- 2.5KShare sekarang!
- Email34
- Facebook2.5K
- Share
Siapa je tak kenal dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), mereka merupakan badan pengelola yang diwujudkan dibawah Jabatan Perdana Menteri Bahagian Hal Ehwal Agama sejak sekian lama. Banyak benda yang dorang manage sebenarnya tapi mereka lebih dikenali dengan pengurusan halal di Malaysia.
Tapi yang pasal halal tu lain hari je lah kitorang cerita. Yang nak diceritakan sekarang adalah tentang tindakan JAKIM yang pernah mengharamkan sebuah persatuan silat pada zaman 70-an dulu, kitorang pasti ramai sebenarnya tak tahu pasal benda ni.
Zaman kelahiran perguruan silat di serata Malaysia
Dalam Malaysia ni, terdapat beratus-ratus jenis Silat yang wujud setakat hari ni. Ada juga yang mempunyai populariti agak tinggi seperti Silat Gayong, Silat Lincah, Silat Cekak, setiap Silat tu pun ada pecahan dia lagi macam Gayong Harimau lah, Cekak Hanafi lah dan macam-macam lagi!
Semua tu muncul hasil daripada zaman di mana Silat mula didaftarkan sebagai persatuan atau pertubuhan secara rasmi di Malaysia, zaman tu adalah di sekitar 60-an ke 70-an macam tu lah. Berduyun-duyun orang nak daftar persatuan silat mereka ni, pada masa tu katanya tak banyak peraturan mahupun cara untuk pihak berwajib menapis dan memeriksa latar belakang sebuah persatuan silat.
Jadi banyak je persatuan silat yang mencurigakan telah diluluskan secara rasmi selepas tu, salah satunya adalah Silat Nasrul Haq. Sebuah silat yang menjadi perdebatan hangat dalam dunia silat tempatan, kenapa perdebatan hangat pula? Macam ni…
Asal-usul Silat Nasrul Haq ni pun ada lebih dari satu versi sebenarnya, ada yang kata ia berasal dari Minangkabau, Sumatera. Katanya, ilmu itu telah dibawa ke Malaysia oleh Tuan Haji Johannes Cheoldi (Khalifah Nasrul Haq) selepas mempelajarinya daripada seorang teman yang berasal dari Indonesia semasa menunaikan Haji.
Versi lagi satu pula mengatakan ajaran silat Nasrul Haq ni berasal dari Kerajaan Pagaruyung dan Johannes Cheoldi mempelajarinya daripada Haji Elias Sultan Sati. Nama yang agak asing sebenarnya tapi takpelah, kita teruskan dengan cerita ni.
Amalan yang dilakukan dalam Nasrul Haq ni terbahagi kepada dua iaitu Rohani dan Jasmani, dikatakan dengan gabungan kedua-dua perkara ni lah yang menjadikan ilmu ini luar biasa. Antara amalan yang perlu dibuat oleh setiap pelajar adalah membaca Al-Fatihah sebanyak 3 kali sebelum memulakan gerakkan ataupun membuka jurus.
Tujuan dia adalah untuk mendapatkan kekuatan batin atau kekuatan yang luar biasa dan dalam masa sama juga mereka mendakwa ia datang daripada Allah S.W.T. Dari situ lah JAKIM pelik dengan Nasrul Haq ni, sebab maksud membuka jurus untuk mendapatkan kekuatan tu semua serba-sedikit agak bercanggah dengan ajaran Islam.
Jadi adakah betul ia bercanggah dengan ajaran Islam? Adakah tindakan JAKIM mengharamkannya tu betul?
Diharamkan secara rasmi oleh JAKIM dan disokong oleh Mufti
Pada April 1978, Nasrul Haq telah diharamkan oleh JAKIM selepas mereka dikatakan membawa ajaran yang sesat dan jauh dari ajaran Islam. Takkan tu je penjelasan dia kan? Sebenarnya silat Nasrul Haq ni lah yang orang kata ada ilmu kebal, menggunakan ilmu batin di mana bila orang nak menyerang semua bagai tapi tak dapat sentuh pun seseorang tu.
Kalau pasal ilmu macam ni, terdapat pelbagai perdebatan yang berlaku. Ada yang terus menghukum kata benda ni haram, ada juga yang memberi penjelasan yang benda ni tak bercanggah pun dengan Islam. Tapi secara hakikatnya, betul ke benda ni tak bercanggah dengan agama Islam dan juga Syariah?
JAKIM telah menilai bahawa apa yang berlaku dalam Nasrul Haq ni merupakan perkara yang bercanggah dalam Islam, antaranya adalah dikatakan kesan penahan serangan yang dorang ada tu boleh dipindah-pindah ke orang lain yang bukan Islam dan ia juga boleh dipindahkan kepada apa-apa saja benda sekiranya khalifah atau guru itu menjuruskan atau memasukkan kuasa tersebut.
Benda-benda macam tu boleh menimbulkan kekeliruan orang tentang perkara-perkara yang ghaib (perkara yang tak terjangkau dek akal). Senang cerita apa yang ditunjukkan oleh Nasrul Haq ni boleh membawa kepada pertentangan dengan aqidah Islam. Ini disebabkan pada awalnya Nasrul Haq dikatakan berlindung dibelakang ayat-ayat suci Al-Quran dan juga hadis.
Dalam pada itu, dikatakan ilmu ini juga boleh dipelajari dan memperolehi kesannya oleh mereka yang bukan Islam. Maknanya ilmu ni tak lagi mengikut panduan zikir-zikir (ayat Al-Quran) dan bacaan al-Fatihah.
Lagi satu, ilmu ni dikatakan dapat memberi kelebihan kepada seseorang itu untuk lindung dirinya daripada serangan cukup dengan berzikir sahaja bagi mendapatkan perlindugan dari Allah. Ilmu-ilmu seperti ini juga agak kontroversi apabila ia boleh menjurus kepada seseorang tu untuk melakukan perintah Allah hanya untuk mendapatkan sesuatu ilmu sahaja!
Sepatutnya perintah Allah dilakukan bagi tujuan beribadat! Jadi kalau dorang gagal dapatkan ilmu tu secara penuh, adakah dorang tak perlu lagi berzikir apa semua tu? Itu sebab ia boleh meruntuhkan aqidah seseorang. Ni belum lagi masuk lagi pasal yang ulama-ulama tersohor sebut pasal ni lagi, sampai ada mengaitkan jin kata mereka.
“Ini nak kategorikan sebagai apa? Mukjizat ke? Karomah ke? Kalau dia baca bacaan tertentu, lalu Allah selamatkan dia dari kezaliman, mungkin. Ini boleh termasuk dalam Karomah, ahli sunnah wal jama’ah mengakui Karomah, jadi boleh berlaku Karomah. Tapi kalau nak pekena orang boleh, nak buat pertunjukan boleh haa ini semacam, ini jin,” Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (MAZA), Mufti Perlis, petikan dari Youtube
Bukan sembarangan orang ye yang cakap benda ni, Mufti Perlis sendiri kata benda ni memang ada unsur-unsur jin dan dalam masa yang sama memutarbelit ayat-ayat suci Al-Quran. Mungkin ada yang masih tak puas hati dengan pernyataan Mufti, tapi ada lagi ulama yang membuka dan bercakap tentang perkara ni.
“Kami dulu mengintip orang silat dari pokok kayu masa kecil. Ada guru berasal dari Jawa, dia salam murid ni dan tanya nak jurus apa. Nak jurus kera? Lepas salam terus memanjat pokok murid tu. Rupanya jin tu dimasukkan ke badan. Itu sudah ada dalam Quran, juz 29, surah Al-Jinn. ‘Mereka yang meminta tolong kepada jin, mereka semakin durhaka’,” Ustaz Abdul Somad, Pendakwah terkemuka Indonesia, petikan dari Youtube
Jadi daripada situ, adakah korang rasa yang bila orang cakap ilmu ni sebenarnya tak bercanggah tu betul? Ulama-ulama sendiri dah bagi pencerahan berkenaan benda ni. Tepuk dada tanya selera.
Berhati-hati dalam mencari ilmu
Tak boleh dinafikan, unsur-unsur mistik dalam ilmu kebatinan dalam budaya kita sangat dekat dengan budaya nusantara tu sendiri. Namun, kita semua harus berhati-hati dalam menuntut semua ilmu tu. Seperti ilmu persilatan yang ada dalam negara ni, banyak lagi yang boleh dipilih untuk belajar.
Dikatakan walaupun Nasrul Haq telah diharamkan, masih ada lagi cabang-cabang yang hampir sama dengannya. Atau mungkin itu adalah Nasrul Haq tetapi hanya ditukar namanya je kot. Disebabkan tu, haruslah kita semua berhati-hati dalam mencari ilmu demi kebaikan diri dan keluarga kita juga.
Lebih baik kembali kepada agama dan berhenti mengejar perkara-perkara macam ni.
- 2.5KShare sekarang!
- Email34
- Facebook2.5K
- Share