Kenapa Pengerusi RISDA nak sangat komersialkan ketum?

Sebelum ni ada beberapa pihak yang minta supaya ganja dibenarkan kat negara ni. Tapi cadangan tu dapat banyak bantahan dan pihak kerajaan pun nampaknya masih lagi tak bagi apa-apa tanda untuk bagi kebenaran. Belum habis cerita pasal ganja, muncul pulak isu ketum.

Dalam satu laporan media baru-baru ni, ada pakar perubatan yang kata ketum sebenarnya tak bawa sebarang mudarat kepada pengamalnya. Kajian itu dilakukan oleh Dr Rusli Abd Rashid dari Pusat Pakar Perubatan Universiti Malaya (UMSC). Selain itu, kajian dari Universiti Sains Malaysia (USM) juga menyenaraikan kebaikan ketum dalam dunia perubatan.

Bentuk bungkusan air ketum kat Malaysia. Imej dari malaysiaaktif.my

Disebabkan manfaat dari ketum ni jugalah, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mencadangkan supaya ia dikomersialkan. Oleh itu, jom kita kenal dulu apa manfaat yang ada pada ketum ni.

Kajian dapati ketum ada potensi untuk rawat orang yang ketagih dadah

Ketum (Malaysia), kratom (Thailand/bahasa Inggeris) atau nama sainstifiknya Mitragyna speciosa adalah salah satu jenis pokok yang mudah tumbuh kat kawasan iklim tropika Asia Tenggara. Pokok ni mula-mula dikenal pasti pada tahun 1839 oleh seorang pakar botani dari Belanda. Sejak sekian lama daun ketum ni dianggap sebagai herba tradisional dalam perubatan masyarakat Asia Tenggara.

Macam yang kita selalu dengar, daun ketum selalunya direbus dan airnya akan diminum. Tapi ada juga orang yang terus je makan daun ketum mentah, macam kunyah daun sireh. Antara tujuan orang ambil daun ketum ni adalah ia dipercayai boleh tambahkan tenaga dan kurangkan keletihan.

Ini dia pokok ketum. Tak tahu la apa motif abang tu kat situ. Imej dari khasiatdanmanfaatkratomaceh.blogspot

Dekat Amerika Syarikat pulak, ketum digunakan sebagai ubat alternatif dalam merawat sakit-sakit otot, cirit birit dan sebagainya. Walaupun macam tu, keberkesanannya itu masih lagi belum dipastikan secara klinikal.

Pada tahun lepas, kajian dari Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati yang ketum sebenarnya berpotensi untuk jadi ubat tahan sakit yang baru. Selain dari jadi ubat tahan sakit, ketum juga boleh ganti metadon yang digunakan dalam merawat ketagihan dadah. Pakar Psikiatri Pusat Pakar Perubatan Universiti Malaya (UMSC), Dr Rusdi Abd Rashid pun menyokong kajian ini.

“Saya rasa kita perlu ada alternatif kepada metadon (bahan kawal ketagih heroin) dan mungkin ketum ini alternatifnya. Orang yang mengambil ketum mereka tak mengantuk macam orang yang ambil metadon.” – Dr Rusdi Abd Rashid, dipetik dari Malaysiakini.

Dulu pernah kecoh pasal Tesco jual daun ketum. Tapi rupa-rupanya, orang tu beli daun ketumbar. Imej dari mynewshub.cc

Tapi ketum ni masih lagi akan bagi kesan sampingan kalau digunakan secara salah

Walaupun ketum ada manfaatnya, tapi ia masih lagi bergantung dengan cara macam mana kita menggunakannya. Menurut Dr Rusdi, ketum sebenarnya tak bawa mudarat kalau digunakan dengan betul. Apa yang jadi masalah adalah bila ada orang yang pandai sangat campurkan ketum ni dengan benda-benda lain.

Mungkin korang pernah dengar ada orang campurkan ketum dengan benda-benda pelik macam – ubat nyamuk, tembakau, alkohol, kafein, pil khayal, ubat demam, Panadol dan ubat batuk. Selain tu, kita juga kena tahu yang ketum ni ada bahan kimianya sendiri, maka pengambilannya juga perlu ada kawalan. Kesan sampingan dari pengambilan ketum juga bergantung dengan banyak mana jumlah kita ambil (dose-dependent). 

“Daun ketum kering yang diambil sebanyak 10-25 gram pada peringkat awalnya boleh menyebabkan berpeluh, pening, loya dan perasaan tidak selesa. Kemudiannya kesan ini akan bertukar menjadi tenang, seronok dan seperti bermimpi yang boleh mengambil masa sehingga 6 jam.” – Dr. Mohd Rushdan Md Noor, dipetik dari Fakta Sains.

Mabuk ketum macam ni jugak ke? Imej dari Giphy.

Seperti juga ubat-ubat lain, pengambilan ketum secara kerap akhirnya akan membuatkan seseorang itu ketagih. Bila dah jadi macam tu, orang tu akan dapat masalah-masalah lain macam – lemah badan, gelisah, berhingus, loya, berpeluh, kejang otot, tak boleh tidur dan berhalusinasi. 

Kes ni bertambah lagi bahaya kalau ketum dicampur dengan bahan-bahan lain, sampai ada kes yang akibatkan kematian. Macam apa yang jadi kat Sweden, bila sembilan kematian direkodkan dalam masa setahun akibat dari mencampurkan ketum dengan ubat tramadol. Campuran ni juga dipanggil sebagai ‘krypton’.

Kalau sayangkan nyawa, jangan ikut aksi ni. Imej dari Meme Genarator.

Malaysia rugi lebih RM100 juta sebab tak komersialkan ketum

Itulah kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Zahidi Zainul Abidin. Hal ini kerana, ketum sebenarnya bernilai tinggi khususnya di pasaran luar negara. Seperti yang diceritakan tadi, produk berasaskan ketum sekarang ni dah digunakan dengan meluas untuk perubatan alternatif kat Amerika Syarikat dan Eropah.

“Ketum yang dieksport dilabelkan dengan nama kretom, tidak boleh nama lain kerana penyelidik barat menggunakan nama kretom. Jika tumbuhan ini memudaratkan seperti dadah sudah pasti AS dan Eropah mengharamkannya.” – Mohd Ridzuan Ibrahim, Pengerusi Gabungan Setia Melayu Pulau Pinang. Dipetik dari Sinar Harian.

Antara website yang jual macam-macam produk ketum. Imej dari krakenkratom.com

Selain itu, mereka juga kata yang ketum sebenarnya sekarang ni dijual dengan harga yang tinggi. Harga daun ketum yang dikeringkan dan dijadikan serbuk pada tahun lepas sahaja berharga antara USD50 hingga USD60 sekilo gram. Maknanya, kalau tukar duit Malaysia, sekilo ketum kita boleh dapat antara RM197 hingga ke RM236 begitu. Itu baru sekilo.

Pengerusi RISDA juga kata yang Indonesia dapat buat ratusan juta ringgit setahun dari aktiviti mengeksport ketum. 

“Pusat penanaman ketum di Kalimantan, Indonesia menjana RM10 juta bersih sebulan manakala kita masih berperang mulut membahaskan isu ini.” – Datuk Zahidi Zainul Abidin, Pengerusi RISDA. Dipetik dari Metro.

Daun ketum dalam proses pengeringan di Indonesia. Imej dari kompasiana.com

Pada tahun lepas, kita juga dengar berita macam mana seorang bekas jurutera ni buat duit dengan cara eksport serbuk ketum secara haram ke Eropah. Tapi kat Malaysia, menggunakan ketum untuk perubatan pun sebenarnya dilarang dan salah di sisi undang-undang.

Sebabnya, ketum terletak di bawah Akta Racun 1952. Pada tahun 2003, ketum diisytiharkan sebagai bahan larangan. Sesiapa yang mengimport, mengeksport, mengilang, membekal, menjual dan memiliki atau menggunakan bahan ini tanpa kebenaran boleh didenda RM10,000 atau penjara 4 tahun atau kedua-duanya sekali. 

Fatwa pasal ketum. Klik imej untuk baca.

Jadinya, kerajaan akan bagi tak kebenaran untuk tanam ketum secara komersial ni?

Itulah yang menjadi persoalan sekarang ni. Sebabnya, kajian saintifik dah pun buktikan kebaikan ketum dari segi perubatan. Pasaran ketum juga akan bagi manfaat kepada ekonomi kita. Kerana itu jugalah Prof Dr Azizi Ayob dari I-Medik ada mencadangkan supaya kerajaan mengenal pasti kombinasi bahan tertentu dalam ketum. Hasil kajian ni pula kemudiannya dipatenkan terlebih dulu sebagai harta intelek milik negara.

“Penghasilan bahan asas yang dipatenkan akan menghasilkan nilai komersial yang jauh lebih bermakna untuk jangka masa panjang. Kemudian kita boleh menjual dan meminta mereka menggunakan hasil penemuan ini untuk perubatan semata-mata.” – Prof Dr Azizi Ayob, dipetik dari BH Online.

Katanya lagi, dengan bagi kebenaran untuk komersialkan ketum masih belum cukup untuk jaga harta intelek negara. Sebabnya, pihak luar akan terus melakukan kajian terhadap ketum. Dari sudut lain pulak, membenarkan tanaman ketum dapat dimanfaatkan oleh lebih 500 ribu pekebun kecil di seluruh negara ini. Mereka juga dapat buat pendapatan tambahan RM1,000 untuk setiap ekar tanaman ketum.

“Kalau kita lihat di sini pendapatan berganda-ganda kita ambil contoh kelapa sawit satu ekar antara RM100-RM200 seekar. Kalau ketum lebih RM1,000, apa lagi kalau guna mata wang asing. Ini yang kita lihat dapat membantu pekebun kecil.” – Datuk Zahidi Zainul Abidin, Pengerusi RISDA. Dipetik dari Astro Awani.

Bagaimanapun, cadangan tanam ketum secara komersial ni tetap mendapat tentangan hebat dari pelbagai pihak. Pada tahun 2016, pihak Polis dengan tegas tak terima cadangan ni. Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan juga melarang pokok ketum ditanam secara komersial.

Sementara tunggu kerajaan benarkan tanam ketum, lebih baik tanam kangkung. Imej asal dari rustadhie.blogspot

Walaupun macam tu, baru-baru ni ada khabar angin yang kata mungkin tak lama lagi kerajaan akan benarkan ketum dikomersialkan. Malaysiakini melaporkan, perbincangan antara RISDA dengan pihak-pihak tertentu macam Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), polis bahagian narkotik dan Kementerian Kesihatan, dah pun sampai ke peringkat akhir.

“Kami juga akan adakan pertemuan dalam satu atau dua bulan ini, kita akan adakan perbincangan dengan anggota parlimen dan senator Dewan Negara. Kerajaan akan kutip cukai siapa yang tanam.” – Datuk Zahidi Zainul Abidin, katanya kepada Malaysiakini.

Sekadar untuk pengetahuan. Imej dari Saji Online & myhealth.gov

Disebabkan ketum berada di bawah Akta Racun, makanya lesen akan dikeluarkan oleh Pusat Racun Negara. Tambah Zahidi lagi, kalau benda ni jadi kenyataan, akta sebenarnya tak payah dipinda dan kita hanya kena dapat kelulusan daripada Pusat Racun Negara je.

Akhirnya, apa yang paling penting adalah ketum jangan disalah guna

Itulah cabaran utama yang sebenarnya. Seperti mana ubat batuk, tujuan asal ubat itu sebenarnya baik, tapi bila sampai kat orang-orang yang tak bertanggungjawab, jadilah yang sebaliknya.

Jadinya, kawalan dan pemantauan dari pihak berkuasa sangat diperlukan dalam hal ini. Selain itu, kalau komersial ketum ni jadi kenyataan nanti, Pengerusi RISDA ada mencadangkan supaya kerajaan gunakan hasil keuntungan eksport ketum dengan dilaburkannya semula dalam usaha mengawal penyalahgunaan dadah di negara ini.

“Contohnya kalau orang itu ditangkap kita akan buat pemulihan kepada mereka dengan memberikan motivasi, memberikan peluang yang ada kepada mereka kerana mereka ini aset negara.” – Datuk Zahidi Zainul Abidin, katanya kepada Malaysiakini.

Bila dah buat untung nanti. Imej dari Giphy.

Jadinya, usaha mengkomersialkan ketum masih lagi berada dalam proses walaupun setelah beberapa tahun ia diperbincangkan. Selain itu, kita juga mempunyai kepakaran dalam menjalankan kajian terhadap ketum. Apa kita kena ada sekarang cumalah ‘lampu hijau’ dari pihak kerajaan.

“Jika kerajaan beri kebenaran (untuk lakukan kajian) dan geran, kita boleh lakukan dan menjadikannya satu minuman sirap tradisional untuk meningkatkan tenaga, kesihatan. Kita boleh eksport. Kita boleh lakukannya tetapi lampu hijau tak ada. Kita telah ada orangnya (untuk buat kajian), kita ada pengalaman, kita ada mesin tetapi lesen tidak ada.” – Prof Dr Mustafa Ali Mohd, Pusat Pakar Perubatan Universiti Malaya. Dipetik dari Malaysiakini.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.