Riot Games, Easy Onair lancar League Of Legends Titans Cup MY & SG

Riot Games, peneraju global dalam permainan dan esport, telah mengumumkan kerjasama selama dua tahun dengan syarikat produksi Malaysia, Easy Onair Sdn Bhd, untuk melancarkan League of Legends Titans Cup MY & SG (LTC), sebuah kejohanan nasional baharu untuk Malaysia dan Singapura.

Perjanjian ini, yang merupakan inisiatif berasaskan komuniti bertujuan untuk membina semula senario kompetitif League of Legends dengan pendaftaran terbuka, peluang yang inklusif, dan liputan siaran penuh. LTC akan berfungsi sebagai pusingan kelayakan rasmi untuk League of Legends Championship Pacific (LCP) Wildcard Playoffs, laluan utama bagi pasukan yang menyasarkan tempat dalam liga tertinggi rantau ini.

Pasukan yang menjuarai LTC akan mara ke LCP Wildcard Playoffs, di mana mereka akan bersaing dengan juara serantau dari India, Asia Selatan, Indonesia, Filipina, Thailand, dan Singapura/Malaysia. Peringkat ini merupakan laluan rasmi bagi pasukan untuk menyertai kejohanan Promosi dan Penyingkiran LCP, di mana mereka akan bersaing untuk merebut tempat dalam LCP.

Pengurus Negara (Country Manager) bagi Riot Games Indonesia & Malaysia, Resha Pradipta berkata, “Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Easy Onair bagi penganjuran League of Legends Titans Cup MYSG. Kerjasama jangka panjang ini mencerminkan keyakinan kami terhadap potensi rantau MYSG. Kami teruja untuk menyokong bakat tempatan dan membina laluan ekosistem ke peringkat profesional yang sebenar.”

Easy Onair Sdn Bhd, sebuah syarikat produksi esport yang sedang berkembang pesat di Malaysia, akan mengetuai operasi kejohanan dan pelaksanaan kandungan sepanjang dua tahun ini. Tanggungjawab mereka termasuk pengurusan kejohanan, produksi siaran langsung, pengambilan caster, serta inisiatif penglibatan komuniti yang disesuaikan untuk penonton MYSG.

Kuroshi Hatamake, Pengarah Easy Onair berkata, “Kerjasama ini merupakan pencapaian besar bagi komuniti esport di Malaysia dan Singapura. Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Riot Games dalam merealisasikan visi jangka panjang yang menyediakan peluang sebenar kepada pasukan, pemain, dan bakat di seluruh rantau ini.”

League of Legends: Titans Cup MY & SG akan membuka peluang kepada semua pemain yang layak dari Malaysia dan Singapura untuk menyertai kejohanan berprestij ini. Format pertandingan ini akan dijalankan secara berperingkat, bermula dengan peringkat kumpulan, diikuti oleh perlawanan playoff, dan diakhiri dengan perlawanan akhir. Kesemua perlawanan utama akan disiarkan secara langsung lengkap dengan ulasan tempatan, analisis mendalam, dan sorotan utama. Pasukan yang muncul sebagai juara akan diberi penghormatan untuk mewakili rantau MYSG ke LCP Wildcard Playoffs.

Jadual rasmi kejohanan telah ditetapkan, bermula dengan tempoh pendaftaran dari 8 hingga 20 Julai 2025. Pusingan kelayakan dalam talian akan berlangsung pada 26 dan 27 Julai 2025. Seterusnya, siaran langsung perlawanan suku akhir akan diadakan pada 2 dan 3 Ogos, manakala separuh akhir hingga Grand Final akan disiarkan secara langsung pada 9 dan 10 Ogos 2025.

Peserta boleh mendaftar melalui pautan https://riot.com/LeagueTitansCup, dan kejohanan ini akan disiarkan secara langsung di saluran rasmi Facebook dan YouTube League of Legends Malaysia serta saluran rasmi TikTok Easy OnAir. Maklumat lanjut termasuk tarikh pembukaan pendaftaran, butiran hadiah wang tunai, dan tarikh kejohanan akan diumumkan tidak lama lagi melalui Instagram rasmi League of Legends Malaysia @leagueoflegendsmy, Facebook League of Legends (MY, SG), dan platform rasmi TikTok Easy OnAir.