Kisah pahit manis Litar Batu Tiga yang pernah menjadi kebanggaan negara

Siapa pergi Perhimpunan RXZ Members itu hari? Kitaorang tak pergi la sebab ada moto LC135 je, standard rakyat marhaen.

Perhimpunan ini didatangi dan dirasmikan oleh Perdana Menteri kita, Dato’ Sri Ismail Sabri. Dalam ucapannya, dia ada bagitahu berita baik untuk semua peminat sukan permotoran, iaitu kerajaan akan membina litar perlumbaan khusus bagi perlumbaan drag. Ia bertujuan untuk menyokong program sukan permotoran dalam negara.

Macam biasalah, ada netizen mengatakan ini semua tanda-tanda…

Tapi korang tahu tak, dulu Malaysia ada sebuah litar perlumbaan yang pernah menjadi kemegahan sampaikan dikagumi oleh negara luar.

Ini bukan Litar Antarabangsa Sepang ye, rasanya ota-otai belia zaman 70-an dan 80-an mesti pernah dengar.

Litar Batu Tiga: Pernah menjadi litar terbaik Asia

Sekitar lewat 60-an, aktiviti sukan permotoran telah mula tersemat dalam jiwa pemuda. Daripada motor kapcai sampailah superbike, semuanya menyusur di lebuh raya.

Pada waktu ini, wujudnya sebuah kelab permotoran yang dipanggil Kelab Sukan Motor Malaysia (MMSC). Mereka mempunyai satu hajat besar, iaitu ingin menubuhkan sebuah litar perlumbaan di negara ini. Bukan setakat sembang kosong, MMSC meminta tanah daripada Kerajaan Selangor yang pada masa itu dipimpin oleh Datuk Harus Idris sebagai Menteri Besar.

Kerajaan Selangor memberikan sebuah kawasan di Sungai Renggam sebagai tapak pembinaan litar. Kawasan tu sebenarnya hutan dan ada juga la orang buat penternakan di situ.

Inilah tapak Litar Batu Tiga. Imej dari WORLD OF AJAK MUSANG.

Kos pembinaan litar ni tak sampai sejuta ringgit pun, yang turut ditaja oleh beberapa pihak swasta untuk kemudahan-kemudahan di litar.

Akhirnya, Litar Batu Tiga berjaya disiapkan dan dirasmikan oleh Almarhum Sultan Selangor pada tahun 1967. Perlumbaan pertama yang dianjurkan adalah Sirkit Tunku Abdul Rahman pada bulan September 1967.

Acara Grand Prix pertama di Malaysia yang berlangsung di Litar Batu Tiga pada 1963. Imej dari Carthrottle.

Boleh dikatakan Litar Batu Tiga ni mendapat sambutan yang hangat bukan saja di kalangan rakyat kita, malah juga turut dipuji oleh orang negara luar. Korang tau tak, pelumba dan pengurus luar negara pernah mengakui ianya sebagai litar terbaik di Asia Tenggara dan kedua terbaik di Asia selepas Jepun.

Litar ini menjadi tumpuan utama bagi para peminat sukan permotoran dari Klang, Subang Jaya, Shah Alam, sekitar kawasan Lembah Klang serta seluruh negara.

Logo rasmi Litar Batu Tiga. Imej dari Carthrottle.

Katanya dulu-dulu, kalau ada perlumbaan, siapa yang ada di Lebuhraya Federal akan terus pergi ke situ untuk menontonnya. Kita juga pernah menjadi hos Grand Prix yang berlangsung di Litar Batu Tiga. Waktu itu, pelumba-pelumba motosikal dari seluruh negara datang ke Litar Batu Tiga.

Ada satu fakta paling menarik yang mungkin buat korang ternganga besar. Nak tahu tak, perlumbaan pertama legenda pelumba motosikal, Valentino Rossi dalam Kejohanan Grand Prix adalah di Litar Batu Tiga. Masa tu dia muda lagi, umur 17 tahun dan menyertai pasukan Scuderia AGV Aprilia.

Namun, disebalik kemegahan litar ini, terselitnya satu peristiwa paling buruk.

Tragedi yang mengorbankan nyawa enam orang kanak-kanak

Imej dari Weekend Octane.

Pada April 1977, tertulisnya sebuah peristiwa hitam di Litar Batu Tiga apabila enam orang kanak-kanak telah terkorban apabila seorang pelumba bernama Harvey Yap terbabas, lalu melanggar sekumpulan penonton ketika Grand Prix Malaysia.

Boleh dikatakan satu peristiwa paling ngeri pada waktu itu kerana kemalangan tersebut bukan saja mengorbankan enam kanak-kanak itu sahaja, malah 23 penonton turut tercedera. Dikatakan kejadian itu berlaku begitu pantas sampaikan penonton tak sempat melarikan diri.

Perlumbaan motosikal di Litar Batu Tiga. Imej dari Weekend Octane.

MB Selangor masa tu, Datuk Hormat Rafei kemudiannya mengarahkan Litar Batu Tiga ditutup sementara bagi kerja-kerja pengubahsuaian dan peningkatan ciri-ciri keselamatan mengikut Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

Selepas pengubahsuaian selesai, litar itu dibuka semula dan pelbagai perlumbaan dijalankan seperti biasa. Persatuan Perlumbaan Motor Shah Alam (SAMRA) ditubuhkan pada 1978 sebagai pihak yang memegang tanggungjawab untuk menganjur dan mempromosi sebarang perlumbaan. Pada tahun 1985 juga, jarak litar telah ditambah dari 3.38 km kepada 3.693 km.

Walau bagaimanapun, semakin lama semakin hilang rancak litar ini kerana…

Pembukaan Litar Antarabangsa Sepang

Antara kejayaan terbesar Litar Batu Tiga ialah Grand Prix. Imej dari Weekend Octane.

Pelbagai peristiwa pahit manis telah berlaku di Litar Batu Tiga sepanjang tempoh beberapa dekad, namun rancaknya sudah makin hilang. Hal ini kerana tugasnya telah diambil alih oleh Litar Antarabangsa Sepang.

Tambahan pula, litar itu semakin terbiar. Penyelenggaraan litar ini sahaja memakan kos kira-kira RM5 juta tahun, jadi ia bukanlah satu perbelanjaan yang bijak buat Kerajaan Selangor.

Keadaan Litar Batu Tiga pada tahun 2003. Imej dari Carthrottle.

Ada pihak yang membuat kempen ‘Selamatkan Litar Batu Tiga’, tapi nasib tak menyebelahi mereka. Pembukaan Litar Antarabangsa Sepang menyebabkan Litar Batu Tiga ditutup.

Pada tahun 2003, Kerajaan Selangor telah menjual tanah litar itu kepada syarikat Lebar Daun untuk membangunkan projek pembandaran yang dipanggil D’Kayangan.

Sumber: