- 649Share sekarang!
- Email6
- Facebook643
- Share
(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS)
Macam yang kita sedia tahu, China dah ambil alih banyak benda kat Malaysia ni contohnya macam Proton, durian Musang King gred A kita, beberapa projek pembangunan negara kita, dan macam-macam lagi.
Baru-baru ni pulak, pemandu pelancong tempatan (khususnya di Langkawi dan Penang) ada buat aduan sekali lagi berkaitan dengan CHINA. Kali ni, rakyat negara tembok besar tu jadi pemandu pelancong kat kedua-dua tempat pelancongan Malaysia dengan menawarkan harga yang lebih murah, sekaligus mengacau periuk nasi pemandu pelancong kita.
Untuk musim Tahun Raya Cina yang akan datang ni, mestilah pemandu pelancong kita nak cari duit lebih, kan? Tapi sayangnya, Nan Yang Siang Pau melaporkan lebih kurang 500 orang daripada kumpulan pemandu pelancong (yang siap boleh berbahasa Cina dengan fasih lagi) tak dapat mana-mana tempahan langsung! Puncanya, kerja diorang ni dah diambil alih sepenuhnya oleh pemandu-pemandu pelancong yang datang terus dari China.
Bukan tu je, ada beberapa lagi perkara yang membuatkan kita semua naik angin…
Pemandu pelancong China putar belit fakta dan sejarah legenda negara kita pasal Mahsuri?
Masalahnya, bukan periuk nasi pemandu pelancong kita je yang terjejas, tapi juga merosakkan sejarah dan kisah legenda tempat pelancongan kita dengan fakta yang langsung tak tepat! Dia punya cerita tu siap ada plot twist yang melampau macam filem Cina yang boleh terbang-terbang tu. Benda ni la yang menyebabkan pemandu pelancong tempatan bengang gila.
Padahalnya, legenda Mahsuri mengisahkan tentang seorang isteri kepada seorang pahlawan bernama Wan Derus, yang difitnah berzina, dan akhirnya dihukum bunuh. Sebelum Mahsuri dibunuh, dia bersumpah bahawa Langkawi tak akan aman selama tujuh keturunan. Kebenaran sumpah Mahsuri itu telah termakbul apabila Langkawi telah diserang oleh tentera Siam dan semua bekalan makanan dan tanaman telah dimusnahkan.
Malah masa dia ditikam menggunakan keris kepunyaan keluarganya, darah yang keluar dari badan Mahsuri berwarna putih dan itu membuktikan bahawa tuduhan yang dilemparkan kepadanya adalah fitnah semata-mata.
Tapi, lain pula apa yang diceritakan oleh pemandu pelancong China tadi. Perkara ni jadi isu bila sorang pemandu pelancong terdengar sorang pemandu pelancong dari China dah putar belit pasal legenda Langkawi, iaitu Mahsuri dengan menamakannya sebagai Pan Jinlian, iaitu seorang watak perempuan jahat daripada abad ke-16, yang juga merupakan dewi pelacur, dan juga pemilik pusat pelacuran berdasarkan novel Water Margin.
Dan kata Hang Li Po dengan Laksamana Cheng Ho ada… skandal?!!
Tak cukup dengan memburukkan legenda Mahsuri, seorang pemandu pelancong tempatan pula memberitahu yang dia terdengar sorang pemandu pelancong China memberitahu kumpulan pelancongnya yang Laksamana Cheng Ho mempunyai hubungan dengan Hang Li Po. APAAAAAAA???
Hang Li Po adalah seorang puteri China, anak kepada Maharaja Ming, yang dihantar ke Melaka untuk berkahwin dengan Sultan Mansur Shah. Laksamana Cheng Ho pula adalah seorang diplomat yang melawat Melaka sekurang-kurangnya lima kali semasa tujuh pelayarannya ke Lautan Barat.
“Sesetengah pelancong mungkin lebih suka dengar pasal skandal. Cerita tu mungkin lebih menarik, tapi secara fakta, salah. Takkanlah diorang tak tahu yang Cheng Ho merupakan seorang sida (alat kelamin dikasi)? Hang Li Po berkahwin dengan Sultan Mansur Shah, Sultan Melaka. (Versi diorang) tu menunjukkan yang diorang biadap, ” – kata pemandu pelancong tempatan yang tak mahu dikenali, dipetik dari Malaysiakini.
Siapa yang tak marah kalau orang tak hormati sejarah kita? Cuba bayangkan kalau pemandu pelancong dari Malaysia kerja kat Beijing, dan bagitahu pelancong luar yang Mao dulu sebenarnya ada affair dengan Chiang Kai-Shek, tapi diorang gaduh. Mao patah hati, lepas tu dia jadikan seluruh negara China sebagai negara komunis. Haa, marah tak?
Lepas pemandu pelancong kita mengadu kat pihak berkuasa pasal hal ni dan mengelirukan pelancong, kedutaan China di Malaysia akhirnya bersetuju untuk buat siasatan.
Kedutaan China menolak tindakan yang membahayakan industri pelancongan tempatan
Pada 2 Februari lepas, Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian kata diorang akan siasat dakwaan tu.
“Saya baru tahu tentang perkara ni. Saya akan arahkan Konsulat China di Pulau Pinang untuk menyiasat dakwaan tu. Kalau ikut prinsip, kita menolak tindakan yang menjejaskan industri pelancongan tempatan. “- Bai Tian, Duta Besar China ke Malaysia, The Star.
Walaupun pemandu pelancong China mengenakan caj yang lebih murah – iaitu cuma caj RM180 sehari, manakala pemandu palancong tempatan pula caj sebanyak RM250, tapi sekurang-kurangnya, pemandu pelancong tempatan berlesen.
“Walaupun kita hargai pelancong yang semakin bertambah kat negara kita, tapi pengendali pelancongan kenalah hormati undang-undang kita, khususnya Akta Industri Pelancongan 1992”, – Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia, Albert Tan.
Untuk mendapatkan lesen ni, Akta Industri Pelancongan 1992 menyatakan yang pemandu pelancong mestilah menjalani kursus latihan dan lulus ujian kemahiran yang dijalankan oleh Pesuruhjaya Pelancongan. Kursus ni boleh diselesaikan antara 4 hingga 6 bulan dan lesen yang diberikan adalah sah sehingga 3 tahun.
Kalau korang nak bezakan sama ada pemandu pelancong tu ada lesen atau tak, korang boleh tengok diorang punya kad kuasa. Kesemua pemandu pelancong diwajibkan untuk memakai kad ni semasa sedang bertugas, menjalankan sebarang lawatan atau menghadiri mana-mana kursus latihan. Kad kuasa untuk pemandu pelancong bandar biasanya kad berwarna biru, manakala untuk pemandu pelancong alam sekitar pulak warna hijau
Pekerja industri ni bagitahu wartawan lagi, pemandu pelancong China ni biasanya bekerja secara haram sebab undang-undang pelancongan negara kita memang kenakan undang-undang di mana pelancong asing mestilah dikendalikan oleh pemandu pelancong tempatan.
Seorang lelaki tempatan bagitahu yang syarikat pelancongan China kebiasaannya akan melibatkan seorang pemandu pelancong (tapi bukan Cina Malaysia) untuk menyamar, berada di bas pelancongan bagi mengelakkan pihak berkuasa curiga. Pura-pura jadi pemandu pelancong ni adalah satu kesalahan undang-undang, dan kalau ditangkap, individu tu boleh didenda tak lebih daripada RM7,000 atau dipenjarakan tak lebih daripada 2 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Bila ingat balik macam mana pemandu pelancong China ni bagitahu pelancong pasal kisah Mahsuri dan Hang Li Po, kitorang sendiri yakin yang diorang memang patut ambik lesen yang sah supaya belajar sejarah sebelum cerita kat orang, dan tak putar belit fakta sedia ada.
Diorang bukan wujud kat Malaysia je, tapi juga beberapa negara lain
Tapi kalau korang nak tahu, pemandu pelancong China bukannya wujud kat Malaysia je, tapi juga di Paris! Dalam salah satu dokumentari Al Jazeera 101 East, diorang sempat menemubual Yolanda, seorang jurulatih pemandu pelancong China di Paris yang tinggal kat sana selama 14 tahun. Dia juga ada bagitahu pemandu pelancongnya untuk mengajar pelancong China supaya berkelakuan baik di Paris, contohnya macam tak potong barisan, jangan cakap kuat-kuat, dan yang paling penting, bersopan-santun.
Tapi kalau bukan sebab pemandu pelancong China yang wujud ni pun, pemandu pelancong tempatan juga bersaing dengan… TEKNOLOGI! Korang perasan tak yang pelancong di seluruh negara sekarang bergantung kepada smartphone untuk ambik gambar dan buat kajian sendiri tempat mana yang best nak pergi. Malah, siap ada apps dalam smartphone lagi yang sediakan peta dan maklumat yang berkaitan.
Tapi, korang juga kena tahu yang walaupun banyak maklumat boleh didapati melalui smartphone, pelancong dari China masih perlukan pertolongan orang tempatan untuk buat satu aktiviti yang diorang paling suka, iaitu… SHOPPING!
Sebab tu, Langkawi melancarkan kursus pemandu pelancong China sendiri
Rupa-rupanya, ada pertumbuhan 8% hingga 1.5 juta pelancong pada tahun 2017 untuk peningkatan pelancong China kalau nak dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Datuk Seri Nazri Aziz mengulas yang durian adalah salah satu sebab kenapa pelancong-pelancong dari China ni datang ke Malaysia. Dia juga yakin yang Malaysia akan mencapai 4 juta pelancong dari China tahun ini, dan 8 juta menjelang tahun 2020.
“Apabila durian dibuka, banyak juga peluang-peluang baik terbuka” – Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian.
Memandangkan negara kita begitu popular di kalangan orang China, ada banyak peluang untuk pemandu pelancong. Ahli Parlimen Langkawi, Dato Nawawi kata disebabkan gangguan komunikasi yang berlaku (sorang cakap bahasa ayam, sorang cakap bahasa itik), pelancong China tak boleh shopping apa yang diorang nak. Kalau nak tahu, diorang ni jugalah yang banyak menyumbang melalui resit pelancongan, iaitu sampai BILLION RINGGIT, terutama sekali dalam produk kosmetik. Puratanya, seorang rakyat China akan berbelanja sebanyak RM1,700 di lapangan terbang Sepang, Bayan Lepas, Langkawi, Kota Kinabalu dan Kuching.
Kat sinilah Nawawi tahu masalahnya, dan dia merancang untuk melancarkan sebuah kempen, termasuk merangka kursus panduan pelancong bahasa China untuk melatih pemandu berbahasa Cina, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan.
“Saya merancang untuk melancarkan kursus pemandu pelancong Cina di kolej komuniti. Mereka yang pergi ke SJKC layak mengambil kursus ini, malah orang bukan Cina yang boleh berbahasa Cina juga layak memohon” – Dato Nawawi, Ahli Parlimen Langkawi.
Oh, jangan lupa untuk bagi fakta yang betul untuk cerita Laksamana Cheng Ho, Hang Li Po dan Mahsuri juga, ok?
- 649Share sekarang!
- Email6
- Facebook643
- Share