Ada perkampungan nelayan kat Malaysa ni sebijik macam kat Kemboja, pernah pergi tak?

Siapa yang pernah melancong ke Kemboja dan Vietnam mesti pernah melawat perkampungan nelayan kat sana. Contohnya macam kat Siem Reap, Kemboja dan Pantai Mui Nea, Vietnam. Penduduk kat sana majoriti semua jadi nelayan dan itulah sumber pendapatan utama mereka. Jalan-jalan yang ada di kampung sana semuanya sempit so takde kereta yang boleh lalu-lalang. Bot-bot nelayan pula berlambak kat kawasan sekitar macam korang tengok kereta yang di-parking kat kawasan bandar. Senang cerita, bila korang pergi sana korang akan rasa macam kat dunia lain.

Tapi korang tahu tak kat Malaysia sendiri pun ada perkampungan nelayan sebiji macam tu jugak. Kalau korang fikir tempatnya adalah kat Sabah atau Sarawak, jawapannya bukan, tapi kat Selangor je! Nama perkampungan tersebut ialah Pulau Ketam kat Klang. Mungkin ada yang pernah dengar sebab tempat ni pernah masuk rancangan dokumentari kat TV.

Nampak sama tapi tempat berbeza. Imej dari Jssun via Trekearth

Bagi yang tak pernah dengar pasal Pulau Ketam, kat sini kami cerita sikit pasal tempat yang menarik ni, bila-bila korang bolehlah datang melawat.

Ditubuhkan semasa Perang Dunia Kedua oleh nelayan Cina

Nelayan Cina. Imej dari Pulau Ketam

Tempat ni dahulunya merupakan hutan paya bakau. Dengan populasi ketam yang banyak membiak di situ menyebabkan tempat tu diberi nama Pulau Ketam. Dulu-dulu, tiga nelayan berketurunan Hainan pergi ke pulau ini dari Pelabuhan Klang untuk tangkap ketam dan sebab penat nak ulang-alik so dorang pun decide nak tinggal situ terus je.

Penduduk kat situ terus bertambah antara tahun 1945 hingga 1947 masa negara China tengah berperang dengan Jepun. Orang Cina berketurunan Teochew dan Hokkien lari dari China ke Pulau Ketam untuk mendapatkan perlindungan. Lepas dorang dah boleh adapt dengan kawasan kat sini, dorang bawa keluarga dorang sekali untuk tinggal kat Pulau Ketam.

Takde masalah untuk dorang adapt dengan kawasan sekitar sebab dorang dah biasa jadi nelayan masa kat negara China.

“Pada masa tu, rumah perseorangan tak ada lagi. Cuma ada Rumah Kongsi je di mana semua orang tinggal bersama dan buat aktiviti jahit pukat dan baiki bot sama-sama.” – Chiang Mong Chun, Pengerusi Ahli Jawatankuasa Kampung Pulau Ketam (JKKK). Dipetik dari The Star.

Susah nak jumpa penduduk yang boleh cakap Melayu atau English

Seriuslah tak boleh cakap Melayu? Imej dari Giphy.com

Sekarang ni hampir 80% pekerjaan utama penduduk kat Pulau Ketam ialah nelayan. Penduduk majoriti pula ialah Cina Hokkien dan Cina Teochew serta beberapa keluarga Hainan yang merupakan penduduk minoriti.

Selain dari menangkap ikan, penduduk kat sana juga ada yang buka bisnes kecil-kecilan macam bengkel basikal dan kedai makan. Dorang juga ada buat ikan masin, ikan kering dan udang kering. So, kalau korang nak beli ikan masin atau ikan segar bolehlah datang sini.

Suasana biasa di Pulau Ketam. Imej dari Blogspot

Bahasa yang digunakan pula ialah Kantonis dan Mandarin. Korang mesti tak percaya sebab penduduk kat sana tak pandai cakap Bahasa Melayu dan Inggeris! Disebabkan penduduk majoriti kat sana semuanya berbangsa Cina jadi Bahasa Melayu tak digunakan secara meluas. Kalau ada pun orang Melayu, boleh dikira dengan jari je.

Malah seorang bekas guru daripada Teach For Malaysia, menceritakan macam mana dia sanggup belajar bahasa Mandarin semata-mata untuk bercakap dengan pelajar-pelajar sana.

‘Sekolah terapung’ kat Pulau Ketam. Gambar daripada blog Dan on the Road.

Bagi mereka yang beragama Islam, mungkin agak susah untuk cari makanan halal kat sana tapi itu bukanlah alasan untuk korang tak nak jejakkan kaki kat Pulau Ketam. Korang boleh beli makanan kat KTM Pelabuhan Klang sebelum naik feri. Tak pun, korang boleh je makan di kedai-kedai yang bertanda ‘Pork Free’ dan order makanan seafood. Lagi pun makanan seafood kat sini semua segar-segar. Ikan yang baru ditangkap pagi tadi dihidang terus ke pelanggan pada waktu tengah hari. Confirm terasa kesegarannya hingga ke perut!

Majoriti penduduk guna basikal so susah nak cari kereta kat sana

Semua naik basikal. Imej dari Hamydy WordPress

Dari KTM Pelabuhan Klang, korang boleh pilih untuk naik feri ber-aircond atau bot laju untuk ke Pulau Ketam. Harga juga berbeza bagi kedua-dua pengangkutan tersebut. Harga untuk feri ber-aircond ialah RM7 manakala bot laju ialah RM10. Bot laju ni pun tak selalu ada sebab biasanya kalau banyak permintaan baru dorang nak gerak.

Sampai sana nanti korang jangan terkejut pula sebab korang takkan nampak sebuah kereta pun. Semuanya naik basikal atau jalan kaki je. Kawasan kampung tu agak sempit sebab tu motor atau kereta tak muat nak lalu. Nak lagi seronok, boleh cuba bawa basikal elektrik. Basikal elektrik tu lajulah juga dari basikal biasa yang korang kena kayuh.

Imej dari Hamydy WordPress

Walaupun Pulau Ketam merupakan sebuah kampung namun segala keperluan mencukupi. Kat situ ada Balai Polis, Maybank, Mini Pos, Poliklinik, dan Klinik Kesihatan Kerajaan. Bagusnya kat Pulau Ketam sebab kat sana ada Balai Islam di mana orang beragama Islam boleh solat dan lakukan aktiviti agama di situ. Cuma tak ada azan yang dilaungkan sebab tempat tu sekadar Balai Islam bukannya surau atau masjid.

Apa yang lebih menariknya, kat sana ada Balai Bomba Sukarela dan penduduk kat sana sendiri yang jadi bomba bagi memadamkan kebakaran. Balai Bomba Sukarela ditubuhkan sebagai langkah berjaga-jaga pada tahun 1972 selepas berlaku kejadian kebakaran rumah penduduk dan rumah kedai dan sehingga kini Balai Bomba Sukarela Pulau Ketam antara bomba sukarela yang paling aktif kat Klang.

Pulau Ketam syurga untuk kaki pancing

Mungkin korang boleh dapat ikan sebesar ni. Imej dari ABC

Kaki pancing tak payah pergi ke laut untuk cari port memancing yang best. Korang juga tak perlu lagi bayar mahal-mahal semata-mata nak memancing kat kolam ikan. Kat Pulau Ketam, kaki pancing boleh memancing secara percuma dan boleh dapat ikan segar-segar seperti ikan kerapu dan gerut-gerut.

Disebabkan lokasi Pulau Ketam yang berdekatan dengan Pelabuhan Klang, ikan laut seperti Kerapu dan ikan muara seperti Siakap senang untuk didapati. Tak semestinya memancing kat Pulau Ketam je. Kaki pancing boleh juga memancing kat tempat lain yang berdekatan Pulau Ketam macam kat sangkar ikan sepanjang Selat Kering. Bolehlah mengubat hati yang lara sebab tak dapat ikan kat Pulau Ketam.

“Apa yang penting, pancingan sekitar ini boleh dianggap sebagai port memancing santai bagi warga Lembah Klang yang sentiasa kesibukan masa pergi memancing ke laut. Tambahan pula lokasinya dekat (boleh pulang hari) dan kosnya juga berpatutan.” – Mohd Rozi, kaki pancing tegar. Dipetik dari Sinar Harian.

Datanglah singgah untuk kenal negara korang sendiri

Perkampungan nelayan Cina di Pulau Ketam. Imej dari Wonderful Malaysia

Mungkin nama Pulau Ketam begitu asing sehinggakan tak ramai yang tahu kewujudannya kat Selangor. Namun tempat ini sebenarnya sesuai untuk mereka yang nak bercuti dan lari dari kesibukan kota. Sejarah dan budaya di Pulau Ketam sangat menarik untuk diterokai sebab rare sangat untuk tengok sebuah perkampungan nelayan yang majoritinya berbangsa Cina.

Korang boleh tengok bangunan-bangunan lama yang mempunyai unsur-unsur dari negara China. Selain itu, korang boleh rasa makanan seafood dorang yang paling famous iaitu telur goreng lala. Bajet pun tak perlu banyak sebab korang boleh balik hari je kalau korang duduk kat KL atau Selangor. Harga penginapan kat Pulau Ketam pun boleh dapat bilik semurah harga rm58 untuk satu malam!

Selepas ni tak payah pergi jauh sampai ke Kemboja atau Vietnam semata-mata nak tengok perkampungan nelayan kat sana. Dekat Selangor pun ada, sebijik pula tu. Pulau Ketam memanglah tak sediakan aktivti diving atau snorkeling tapi boleh memancing, boleh buat aktiviti river cruise dan berbasikal untuk kanak-kanak. Yang penting sekali, udara kat sini segar sebab tak ada asap dari kenderaan.