turun. Dia cuma bermakna harga barang naik, tapi naik dengan lebih perlahan. Tu je.

Kalau korang nak tahu lebih detail, kat Malaysia, inflasi ni diukur menggunakan Indeks Harga Pengguna (IHP). Anggap je IHP ni macam perbandingan purata perbelanjaan isi rumah korang, termasuk makanan, perumahan, pengangkutan, kesihatan, pendidikan, bil elektrik, dan macam-macam lagi.

Untuk kita IHP tu, DOSM dah kira harga segala jenis ikan, sayur, perubatan, baju, kos telco, pengangkutan, dan termasuk juga barangan harga terkawal macam minyak masak, gas dll.

Perubahan harga tu sentiasa dipantau oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Lepas tu pula, Bank Negara Malaysia (BNM) gunakan angka ni untuk nilai kestabilan harga dan gubal dasar monetari untuk kawal inflasi. 

Jadi walaupun pakar ekonomi kata inflasi semakin reda, ni tak bermakna kos sara hidup kita jadi makin murah.

Jadi sekarang, harga memang naik dengan lebih perlahan berbanding lonjakan besar lepas pandemik. Imej dari OpenDOSM

Jadi kalau inflasi ni bukan penyebab utama kenaikan kos sara hidup, tapi cuma satu penanda aras, apa yang sebabkan kita rasa kos sara hidup makin tinggi? Sebahagian kecil daripada sebabnya adalah psikologi.

Salah satu sebabnya ialah cara kita “rasa” harga barang dalam kehidupan seharian

Hakikatnya, bila kita hari-hari beli benda yang sama – terutamanya barang keperluan macam barang daput, minyak dan bil – kita akan jadi lebih sensitif atas perubahaan harga barang tu.

Jadi bila harga ayam semalam RM8.90, tapi hari ni naik jadi RM9, kita akan lebih ingat benda ni, tak kiralah kalau harga ayam bulan lepas RM9.50 pun. Lama-lama, kita akan rasa macam semua benda naik, walaupun sebenarnya tak semua pun.

Bila kau terkenang zaman harga emas 1g RM300 tapi masa tu pun tak beli sebab tetap tak mampu.

Sebab tulah nilai inflasi kadang-kadang rasa tak sama dengan realiti kehidupan seharian. Nilai inflasi ni ratakan semua harga barang jadi satu nombor yang kemas, tapi perasaan kita dibentuk oleh apa yang kita selalu beli, dan kenaikan harga mana yang buat kita paling terkejut.

Okey, psikologi tu satu. Tapi tu tak bermakna semua masalah ni wujud dalam kepala otak kita je. Sebenarnya ada satu lagi faktor besar yang kita kena bincangkan, iaitu:

Post ni cakap, gaji fresh grad hari ni sepatutnya dah naik RM7,000, bukannya RM3,000 lagi. Pastu ramai pulak orang kecam 🤔

Separuh lagi masalah kita ialah gaji di Malaysia yang rendah

Tak kira lah inflasi tinggi atau rendah, kalau ada inflasi, harga barang tetap akan naik. Masalahnya ialah bila harga barang naik, tapi gaji kita tak naik sejajar dengan kos. 

Cuba bayangkan, sejak 10 tahun lepas, setiap tahun inflasi naik antara 0.9% – 3.9%. Bila campur sekali, inflasi kita berbanding 2015 adalah dalam 22%! Jadi, barang yang harganya RM100 dulu dah jadi RM122 tahun ni.

Korang boleh main kira-kira kat sini.

Tapi gaji kita pulak semput, tak mampu nak kejar inflasi. Tak percaya? Korang boleh tengok carta di bawah, gaji sektor swasta tak meningkat setara dengan harga.

Imej tangkap layar dari Bank Negara Malaysia.

Sejak 2019, harga makanan naik 17.4%, tapi gaji naik 7% je. Jadi walaupun gaji kita ada naik berbanding dulu, lepas ambil kira harga yang meningkat, ramai yang sebenarnya semakin miskin.

Kat sinilah kita kena tengok konsep kuasa beli (purchasing power). Ini sebab kenapa ramai orang yang “selesa” dalam kategori M40 pun masih rasa terhimpit walaupun inflasi rendah.

Kalau korang perasan juga, harga makanan lah yang naik paling tinggi. Sebab tu, bukan semua orang akan rasai tekanan harga ni secara sama rata. Menurut DOSM, isi rumah berpendapatan rendah akan rasa paling tertekan dengan kenaikan kos sara hidup, sebab diorang terpaksa gunakan peratusan gaji yang lebih tinggi untuk makanan.

Lagi rendah pendapatan, lagi besar bahagian gaji yang dibelanjakan untuk makanan. Imej tangkap layar dari DOSM

Lemah semangat kan dengar? Jadi, soalan seterusnya ialah…

Apa yang sedang dibuat untuk bantu kita hadapi inflasi & kos sara hidup?

Berita baiknya, pembuat dasar negara kita memang tengah buat sesuatu untuk memperbaiki keadaan, cumanya, diorang takde tongkat sakti yang boleh ubati ekonomi kita serta merta.

Bila kau beli tongkat sakti dari Temu.

Salah satu langkah yang digunakan untuk memperbaiki keadaan kita adalah Overnight Policy Rate (OPR). Secara ringkas, OPR ni adalah satu mekanisme untuk kekalkan kestabilan harga. Sama ada OPR dinaikkan atau diturunkan boleh pengaruhi macam mana orang ramai akan pinjam, guna atau simpan duit, dan pada skala besar, benda ni sedikit sebanyak mampu kawal inflasi. 

Tapi BNM (badan yang kawal OPR di Malaysia) juga cakap yang OPR ni bukanlah pengubat ajaib. Walaupun OPR boleh bantu kawal inflasi, ia tak boleh turunkan harga serta-merta. OPR juga tak boleh selesaikan sepenuhnya masalah lain macam kos makanan global. Dan ia memang tak boleh naikkan gaji dengan sekelip mata. Sebab tu kawalan inflasi akan datang bersama langkah lain.

Apasal diorang tak print lagi banyak duit je kan? Boleh cepat kaya. Hihi

Antara langkah lain yang diambil dalam negara kita adalah dasar nasional yang utamakan bantuan bersasar, daripada bantuan tunai terus macam Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah, kepada subsidi bersasar untuk bahan api dan keperluan harian.

Bantuan secara terus ni adalah untuk pastikan golongan yang paling terkesan dengan kos sara hidup dapat kelegaan segera, tanpa perlu tunggu hasil dasar ekonomi jangka panjang yang biasanya ambil masa untuk dirasai.

Untuk jangka panjang pula, Malaysia sedang cuba tingkatkan produktiviti dan tarik pelaburan bernilai tinggi supaya gaji boleh naik secara berperingkat. Sebab tu kita nampak banyak pelaburan dalam bidang macam AI, pusat data, dan juga usaha menaik taraf kemahiran melalui program TVET.

Selain tu, konsep gaji kehidupan wajar (living wage) juga semakin hangat dibincangkan. Malah, badan-badan macam KWSP dan buat perkiraan berapa sebenarnya pendapatan yang seseorang sebenarnya perlukan untuk hidup dengan selesa. Bukan setakat gaji yang cukup makan, tapi pendapatan yang wajar supaya orang ramai mampu simpan duit, jaga kesihatan, dan juga buat aktiviti sosial.

Sejak konsep ni mula diperkenalkan, beberapa GLC dan GLIC dah mula laksanakan gaji kehidupan wajar ni untuk jadi lebih kompetitif. Dan semakin konsep ni dinormalisasikan, makin ramai syarikat yang akan tawarkan gaji lebih tinggi untuk menarik pekerja berkualiti.

Harap lebih banyak syarikat normalise gaji RM6,000. Imej dari LinkedIn

Pada masa yang sama, korang mungkin dengar gaji penjawat awam naik 13%+ tahun lepas, dan tu mungkin bukan kebetulan. Konsepnya sama – bila sektor awam mula bayar lebih, sektor swasta akhirnya kena ikut untuk kekal kompetitif dan tarik pekerja, sekali gus bantu naikkan gaji keseluruhan di Malaysia.

Lepas ni kalau bos komplen kenapa kita bagi usaha minimum, boleh tunjuk gaji Uniqlo.

Jadi, penyelesaian tu memang dalam proses, cumanya, ia akan ambil masa.

Nak lega tu mungkin lambat lagi, tapi ada benda yang kita boleh buat sementara kita tunggu hasilnya

Pattern sekarang, harga barang naik laju, gaji naik perlahan, dan dasar negara untuk selesaikan masalah ni macam berubahan cukai, subsidi dan gaji boleh ambil bertahun-tahun sebelum kesannya betul-betul dirasai dalam kehidupan seharian kita.

Nak tengok betapa perlahan gaji bergerak, gaji minimum sepatutnya disemak setiap 2 tahun. Sekarang, gaji minimum ialah RM1,700. Imej dari National Human Resource Centre

Jadi soalan praktikalnya: sementara kita tunggu perubahan besar ni berlaku, apa yang kita boleh buat sekarang?

Sejujurnya, langkah pertama ialah faham apa yang kita sedang hadapi.

Kau yang terpaksa belajar ekonomi sebab mak tanya bila nak beli rumah.

Bila kita faham hubungan antara inflasi, kos sara hidu, gaji dan dasar nasional, ia sekurang-kurangnya bantu kita tetapkan jangkaan yang lebih realistik. Ye lah, nak normalisasikan gaji lebih tinggi, naikkan gaji minimum tu perlu bertahun-tahun lagi, jadi apa yang boleh kita buat sebelum tu?

Dari situ, kita boleh mula buat perubahan pada perkara-perkara yang masih dalam kawalan kita. Contohnya, mungkin kita boleh mula pantau perbelanjaan dan ‘kebocoran’ duit yang sebelum ni kita tak sedar. Bagi sesetengah orang, ni mungkin bermaksud diorang boleh:

  • tukar kepada tarif elektrik ToU kalau ia boleh bantu turunkan bil,
  • kerapkan guna pengangkutan awam kalau benda ni boleh tolong kita jimat tol dan parkir,
  • tapau atau masak sendiri daripada terlalu bergantung pada penghantaran makanan (yang diam-diam naikkan kos), atau 
  • mula beli barang secara pukal dan meal prep kalau sesuai dengan rutin harian.

Selain perbelanjaan, satu lagi bahagian penting dalam perkiraan ni ialah pendapatan. Jadi, kalau ada ruang, ini mungkin bermaksud naik taraf kemahiran, buat kerja sampingan, atau cari peluang dengan gaji yang lebih baik – terutamanya bila gaji yang statik inilah yang buat inflasi terasa paling pedih.

Semua ni tak selesaikan masalah kos sara hidup dari akar umbi, tapi sekurang-kurangnya beri isi rumah lebih sedikit kawalan, sementara perubahan dasar yang lebih besar dan perlahan ambil masa untuk tunjuk kesannya.