- 1.1KShare sekarang!
- Email3
- Facebook1.1K
- Share
(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS)
Korang mesti biasa dengar pepatah “Harapkan pagar, pagar makan padi”. Korang juga mungkin pernah dengar teori yang mengatakan perkataan ‘pagar’ tu sebenarnya adalah ‘pegar’, iaitu sejenis ayam. Baru la masuk akal sikit kalau ayam yang makan padi kot, sebab pagar mana ada mulut ye tak?
Teori ni kemudiannya ditolak balik, sebab ejaan jawi yang direkodkan memang mencatatkan ‘pagar’, bukan ‘pegar’. Tapi tak kiralah perkataan mana yang betul, apa yang penting adalah maksud pepatah tersebut, iaitu “perbuatan khianat oleh seseorang yang diamanahkan”.
Dan dalam artikel ni, SOSCILI senaraikan 7 kali pegawai Malaysia menjadi seorang pagar…
1. Inspektor polis curi barang dari rumah jiran
Baru-baru ni, seorang pegawai polis berpangkat Inspektor ditangkap MENCURI daripada jiran dia. Pegawai berumur 31 tahun ni bertugas kat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman. Waktu ditangkap, dia tengah turun tangga sampil pegang sebilah pisau dan sebuah beg berisi barang-barang termasuklah beg tangan, monitor komputer, simulator VR, peti deposit syiling, dan smartphone. Aduan dibuat oleh seorang jiran lain yang nampak kelibat dia sedang mengumpil pintu rumah.
Tapi ini bukan kali pertama polis kantoi buat jenayah. September lepas, seorang anggota polis berumur 55 tahun ditahan sebab merompak sebuah cyber cafe dengan mengacukan pistol. dan cuba lari dengan wang tunai RM2,000.
2.Timbalan Ketua JPJ memandu di lorong kecemasan
Buat sesetengah orang, dorang lagi takut JPJ daripada polis sebab saman JPJ lagi mahal, dan dorang lagi strict dengan undang-undang jalan raya. Contohnya jangan langgar lampu merah, pandu ikut had laju dan tak memandu di laluan kecemasan. So… agak segan la nak kata bila Timbalan Ketua JPJ sendiri, iaitu Yusoff Ayob ditangkap kerana memandu di lorong kecemasan!
Pihak pendakwa raya cuba nak kenakan hukuman maksimum. Ye la, pegawai JPJ kedua paling tinggi kat Malaysia kot. Tapi mahkamah cuma bagi denda RM2,000 je, sebab tu la dia boleh senyum lebar dalam gambar kat bawah ni.
3. Cikgu sekolah di Miri jual syabu
Bila lalu kat sekolah tak sah kalau takde dinding dengan mural dadah membawa padah. Tapi mungkin mural-mural ni tak berkesan pada seorang cikgu berusia 33 tahun di Miri yang ditangkap dengan 27g syabu dalam kereta dia, bernilai RM4,000! Nasib baiklah customer dia orang Indonesia, bukan budak-budak sekolah. Mungkin dia hanya cuba mengikut saranan menteri untuk buat dua kerja.
Ada satu lagi kes di mana seorang guru ditangkap menanam 31 pohon pokok ganja kat belakang sebuah rumah di Sungai Buloh. Semasa ditahan, guru tersebut sedang high hisap ganja dalam rumah.
4. Pegawai SPRM mintak rasuah daripada pegawai polis
Seorang Penolong Superintendent SPRM berusia 38 tahun telah ditahan kerana meminta rasuah daripada seorang pegawai polis yang bertugas di Pulau Pinang. Pegawai SPRM tersebut meminta RM3,000 SEBULAN daripada mangsa dan mengugut akan menahan dia kalau tak bayar. Er… dia sedar tak apa yang dia buat tu sebenarnya? Nasib baiklah pegawai polis tadi tak nak tunduk macam tu je.
“Selepas mangsa bertemu dengan pegawai SPRM di sebuah restoran dan menyerahkan wang tunai RM3,000 itu, satu pasukan polis menahan suspek dan merampas wang itu.” – Nik Ros Azhan, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah. Dipetik dari Borneo Post.
5. Cikgu bocorkan soalan UPSR
Biasa kita dengar guru ni suka seksa pelajar dengan soalan exam yang susah-susah. Tapi apa yang berlaku ni adalah sebaliknya, di mana sekumpulan guru ni dihadapkan ke mahkamah kerana didakwa terbabit dalam membocorkan kertas soalan UPSR 2014 melalui WhatsApp. Ketua Pengarah Pendidikan memang marah betul dengan benda ni.
“Terdapat beberapa di antara kita yang sanggup mengorbankan integriti mereka dan mencemarkan nama baik profesion pengajar. Saya menganggap kumpulan itu sebagai guru nila setitik, bukan guru sejati” – Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, Ketua Pengarah Pendidikan, dipetik dari New Straits Times.
Akibat bocornya kertas UPSR ni, budak-budak ni semua tak dapat bercuti sebab dorang semua terpaksa diduduki semula kertas soalan Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil.
6. Pegawai Hal Ehwal Islam ditangkap khalwat
Setiap tahun, Jabatan Agama Islam sentiasa menjalankan aktiviti untuk mengurangkan jumlah tangkapan kes khalwat. Tapi apa yang sedihnya jumlah tu langsung takde pengurangan, malah semakin membimbangkan. Bila Jabatan Agama Islam buat serbuan, dorang ni siap sanggup amik risiko yang merbahayakan diri semata-mata nak elak dari dicekup sehingga ada yang maut sebab terjun dari tingkat empat.
Kalau korang nak tahu, penalti maksimum bagi kesalahan khalwat di bawah undang-undang Syariah adalah dua tahun penjara dan denda tak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
Tapi…. ada satu kes ni di mana seorang imam iaitu Noruddin Salam Naluwi berusia 29 tahun telah ditangkap berkhalwat dengan seorang pegawai hal ehwal Islam Siti Khadijah Md Ghazali berusia 27 tahun. Dorang ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di rumah lelaki tersebut pada jam 3.30 pagi.
Masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan dorang dijatuhi hukuman penjara selama 14 hari serta denda sebanyak RM2,900 oleh Mahkamah Syariah Gombak Timur.
7. Pegawai imigresen menyeludup orang asing ke Malaysia
Tugas seorang pegawai imigresen adalah untuk memeriksa orang yang layak masuk negara, dan memberhentikan siapa yang tak layak. Senang kan nak faham.
Tapi ada 37 pegawai imigresen yang telah ditangkap sebab membenarkan warga asing masuk secara haram, di mana mereka akan ambil ‘upah’ antara RM200 hingga RM2500 setiap kali warga asing ni keluar masuk. Dalam masa dua tahun, mereka dah kaut untung sebanyak RM18 juta.
Jumlah warga asing haram yang masuk melalui mereka adalah lebih daripada 16,000 orang, termasuklah dari Bangladesh, India, Vietnam dan China.
8. Pegawai Hidupan Liar yang terlibat dalam peniagaan haram hidupan liar
Anson Wong atau gelarannya Lizard King terkenal sebagai pedagang haram hidupan liar. Dia ditangkap di KLIA ketika cuba menyeludup 95 ekor ular boa constrictor, 2 dua ekor ular jenis rhinocerous viper dan seekor penyu matamata ke Indonesia.
Tapi apa yang peliknya, dia hanya terima hukuman 6 bulan penjara je walaupun dah pernah ada rekod sebelum ni. Jadi Al Jazeera pun ada tanya macam mana dia boleh teruskan perniagaan haramnya itu, dan jawapan dia adalah… “Tanyalah kerajaan”.
Kami tak tahu sama ada dia dapat bantuan orang dalam. Tapi apa yang kami tahu adalah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengakui ada pegawai yang terlibat dengan pedagang-pedagang haram ni.
Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga
Bila kami research artikel ni, tak tau la nak ketawa ke menangis. Sebab takkan seorang pegawai SPRM tak tau yang rasuah tu merupakan satu kesalahan? Atau mungkin sebab pegawai-pegawai ni tahu bidang masing-masing, mereka tahu ‘lubang’ mana nak masuk?
Tapi kita jangan biarkan nila yang setitik rosakkan susu sebelanga. Ramai lagi pegawai-pegawai jujur yang menjalankan tanggungjawab mereka dengan amanah, dan pegawai-pegawai macam ni jugak la yang harus kita hargai.
- 1.1KShare sekarang!
- Email3
- Facebook1.1K
- Share