- 13Share sekarang!
- Facebook10
- Twitter0
- LinkedIn1
- Email2
Bulan Ramadan datang lagi, dan antara aktiviti yang paling dinanti-nantikan ialah solat tarawih. Setiap malam, masjid penuh dengan jemaah yang nak kejar pahala lebih. Tapi setiap tahun, satu perdebatan yang tak pernah reda muncul semula: ‘Patut ke bawa anak kecil ke masjid masa tarawih?’

Ada ibu bapa yang berpendapat ini peluang terbaik untuk biasakan anak-anak dengan suasana masjid. Tapi ada juga yang rasa kehadiran diorang ni boleh ganggu jemaah lain. Jadi, nak bawa atau tak?
Nak bawa tu bagus, tapi biarlah terkawal sikit
Lepas kitorang tanya pendapat beberapa orang yang pernah menghadap situasi terawih bersama kanak-kanak, rata-rata bersetuju yang masalahnya cuma bila kanak-kanak ni tak terkawal sampai mengganggu jemaah lain.
“Kalau budak jenis diam, okay. Tapi kalau bising, memang mengganggu. Tengah rukuk, tiba-tiba ada budak lalu celah kaki. Kadang-kadang ada yang lari-lari celah saf.”
Fazli, 27, masih bujang
Tapi ramai juga yang menggalakkan sebab anak-anak perlu dedahkan dengan suasana masjid sejak kecil supaya diorang tak kekok bila dewasa nanti.
“Pakcik suka tengok budak datang masjid. Biar diorang biasa dengan suasana masjid. Tapi kena ajar la. Jangan bagi main sampai lari depan imam. Kalau nak main, main belakang. Jangan sampai ganggu jemaah tengah solat.”
Pakcik Hassan, 73
“Saya bawa anak-anak supaya mereka biasa dengan masjid. Tapi sebelum tu, saya ajar dulu adab – jangan lari-lari, jangan buat bising, jangan ganggu orang solat.”
Syukri, 35, bapa kepada dua anak berumur 4 & 7 tahun.
Tapi kalau nak bawak anak, janganlah bawa yang masih kecil dan belum pandai jaga diri. Sebabnya nanti kita sendiri yang tak khusyuk sebab risaukan diorang.
“Bagi saya, lebih baik tak bawa kalau anak masih bayi atau terlalu kecil. Kita sendiri pun tak khusyuk kalau asyik risau anak hilang atau main benda bahaya.”
Ain, 25
Dari sudut agama, mendidik anak-anak tentang ibadah sejak kecil memang sangat digalakkan. Rasulullah SAW bersabda:
“Perintahkanlah anak-anak kalian untuk mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka tidak mahu melaksanakannya) ketika mereka berumur sepuluh tahun. Dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka.”
(Hadis Riwayat Abu Daud: 490)
Hadis ini menunjukkan betapa pentingnya membiasakan anak-anak dengan ibadah sejak kecil. Tapi, perlu diingat bahawa solat tarawih adalah sunat, bukan wajib. Jadi, jika kehadiran anak kecil menyebabkan suasana masjid jadi riuh dan ganggu jemaah lain, lebih baik solat di rumah atau tunggu anak lebih matang sebelum bawa diorang datang ke masjid.
Sebaliknya, kalau anak sudah cukup matang untuk faham adab di masjid, tidak buat bising, dan boleh duduk diam, bawa diorang ke masjid boleh menjadi satu cara untuk tanamkan rasa suka beribadah dan datang ke masjid sejak kecil. Ini juga mengajar diorang bahawa masjid bukan sekadar tempat solat, tetapi juga tempat untuk berkumpul dan eratkan silaturahim.
Bawa atau tidak? Bergantung pada situasi
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri, pernah menyarankan beberapa panduan untuk ibu bapa:
- Jika anak terlalu kecil dan sukar dikawal, lebih baik solat di rumah.
- Jika bawa anak ke masjid, pastikan mereka duduk bersebelahan ibu bapa semasa solat.
- Ajar anak tentang adab di masjid – jangan buat bising, jangan ganggu orang, dan jangan lari-lari.
Jadi ibu bapa boleh bawa anak ke masjid, asalkan diorang diajar adab, tidak mengganggu jemaah, dan sentiasa dipantau untuk mengelakkan gangguan serta bahaya.
Walaupun isu ini selalu diperdebatkan, banyak masjid di Malaysia sudah mengambil langkah untuk menjadikannya lebih mesra keluarga. Contohnya, Masjid MADAD di Kedah menyediakan ruang khas untuk kanak-kanak bermain dan belajar, sekaligus dapat biasakan diorang ni dengan suasana masjid dalam keadaan terkawal tanpa ganggu jemaah dewasa.
Jadi, patutkah bawa anak kecil ke solat tarawih? Jawapannya bergantung pada umur anak, tahap disiplin mereka, dan kesediaan ibu bapa untuk bertanggungjawab. Jika anak boleh duduk diam dan fahami adab masjid, tidak ada masalah. Tapi kalau masih sukar dikawal dan sering membuat bising, lebih baik tunggu diorang lebih matang kerana jemaah lain bukan pengasuh anak anda.
Yang penting, semua pihak perlu ada toleransi baik ibu bapa mahupun jemaah lain. Kalau semua orang mainkan peranan masing-masing, semua boleh beribadah dengan lebih tenang.
- 13Share sekarang!
- Facebook10
- Twitter0
- LinkedIn1
- Email2