Ni cara untuk korang kurangkan cukai pendapatan tahun 2025

Selain kesesakan trafik, cukai pendapatan pun benda yang kita semua kena hadap sebagai rakyat Malaysia dewasa. Memang sakit kena potong gaji tiap-tiap bulan, tapi korang tau tak ada cara untuk dapat balik duit korang tu?

Setiap tahun, kerajaan akan umumkan pelepasan cukai dalam pembentangan bajet. Pelepasan ni adalah perbelanjaan-perbelanjaan yang korang boleh claim balik dari potongan cukai korang kat kerajaan, dan kalau korang ambil tahu, banyak jugak korang boleh jimat sebenarnya.

Jadi apa pelepasan yang ada? Kitorang tahu korang malas nak cari balik dan baca ucapan bajet 2025, jadi ni rumusan benda-benda yang korang boleh claim untuk tahun taksiran 2025 (tahun ni!).

1. Kesihatan dan perubatan

Apa yang korang boleh claim? Hampir semua benda berkaitan kesihatan dan perubatan korang. Ini termasuklah rawatan untuk penyakit serius, kesuburan, vaksin, pergigian, pemeriksaan kesihatan, alat-alat kesihatan, dan konsultasi kesihatan mental untuk keluarga korang.

Jadi kalau korang ada beli test kit untuk Covid atau alat periksa gula dalam darah, boleh claim bawah alat-alat kesihatan. Kalau korang pergi klinik dan buat ultrasound, mamogram atau sebagainya pun boleh claim bawah pemeriksaan kesihatan. Yang penting, simpan resit korang untuk rujukan.

Undang-undang kata, korang kena simpan resit selama 7 tahun.

Tapi ingat! Selain rawatan untuk penyakit serius dan kesuburan, korang cuma boleh claim sehingga RM1,000 je untuk benda-benda lain dalam senarai ni.

Selain benda-benda di atas, mungkin tak ramai tahu yang kalau anak-anak korang ada tanda-tanda masalah pembelajaran atau masalah perkembangan lain, korang juga boleh claim sehingga RM6,000 untuk pengesanan, intervensi awal dan rawatan diorang. Ni termasuklah benda-benda untuk autism, ADHD, Down syndrome, dan sebagainya.

2. Penjagaan anak-anak, ibu bapa, dan datuk nenek

Generasi sekarang ramai yang bukan je kena tanggung diri sendiri dan anak-anak, tapi juga kena jaga ibu bapa yang dah tua. Kalau korang tergolong dalam kumpulan ni, ada beberapa pelepasan cukai yang korang boleh manfaatkan.

Pertama sekali, kalau ibu bapa korang perlukan rawatan perubatan, korang boleh claim sehingga RM8,000. Ni termasuklah untuk rawatan kat klinik dan hospital, pergigian (tak termasuk rawatan kosmetik), dan pemeriksaan perubatan penuh dan pemvaksinan (terhad RM1,000).

Korang pun boleh claim jugak untuk penjagaan diorang bawah kategori ni. Jadi kalau korang belanjakan duit untuk jaga diorang kat rumah, atau hantar diorang ke rumah atau pusat penjagaan orang-orang tua, boleh claim dari RM8,000 tersebut.

Kat rumah orang-orang tua, mak ayah korang ada kawan dan boleh la membawang. Takdelah diorang sunyi. Imej dari Berita Harian.

Cakap pasal pusat penjagaan, kalau majikan korang ada bagi elaun untuk hantar anak-anak korang ke pusat asuhan, korang boleh claim pelepasan sehingga RM3,000. Bermula tahun ni, pelepasan ni termasuk untuk pusat penjagaan warga emas juga, jadi kalau dapat elaun untuk jaga ibu bapa atau datuk nenek korang, pun boleh claim juga bawah RM3,000 ni.

Kalau nak claim asing untuk penjagaan anak-anak yang masih kecil, hantar je diorang kat TASKA atau TADIKA. Korang boleh claim sehingga RM3,000 untuk bayaran yuran kalau diorang belajar kat Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) yang berdaftar dengan JKM atau Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) yang berdaftar dengan KPM. Tapi sama ada ibu atau bapa je boleh claim yang ni, dua dua tak boleh.

Sebelum claim tu bincang lah dulu yer…

3. Pelepasan untuk individu kurang upaya (OKU)

Kalau korang tergolong sebagai orang kurang upaya (OKU), korang akan dapat pelepasan RM9,000 untuk diri sendiri. Kalau korang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), korang akan dapat pelepasan tambahan sebanyak RM7,000, jadi jumlah pelepasan korang akan jadi RM16,000.

Pendek kata, kalau bukan jutawan, takyah bayar cukai pendapatan la kiranya, cuma kena claim.

Tapi camne kalau korang tak OKU, tapi tanggungan korang? Masih dapat pelepasan jugak. Kalau pasangan korang OKU, boleh claim RM6,000, dan kalau anak korang OKU, boleh claim RM8,000. Tapi claim anak OKU ni cuma sah kalau anak korang tu belum berkahwin.

4. Pembelian rumah pertama

Kita semua mesti nak ada  rumah kan? Tapi kita tahu yang harga rumah sekarang ni mahal gila. Tapi jangan risau. Untuk galakkan korang beli rumah pertama, kerajaan bagi pelepasan cukai untuk kadar faedah pinjaman perumahan korang.

Bergantung pada harga rumah korang, pelepasan yang korang boleh dapat adalah sehingga

  • RM7,000 untuk rumah harga kurang RM500 ribu
  • RM5,000 untuk rumah antara RM500-750 ribu

Pelepasan ni boleh korang claim dengan syarat pembayar cukai adalah warganegara Malaysia dan pemastautin. Pelepasan ni cuma untuk satu rumah kediaman macam flat, pangsapuri atau kondominium je. Kalau rumah landed korang tak dapat lah. Rumah ni juga tak boleh dibuat sewa. Korang kena duduk kat rumah tu.

Buat rumah sendiri tak dapat pelepasan cukai tau.

Selain tu, pelepasan ni cuma boleh claim kalau perjanjian jual beli korang sempurna antara 1 Januari 2025 dan 31 Disember 2027. Kalau loan bawah nama dua orang, dua dua boleh claim ikut bahagian masing-masing.

Paling penting, pelepasan ni sah untuk tiga tahun berturut-turut lepas korang start bayar, so jangan lupa failkan pelepasan ni untuk tahun depan dan seterusnya jugak.

5. SSPN, insurans dan skim persaraan swasta

Bahagian ni untuk korang yang simpan duit untuk masa depan, sama ada untuk pendidikan anak-anak, persaraan korang sendiri, ataupun menggunakan insurans.

Tahu tak yang simpanan bersih korang dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) boleh dapat pelepasan cukai sehingga RM8,000 setahun? Kerajaan lanjutkan lagi pelepasan ni sampai tahun 2027. Tapi cuma ibu atau bapa yang buat simpanan je yang boleh claim.

Kalau korang ada keluarkan duit ni, masih boleh claim jugak dengan syarat untuk tujuan pendidikan. Jadi kalau korang guna duit ni bayar yuran pengajian, jumlah pelepasan dikira ikut jumlah simpanan sebelum duit dikeluarkan untuk tahun tu.

Kalau duit tu korang buat beli kereta tak dapatlah pelepasan ni. Imej dari Reddit.

Untuk yang mencarum dalam Skim Persaraan Swasta (PRS) atau ada anuiti tertangguh, korang boleh dapat pelepasan cukai sehingga RM3,000. Pelepasan ni dilanjutkan sampai tahun 2030. Jadi bukan je korang dapat menyimpan untuk masa depan korang, tapi jugak dapat jimat cukai.

Tapi kalau korang keluarkan caruman ni sebelum 55 tahun untuk sebab-sebab yang tak mustahak, korang akan kena cukai pulak sebanyak 8% dari jumlah pengeluaran tu. Kalau keluarkan sebab macam hilang upaya kekal, keluar Malaysia tak balik dah, nak beli rumah, atau perlu dana perubatan, tak kena cukai.

Walaupun tu memang duit korang tapi janganlah keluarkan untuk benda yang tak perlu. Karang dah tua nanti takde duit dah.

Akhirnya, kalau korang ada ambil insurans pendidikan atau perubatan untuk diri sendiri, pasangan, atau anak-anak, korang boleh claim pelepasan cukai sehingga RM4,000 bagi premium yang korang bayar.

6. Pembelian mesin kompos sisa makanan

Ramai antara kita yang tak tahu pun mesin ni guna untuk apa atau tak pernah dengar pun pasal mesin ni. Mesin ni digunakan untuk proses sisa makanan jadi baja kompos. Jadi kalau korang duduk dekat rumah flat, pangsapuri atau kondo dan malas nak turun bawah buang kat rumah sampah, mesin ni sangat membantu korang.

Kalau korang tak duduk apartment pun, korang still boleh guna mesin ni. Atleast kurang la sikit sisa kat tapak pembuangan sampah.

Dengan pembelian mesin ni, korang layak dapat pelepasan cukai sehingga RM2,500. Tapi pelepasan ni cuma boleh claim sekali dalam tempoh tiga tahun taksiran je. Okeylah tu kan, bukannya korang nak beli hari-hari mesin ni. Lagi satu korang dah tak payah buang masa turun semata-mata nak buang sampah dah.

So kalau korang ada buat benda-benda ni, korang boleh claim dari kerajaan dan…

Jangan lupa simpan balik resit korang!

Haa..banyak juga kan pelepasan cukai yang kerajaan bagi? Jadi kalau korang rasa ada antara kategori tu yang korang akan buat tahun ni, jangan lupa simpan resit korang elok-elok supaya senang korang nak buktikan kat LHDN nanti. Kalau boleh, letak dalam fail sebab korang kena simpan paling kurang tujuh tahun lepas failkan cukai.

Walaupun korang tak suka bayar cukai, tapi benda dah wajib buat. Dari cukai korang ni la kita dapat kos perubatan yang murah, jalan raya, lampu jalan dan lain-lain. Korang kongsilah artikel ni kat ahli keluarga ataupun member ataupun sesiapa je supaya diorang pun boleh jimat cukai diorang nanti.