Penyebaran Hindu ke Alam Melayu. Ada pengkaji kata ia bukan dari pedagang India

Seperti mana yang kita tahu dulu, Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran dah pun meminta maaf atas kenyataannya beberapa lama dulu. Semuanya berpunca dari satu ucapan kontroversinya di Negeri Sembilan baru-baru ni yang mana Kulasegaran ‘dikatakan’ dah mendakwa orang Melayu sebagai pendatangsebab agama Hindu dah ada di Alam Melayu sejak lebih 2000 tahun dulu.

“Kerana pulut, santan binasa. Kerana mulut, badan binasa”. Imej dari Berita Harian.

Disebabkan kenyataan Kulasegaran ni, ia dah buatkan ramai pihak bersuara dan luahkan rasa tak puas hati. Tapi, disebalik kontroversi yang ada ni, ia juga sedikit sebanyak membuka mata kita pasal sejarah tanah air. Sebabnya, ramai yang dah lupa suatu masa dulu Alam Melayu ni pernah ada Kerajaan Majapahit dan Srivijaya yang menjadikan agama Hindu-Buddha sebagai asasnya.

Walaupun begitu, ia tak bermakna orang Melayu dan penduduk Alam Melayu ni memang dah beragama Hindu-Buddha sejak awal abad pertama masihi. Ini kerana, sebelum kedatangan agama-agama ni, masyarakat Nusantara dah pun ada kepercayaan sendiri yang dikenali sebagai animisme dan dinamisme.

Kepercayaan memberikan ‘jamu’ kepada penunggu dan sebagainya pun hasil dari kepercayaan animisme. Imej dari khaikerr.blogspot

Animisme ni percaya yang setiap benda ada jiwa, roh dan semangat. Dinamisme pula, kepercayaan kepada tenaga yang ada dalam roh, jiwa dan semangat tu, di mana dipercayai boleh mendatangkan kesan baik atau buruk. Tapi bila datangnya Hindu dan Buddha ke Nusantara ni, upacara keagamaan orang Melayu jadi lebih formal dan rapi.

Pedagang China dah sampai lebih awal ke Nusantara, tapi ia tak berpengaruh seperti pedagang India

Bagi para pengkaji, bila penduduk Alam Melayu terima Hinduisme – ia sebenarnya satu perkara yang menarik dan unik. Sebabnya, Kepulauan Melayu dah pun berhubung dengan pedagang Tiongkok (China) lebih awal lagi, dan mereka ni datang dengan bawa budaya dan adat istiadat China. Walaupun macam tu, ia tak menarik minat orang Melayu dan peribumi Kepulauan Melayu.

Sebaliknya, pengaruh dan kebudayaan Hindu dianggap meresap dengan mudah dan berjaya mempengaruhi masyarakat tempatan. Apa yang lagi menarik menurut N.J Krom, penerimaan Hinduisme ni bukan melalui sebarang proses panaklukan kuasa, tapi atas kerelaan masyarakat tempatan.

“Krom menjelaskan tidak ada sebarang bukti yang dapat menunjukkan bahawa Kepulauan Melayu-Indonesia pernah menerima kehadiran seorang raja dari mana-mana kerajaan India yang dikatakan telah menakluki kawasan-kawasan tertentu atau mendirikan kerajaan di kepulauan tersebut.” – Dipetik dari jurnal terbitan UKM.

Kawasan Melayu-Austronesia yang juga merangkumi Kepulauan Melayu. Imej dari UKM.

Dalam masa sama, ada juga sarjana yang kata – penyerapan Hinduisme tu berlaku dalam jangka masa yang lama dan secara perlahan-lahan. Tapi ia masih lagi dipertanggungjawabkan kepada para pedagang India yang datang ke rantau ni.

Seterusnya, Krom juga kata – dengan kehadiran Hinduisme ni, ia sedikit sebanyak dah menyumbang kepada kemajuan kesenian Nusantara. Sebab itulah, kita dapat tengok terbinanya kuil-kuil, candi-candi, tugu dan sebagainya. Selain tu, ia juga memajukan bahasa masyarakat tempatan seperti bahasa Melayu dan Jawa.

“Kehadiran perkataan Sanskrit dalam bahasa tempatan ini dianggap Krom sebagai suatu ‘penghormatan’ terhadap kebudayaan masyarakat di Kepulauan Melayu-Indonesia, kerana bahasa Sanskrit dianggap suci dalam Hinduisme…” – Dipetik dari jurnal terbitan UKM.

Pura Parahyangan Agung Jagatkarta, kuil Hindu di Tanah Jawa. Imej dari discovercity.id

Walaupun macam tu, masih ada perdebatan tentang kedatangan Hindu ke Alam Melayu. Ini kerana, ada…

Pengkaji kata mustahil pedagang ‘kelas bawahan’ yang sebarkan Hindu di Alam Melayu

Seorang pengkaji Barat, J.C. Van Leur ada buat kajian mendalam pasal sejarah Indonesia dan Alam Melayu. Dalam kajiannya, dia ada mengkritik pandangan sejarawan lain yang kata Hinduisme meresap masuk ke Alam Melayu kerana kesan dari kedatangan pedagang India.

Sebab menurutnya, banyak pedagang India yang datang ke sini masa tu adalah dari ‘kelas bawahan’, sedangkan amalan Hindu masyarakat Kepulauan Melayu bercirikan kebudayaan golongan Brahman iaitu golongan ‘kelas atasan’ Hindu. Jadinya, mustahil golongan pedagang India yang sebarkan ajaran Hindu kepada penduduk tempatan.

Brahmin di Bali. Imej dari Wikipedia.

Perkara ni diperkuatkan lagi bila institusi keraton (istana Jawa) masa zaman Kerajaan Srivijaya dan Bantam tak ada hubungan rapat dengan para pedagang India.

“Keterpencilan pedagang India dari keraton semasa pemerintahan kedua-dua kerajaan Hindu di Kepulauan Melayu-Indonesia, menurut beliau, jelas apabila golongan tersebut kemudiannya hidup terpinggir dengan komuniti mereka sendiri yang dikenali sebagai ‘perkampungan keling’.” – Dipetik dari jurnal terbitan UKM.

Makanya, Van Leur secara jelas menolak pandangan beberapa pengkaji sebelumnya yang mengaitkan penyebaran kebudayaan Hindu di Kepulauan Melayu dengan pedagang – pedagang dari India. Dia juga sekali lagi menegaskan Hinduisme yang datang ke kepulauan ini adalah ‘budaya tinggi’ yang membawa peradaban yang maju.

“…J. C. Van Leur dan Coédes yang menyatakan bahawa golongan Brahman yang datang dari India diundang oleh raja setempat untuk meraikan kesatriaan raja dan memperkukuh kedudukan mereka.” – Dipetik dari jurnal terbitan UKM.

Keindahan seni bina – Kraton Ngayogyakarta Hadiningrat. Imej dari panduanwisata.id

Lahirnya kepercayaan terhadap dewa-dewi dan kayangan dalam masyarakat Melayu

Menurut Prof Syed Naquib al-Attas, agama Hindu boleh masuk mudah dalam masyarakat Melayu sebab ajaran ni lebih kepada animisme dan kependetaan. Tapi dengan faktor ni jugalah Alam Melayu masa tu mengabaikan ilmu saintifik, logik dan rasional.

Apa yang ada masa tu lebih kepada epik-epik Hindu yang penuh dengan cerita magis, kepahlawanan, mistik dan alam kayangan. Sebab itu jugalah, kita boleh jumpa idea spiritualisme macam – dewa-dewa dan alam kayangan dalam kesusasteraan klasik Melayu.

Contohnya, macam cerita dewa turun dari kayangan dan memerintah dunia dalam Hikayat Sang Boma:

“… watak utamanya, iaitu Sang Boma berkehendakkan sebuah negeri untuk diperintah. Beliau meminta daripada bapanya yang juga seorang dewa.” – Dipetik dari jurnal terbitan Universiti Malaya.

Hikayat Perang Pandawa Jaya. Imej dari British Library.

Kalau kita tengok di Hikayat Malim Deman pulak, ada cerita pasal perkahwinan Tuanku Malim Deman (putera raja dunia) dengan Puteri Bongsu yang berasal dari dewa-dewi. Hal yang agak sama juga boleh kita jumpa dalam Hikayat Panji Semirang.

“Kata yang empunya cerita, tersebutlah perkataan di dalam kayangan hendak membuat lelakon, supaya menjadi cerita; kerana tatkala itu alam dunia pun belum ramai dan belum banyak manusia, bermuafakatlah penduduk kayangan itu hendak turun ke dalam dunia, supaya menjadi panjang lelakon ceritanya.” – Petikan Hikayat Panji Semirang.

Cerita Panji, Jawa. Imej dari British Library.

Makanya, jelas di sini yang pengaruh Hindu-Buddha sedikit sebanyak diserapkan dalam kepercayaan masyarakat Melayu. Sebab tu jugalah, raja-raja Melayu tu selalu digambarkan dengan pelbagai perkara mistik dan magis.

Macam kisah kemangkatan seorang raja yang kemudiannya ghaib ke alam kayangan. Malah, penggunaan warna kuning sebagai warna istana juga berkait rapat dengan konsep dewa-dewi.

Orang Melayu dah sambut Hari Raya sebelum Hindu dan Islam datang lagi

Seperti mana yang diceritakan di awal tadi, sebelum kedatangan Hindu-Buddha dan Islam, masyarakat di Alam Melayu percaya pada alam roh, semangat dan sebagainya. Tapi dalam banyak-banyak roh tu, ada satu yang paling penting, iaitu roh padi. Sebabnya, padi sangat penting dalam Alam Melayu, kalau takde padi takdelah makanan.

Kajian sejarah juga menunjukkan Mak Yong berasal dari nama Mak Hiang yang ada persamaan dengan Dewi Seri iaitu Dewi Hindu Jawa. Imej dari Malay Mail.

Jadinya, perayaan terbesar masa tu mestilah perayaan menuai padi. Ia juga dipanggil sebagai sambutan Hari Raya. Tapi dengan peredaran masa, masyarakat Melayu juga terlibat dalam perdagangan sampai terbinanya kapal-kapal layar dan pelabuhan yang menarik kunjungan bangsa dari timur dan barat.

Maka muncullah kerajaan Hindu dalam Alam Melayu. Orang Melayu yang dah mula suka dengan maritim pun mula meninggalkan perayaan menuai padi. Tapi tu tak bermakna orang Melayu dah tak sambut Hari Raya…

“Dengan beragama Hindu, orang Melayu turut menyambut hari Perayaan Cahaya mengatasi Kegelapan. Dalam sambutan Diwali atau Deepavali, lampu-lampu dipasang di keliling rumah.

Suatu amalan Hari Raya yang kini sudah menjadi sebahagian daripada budaya Melayu.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Sekarang dah ada pertandingan pelita masa raya. Imej dari Utusan Malaysia.

Bila kita dah cerita panjang lebar pasal kedatangan Hindu dalam Alam Melayu ni, kita nak juga tahu pasal kedatangan Islam kan? Sebabnya, ada sarjana yang sekali lagi kaitkan pengaruh pedagang India dengan kedatangan Islam ke Alam Melayu.

Sarjana berbeza pandangan pasal India atau Arab yang bawa Islam ke Alam Melayu

Dalam hal menentukan dari mana Islam datang ke Alam Melayu, kita akan tengok pendapat-pendapat dari beberapa sarjana. Menurut Krom dan Van Leur (dua-dua nama ni dah disebut tadi), Islam ke Alam Melayu dibawa oleh pedagang-pedagang India dari Gujerat dan bukannya dari Tanah Arab.

Van Leur juga kata kedatangan Islam ke Alam Melayu ni tak bawa ‘budaya tinggi’ kepada masyarakat tempatan. Van Leur juga cuba melemahkan Islamisasi Alam Melayu dengan membandingkannya dengan Hinduisme yang membawa banyak kemajuan kesenian yang disifatkannya sebagai ‘budaya tinggi’.

“…Van Leur yang berpendapat bahawa kegiatan perdagangan yang dimonopoli pedagang Islam di Kepulauan Melayu Indonesia menjelang abad ke-16 dan 17 Masihi, tidak membawa perubahan yang besar kerana kemajuan tersebut telah sedia dicapai pada zaman sebelumnya, iaitu Hindu.” – Dipetik dari jurnal terbitan Universiti Malaya.

Perdagangan di kerajaan Melaka. Imej dari pas.org.my

Walaupun macam tu, pandangan mereka ni dipatahkan oleh Prof Syed Naquib Al-attas yang ada bukti menunjukkan Islam datang ke Tanah Melayu melalui Tanah Arab dan bukannya India.

Hal ni jadi bila beliau teliti isi kandungan, cara penghuraian, aliran ilmu Tasawuf, bentuk huruf dan tulisan (Jawi), pengunaan nama-nama hari, kaedah hafalan Al-Quran dan beberapa amalan yang diamalkan masyarakat Melayu sampai sekarang, ia menunjukkan ajaran Islam yang datang tu dari Arab dan bukannya India.

“Sejajar dengan itu, beliau turut menyanggah pandangan kebanyakan pengkaji Barat yang menganggap Islamisasi di Alam Melayu tidak melalui proses penyebarannya yang sistematis berasaskan pengamatan bahawa tidak terdapatnya organisasi dakwah yang khusus mengendalikannya.” – Dipetik dari jurnal terbitan Universiti Malaya.

Prof Tan Sri Dr Syed Naquib al-Attas, ahli falsafah dan pemikir ulung. Imej dari Merdeka Award.

Apa yang lagi menarik, kedatangan Islam ke Alam Melayu ada dicatatkan oleh Marco Polo yang singgah ke Perlak (sekarang Aceh) pada tahun 1289, bila dia dapati ramai masyarakat tempatan beragama Islam. Ibnu Batuta pun ada pengalaman yang sama masa dia singgah ke Pasai.

“…beliau mendapati Sultan Pasai telah memeluk agama Islam, antaranya Malik al-Saleh, Malik al-Zahir dan Malik al-Mansur.

Di mana Samudera Pasai pula telah menjadi pusat penyebaran dan perkembangan Islam di kepulauan Jawa dan Sulawesi pada tahun 1395 Masehi.” – Dipetik dari jurnal terbitan KUIS.

Banyak lagi penemuan sejarah yang ada di Nusantara ni

Dari maklumat yang kita dapat ni, tak dapat kita nafikan bahawa adanya pengaruh Hindu dalam adat, budaya dan warisan masyarakat Melayu. Bagaimanapun, ia masih lagi berada dalam konteks tempatan yang disesuaikan dengan kedatangan Hindu. Contohnya macam sambutan Hari Raya yang kita ceritakan tadi.

Boleh dikatakan apa yang kita bincang panjang lebar tadi ni, hanya sebahagian dari banyak kajian sejarah Nusantara. Sebelum ni, SOSCILI juga pernah tulis pasal penemuan yang membuktikan Malaysia ada tamadun tertua di Asia Tenggara. Selain tu, banyak lagi kisah sejarah yang masih lagi dibincang dan diperdebatkan.

Kompleks Arkeologi Sungai Batu, dah diisytiharkan sebagai tamadun terawal dan tertua di Asia Tenggara. Imej dari Utusan Malaysia.

Sebab itulah, kita sekarang ni perlukan ahli sejarah yang rajin dan bersungguh dalam mengkaji sejarah. Menurut Sejarawan Negara, Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, banyak dokumen dan maklumat sejarah Malaysia tersimpan di serata dunia. Tapi masalahnya, kita cuma kekurangan pengkaji sejarah yang betul-betul ada keazaman.

“Kita bernasib baik kerana banyak bahan, kita hanya yang perlu mencari bahan-bahan tersebut sama ada di Amsterdam, di Lisbon, di Singapura mahupun di Jepun.

Bagaimanapun saya lihat, mereka (ahli sejarah) kebanyakannya tidak memiliki kesanggupan tinggi.” – Prof Emeritus Khoo Kay Kim, dipetik dari Astro Awani.

“Peta padang bermain Futbul dan peraturan mengatur pemain”, yang disimpan dekat British Library. Imej dari British Library.

Diharapkan lepas ni ada lah pengkaji sejarah yang berani dan beriltizam menyambut seruan Prof Khoo ni. Sebabnya, tanpa pengetahuan sejarah siapalah kita kan? Akhirnya, pupuklah perpaduan kita selama ni dan janganlah biarkan mana-mana pihak merosakkannya.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.