- 328Share sekarang!
- Email11
- Facebook317
- Share
Dulu masa remaja, mesti ada di antara korang yang sanggup berhabis duit belanja beli majalah hiburan tiap-tiap bulan sebab nak tahu gosip-gosip terkini selebriti kegemaran korang, kan? Ataupun mesti ada antara korang yang pernah jadi model kolam renang untuk mana-mana majalah hiburan dulu. Tapi pernah tak korang terfikir sejak bila majalah hiburan ni wujud kat Tanah Melayu?
Artikel ni akan menceritakan serba ringkas tentang majalah hiburan Melayu yang wujud selepas Perang Dunia Kedua.
Majalah Melayu pertama disunting oleh seorang paderi
(Artikel ini banyak merujuk buku Majalah Melayu Selepas Perang: Editorial, Sirkulasi dan Iklan oleh Hamedi Mohd Adnan terbitan Penerbit Universiti Malaya; 2013).
Sebenarnya dalam konteks Melayu, majalah muncul dulu daripada akhbar. Di Tanah Melayu, majalah berjudul Bustan Ariffin (1821-1822) telah terbit setengah abad lebih awal daripada akhbar Melayu yang pertama – Jawi Peranakkan. Majalah tersebut disunting oleh paderi Claudius Thomsen dibantu pula oleh Abdullah Abdul Kadir Munsyi. Kemudian, ada lima buah majalah Melayu lain yang terbit. Kesemuanya tulisan berupa dakyah Kristian
Lepas tu, majalah Melayu sebenar hanya terbit pada tahun 1904 iaitu Khizanah Al-Ulum di Kuala Kangsar. Dua tahun kemudian barulah majalah Al-Imam terbit di Singapura. Majalah-majalah Melayu diterbitkan untuk eksploitasi terhadap agama dan perjuangan bersifat kebangsaan.
Majalah hiburan Melayu dulu-dulu pernah terjual berbelas ribu naskhah
Dunia Baharu merupakan majalah hiburan Melayu pertama yang diterbitkan iaitu pada Jun 1947 di Pulau Pinang. Di Tanah Melayu, ada tiga buah majalah hiburan yang penting pernah diterbitkan – Film Raya (28 April 1951), Utusan Film & Sports (6 November 1952) dan Bintang (10 Mac 1953). Ketiga-tiga majalah ni memang dapat jualan tiptop berbanding majalah-majalah lain.
Film Raya pernah terjual sehingga 19 ribu naskhah. Bintang keluaran pertama pula pernah sampai 15 ribu naskhah. Utusan Film & Sports tak nak bagi tahu jumlah jualannya tapi diorang kata jumlah cetakan majalah diorang belas-belas ribu jugaklah. Kiranya, jumlah naskhah yang terjual masa tu memang tinggilah kalau ikutkan pada zaman tu. Sedangkan majalah-majalah lain macam majalah agama, kebangsaan dan pendidikan masih dicetak sekitar 1000 naskhah sahaja waktu itu.
Golongan muda di Tanah Melayu lebih gemar baca majalah hiburan
Selepas Perang (Perang Dunia Kedua) dan sebelum Merdeka, majalah hiburan lebih popular. Majalah hiburan dicetak lebih banyak dan memang bagi pengaruh kepada masyarakat berbanding majalah lain walaupun ia wujud agak lambat berbanding majalah-majalah lain di Tanah Melayu.
Pada akhir 1952, golongan muda di Tanah Melayu waktu tu memang diserang demam majalah hiburan. Majalah hiburan yang wujud masa tu memang datang daripada pengaruh Barat. Pengaruh Barat pula dilihat sebagai salah satu ciri hidup moden. Ditambah pula dengan kewujudan wayang gambar yang jadi tempat berhibur anak-anak muda pada waktu lapang, lagilah mendedahkan diorang dengan hiburan.
Majalah hiburan Melayu dulu-dulu banyak berkisar tentang filem dan artis tak kira sama ada dalam atau luar negara. Maknanya ada cerita tentang kehidupan artis, penglibatan dalam filem, gosip dan paling penting ada gambar-gambar pelbagai aksi yang boleh menaikkan syahwat.
Kalau artis Hollywood, diorang tunjuk gambar seksi-seksi. Kalau gambar artis Bollywood, ada gambar aksi tarian yang menggoda. Artis tempatan pulak, diorang letak yang cantik-cantik aje. Ada juga majalah hiburan yang siarkan cerita pendek cinta, artikel umum dan pendapat pembaca. Tapi tumpuan lebih banyak tentang dunia filem dan artis, terutamanya artis perempuan.
Keadaan ekonomi, politik dan sosial masa tu membuatkan golongan muda ni lebih suka baca bacaan bercorak ringan seperti majalah hiburan. Cuma ada segelintir saja yang suka bacaan mencabar ataupun bacaan yang dapat memupuk dan mematangkan sahsiah.
Ada majalah yang eksploitasi gambar seksi dan tulisan cabul untuk bertahan lama
Ada penerbit yang berani menerbitkan majalah yang menaikkan nafsu pembaca muda dan dapat bertahan lama. Penerbit yang masih sopan dan kurang agresif selalunya tak bertahan lama, antara enam bulan hingga setahun sahaja sebelum terkubur. Antara majalah hiburan Melayu yang mengeksploitasi gambar seksi ialah Asmara (mula terbit Ogos 1954) dan Aneka Warna (mula terbit Oktober 1954).
Asmara dikatakan majalah ‘yang pertama kali diterbitkan berkenaan asmara’. Diorang menyiarkan gambar dan tulisan cabul, tapi pengarangnya tulis dalam keluaran pertama:
“Majalah Asmara bukanlah sebuah majalah politik ataupun majalah hiburan yang khayal, tetapi ialah majalah yang sentiasa membawa para pembaca ke jurusan hidup bahagia.
Kita menolak jika ada tuduhan-tuduhan yang menyatakan bahawa majalah Asmara adalah sebuah majalah untuk mengkhayalkan semata-mata. Majalah Asmara telah dapat memberi kupasan-kupasan dan ulasan-ulasan yang berguna serta berpendirian menuju ke Tuhan Yang Esa juga hidup bahagia.”- Petikan dari majalah Asmara, Ogos 1954:5
Disebabkan sambutan hebat, penerbitnya terbit satu lagi majalah iringan – Album Asmara (1955). Ia dianggap sebagai majalah Melayu paling berani selepas Perang dan sebelum Merdeka. Kelainan yang diorang persembahkan dalam Album Asmara terletak pada gambar-gambar artis Hollywood perempuan yang diproduksi semula daripada gambar majalah import.
Gambar artis barat berkucupan, pamerkan aksi ghairah dan menaikkan syahwat memang menjadi resipi penting untuk Album Asmara walaupun kebanyakan gambar takde kena-mengena pun dengan tulisan yang diletakkan. Geliga Publication Bureau yang menerbitkan Asmara turut menerbitkan buku dan novel kanak-kanak. Nampaknya, buku untuk semua peringkat umur dia jual.
Aneka Warna pun satu lagi majalah hiburan yang memanipulasi seks. Diorang siap guna moto ‘Untuk Bacaan Orang Dewasa’ lagi. Pengarangnya, A.H. Edrus atau Ahmad Lutfi memang terkenal sebagai penulis yang berani mendedahkan soal-soal seks dan lucah. Dalam keluaran pertama, Aneka Warna buat kenyataan:
Setelah memandang bahawa masyarakat kita masih sangat berhajat kepada bacaan ringan, bacaan yang semata-mata berupa penglipur lara dan jauh daripada siasah, maka inilah kita dengan perasaan suka kita dan syukur, dapat menghidangkan majalah bulanan Aneka Warna untuk tatapan pembaca yang suka bacaan ringan untuk masa lapang sambil disulam dengan cerita yang berkaitan dengan masyarakat. – Petikan dari majalah Aneka Warna, Oktober 1954:4
Majalah ni tak banyak sangat cerita pasal dunia filem, tapi lebih banyak cerita hal-hal dewasa daripada penulis seperti Anuar dan Ahmad Lutfi, tapi ia tetap dianggap sebagai majalah hiburan sebab masih ada cerita dan gambar sekitar dunia filem.
Pelakon-pelakon Melayu guna duit poket sendiri untuk terbit majalah Bintang
Majalah Bintang terbit dengan sokongan kuat daripada artis-artis Melayu di bawah pimpinan P. Ramlee. Pengasas sebenar majalah ini ialah Jamil Sulong. Jamil bersusah payah dengan Jaafar Abdullah memujuk beberapa orang pelakon Melayu supaya keluarkan modal RM100 setiap seorang untuk menampung modal penerbitan majalah ni. Jamil sendiri keluarkan RM200 daripada duit poket dia sendiri. Dalam Bintang, P. Ramlee selalunya akan menulis di ruangan ‘Suara daripada Pimpinan’.
Bintang diterbitkan semata-semata atas tujuan perniagaan. Diorang terbit Bintang untuk kepentingan artis-artis Melayu yang bayar modal majalah itu atau untuk kepentingan ekonomi penerbit itu sendiri. Jadinya, Bintang digunakan sebagai platform untuk naikkan nama dalam karier seni masing-masing.
Kemunculan Bintang dalam scene majalah hiburan Melayu memang bagi kesan hebat kepada pesaing diorang. Cuba bayangkan, 5,000 naskhah untuk keluaran pertama boleh habis terjual dalam masa semalaman sahaja walaupun mulanya pihak penerbit ragu-ragu dengan sambutan pembaca.
Pembekal dan penjual majalah seluruh Singapura terutama kat Geylang Serai berebut nak dapatkan naskhah-naskhah Bintang sebaik saja dikeluarkan untuk dijual. Beribu-ribu peminat kecewa bila ada yang tak dapat beli Bintang dan majalah tu tak sempat sampai ke Johor Bahru pun. Akhbar-akhbar pun tak ketinggalan bagi reviu dengan menyatakan yang kejayaan Bintang ni hasil aura bintang yang ada pada P. Ramlee.
Malangnya penerbitan Bintang ada masalah kehabisan modal apabila salah seorang kaki tangan diorang seleweng duit. Dua kali Bintang cuba diselamatkan tapi masih terumbang-ambing. Namun, Bintang tetap berjaya diselamatkan oleh Salleh Hj. Ali di Pustaka H.M. Ali dan diberi nafas baru dengan mengubah namanya menjadi Majalah Bintang pada 1 Mei 1955. Lepas tu dia tukar ketua editor-nya kepada Fatimah Murad yang pernah kerja dengan dia kat Melayu Raya Press.
Fatimah fikir yang Majalah Bintang ni tak bagi perhatian yang cukup kat pembaca perempuan diorang. Jadi dia guna nama samaran Kak Tim dan wujudkan satu kolum khas untuk kaum wanita yang dipanggil ‘Kak Tim Menjawab Persoalan’.
P. Ramlee dan pelakon Melayu lain berpiket untuk suarakan kebajikan diorang
Menariknya, Majalah Bintang pernah buat manifesto Persatuan Artiste Malaya yang dipimpin oleh P. Ramlee. Diorang minta supaya nasib ahli-ahli persatuan tersebut dibela. Masa tu memang berlaku pergolakan besar dalam industri filem tempatan. Para pelakon Melayu mula tuduh yang Shaw Brothers ni kapitalis dan kebajikan diorang tak dijaga dengan baik.
Keadaan jadi lebih panas pada 16 Mac 1957 apabila pelakon-pelakon Melayu berpiket kat Studio Jalan Ampas. Untuk menunjukkan solidariti, bintang-bintang filem yang lain anjurkan persembahan ‘Malam Suka Duka’ di banyak tempat di Singapura termasuklah di Happy World Stadium, Pulau Berani dan Madrasah Al-Fatah Islamiah. Tujuannya nak kumpul dana untuk kawan-kawan pelakon yang berpiket.
Majalah Bintang menerbitkan sebuah keluaran yang berjudul ‘Suka Duka Selama Kami Bermogok’ pada Mei 1957 dan dapat sambutan hangat daripada orang awam termasuk seluruh Malaya, Brunei dan Indonesia.
Tahukah korang, lagu Selamat Hari Raya nyanyian Ahmad Jais yang korang selalu dengar kat radio bila nak raya tu dicipta sempena menyokong pekerja-pekerja filem yang mogok pada hari raya tahun 1957 tersebut. Ia dicipta oleh P. Ramlee dan liriknya ditulis oleh Jamil Sulong dalam masa 10 minit sahaja.
Selepas beberapa bulan berpiket akhirnya ia dapat diselesaikan dengan aman. Sebagai menghargai sokongan padu daripada peminat diorang, Majalah Bintang dah bagi ruang untuk bintang-bintang filem dan peminat diorang beramah mesra. Peminat-peminat setia pun akan dapat ganjaran melalui beberapa pertandingan termasuklah hadiah wang tunai sehingga $150.
Selain Bintang, ada majalah lain juga yang memberi fokus kepada dunia filem iaitu majalah Film. Diorang guna moto ‘Malay Screen & Radio Magazine’ sebelum diubah kepada ‘An Up-to-Date Malay Screen and Radio Magazine’ pada 1955.
Hal-hal hiburan masih lagi diminati sehingga ke hari ini
Minat pembaca Melayu terhadap dunia hiburan masih mendapat sambutan hangat sehingga sekarang. Korang boleh tengok ada banyak portal-portal dalam talian yang menyiarkan cerita dan gosip selebriti tempatan. Selebriti pun selalu dapat followers paling ramai dekat media-media sosial, sampai berjuta-juta pengikut.
Tak salah pun nak baca pasal selebriti ni tapi janganlah fanatik sangat sampai bawak gaduh kat media-media sosial. Tak pun, baik korang baca buku yang berfaedah.
- 328Share sekarang!
- Email11
- Facebook317
- Share