- 990Share sekarang!
- Email52
- Facebook938
- Share
Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masing-masing luangkan masa duduk di rumah sahaja. Macam-macam aktiviti yang korang buat termasuklah cuba resepi-resepi viral. Ini semua bagi mengisi waktu lapang kita semua.
Dalam masa yang sama, kita semua ni kira kuarantin dirilah dalam usaha mengekang rantaian penularan wabak COVID-19. Sambil itu juga, kita mengamalkan pengasingan diri dan penjarakan sosial. Di sepanjang musim wabak, ketiga-tiga perkataan ni sangatlah banyak digunakan sama dari pihak kerajaan atau individu macam kita.
Jika disingkap semula sejarah nenek moyang kita, kuarantin, penjarakan sosial dan pengasingan diri ini bukanlah benda asing bagi orang Malaysia ataupun lebih spesifik lagi, penduduk kerajaan-kerajaan negeri Tanah Melayu zaman dulu kala. Lagi-lagi waktu wabak dikesan. Kalau tak percaya, sambung baca bawah ni…
“Baju yang dipakai oleh mangsa cacar akan dibakar bersama rumahnya. Di Jelebu, penduduk kampung dikecualikan daripada menghadiri upacara pengebumian sekiranya kematian adalah disebabkan oleh cacar. Roh mangsa cacar dan kolera, seperti mana roh mangsa pembunuhan bukan sahaja sangat ditakuti oleh orang Melayu, tetapi juga oleh masyarakat Cina.” – jurnal tulisan Aiza Maslan
Seluruh kampung akan memulaukan seseorang yang terkena wabak serta rumahnya dikepung
[Makluman: Artikel ini banyak merujuk jurnal bertajuk Sistem Kuarantin dan Pelaksanaannya Di Tanah Melayu Pada Sekitar Abad Ke-19 tulisan Aiza Maslan @ Baharudin]
Dulu, memang tak ada lah wabak macam COVID-19, tetapi wabak yang sering dicatatkan dalam sejarah adalah wabak cacar atau chickenpox. Wabak cacar ini terjadi apabila seseorang itu dijangkiti virus Varicella Zoster. Orang yang terkena ni biasanya kat badan akan tumbuh bintik-bintik dan ruam. Apa yang pasti, wabak ini boleh berjangkit dari manusia ke manusia melalui udara (batuk dan bersin) dan juga sentuhan.
Sebab tu lah, penduduk Tanah Melayu dulu memandang serius benda ni. Tak sama macam sesetengah dari kita yang tak pandang serius pasal penyebaran wabak COVID-19. Masyarakat Tanah Melayu zaman dulu, dah menjadi kebiasaan untuk mereka – apabila seseorang itu terkena wabak berjangkit macam cacar, seluruh kampung akan mengasingkan dan memulaukan individu tersebut.
“Sebagai contoh, pada tahun 1891, virus cacar yang dilaporkan di daerah Kuala Kangsar telah disebarkan oleh seorang jemaah haji yang baru kembali dari Tanah Suci.” – jurnal tulisan Aiza Maslan
Satu lagi kes sama, seorang jemaah haji dijangkiti wabak cacar di Daerah Matang, Taiping, Perak pada tahun 1897. Dia akhirnya dipulau dan diasingkan oleh penduduk kampung. Tapi waktu tu sebenarnya macam dah terlambat sebab laporan pasal jangkitan tu dibuat empat hari kemudian. Ini kerana kecuaian Penghulu Mukim tu.
Selain itu, bagi masyarakat Melayu ketika itu, kawasan pengasingan atau kuarantin mereka akan buat tanda. Seorang pegawai British, Thomas Braddell mencatatkan bahawa dia dah terjumpa satu kawasan kuarantin di Segamat, Johor pada awal tahun 1850-an. Kawasan kuarantin itu ditandakan dengan seutas tali yang diregang antara dua batang kayu dan pada tali itu digantung beberapa helai daun atau putchoh. Ini sebagai isyarat larangan untuk memasuki kawasan tersebut kerana serangan cacar dah terkena 30% penduduk Muar ketika itu.
Manakala di Kelantan dan Selatan Thailand, rumah pesakit wabak akan dikepung dengan rotan bini atau dini yang diikat dari batang ke batang dengan benang Jawa yang dipintal.
“Di setiap pintu masuk rumah yang dikepung ditanam dua batang pokok bedara pahit (surycoma latifolia) secara menyilang. Kuarantin selama 10 hari telah diarahkan oleh seorang bomoh DiRaja tempatan. Tiada siapa dibenarkan melintasi garisan tersebut. Denda sebanyak $5.00 dikenakan bagi sesiapa yang melanggar perintah. Setiap rumah mesti membayar 5 kenderi, iaitu 15 sen Singapura sebagai upah upacara kuarantin tersebut.” – jurnal tulisan Aiza Maslan
Selain kepung dan tanda dengan barang, masyarakat Tanah Melayu turut menggunakan pengawal untuk menjaga rumah yang ada pesakit berjangkit. Pengawal itu akan menjaga kawasan luar rumah, ini bagi mengelakkan sebarang bentuk komunikasi dengan orang lain. Dah macam penjarakan sosial bukan?
“Tindakan seumpama ini pernah dilakukan terhadap seorang wanita Melayu yang tinggal di kawasan Parit Buntar, Perak. Usaha pihak berkuasa untuk menjalankan proses penyahjangkitan terhadap penduduk kampung yang telah berhubungan dengan wanita terbabit menemui jalan buntu setelah ditentang oleh penduduk kampung.” – jurnal tulisan Aiza Maslan
Jika ada penularan wabak dalam sesuatu kampung, penduduk kampung akan larikan diri
Perpindahan beramai-ramai dari kawasan kampung yang diserang wabak bukanlah benda asing bagi masyarakat Tanah Melayu pada abad ke-19. Peguam British, J. R. Logan mencatatkan pada tahun 1850, dia pergi melawat Kedah. Ketika itu dia terserempak dengan seorang pemerintah dan pengiringnya di Muara Sungai Kedah yang meninggalkan sebuah kawasan yang dilanda wabak cacar.
Selain itu, suatu ketika dahulu dicatatkan juga bahawa Panglima terkenal Pahang, Tok Gajah pernah diserang wabak cacar. Apa yang menarik, apabila sedar dah terkena jangkitan, dia meninggalkan pasukannya dan menyerahkan kuasa kepada Haji Muhammad Nor dan Penghulu Chenor.
“Setibanya di Pahang, beliau tidak menghadap Bendahara kerana bimbang akan menyebarkan virus berkenaan.” – jurnal tulisan Aiza Maslan
Semestinya, sejarah kita tak pernah asing dengan nama seorang pegawai British, J. W. W. Birch. Dalam hal wabak ni juga ada cerita mengenainya. Iaitu apabila dia tiba di Perak pada November 1874, dia mendapati Sultan Abdullah ketika itu dah bermudik (mungkin naik sampan) ke hulu meninggalkan kawasan perkampungan Batak Rabit yang diserang cacar. Pemerintah-pemerintah lain turut buat hal yang sama apabila kawasan mereka tinggal dilanda wabak.
“Raja Jalor dan pengikutnya turut berpindah akibat serangan penyakit yang sama. Tuanku Boosah dari Daerah Muar juga dilaporkan mengambil langkah yang sama meninggalkan kawasannya kerana takutkan jangkitan cacar.” – jurnal tulisan Aiza Maslan
Suasana begini sebenarnya dah menimbulkan panik apabila orang ramai-ramai larikan diri dari tempat wabak. Selain tu, wabak juga boleh tersebar jauh apabila ramai orang bergerak. Maka, ada pegawai British ketika itu cuba menyusun agar masyarakat Tanah Melayu tidak dibiarkan panik sehingga mendorong mereka melarikan diri bertempiaran.
Seorang Residen British di Perak, Hugh Low pernah mengarahkan agar pesakit cacar di Kampung Buaya, Perak diasingkan serta dikumpulkan di dalam satu rumah. Apa yang menarik, pesakit itu akan dijaga oleh mereka dah sembuh dari penyakit yang sama.
“Hugh Low juga pernah mencadangkan agar pesakit dibawa ke hospital tentera untuk rawatan lanjut. Namun begitu, ketakutan terhadap jangkitan cacar turut menyebabkan keengganan pegawai perubatan memeriksa pesakit. Hugh Low akhirnya mengarahkan agar sebuah hospital khusus bagi penyakit cacar didirikan di Daerah Matang yang beroperasi selama empat setengah hari seminggu.” – jurnal tulisan Aiza Maslan
Masyarakat di Tanah Melayu dah pernah hadapi dan praktiskan, kita juga perlu teruskan
Jika sejarah diperdalami sedalam-dalamnya, orang kita dah pun diajar dan dibimbing mengenai kawalan dan peraturan ketika sesuatu wabak sedang menular. Pada tahun 1858, pihak pentadbiran British memperkenalkan Native Passenger Act di Tanah Melayu. Namun, ia dikatakan tidak lengkap, maka diperkenalkan Ordinan kuarantin pada September 1868 yang diwajibkan untuk semua kapal yang berlabuh di Negeri-Negeri Selat termasuk kapal jemaah Haji.
Peruntukan kuarantin juga melibatkan golongan buruh asing termasuk India dan Cina yang dibawa masuk ke Tanah Melayu pada tahun 1860-an. Kemudiannya, diperkenalkan Enakmen Kuarantin dan Pencegahan Penyakit 1903 yang menetapkan bahawa setiap kali berlaku penularan wabak – tempat-tempat awam seperti restoran, teater, panggung wayang dan dewan orang ramai mesti ditutup bagi mengurangi risiko penularan wabak yang semakin serius.
Dengan ini, sejarah dah membuktikan, masyarakat terdahulu mampu menangani dan mengurus diri ketika wabak. Jadi, memang tak boleh menjadi alasan untuk kita tak boleh jayakan Perintah Kawalan Pergerakan ini. Ingatlah, hari ni, kalau korang duduk rumah, maka korang adalah WIRA!
- 990Share sekarang!
- Email52
- Facebook938
- Share