- 844Share sekarang!
- Email15
- Facebook829
- Share
Kalau kita tanya sesiapa pun orang Islam di Malaysia ni, tak kisahlah dari budak tadika atau orang dewasa, semuanya tahu yang daging khinzir tu haram dimakan. Malah, ada pandangan mazhab yang suruh kita sertu (basuhan sebanyak tujuh kali dan sekali air tanah) kalau kita tersentuh najis mughalazah (najis berat) – anjing dan khinzir.
Walaupun hal ni dah jelas di Malaysia dan taklah kita nampak orang Islam masak atau makan daging khinzir, tapi rupa-rupanya keadaan berbeza dengan negara serumpun kita – Indonesia. Sebabnya, baru-baru ni ada satu laporan dari Coconuts TV pasal orang Islam yang makan khinzir di sana.
Dengar pelik dan rasa nak marah kan? Jangan marah dulu, jom kita tengok sejak bila ia bermula dan apa alasan-alasan mereka ni.
Perniagaan ni diperkenalkan oleh dua sekawan
Sebenarnya, hidangan khinzir masih lagi taboo di Indonesia dan taklah semua tempat hidangkan makanan tu kepada orang Islam. Di sana pun macam Malaysia juga, bila hidangan ni cuma ada di kedai atau restoran milik orang bukan Islam. Contohnya macam di Bali, hidangan khinzir ni normal je di sana, sebab majoriti penduduknya beragama Hindu.
Menurut satu laporan dari VICE pada tahun 2016, ada dua sekawan ni dah cuba memperkenalkan perniagaan makanan berasaskan khinzir di Tangerang Selatan, Jakarta. Dua orang tu adalah Sulung Koesuma (seorang vegetarian) dan Bobby Mandela/Derra (seorang Muslim).
Masa tu, diorang cuma jalankan perniagaan penghantaran makanan melalui GO-Jek. Diorang juga takde kemahiran langsung pasal memasak khinzir ni, sampailah diorang belajar sendiri dari Youtube.
“Trial dan errornya banyak lho, dari kita coba-coba; ‘Wah ini belom oke nih, ini udah oke nih’. Ya akhirnya sampai bisa bikin kayak (seperti) sekarang.
Semuanya dari youtube. Jadi tuh kita berdua basic-nya untuk masak babi.” – Sulung, dipetik dari VICE.
Lepas hampir 3 tahun, sekarang ni diorang dah ada restoran sendiri dan perniagaan diorang pun nampaknya dapat sambutan. Dan, ini apa yang diorang kata:
Tak paksa orang Muslim makan khinzir, semuanya terpulang kepada diri masing-masing
Bila ditanya pasal tindakan diorang ni yang boleh bangkitkan kemarahan masyarakat, diorang kata – apa yang dibuat ni bukan nak provoke mana-mana pihak, dan diorang sendiri beritahu dalam Instagram diorang, apa yang dijual tu adalah – HARAM.
“Kami tak paksa mana-mana Muslim untuk makan makanan kami. Kerana itu kami letakkan amaran Haram itu. Lain orang, lain caranya. (Jadi), ia bergantung kepada orang itu.
“Jika anda Muslim dan anda mahu makan khinzir, saya tak kisah. Jika anda kisah dengannya, janganlah makan.” – Derra, katanya kepada Coconuts TV.
Seperti mana seorang pelanggan Muslim diorang ni, dia kata pada mulanya dia macam Muslim lain juga yang tak makan khinzir. Tapi lepas tu, dia mula rasa curious dengan daging khinzir dan akhirnya cuba makan.
“Saya tak lihat ia sebagai salah, kerana saya hanya lakukan apa yang saya suka. Pada mulanya, ya memang ada rasa aneh, seperti tak boleh ni. Berdosa ini, dan semua orang akan judge kamu.
“Tapi setelah saya cuba dan saya suka, ia jadi begitulah. Nak buat macam mana lagi? Ini hidup saya kan?” – seorang pelanggan Muslim, katanya kepada Coconuts TV.
Selain tu, Derra kata – apa yang dibuat ni adalah hak masing-masing dan dia tak nak judge sesiapa.
“Lihat begini sahajalah. Mereka ambil dadah, alkohol… Ia juga dosa dalam Islam kan?
Jadi mengapa tidak, jika anda hanya makan khinzir. Come on, ia hanya memakan. Apa bahayanya ia boleh jadi?” – Derra, katanya kepada Coconuts TV.
Tambahnya lagi:
“Selagi mana anda itu orang baik, anda mahu makan apa pun tak jadi masalah. Kerana, anda tak perlu agama untuk jadi baik.” – Derra, katanya kepada Coconuts TV.
Tapi dalam masa sama, kita juga kena tahu yang sistem (agama) antara Indonesia dan Malaysia berbeza, dan itu jugalah yang membolehkan perkara macam ni jadi di sana.
Sistem undang-undang agama kita berbeza dengan Indonesia
Seperti mana yang kita tahu, di Malaysia ni setiap negerinya ada Majlis Agama/Jabatan Agama yang mengawal selia hal-hal berkaitan agama Islam. Malah, kita juga ada Sultan yang bertindak sebagai Ketua Agama Islam dan YDP Agong untuk negeri-negeri yang tak beraja/sultan.
Dalam masa sama, Mahkamah Syariah juga diwujudkan untuk mengendalikan kes-kes berkaitan jenayah syariah dan pentadbiran agama Islam.
Berbeza dengan Indonesia, negara tu tak ada undang-undang syariah macam Malaysia, kecualilah di wilayah-wilayah tertentu macam – Aceh. Malah, perkahwinan beza agama juga masih bebas dijalankan di sana, walaupun ada fatwa dari Majlis Ulama Indonesia (MUI) yang mengharamkannya.
“Menurut dekri 1979 oleh Kementerian Agama dan Hal Ehwal Dalam Negeri, proselytizing (usaha untuk menukar agama orang lain) adalah dilarang, tetapi penukaran antara agama adalah sah dan diterima.” – Dipetik dari jurnal The Review of Faith & International Affairs.
Walaupun begitu, pada awal Januari lepas, Jakarta Post ada melaporkan yang pihak berkuasa Indonesia dah menahan seorang pemilik restoran sate di Padang, Sumatera Barat kerana dituduh secara rahsia menghidangkan sate khinzir kepada pelanggan.
Tapi kes ni lebih kepada kesalahan menipu pelanggan, dan berbeza dengan perniagaan Sulung dan Derra yang secara terang kata diorang jual makanan berasaskan daging khinzir.
Kita masih bertanggungjawab dengan apa yang kita buat
Sebenarnya, walau apa pun hujahnya, takde khilaf langsung pasal pengharaman daging khinzir dalam Islam. Sebabnya, ia dinyatakan sendiri oleh Allah SWT dalam al-Quran:
“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging khinzir…” – Surah al-Baqarah: 173
Mengulas ayat ni, Imam Ibn al-Arabi berkata:
“Umat telah bersepakat haramnya daging khinzir dan seluruh bahagian tubuhnya. Dalam ayat disebutkan dengan perkataan ‘daging’ kerana khinzir adalah haiwan yang disembelih dengan maksud mengambil dagingnya…”
Malah Pakar Kesihatan AS, Dr Joseph Mercola sendiri ada tulis satu entri bertajuk: ‘Mengapa saya tidak menyarankan makan khinzir’, tulisnya:
“Menurut kajian mengejutkan oleh Consumer Reports, 69 peratus daripada sampel-sampel daging khinzir yang diuji mengandungi bakteria berbahaya Yersinia enterocolitica yang boleh menyebabkan masalah-masalah kesihatan.” – Dipetik dari Mercola.
Mengulas tentang perkembangan tu, Pensyarah Pengajian Islam sebuah universiti di Indonesia, Muhammad Baqir berkata, dalam framework agama, individualisme tak wujud dalamnya. Ini kerana, adanya kepercayaan kepada tuhan atau dikenali sebagai theocentrism.
“Jika anda mahu menyertai framework itu, anda perlu menganggap tuhan sebagai center anda. Tapi jika anda mahu lakukan apa-apa berkaitan dengan keperluan individual dan kamahuan.
Jadinya, anda tak perlu masuk ke dalam framework itu. Cari framework yang mana anda boleh makan khinzir.” – Baqir, katanya kepada Coconuts TV.
Tambahnya kemudian, jika seseorang tu nak cuba makan khinzir, diorang boleh je buat. Tapi dalam masa sama, fikirkan juga akibatnya.
“Apa sahaja yang kita lakukan, ada kesannya. Kesannya bukan hanya fizikal, tapi juga secara psikologi. Ingat ini: apa sahaja yang anda lakukan, ada akibatnya.” – Baqir, katanya kepada Coconuts TV.
- 844Share sekarang!
- Email15
- Facebook829
- Share